Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SRI NAJIB TUN RAZAK
Tajuk : SEMINAR LEGASI TUN RAZAK KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA
Lokasi : PUSAT KONVENSYEN SIME DARBY, KUALA LUMPUR
Tarikh : 15-06-2007
 



Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dan Salam Sejahtera





Bonda yang dikasihi, YA Bhg. Tun Hajah Rahah Tan Sri Hj. Noah,



YB. Dato’ Sri Hishammuddin Bin Tun Hussein,

Menteri Pelajaran merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia



Y. Bhg. Saudara Khairy Jamaluddin,

Pengerusi Akademi Pemuda Merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO



Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet,



Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar,



Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri,



Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO,



Pemimpin-Pemimpin Parti Komponen Barisan Nasional,



Dif-Dif Kehormat,



Sidang hadirin yang dimuliakan,





Terlebih dahulu marilah kita merafakkan rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, maka kita dapat bersama dalam “Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara”, pada hari yang bersejarah ini.



Saya juga ingin merakamkan jutaan penghargaan atas usaha Akademi Pemuda di bawah pimpinan Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein dan Saudara Khairy Jamaluddin kerana berjaya menganjurkan seminar ini, dengan kerjasama Alumni Yayasan Tun Razak. Dalam suasana kita menyambut ulang tahun ke 50 kemerdekaan negara, usaha menganjurkan seminar seumpama ini amatlah bermakna. Kehadiran peserta yang ramai termasuk belia pelbagai kaum juga sangat dialu-alukan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada penganjur utama seminar ini iaitu Akademi Pemuda.



Ramai tokoh yang berjasa kepada negara seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan setiap negarawan ini telah ditakdirkan Allah, lahir sesuai dengan zamannya dan telah mencurahkan bakti yang tidak ternilai harganya. Kini YAB. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambung kegemilangan kepimpinan negara.



Namun, Allahyarham Tun Abdul Razak yang dipilih untuk seminar ini. Saya kira ini bukanlah untuk menidakkan urutan keutamaan jasa pemimpin yang lain. Mungkin ada dalam perancangan Akademi Pemuda untuk mengadakan seminar legasi pemimpin negarawan lain pada masa-masa yang akan datang.



Agak sukar untuk saya meluahkan rasa pengiktirafan yang terlalu tinggi lebih-lebih lagi untuk allahyarham ayahanda sendiri. Tun sebenarnya adalah sumber motivasi saya yang utama, motivasi untuk bekerja kuat demi kepentingan rakyat. Motivasi untuk meneruskan khidmatnya tanpa mementingkan diri sendiri, asalkan rakyat dan negara dapat dibela dan dibangunkan, di kota, di desa malahan di peringkat antarabangsa.



Tun memulakan pendidikan di Sekolah Umum Langgar Pekan; pergi bersekolah tidak berkasut, berkaki ayam dan sekolah pula berlantaikan tanah. Oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan alat tulis, Tun pernah belajar ilmu kira-kira (matematik) dengan menulis di atas pasir. Kesukaran hidup itu membentuk dirinya untuk berjaya di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Raffles College Singapura dan Lincoln’s Inn, United Kingdom; menamatkan pengajian undang-undang dalam tempoh 18 bulan, suatu rekod pada ketika itu setelah pengajiannya terhenti sewaktu zaman penjajahan Jepun.



Pada tahun 1938, dalam laporan Pengetua Maktab Melayu Kuala Kangsar, Mr. C. Bazell, beliau menulis tentang Tun sebagai berikut: “He has considerable initiative and can always be relied on. I expect him to do well later”. Maksudnya, Tun yang pada ketika itu berumur 16 tahun sudah mempunyai inisiatif yang tinggi dan sentiasa boleh diharap. Pengetua berkaitan juga menjangkakan yang Tun akan cemerlang pada masa hadapan.



Sesungguhnya pendidikanlah yang sebenarnya mengubah martabat bangsa, dari dahulu, sekarang dan masa akan datang. Pendidikanlah yang merupakan pelaburan terpenting untuk sesebuah keluarga dan negara. Ketika Tun menjadi Menteri Pelajaran, beliau menyediakan Penyata Razak yang masih menjadi garis panduan untuk pendidikan negara hinggalah ke hari ini.



Antara kaedah Tun menggalakkan kami lima beradik untuk berjaya dalam pelajaran sewaktu di sekolah rendah ialah dengan memberi RM30 untuk pencapaian periksa penggal, jika mendapat nombor 1, RM20 untuk nombor 2 dan RM10 untuk nombor 3. Tun mahukan kami sentiasa berada dalam kedudukan 3 teratas. Itulah agaknya hasrat Tun untuk anak bangsanya, supaya sentiasa menempa kejayaan.



Begitulah beliau menyentuh kehidupan kami dan ramai lagi rakyat. Tun mempunyai the common touch dan dapat meluangkan masa untuk orang biasa. Beliau akan berjumpa dengan semua yang menunggunya walau sekejap sama ada di Sri Taman atau di pejabat.



Tun adalah seorang yang kuat bekerja. Sebagai contoh, pada tahun 1962, beliau membuat lawatan sejauh 43 ribu batu menerusi jalan raya, kapal terbang, helikopter, bot, kadang-kadang berbasikal dan juga berjalan kaki yang meliputi lawatan ke 45 Bilik Gerakan Negeri dan 118 Bilik Gerakan Daerah di seluruh negara. Jadual lawatan biasanya amat ketat, dari pagi hingga ke larut malam.



Tun pernah berkata, semasa merasmikan Perhimpunan Agung Persatuan Cina Malaysia, di Kuala Lumpur pada 9 Ogos 1975 bahawa “Pemimpin-pemimpin mestilah selalu berada bersama-sama dengan rakyat. Jika ini tidak dilakukan, maka sudah tentu kita tidak akan mengetahui apakah kehendak dan aspirasi rakyat sekalian”. Inilah seperkara lagi yang menjadi motivasi tanpa disedari yang saya juga terikut-ikut dengan corak kerja yang dedikasi seumpama Tun. Terlalu banyak sebenarnya yang kita perlu buat untuk rakyat dan negara, sementara masa pula amat singkat untuk melaksanakannya.



Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Thong Yaw Hong yang pernah berkhidmat di bawah Tun, menyebut bahawa Tun “benar-benar bekerja untuk rakyat, hidup dan matinya untuk rakyat, penuh dedikasi dan komitmen terhadap negara dan inilah pemimpin yang saya sanggup mati untuknya”



Tun pernah menjadi Menteri Besar Pahang, Menteri Pelajaran, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertahanan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri ke-2 negara pada 22 Sept.1970.



Daripada hasil usaha gigih Tun bersama pemimpin lain, maka terbinalah institusi sosial dan ekonomi seperti FELDA, Petronas, MARA, Tabung Haji, MIDA, MIDF, MISC, FAMA, PERNAS, FIMA, UDA, LPN, LPP, FELCRA, RISDA, Bank Bumiputera, Bank Pertanian, UKM, ITM, Bernama, Pusat Islam, Kongres Ekonomi Bumiputera dan Perbadanan Kemajuan Negeri-Negeri. Saya yang kini juga menjadi Menteri FELDA, dapat merasakan betapa hampir 1 juta warga FELDA mendapat rahmat daripada idea praktikal pembangunan tanah yang diiktiraf paling berjaya dalam dunia.



Sebelum terhasilnya pelbagai institusi berkenaan yang menjadi legasi Tun, beliau bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah bersama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan. Tunku dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan dan Tun menggalas amanah, memikul tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan itu yang terpahat hingga kini sebagai Bapa Pembangunan Negara.



Tarikh keramat 31 Ogos 1957 yang menjadi permata dalam lipatan sejarah, tertulis dengan tinta emas perjuangan negara; dicatat tanda hitam penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan dicemari dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969. Parti pembangkang yang memainkan isu perkauman pada pilihan raya 1969 hingga membawa petaka kerana keghairahan meraikan kemenangan di beberapa tempat, lantas membakar sentimen hingga menyebabkan rusuhan, pembunuhan dan keadaan tidak tenteram di kalangan pelbagai kaum.



Maka pada 15 Mei 1969, negara diisytiharkan darurat. Tun menjadi Pengarah MAGERAN, Majlis Gerakan Negara, National Operations Council, NOC atau “No Other Choice” kata sesetengah pemimpin. Tun boleh meneruskan MAGERAN ke tempoh masa yang beliau suka, memerintah dengan penuh kuasa, boleh berbuat apa sahaja. Tetapi beliau bukan seorang yang gila kuasa sebegitu.



Kemudiannya Tun segera mewujudkan Majlis Perundingan Negara pada bulan Januari 1970 yang terdiri daripada pelbagai pihak, kecuali DAP yang tidak mahu bersama. Persefahaman dicapai agar kontrak sosial sama-sama dihormati terhadap 5 tonggak berikut:



1. Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera

2. Kedudukan Raja-Raja Melayu

3. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan

4. Agama Islam sebagai agama rasmi dan

5. Hak kerakyatan kaum bukan Melayu.



Kontrak sosial inilah yang menjadi landasan kepada kehidupan rakyat yang aman dan makmur. Rukun Negara pula diisytiharkan menjadi pedoman hidup bernegara dalam masyarakat berbilang kaum. Sepantas 21 bulan, pada 23 Februari 1971, Malaysia kembali ke pemerintahan demokrasi.



Seseorang pemimpin yang mempunyai kuasa penuh dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa, dengan melihat banyak contoh negara di dunia, biasanya akan menggunakan nikmat kuasa itu untuk masa yang lama. Namun, Tun menganggap kuasa penuh sebagai Pengarah MAGERAN itu merupakan suatu bebanan amanah yang berat. Oleh sebab beliau amat mempercayai kepada prinsip-prinsip demokrasi, dan tidak mahu menjadi seorang diktator, maka sebab itu lah Tun mengembalikan kuasa besar pemerintahan mutlak itu kepada rakyat dan demokrasi berparlimen.



Sebagai dasar terpenting negara bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, bagi mengelakkan peristiwa berdarah tragedi nasional 13 Mei berulang, maka Tun mengemukakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang legasinya masih segar hingga ke saat ini. Dasar ini melambangkan yang Tun adalah pemimpin mendahului zamannya dalam menjadi pembela bangsa dan pembina negara.



Walaupun sebesar mana sanjungan, namun kehidupan yang sederhana adalah amalan Tun. Sebagai contoh, usaha kami sebagai anak-anak untuk dibina sebuah kolam renang di Sri Taman akhirnya tidak menjadi hingga ke sudah, sebab Tun selalu menyebut: “Nanti apa orang kata”. Tun tidak mempunyai hobi yang mahal seperti memiliki kereta-kereta mewah. Namun beliau suka bermain golf, sukan yang saya juga minati, walau semakin kurang masa untuknya.



Kehidupan sederhana itu adalah kerana Tun berasal dari kampung, bergelumang dengan membina masyarakat kampung dan berakar di luar bandar. Namun beliau dapat membawa negara ini hebat juga di arena global dalam suasana masa itu. Tun pernah membuat lawatan rasmi ke pelbagai negara antaranya ke Afrika, Timur Tengah, negara-negara Asia, Eropah, Rusia dan Amerika Syarikat. Dua yang terpenting ialah Tun berjaya membantu menamatkan konfrontasi dengan Indonesia; dan menjalin hubungan rasmi pertama dengan negara China. Dua kejayaan ini menjadi batu tanda bersejarah dalam diplomasi antarabangsa negara kita.



Tentang hubungan dengan China pula, ketika lawatan Tun ke sana pada 28 Mei 1974, beliau merupakan pemimpin Asia Tenggara pertama yang melawat China. Pada ketika itu, negara China tidak diyakini oleh banyak pihak dan mereka melihat dengan penuh rasa syak wasangka. Namun, China pada hari ini sedang menjadi gergasi ekonomi dunia. Dalam lawatan saya beberapa kali ke negara China, ramai pemimpin China yang memuji langkah bersejarah dan berjasa Tun itu. Mereka mengingatkan kepada sebuah peribahasa China tentang mengenang jasa yang bermaksud antara lain iaitu jika kita meminum air daripada sebuah perigi, jangan sesekali kita melupakan kepada jasa penggali perigi itu.



Idea penubuhan ASEAN disebut oleh Tun seawal pada tahun 1966 lagi. Pada tahun 1971 pula, Deklarasi Kuala Lumpur mengisytiharkan rantau ini sebagai ZOPFAN, the Zone of Peace, Freedom and Neutrality. Semuanya ini menjadikan Tun seorang pemimpin glokal, berjaya di lokal dan dalam negara, juga dikenali di peringkat global dan antarabangsa.



Walaupun Tun dianggap seorang yang boleh mengambil alih pimpinan daripada Tunku lebih awal daripada masanya atas desakan pelbagai pihak, namun beliau adalah seorang yang setia. Beliau menyebut “saya tidak akan membiarkan diri saya berbuat demikian. Ini bukanlah cara orang Melayu. Jika kita orang kedua, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai orang kedua”. Kesetiaan seumpama ini wajar menjadi teladan kepada banyak pihak. Satu pesanan Tun selaku Presiden UMNO yang ringkas tetapi bermakna ialah “Jagalah parti”. Maksudnya, parti UMNO adalah warisan khazanah yang mesti ditatang dan dipelihara dengan sempurna.



Dalam ucapan lain yang menggambarkan wawasan jauhnya, diungkapkan pada 20 Februari 1966 di Pulau Pinang, antara lain menyebut “Bangsa Malaysia yang muda dan sedang muncul ini mahu hidup seiring dengan bangsa-bangsa Barat yang telah maju. Kaum Bumiputera mahu taraf hidupnya lebih sempurna dan bahagia...”.



Lantaran itulah maka Tun terus memacu desa dan kota untuk memenuhi impian bangsa dan negara. Bilik Gerakan Negara, Negeri dan Daerah, Buku Merah, Buku Hijau, Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua adalah contoh praktikal kaedah beliau melaksanakan perancangan pembangunan.



Semangat DEB yang diilhamkan Tun itu sebenarnya masih termaktub, tersirat dan tersurat dalam Rancangan Malaysia ke 9 di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam Misi Nasional, kita masih menetapkan agenda membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, menjana ekonomi, menangani ketidakseimbangan antara kaum dan wilayah, meningkatkan kualiti hidup serta memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar.



Pak Lah pernah menyebut bahawa Tun Razak adalah mentor beliau dalam politik. Tambahan pula Pak Lah pernah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Hal Ehwal Awam dalam majlis MAGERAN di bawah pimpinan Tun. Dalam pertemuan 4 mata bila Pak Lah melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, suatu ungkapan yang disebut oleh Pak Lah, yang belum pernah saya meluahkan kepada umum, beliau menyebut tentang Allahyarham Tun Razak dengan menyatakan bahawa “You are his biological son but I’m his political son”. Maksudnya saya adalah anak kandung Tun sedangkan beliau adalah “anak politik” Tun. Begitulah pentingnya Tun kepada kami berdua yang sedang memikul amanah memimpin negara sekarang ini.



Terlakar juga dalam catatan sejarah penting ialah tentang kewujudan kerajaan campuran Perikatan bermula pada tahun 1973 antara PAS di Kelantan, Gerakan di Pulau Pinang dan PPP di Perak yang dapat menyelesaikan banyak permasalahan rakyat dan negara. Parti Barisan Nasional yang menjadi tunjang kerajaan sejak sekian lama ini, parti yang melambangkan perkongsian kuasa penuh harmonis antara semua kaum dari Perlis hingga ke Sabah adalah juga cetusan ilham Tun.



Semuanya itu menjadikan Tun seorang yang memiliki sifat kepimpinan transformasi (transformational leadership) yang telah merubah landskap sosio-ekonomi-politik negara ini. Dengan berbush jaket, bertongkat dan “berdehem”, Tun menggerakkan seluruh jentera kerajaan untuk memastikan segala pembangunan negara berjalan lancar.



Pandangan Tun terhadap Islam pula tersimpul ketika memberi perutusan Hari Raya Aidilfitri melalui RTM pada 27 Oktober 1973. Tun menyebut bahawa “Islam menghendaki umatnya mengejar kemajuan di dunia dan bukan hanya untuk akhirat semata-mata supaya orang-orang Islam mencapai taraf kedudukan yang lebih baik di mata dunia dan merebut semula martabat yang tinggi seperti pada zaman kegemilangan Islam pada masa silam”.



Pada 21 Jun 1975, ucapan terakhir Tun dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 26 di Hotel Hilton Kuala Lumpur, beliau menyebut bahawa “ saya menggariskan khidmat kejujuran, kerana selagi kita jujur dan ikhlas terhadap parti dan rakyat, sudah tentu Allah akan memberkati segala usaha kita itu”.



Justeru itu, marilah kita berdoa agar segala usaha Tun untuk negara ini sentiasa diberkati Allah sebagai amal soleh yang dilimpahi rahmat berpanjangan. Walaupun Tun telah mengetahui tentang penyakit leukemianya sejak tahun 1969, beliau merahsiakannya hatta kepada bonda saya, Tun Rahah dan saya sendiri serta adik-adik saya hinggalah ke saat akhir hidupnya.



Allahyarham Tun telah mengejar masa rupanya, tidak mahu kesihatan menjadi penghalang, mengenepikan kepentingan diri, berkorban untuk membina agama, bangsa dan negara yang kita kasihi ini. Beliau pernah dinasihati oleh rakan rapat dan anggota Parlimen agar bercuti bila melihat keadaannya semakin uzur tetapi Tun menjawab “Bagaimana saya nak berehat, banyak kerja yang belum selesai”.



Itulah sepintas perjalanan hidup ayahanda saya, seorang yang amat dekat di hati, berumur 54 tahun, negarawan yang akhirnya kembali ke pangkuan Ilahi pada 14 Januari 1976. Itulah sepintas perjuangan yang warisan dan wawasannya mungkin boleh dirumus dalam sajak ini untuk direnungkan:



Warisan Wawasan Negarawan



Kita generasi pewaris pimpinan,

Menelusuri jalan telah diredah,

Meniti gelombang sudah cemerlang,

Meneroka desa membina kota indah.



Kita generasi penerus zaman,

Menerima cahaya dian,

Yang terang membakar diri,

Menerus legasi para negarawan,

Membina negara yang dicintai.



Berlandas kegigihan,

Bertunjang pengorbanan,

Bertatah kesetiaan,

Berasas perpaduan.



Mengejar kemajuan,

Berazimat warisan,

Menjulang wawasan.



Warisan pemimpin negara,

Wawasan pejuang bangsa,

Habis tinta emas menulis,

Habis pusaka harta terhakis,

Namun agama bangsa negara,

Hanya mekar seharum bunga,

Jika warisan dan wawasan negarawan,

Dicemerlang oleh generasi pewaris pimpinan,

Digemilang oleh generasi penerus zaman.



Dengan kalimah, Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan “Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara”.



Wassalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.


Kami menerima 7,642,292 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri