Yang Amat Berhormat Datuk Pairin Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah; Ahli-ahli Jawatankuasa PBS; Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Pairin dan Jawatankuasa PBS kerana menjemput saya berucap dan merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ini. Saya berharap Persidangan kali ini akan membawa PBS ke arah kekukuhan dan dengan itu akan mengukuhkan lagi Barisan Nasional. Sudah semestinya kita semua mengharapkan semua parti komponen BN semakin hari semakin kukuh supaya kita dapat mentadbirkan negara ini dengan penuh kewibawaan.
2. Inilah kali pertama saya hadir di upacara seperti ini untuk PBS. Dengan itu, saya ingin mengambil peluang ini untuk memberi pandangan-pandangan mengenai beberapa perkara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Sabah telah mencapai kemajuan dan pembangunan yang pesat semenjak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia. Dalam masa hanya kira-kira suku abad, rakyat Sabah telah menyaksikan satu tingkat pembangunan yang mengatasi kemajuan yang dicapai dalam tempoh lebih satu abad dijajah. Pembangunan fizikal seperti jalanraya, bekalan air dan elektrik, sekolah serta hospital dan klinik membuktikan tingkat pembangunan yang pesat itu. Pembangunan sosial seperti pendidikan dan kesihatan juga bertambah baik. Kemudahan- kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan kepada rakyat juga meningkat. Hasil-hasil pertanian dan perindustrian pada umumnya telah berkembang dengan pesatnya sekiranya dibandingkan dengan sebelum kemerdekaan.
4. Semenjak merdeka Sabah telah menikmati pembangunan yang pesat. Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah memerintah negeri ini walaupun parti komponen yang mengetuai Kerajaan sudah tiga kali bertukar. Satu lagi fenomena di Sabah ialah parti pembangkang juga adalah parti komponen BN. Keadaan ini jarang berlaku walaupun ianya tidaklah terlalu asing daripada amalan yang terdapat dalam BN. Kita memang fleksibal dan mengambil-kira keadaan setempat dan semasa. Walau bagaimanapun ini bukanlah satu amalan yang harus digalakkan. Kerjasama antara parti-parti komponen BN akan mengurangkan peluang parti-parti pembangkang mencelah. Dengan itu kestabilan dan kekukuhan Kerajaan tidak akan terdedah kepada berbagai ancaman. Namun demikian saya amat berbangga bahawa dalam keadaan ini pun Sabah dapat dibangunkan dengan pesat. Kerajaan Persekutuan tetap akan memberi perhatian kepada pembangunan Sabah dan menolong mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negeri Sabah, termasuklah masalah pendatang haram.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Salah satu unsur perpaduan negara ialah menjalinkan integrasi antara wilayah, terutama antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Unsur integrasi antara wilayah ini hendaklah dijadikan satu prioriti. Apabila kita menerimanya sebagai satu unsur yang penting dan utama, kita akan berusaha untuk mencapai objektif yang dirancangkan. Saya berpendapat Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara positif untuk menentukan integrasi nasional ini mencapai hasil sedikit demi sedikit, semoga fikiran dan pendirian kita tidak lagi terlalu tertakluk oleh perasaan kedaerahan. Saya yakin integrasi akan membawa kebahagiaan bukan sahaja kepada rakyat Sabah tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.
6. Kerajaan Persekutuan berpuas hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak, dalam usaha mengintegrasikan rakyat Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, kita telah secara beransur-ansur menyatukan sistem pelajaran di Sabah dan Sarawak dengan sistem pelajaran kebangsaan. Usaha ini termasuklah penggunaan satu kurikulum yang seragam di sekolah-sekolah. Masa standard telah diseragamkan, dan untuk tujuan ini masa standard Sabah dan Sarawak telah digunakan sebagai masa standard seluruh Malaysia.
7. Setakat ini kejayaan yang dicapai dalam pengangkutan udara dan laut antara negeri boleh dianggap memuaskan. Kerajaan telah juga berjaya meningkatkan perkhidmatan radio, televisyen, telekomunikasi dan perkhidmatan pos supaya perpisahan fizikal antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak tidak terasa sangat. Dengan peningkatan sistem pengangkutan laut dan udara serta perhubungan yang lebih baik, kita telah dapat menambahkan lagi hubungan ekonomi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Berbagai- bagai langkah lain juga telah dilaksanakan bagi menjayakan cita-cita integrasi kita.
8. Ini tidak bermakna Kerajaan sudah puashati sehingga kita tidak perlu berikhtiar lagi. Kita akan terus berusaha supaya integrasi ini semakin hari semakin kuat dan erat. Sementara itu, Kerajaan berharap usaha ke arah integrasi tidaklah terhad kepada Kerajaan-Kerajaan sahaja, tetapi melibatkan semua lapisan rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Menyentuh tentang perkembangan dalam parti-parti komponen Barisan Nasional, pernah saya katakan baru-baru ini bahawa pada sesuatu masa, akan terdapat satu-dua parti komponen yang menghadapi masalah dalaman. Walaupun begitu, Barisan Nasional yang mempunyai lebih daripada 10 buah parti komponen pada umumnya adalah kukuh, oleh kerana pada sesuatu masa itu juga, parti-parti komponen yang lain berada dalam keadaan yang kukuh dan stabil.
10. Telah dibuktikan bahawa masa dan kepimpinan yang kukuh dalam satu-satu parti komponen akhirnya dapat mengatasi masalah dalaman yang dihadapi. UMNO juga telah beberapa kali menghadapi masalah dalaman, tetapi kerana wujudnya kesabaran, kesederhanaan dan sikap tolak-ansur oleh semua pihak, akhirnya masalah-masalah yang dihadapi dapat diatasi. Kita harus mempunyai fikiran terbuka untuk menghadapi sebarang masalah parti yang timbul dari masa ke masa.
11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengulangi kenyataan saya di Sarawak baru-baru ini mengenai usaha merebut kuasa secara luar dari perlembagaan. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pandangan ini adalah untuk seluruh negara, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan atau di peringkat Kerajaan Negeri. Kerajaan adalah fleksibel dan liberal tetapi jika sesuatu kegiatan itu terkeluar daripada lunas-lunas yang ditentukan atau kegiatan tersebut menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara, tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh Kerajaan. Dalam demokrasi kita sudah ada peruntukan yang cukup dan sah untuk kita bertanding bagi mendapatkan sokongan rakyat dan mendirikan Kerajaan. Kita tidak perlu kepada cara-cara yang tidak diizinkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Negara kita memerlukan perpaduan yang kukuh untuk terus maju dan mencapai pembangunan yang lebih pesat lagi. Negara kita pernah mengalami pembangunan ekonomi yang pesat dan pernah juga mengalami kemelesetan. Pada masa ini kita sedang mengalami perkembangan ekonomi yang sangat membanggakan. Seperti yang kita semua maklum, prestasi ekonomi mempunyai hubungan yang rapat dengan kestabilan politik. Tidak terdapat sebuah negara pun yang dapat membangun dengan baik sekiranya terdapat keadaan kacau bilau dan pertelingkahan sesama sendiri.
13. Justeru itu, semua institusi dan setiap lapisan rakyat hendaklah memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik tidak terganggu. Walaupun kita harus berpolitik, tetapi politik kita hendaklah bertujuan membawa kebahagiaan kepada rakyat dan negara. Kuasa politik bukanlah untuk memenuhi ambition atau cita-cita besar diri sendiri. Kuasa politik bukan matlamat terakhir tetapi ianya adalah saluran atau 'means' untuk mencapai pembangunan negara. Masalahnya ialah sesetengah pihak hanya mahukan kuasa kerana ghairah dengan kuasa dan penggunaannya untuk kepentingan diri sendiri. Jika ini berlaku maka negara akan melalui zaman yang gelap.Sebab itulah kita mengamalkan sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat menentukan siapa yang akan memerintah.
14. Sudah tentu sesiapa yang membelakangkan kepentingan rakyat tidak mungkin kekal dengan kuasa yang dianugerah oleh rakyat. Tetapi kita juga harus ingat bahawa di Malaysia, oleh kerana rakyat terdiri daripada berbagai kaum maka tidak mudah bagi Kerajaan yang dipilih menjadi popular dengan semua pihak. Sebaliknya jika kita ingin popular dengan satu pihak sahaja, kita tidak akan dapat sokongan yang mencukupi. Inilah dilema kita di Malaysia. Tetapi inilah juga yang menyebabkan BN berjaya di Malaysia. BN mempunyai formula yang memberi tempat dan layanan kepada semua kaum tetapi tidak secara keterlaluan. Dalam BN, yang menang tidak boleh mengambil semuanya dan yang kalah tidak akan hilang semuanya. Dalam keadaan masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia ini, inilah sahaja cara yang sesuai dan mampu kita amalkan. Jika kita tidak sanggup membahagi- bahagikan kuasa yang kita perolehi maka sokongan terhadap BN akan menjadi lemah. Demikianlah berkesannya cara dan amalan BN ini sehingga PAS dan DAP cuba meniru dan mengamalkannya. Tetapi mereka tidak mungkin berjaya kerana tidak ada kejujuran dalam kerjasama mereka. Mereka hanya ingin mengabui para pengundi untuk memenangi pilihanraya. Sokongan DAP kepada negara Islam PAS, dan sokongan PAS kepada Malaysian Malaysia DAP adalah untuk pilihanraya sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PBS kerana menjemput saya berucap dan merasmikan Persidangan ini. Saya berharap Persidangan ini akan dapat menghasilkan resolusi-resolusi yang membawa manfaat kepada parti dan juga kepada BN. Adalah diharapkan PBS akan bertambah kukuh dan meningkatkan sumbangannya kepada keutuhan dan keteguhan BN.
16. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ini.
*******
|