Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KECEMERLANGAN INDUSTRI
Lokasi : PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-12-1998
 
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana menjemput saya sekali lagi ke Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri ini. Anugerah ini merupakan penghargaan Kerajaan kepada sektor swasta yang telah mencapai kecemerlangan dalam keluaran dan perkhidmatan masing-masing.

2. Anugerah yang disampaikan pada petang ini adalah satu pengiktirafan Kerajaan dan sebagai galakan agar industri dapat terus meningkatkan keupayaan dan produktiviti mereka supaya mampu bersaing di pasaran global. Di samping itu, nilai-nilai ketahanan dalaman industri perlu diterapkan untuk membantu industri menghadapi cabaran daripada globalisasi perdagangan.

3. Ekonomi Malaysia pada tahun ini telah mengalami kemerosotan dengan kejatuhan KDNK pada kadar 2.8 peratus pada suku tahun pertama dan 6.8 peratus pada suku kedua. Permintaan aggregat turut mengalami kemerosotan. Sektor perkilangan, yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK, dianggar mengalami kejatuhan di dalam pengeluaran sebanyak 5.8 peratus pada tahun ini, berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 12.5 peratus pada tahun 1997.Adalah penting sektor ini digiatkan semula bagi menyumbang kepada perkembangan KDNK. Langkah-langkah sewajarnya perlu diambil oleh industri untuk mempertingkatkan prestasinya melalui peningkatan produktiviti, pengurangan kos pengeluaran dan penetapan harga yang kompetitif supaya penguasaan pasaran tidak tergugat, bahkan dapat diperluaskan.

4. Biasanya pendekatan defensif dengan cara pengurangan kos "across the board" sering diambil oleh kebanyakan industri untuk menangani situasi kemelesetan ini. Ini boleh merugikan dalam jangkamasa panjang kerana ianya tidak menggalakkan industri untuk bertindakbalas secara yang tepat ke atas perubahan- perubahan yang berlaku daripada krisis ini. Pendekatan jangkamasa panjang yang lebih menguntungkan yang harus diambil ialah dengan meningkatkan produktiviti, mengurangkan masa proses, menambahkan jumlah bahan yang diproses dan memastikan kualiti keluaran sentiasa terjamin. Dengan peningkatan kecekapan di dalam semua fungsi pengeluaran dan pemasaran, keluaran yang lebih kompetitif serta berkualiti akan dapat dipasarkan.

5. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah yang perlu dan sesuai untuk mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang semula kegiatan dan pertumbuhan ekonomi. Kesan positif daripada langkah-langkah tersebut telah mula dilihat. Kadar faedah telah diturunkan. Tekanan kecairan dalam sistem perbankan telah berkurangan. Sektor-sektor yang terjejas teruk akibat daripada krisis kewangan, seperti automotif dan pembinaan, telah dapat digerakkan semula. Pasaran saham telah mula menunjukkan aliran meningkat. Kerajaan yakin proses pemulihan ini akan dapat dikembang dan diperkukuhkan.

6. Di peringkat sekarang, adalah amat penting bagi industri mengambil sikap yang positif dan tindakan yang sesuai dan berkesan bagi menerajui proses pemulihan ini. Cepat atau lambatnya proses pemulihan ini bergantung kepada cepat atau lambatnya pihak swasta dan industri bertindak.

7. Untuk mengukuhkan lagi kedudukan imbangan pembayaran negara, segala langkah perlulah diambil untuk menjimat dan menambah pertukaran asing. Salah satu cara ialah dengan memberi perhatian kepada usaha-usaha mengurangkan import. Adalah diperhatikan bahawa negara masih bergantung kepada import untuk memenuhi sebahagian besar keperluan barangan modal dan pengantara. Berdasarkan statistik perdagangan luar, daripada jumlah import keseluruhan sebanyak RM173.6 bilion bagi tempoh Januari - September 1998, RM121.4 bilion atau 70 peratus merupakan barangan pengantara dan RM28.8 bilion atau 16.6 peratus barangan modal. Industri perlulah mengalihkan pergantungan kepada import yang berlebihan dan mengganti dengan keluaran tempatan yang setanding.

8. Industri perlulah memperlengkapkan diri untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi perdagangan. Proses tersebut akan terus berjalan dan akan terus diperjuangkan oleh negara-negara maju di berbagai-bagai peringkat dan forum. Perlindungan tarif hanyalah merupakan perlindungan sementara. Cara yang berkesan untuk menghadapi cabaran tersebut ialah dengan industri sendiri mengamalkan orientasi global, iaitu dengan menentukan bahawa barangan atau perkhidmatan yang disediakan menepati kehendak-kehendak antarabangsa daripada setiap segi, termasuk kualiti, harga dan ketepatan penghantaran.

