Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMPENA PERASMIAN KILANG OPTICAL COMMUNICATION ENGINEERING SDN.BHD.
Lokasi : PETALING JAYA (PJ)
Tarikh : 27-10-1992
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Optical Communication Engineering Sdn. Bhd. (OPCOM) kerana menjemput saya ke majlis pagi ini dan seterusnya merasmikan kilang OPCOM. Saya juga mengucapkan tahniah kepada syarikat OPCOM kerana komitmennya terhadap bidang-bidang yang amat bermakna kepada masa hadapan negara, khususnya dalam bidang telekomunikasi dan perkilangan.

2. Kedua-dua bidang ini boleh diandaikan sebagai kuku dan kulit. Pertumbuhan satu-satunya tidak sempurna tanpa sumbangan yang lain. Begitu juga dengan bidang perkilangan.Kemajuannya tidak akan berjalan dengan lancar jika kemudahan infrastruktur asas tidak disediakan pada tahap yang selaras dengan kehendak penggunanya. Kini, kemajuan sektor perkilangan negara kita telahpun mencapai tahap yang boleh dibanggakan serta dikagumi oleh negara-negara membangun yang lain.

3. Satu-satunya punca kejayaan negara kita ialah keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan sistem infrastruktur yang lengkap lagi menyeluruh. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melihat rakyat Malaysia, tidak kira sama ada di bandaraya mahupun di kampung-kampung, menikmati kemudahan-kemudahan asas ini. Satu-satunya petunjuk negara maju ialah kewujudan sistem infrastruktur asas yang lengkap yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat serta pengendalian yang cekap dan teratur. Tidak ada maknanya kita berbangga dengan tahap kemajuan sektor perkilangan yang tinggi kalau keperluan asas seperti bekalan tenaga lektrik, air, pengangkutan dan perhubungan tidak dimajukan seiring. Pembangunan negara yang menyeluruh memerlukan pembangunan yang seimbang bagi semua sektornya ataupun sekurang-kurangnya perbezaannya tidak begitu ketara.Kita harus pastikan supaya sektor luar bandar tidak ketinggalan begitu jauh ke belakang. 'Development lag' yang besar akan menjejaskan usaha-usaha Kerajaan mempastikan pencapaian keadilan sosial dalam program-programnya.

4. Bidang telekomunikasi memainkan peranan yang penting bagi masa depan negara kerana dunia kini sering berkembang ke arah 'globalisation'. Implikasi yang nyata berikutan dengan perkembangan ini ialah konsep zon masa yang juga telah berubah. Perubahan ini, yang dibawa oleh arus modenisasi berasaskan kepada perhubungan teknologi dalam bidang telekomunikasi, akan mempengaruhi dan membentuk cara hidup manusia sejagat dalam abad ke-21. Ini adalah satu hakikat yang kita harus terima sekiranya kita mahu terus maju.

5. Telekomunikasi merupakan satu bidang yang merangkumi kehidupan seharian kita melalui alatnya yang asas, iaitu telefon. Kita akui bahawa tanpa alat itu, kehidupan kita akan menjadi kurang efektif dan bertambah rumit. Untuk maju, kita seharusnya menerima perubahan.

6. Kemajuan teknologi dalam bidang telekomunikasi telah memperkenalkan optik gentian (optic fibre) dan kabel optik gentian (optic fibre cable), yang akan dikeluarkan oleh syarikat OPCOM.

7. Dengan tertubuhnya syarikat ini, ianya sekaligus akan membawa Malaysia setapak lagi ke arah pencapaian status negara maju. Sungguhpun sistem kabel optik gentian mula digunakan bagi tujuan telekomunikasi di Malaysia sejak 1985, penggunaannya adalah secara terhad, dengan wujudnya hanya 182 laluan serta melibatkan perbelanjaan sebanyak M$70 juta ringgit hingga penghujung tahun 1991. Untuk jangkamasa tiga tahun akan datang 300 laluan sistem kabel optik gentian dijangka dilancarkan oleh Syarikat Telekom Malaysia Berhad yang menelan belanja antara M$100 juta ringgit hingga M$130 juta ringgit. Jika dibandingkan dengan jumlah jualan keluaran kabel optik gentian sedunia sebanyak berpuluh ribu juta ringgit, amat jelas sekali bahawa projek ini bukan sahaja akan membuka peluang untuk membekal keperluan negara, tetapi juga untuk pasaran dunia, khususnya rantau Asia yang mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan.

8. Oleh kerana ciri-cirinya yang unik seperti keupayaan pemancaran yang tinggi, tiada gangguan 'electromagnet' dan mempunyai sifat-sifat kimia dan mekanikal yang stabil, serta keupayaan untuk membawa 10,000 kali ganda saluran suara berbanding dengan kabel 'coaxial' biasa, kabel optik gentian diramalkan menjadi sebahagian besar rangkaian gelombang luas masa hadapan. Ada kemungkinan besar juga ia akan menggantikan penggunaan kabel komunikasi yang ada sekarang.

9. Justeru itu, penubuhan projek ini adalah tepat pada masanya kerana selain daripada mendatangkan faedah ekonomi seperti pelaburan modal dan membuka peluang pekerjaan, ianya akan memperkenalkan teknologi baru dan juga mendedahkan proses pengeluaran termoden kepada bidang-bidang industri lain di negara ini.

10. Sepertimana yang saya pernah nyatakan, salah satu cara untuk meningkatkan dan memperbaiki lagi daya saing sektor pembuatan Malaysia di pasaran antarabangsa ialah menitikberatkan pengeluaran barangan-barangan yang canggih dan mengandungi nilai ditambah yang tinggi. Dengan cara demikian, barang-barang keluaran tersebut akan dapat diintegrasikan dengan keperluan pasaran negara-negara maju.Hasrat ini akan hanya tercapai jika syarikat-syarikat pengeluar mempunyai komitmen untuk meneroka bidang-bidang seperti bahan-bahan termaju (advanced materials) dan teknologi maklumat (information technology). Kedua-duanya ada kaitan rapat dengan optik gentian.

11. Unsur-unsur 'synergy' ini akan mendorong lagi penubuhan projek-projek berteknologi tinggi dan berdaya maju. Oleh itu saya berharap para usahawan tempatan dapat mengkaji dengan lebih teliti bidang-bidang tersebut. Dalam hal ini Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan sewajarnya kepada permohonan-permohonan bagi penubuhan projek seumpama ini.

12. Saya mengucapkan 'selamat maju jaya' kepada Syarikat ini di dalam usahanya merintis bidang yang agak baru di negara ini. Saya yakin dengan usaha yang gigih dan semangat yang kuat, syarikat ini akan menempuh kejayaan di samping memperkenalkan teknologi dan proses pengeluaran kepada industri-industri lain yang berminat.

13. Dengan ini saya dengan sukacita merasmikan kilang Op- tical Communication Engineering Sdn. Bhd.

******

Kami menerima 7,452,845 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri