Saya mengucapkan terima kasih kepada Keris Motion Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran syarikat ini pada hari ini.
2. Usaha menggabungkan tenaga untuk membentuk satu konsortium penerbit-penerbit filem Melayu ini adalah satu langkah yang bijak dan kena pada masanya. Dalam konteks dunia yang pesat berkembang adalah penting para penerbit Melayu bersatu, menggabungkan fikiran, tenaga dan sumber untuk menjadi satu tenaga yang kuat. Malah, sudah sampai masanya bangsa Melayu, khususnya penerbit-penerbit filem, berdikari, bergerak maju dan berjaya dalam segala bidang, seiring dengan rakyat keturunan lain di Malaysia, serta bangsa-bangsa lain di seluruh dunia.
3. Pepatah Melayu banyak yang menekan akan pentingnya perpaduan atau penyatuan. Bersatu teguh, bercerai roboh, kata pepatah, lidi sebatang tidak ada gunanya, tetapi diikat menjadi penyapu ia bukan sahaja boleh menyapu bersih, tetapi kuat sehingga tidak mudah dipatah. Mungkin zaman ini kita tidak lagi guna penyapu lidi. Kita guna "vacuum cleaner" yang kita tidak buat sendiri, yang kita beli daripada orang lain. Dengan ini kita tidak tahu asas kekuatan "vacuum cleaner" dan kita juga tidak tahu kekuatan penyapu lidi.
4. Tetapi manusia yang bertamadun tidak perlu melihat penyapu lidi untuk memahami kekuatan yang datang daripada tenaga yang banyak yang disatukan. Manusia yang lemah sekalipun jika bersatupadu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.
5. Walaupun sudah ramai orang Melayu yang sudah berasa terselamat dan dengan itu tidak perlu lagi kepada perpaduan, tetapi sebenarnya mereka belum selamat. Bahkan kita harus ingat bahawa bangsa yang sudah kuat pun boleh tumbang apabila sudah tidak sepakat, sudah anggap diri sebagai warga dunia, suka cantas mencantas dan memutuskan ikatan sesama sekeluarga, sesama sebangsa.
6. Manusia tinggal bebas membuat apa sahaja mengikut kehendak hatinya. Manusia yang hidup dalam masyarakat perlu gugurkan sebahagian daripada kebebasan diri dan mengorbankan kepentingan diri untuk kepentingan masyarakat. Balasan dan hasil daripada pengorbanan ini ialah keselamatan bagi dirinya, bahkan kemajuan dan kekuatan yang diperolehi daripada perlindungan oleh suku-sakatnya.
7. Orang Melayu sedikit sebanyak faham akan kebijaksanaan perpaduan dalam politik. Tetapi dalam bidang perniagaan konsep berkorporasi atau konsep syarikat awam bukanlah konsep ciptaan kita. Sudah tentu kita baru sahaja kenal cara kerjasama antara syarikat-syarikat melalui konsortium. Justeru itu kita kerap tidak dapat menjayakan kerjasama secara ini. Namun demikian percubaan secara serius perlu dibuat kerana konsortium merupakan pendekatan yang baik bagi menjayakan jenis perniagaan dan perusahaan seperti yang dicadangkan untuk Keris Motion Sdn. Bhd.
8. Kita hidup di zaman maklumat dengan teknologi komunikasi yang serba canggih, serta berkembang dengan begitu pesat. Melalui sistem telekomunikasi canggih ini maklumat dan hiburan boleh disebar ke seluruh dunia. Hari ini yang menguasai kemudahan radio dan "direct T.V." untuk seluruh dunia ialah negara-negara maju di Barat Melalui berita, rencana radio dan T.V. dan gambar-gambar T.V., mereka boleh mempengaruhi fikiran kita sehingga kita keliru dan hilang pegangan kepada nilai hidup kita.