9. Pengaruh dan kesan daripada proses globalisasi ini akan meresap ke segenap ruang aktiviti perdagangan, bukan hanya tertumpu kepada industri yang berorientasikan eksport. Bahkan bagi industri yang mengeluarkan barangan bagi kegunaan tempatan juga akan menghadapi persaingan luar, memandangkan proses pembukaan pasaran melibatkan penurunan atau penghapusan sekatan-sekatan tarif atau bukan tarif di pasaran tempatan, yang dahulunya digunakan untuk melindungi industri tempatan.

10. Pengeluar-pengeluar tempatan perlu mempertingkatkan usaha memperbaiki keupayaan dan kecekapan pengeluaran untuk melibatkan diri di dalam suasana persaingan yang terbuka ini. Sekiranya saiz operasi menjadi halangan untuk meningkatkan daya saing, industri perlulah mengambil langkah ke arah penggabungan, usahasama atau perkongsian pintar, untuk menguatkan ketahanan mereka di dalam arus persaingan ini.

11. Pengilang-pengilang Malaysia sememangnya telah mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Ini terbukti setelah beberapa buah syarikat kita berjaya meraih anugerah antarabangsa sebagai pengiktirafan hasil kerja mereka. Namun, syarikat-syarikat tempatan tidak harus berpuashati dengan pencapaian mereka sehingga kini. Mereka perlu lebih giat memperbaiki kaedah pengeluaran bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti keluaran supaya dapat terus menguasai dan memperluaskan pasaran.

12. Syarikat-syarikat Malaysia perlu lebih berusaha mempelbagaikan pasaran mereka bagi mengimbangi turun naik iklim perdagangan sesebuah negara atau kawasan. Berdasarkan maklumbalas peserta-peserta anugerah, usaha mempelbagaikan pasaran ini telah mula dilaksanakan. Beberapa syarikat telah berjaya menembusi pasaran- pasaran bukan tradisional di Afrika dan Amerika Selatan. Kejayaan ini adalah hasil daripada ketekunan pengusaha- pengusaha Malaysia meningkatkan kualiti dan menawarkan barangan yang berdaya saing di pasaran antarabangsa.

13. Kerajaan sememangnya sentiasa berusaha untuk membantu industri serta syarikat-syarikat tempatan melalui insentif cukai, bantuan kewangan dan sokongan institusi. Namun, pergantungan yang berlebihan kepada bantuan Kerajaan boleh mendatangkan kesan negatif. Bantuan-bantuan Kerajaan, umpamanya potongan berganda untuk eksport, tabung bantuan teknikal industri dan program vendor adalah hanya untuk sementara. Ianya bertujuan membantu syarikat di peringkat awal sahaja di mana keupayaan mereka terhad di ketika itu. Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah syarikat itu sendiri untuk terus berkembang atas daya usaha mereka, dan bukannya bergantung kepada bantuan Kerajaan semata-mata.

14. Salah satu unsur daya saingan yang ditekankan ialah produktiviti, khususnya faktor produktiviti keseluruhan ("total factor productivity" - TFP). TFP boleh dipertingkatkan melalui penyusunan semula dan pembaikan sistem pengurusan, peningkatan kemahiran dan kecekapan, pemakaian teknik-teknik pengurusan yang terbaik, perubahan organisasi, pengkhususan, pemilikan teknologi baru dan inovasi di dalam penggunaan teknologi sedia ada serta peningkatan di dalam penggunaan teknologi maklumat (I.T.).

15. I.T. semakin memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan persaingan antarabangsa. Industri perlulah membuat pelaburan yang secukupnya dalam I.T. supaya tidak ketinggalan dalam persaingan, termasuk melatih kakitangan dalam penggunaan I.T. Syarikat tempatan juga perlu memanfaatkan perkembangan I.T. dan komunikasi dalam meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang eksport. Kebolehan untuk merebut peluang perniagaan melalui teknologi merupakan faktor utama dalam memastikan daya saing Malaysia dapat terus dipertahankan. Kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) akan memberi sokongan kepada syarikat-syarikat Malaysia dalam penggunaan I.T. dalam berbagai-bagai aspek operasi mereka seperti pengeluaran, penyebaran maklumat, pemasaran dan perdagangan.

16. Di dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan sejajar dengan perkembangan teknologi, industri perlulah sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemampuan mereka terhadap bentuk-bentuk keluaran baru yang mempunyai nilai ditambah dan input kemahiran yang tinggi. Pelaburan di dalam teknologi perlu ditingkatkan bagi mencetuskan inovasi dalam industri dan memperkukuhkan asas teknologi negara.

17. Usaha-usaha ke arah pencapaian kecemerlangan perlulah sentiasa ditekan dan dilaksanakan kerana ukurannya akan terus meningkat pada tahap yang lebih tinggi dari semasa ke semasa. Dalam hubungan ini saya mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya pada tahun ini.





Kami menerima 7,459,685 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri