Yang Berhormat Dato' Sanusi Junid, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar; Yang Mulia Professor Di-Raja Ungku Abdul Aziz, Yang di-Pertua ANGKASA; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.
Assalamu'alaikum waharamatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah pada pagi ini dapat kita bersama-sama dalam satu perhimpunan raksaksa gerakan koperasi. Semenjak kebelakangan ini perhimpunan-perhimpunan yang mengandungi para perwakilan daripada koperasi-koperasi tanahair nampaknya telah menjadi perkara lazim. Adalah diharapkan bahawa keadaan yang kita perhatikan ini merupakan satu petanda yang benar dan nyata bahawa gerakan koperasi di Malaysia telah mencapai tahap yang membanggakan, di mana sesuatu upacara akan menambahkan lagi potensi dan imej gerakan ini serta mendapat sambutan daripada semua koperasi-koperasi sepertimana yang kita saksikan pada hari ini.
2. Saya juga diberitahu bahawa pengisytiharan 'Era Baru Koperasi' dan Pelancaran Institut Juruaudit Koperasi Malaysia dahulu telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Dari masa ke semasa kita sering mendengar perbualan-perbualan dan berbagai-bagai perbincangan mengenai gerakan koperasi. Kalau dahulunya kita selalu mendengar perkara-perkara negatif, mengecewa, menyedih dan mencemarkan nama baik gerakan koperasi, umpamanya, penyelewengan yang dilakukan oleh sebilangan orang yang terlibat di dalam pengurusan koperasi, koperasi gagal di dalam kegiatan-kegiatan perniagaan yang diusahakannya, koperasi berjalan tanpa mematuhi undang-undang dan perlembagaan, koperasi tidak bermesyuarat agung untuk beberapa tahun, masalah kira-kira perniagaan koperasi tidak pernah sampai ke pengetahuan ahli-ahli dan bermacam-macam perkara lagi, maka pada hari ini kita telah perhatikan sedikit sebanyak perubahan. Suara-suara lantang yang selalunya menceritakan keburukan itu dan ini dalam gerakan koperasi telah reda sedikit. Gara-gara koperasi tidak bermesyuarat dan buku akaun tidak bertulis nampaknya telah menjadi cerita lama. Alasan-alasan yang bunyinya munasabah pada masa dahulu dan karenah yang berlaku kepada koperasi-koperasi dahulu, kalau didengar lagi pada hari ini bunyinya sumbang dan tidak lagi boleh diterima. Inilah sedikit sebanyak peralihan yang dapat diperhatikan.
3. Saya berharap perubahan ini akan terus menjadi baik dan gerakan koperasi dapat bergerak sebagaimana gerakan koperasi patut bertindak di dalam sebuah negara yang sedang pesat membangun. Perubahan-perubahan ini berlaku sejak 'Era Baru Koperasi' diisytiharkan pada awal tahun 1982. Pada hemat saya bukannya tindakan-tindakan yang dilaksanakan yang telah mengubah sikap dan tingkah-laku pemimpin-pemimpin koperasi, tetapi semangat yang telah dapat disemai menerusi perkumpulan raksaksa yang berlangsung di Dewan ini pada 28hb. Januari 1982. Perubahan ini telah menghidup dan memupuk kembali semangat dan perpaduan ahli-ahli koperasi di seluruh negara untuk menjalankan kegiatan-kegitan koperasi menurut prinsip dan perlembagaan serta amalan-amalan lazim gerakan koperasi.
4. Mereka yang cuba menjalankan usaha-usaha di luar daripada peraturan dan menyalahi amalan-amalan biasa koperasi, akan berasa janggal dan terasa salah dirinya sendiri kerana semua ahli-ahli koperasi telah sedar cara mana dan ke arah mana koperasi patut ditadbir dan dikelolakan. Dengan demikian ahli-ahli koperasi pada hari ini telah dapat menggunakan masa untuk membincangkan rancangan-rancangan yang perlu dikendalikan sejajar dengan kemampuan koperasi serta disokong oleh kemudahan-kemudahan khidmat ekonomi dan perundingan yang ada. Mereka tidak lagi menumpukan banyak masa membincangkan masalah seperti penyalah-gunaan wang dan harta koperasi serta lain-lain perkara yang tidak sihat akibat tindak-tanduk beberapa orang yang tidak bertanggungjawab.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
5. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat telah mengenalpasti bahawa satu daripada sebab-sebab kemiskinan berlaku di kawasan luar bandar ialah pemilikan tanah yang terlalu kecil yang diusahakan sendiri oleh petani. Memandangkan kepada hakikat ini kajian telah mengesyorkan bahawa untuk mengatasi masalah kemiskinan di desa, petani dan nelayan hendaklah digabungkan dalam koperasi-koperasi yang akan mengusahakan bersama tanah-tanah yang telah dicantumkan. Tanah yang lebih luas ini akan mendatangkan hasil yang lebih baik kerana ia diurus dan diusahakan dengan cara yang lebih effisien.
6. Memandangkan bahawa terdapat ramainya petani dan nelayan, maka pertanian berkelompok ini tentulah memerlukan banyak koperasi. Sama ada cara baru ini berjalan dengan licin dan berjaya atau tidak, bergantung kepada perjalanan dan pentadbiran koperasi-koperasi yang akan ditubuhkan. Peranan gerakan koperasi tentulah akan meningkat dan ahli-ahli koperasi akan bertambah. Pendek kata gerakan koperasi sudah diberi tanggungjawab yang besar dalam usaha mengatasi kemiskinan di luar bandar.
7. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja akan berbangga dengan kepercayaan yang diberikan kepada gerakan koperasi tetapi juga akan menyediakan diri, berlatih dan menambah ahli dan bilangan koperasi supaya kepercayaan yang diberi kepada gerakan koperasi memang kena pada tempatnya. Di mana perlu, pengurus-pengurus yang professional yang dilatih khas patutlah diambil untuk mengurus kerja-kerja harian, sementara jawatankuasa dan ahli-ahli lain mengambil berat dan memerhati perjalanan koperasi-koperasi baru ini. Tidak ada sesuatu yang lebih penting dalam gerakan koperasi daripada amanah. Jika jawatankuasa dan pegawai atau kakitangan yang ditugaskan tidak beramanah, maka akan gagallah koperasi. Sementara kita percaya bahawa ramai daripada kita mempunyai amanah, kita tidak boleh biar peluang menggoda nafsu orang-orang yang terlibat. Oleh itu jawatankuasa dan ahli dan kakitangan mestilah menyemak secara jujur kerja-kerja yang dibuat oleh semua yang bergerak dalam koperasi. Hanya jika pengawasan dan penyeliaan yang jujur diadakan, barulah koperasi boleh berjalan dengan berkesan dalam usaha mencapai satu daripada matlamat Dasar Ekonomi Baru, iaitu membasmi kemiskinan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
8. Pada hari ini kita berkumpul untuk menyaksikan pelancaran rasmi Koperasi Pembangunan Negara Berhad. Koperasi Pembangunan Negara Berhad ini merupakan sebuah koperasi induk peringkat nasional yang akan menggabungkan semua koperasi-koperasi di negara dengan tujuan untuk menjalankan berbagai-bagai perusahaan dan perdagangan. Koperasi ini dapat ditubuhkan setelah wujudnya keadaan baik sebagaimana yang telah saya terangkan tadi. Sebagai sebuah Koperasi peringkat nasional yang bertujuan untuk menjalankan kegiatan-kegiatan secara besar-besaran, hasrat ini mungkin tidak tercapai jikalau koperasi-koperasi yang menjadi ahli kepadanya sentiasa berada di dalam kekecohan, sama ada kerana masalah mesyuarat agung tidak diadakan, atau masalah buku-buku akaun tidak bertulis dan sebagainya. Hanya dengan wujudnya keadaan yang baik dan dengan adanya kemahuan dan kesanggupan daripada koperasi-koperasi yang telah sedia berdaftar untuk membangunkan lagi gerakan koperasi ke tahap yang lebih kukuh, barulah boleh Koperasi induk ini menjalankan aktiviti-aktivitinya seperti yang dirancangkan.
9. Koperasi Pembangunan Negara Berhad ini akan bergerak sebagai sebuah badan pembangunan ekonomi. Ia akan menjalankan kegiatan-kegiatan membekal bahan-bahan binaan dan alat-alat jentera serta barang-barang gunaan, mengimport barang-barang yang diperlukan dan juga mengeksport barang-barang yang akan dikeluarkan oleh koperasi-koperasi di tanahair. Saya difahamkan bahawa Koperasi ini telahpun dapat mengumpul lebih daripada 150 buah koperasi sebagai ahli. Saya percaya dan berharap bahawa selepas pelancaran rasmi ini koperasi-koperasi yang layak menjadi ahli Koperasi Pembangunan Negara Berhad, tetapi belum lagi mendaftarkan diri, supaya tampil segera menjadi ahli. Hanya dengan perpaduan yang nyata dan tegas sahaja yang akan dapat membolehkan Koperasi Pembangunan Negara Berhad bergerak dan bertindak menjalankan kegiatan-kegiatannya selaras dengan tujuan dan konsep penubuhannya. Pihak kerajaan juga akan membantu dan memimpin Koperasi induk ini dengan lebih bererti lagi apabila gerakan koperasi itu sendiri dapat menunjukkan keyakinan mereka terhadap Koperasi Pembangunan Negara Berhad.
10. Saya yakin bahawa Koperasi Pembangunan Negara Berhad dapat bergerak dengan baik dan memainkan peranannya secara berkesan. Apa yang diperlukan oleh Koperasi ini, selain daripada keahlian yang cukup dengan sumbangan jumlah sahamnya yang berpatutan, ialah pengurusan yang cekap, berpengalaman, jujur dan beramanah dalam menjalankan sebuah organisasi perusahaan peringkat nasional yang mempunyai program urusniaga hingga ke peringkat antarabangsa.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
11. Koperasi Pembangunan Negara Berhad pada hari ini adalah di peringkat awal. Dengan kesungguhan ahli-ahli koperasi dan dengan adanya pimpinan dan penglibatan cerdik pandai, saya yakin Koperasi ini boleh menjadikan gerakan koperasi di Malaysia sebagai satu sektor ekonomi yang efektif dan memainkan peranannya secara tegas dan berkesan di dalam usaha pembangunan negara.
12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Koperasi Pembangunan Negara Berhad.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|