9. Hari ini kita masih dapat mengawal penerimaan siaran asing. Tetapi dengan kecanggihan teknologi yang meningkat sepanjang masa, lambat laun siaran-siaran dari Barat semakin sukar untuk dibendung. Setiap hari cara hidup yang bertentangan dengan budaya kita akan dibawa masuk ke rumah menerusi T.V. Apabila kita sudah didedah bertalu-talu sehingga kita tidak lagi berasa ganjil akan sesuatu, kita akan terimanya sebagai perkara biasa. Tidak lama selepas itu kita pun secara sedar atau tidak sedar akan mengamalkannya. Apabila kita sudah mengamalkan sesuatu cara hidup atau cara berfikir maka ia akan menjadi sebahagian daripada budaya kita. Demikianlah jika di zaman dahulu kita tidak sebut perkataan seperti "seks" umpamanya hari ini kita sebut dan kita siarkan rencana berkenaan dengan "seks" sebagai perkara biasa. Ini bukan daripada budaya kita tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita, hasil daripada pendedahan yang berpanjangan.
10. Justeru itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka yang berada dalam bidang media untuk memberikan alternatif kepada dakyah asing ini. Walaupun kita ingin maju dan berjaya dalam kegiatan ekonomi dan industri, kita tidak seharusnya berkompromi di dalam soal budaya dan nilai hidup. Memang ada unsur-unsur yang tidak sihat dalam budaya kita yang perlu kita kikis dan ganti dengan nilai-nilai asing yang sihat. Tetapi ada banyak nilai yang mulia dalam budaya kita yang harus kita kekalkan bahkan kita pupuk dan hidupkan.
11. Masyarakat media daripada pihak-pihak berkuasa yang mengendalikan stesen-stesen tv, daripada penerbit, para penulis, anak-anak seni dan orang iklan tidak harus melatah dan terkeliru dengan pengaruh asing. Saya difahamkan sekarang ini, penerbitan filem-filem iklan dibuat oleh anak-anak Malaysia sendiri. Adalah diharapkan anak-anak Malaysia yang membuat filem atau iklan akan berusaha membantu mengekal dan melahirkan nilai-nilai murni di kalangan rakyat Malaysia.
12. Memang benar tontonan yang lebih akan diperolehi jika kita pamerkan keganasan, seks, perkara-perkara yang kontroversial dan kecaman-kecaman terhadap pihak-pihak tertentu. Tetapi ini adalah cara mereka yang ketandusan ide, yang tidak cekap dalam pengolahan cerita atau penggunaan alat untuk melayan kehendak penonton. Mereka yang cekap tidak perlu bergantung kepada cara-cara yang berasaskan kepada nafsu manusia.
13. Justeru itu, semua pihak dalam media haruslah bersedia menguasai teknik-teknik penyampaian maklumat dan berita secara yang lebih sopan tetapi menarik. Semua pihak perlu memainkan peranan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab kepada masyarakat, kepada bangsa, agama dan negara.
14. Perkara-perkara ini menjadi lebih penting kerana tidak lama lagi siaran berita, rencana dan maklumat lain dari Malaysia akan dilihat oleh bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga rakyat di negara-negara lain.
15. Dengan terpancarnya stesen satelit kita,melalui MEASAT BROADCAST SERVICE, filem dan program T.V. kita akan dapat dilihat oleh 10 juta penonton di Malaysia, negara-negara ASEAN, India dan Australia. Adalah diharapkan peluang ini akan diisi dengan baiknya oleh penerbit-penerbit KERIS MOTION. Jalinan kerjasama yang baik dan sihat ini, diharap akan mendorong lebih banyak karyawan muda tampil ke hadapan menyumbangkan kreativiti mereka bagi mencapai hasrat murni kita. Kepada semua pihak yang yakin kepada konsep penyatuan ini sehingga berjaya melahirkan Konsortium Penerbit-penerbit Filem Melayu diucapkan selamat bekerjasama dan majujaya.
16. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Keris Motion Sdn. Bhd.
|