Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERASMIAN "KUALA LUMPUR POETRY READING
Lokasi : AUDITORIUM DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
Tarikh : 25-11-1988
 
Tuan Haji Jumaat Dato' Mohd. Noor, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka; Saudara Anwar Ridhwan, Pengerusi Kuala Lumpur Poetry Reading '88; Dif-dif Kehormat; Para Penyair; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur "Kuala Lumpur Poetry Reading'88" kerana menjemput saya untuk merasmikan acara ini. Saya percaya majlis pengucapan puisi ini akan merapatkan lagi hubungan antara para penyair dan para sasterawan.

2. Kepada para penyair luar negeri sekalian, saya mengucapkan 'selamat datang' dan selamat mengenali masyarakat dan kebudayaan Malaysia yang unik ini. Di Malaysia, peranan pengarang amatlah besar pengaruhnya dalam masyarakat. Semenjak zaman dahulu, para pengarang merupakan orang yang mempunyai kemahiran seni bercerita di samping menasihati para pendengar atau pembaca karya-karyanya. Mereka ini berada di setiap peringkat kehidupan masyarakat -- dari istana sehinggalah di tengah-tengah masyarakat petani.

3. Dari sastera Melayu tradisional sudah terdapat lebih seribu judul manuskrip tentang sastera, perubatan, pentadbiran dan sebagainya. Sebilangan manuskrip lama ini belum dikaji secara terperinci sehingga sekarang. Jumlah tersebut menggambarkan bahawa sastera Melayu mempunyai tradisi yang sama atau lebih kuat daripada tradisi sastera beberapa negara Timur dan Barat.

4. Pada awal kurun ini, apabila naskah-naskah bercetak menjadi lebih popular dan tersebar luas, penulis-penulis Malaysia terus memainkan peranan penting untuk memajukan ekonomi, pendidikan dan pencapaian kemerdekaan politik daripada penjajah Inggeris. Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 turut diperjuangkan oleh penulis-penulis Malaysia.

5. Menyedari tentang sumbangan mereka, di samping kesedaran bahawa bahasa dan sastera Melayu harus dipertingkatkan penggunaan dan mutunya, Kerajaan Malaysia telah mendirikan sebuah institusi khas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan ini, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. Semenjak penubuhannya pada tahun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka telah dan sedang memainkan peranan yang besar untuk memajukan bahasa dan sastera kebangsaan. Saya turut gembira bahawa pada kali ini Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan "Kuala Lumpur Poetry Reading'88" ini dengan kerjasama berbagai-bagai pihak. Ini membuktikan kemantapan bahasa dan sastera kebangsaan dan mengajak masyarakat antarabangsa turut memahami dan menelitinya.

7. Saya difahamkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka sedang memperhebatkan usaha menterjemahkan karya sastera Melayu ke bahasa-bahasa asing. Ini adalah langkah yang positif, yang boleh memperkenalkan pengucapan sasterawan Malaysia kepada khalayak sastera di peringkat antarabangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8. Terdahulu daripada ini saya telah menyebutkan bahawa pengarang-pengarang Melayu melalui kemahiran seninya sering komited terhadap masyarakatnya. Hal ini terjadi semenjak zaman tradisi sehinggalah ke zaman moden ini.

9. Pokok-pokok perjuangan para pengarang yang komited ini antara lain ialah bagi membina masyarakat yang sihat, adil dan aman sejahtera. Tuan-tuan dan puan-puan sebagai para penyair yang berpengalaman luas tentulah menyedari bahawa pokok-pokok perjuangan itu telah digerakkan juga oleh para penyair dunia semenjak beberapa kurun yang lalu.

10. Sensitiviti kami terhadap pokok-pokok perjuangan itu telah mendorong Kerajaan mengambil langkah-langkah yang positif demi kesihatan, keadilan dan keamanan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Kerajaan sering bersuara lantang terhadap penyalahgunaan dadah, sama ada di forum nasional mahupun antarabangsa. Hukuman terhadap mereka yang berurusniaga dan menyalahgunakan dadah juga amat keras. Sungguhpun ada beberapa penentangan di peringkat antarabangsa, ini tidak melemahkan Kerajaan kerana keyakinan bahawa penerusan perjuangan sesebuah masyarakat dan peradaban dunia hanya boleh disandarkan kepada anggota masyarakat yang sihat dan bertanggungjawab.

11. Kerajaan juga sering menyuarakan betapa pentingnya perlucutan semua senjata, terutamanya perlucutan senjata nuklear dalam forum-forum peringkat Komanwel dan negara-negara berkecuali. Bukanlah impian para penyair sahaja untuk melihat sebuah dunia yang aman tenteram di mana para penduduk dunia mempunyai rumah, makanan dan pakaian yang mencukupi serta pendidikan yang tinggi.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

12. Baru-baru ini, Malaysia telah berjaya menduduki kerusi Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu. Kesempatan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh Malaysia untuk menyedarkan pemimpin negara-negara besar, puak-puak yang bertelingkah dan masyarakat dunia amnya tentang perlunya keamanan dunia ini dipelihara. Dalam hubungan ini, saya ingin mengutip serangkap puisi oleh Sdr. Usman Awang, penyair Malaysia yang terkenal: Anakku dan anak-anak semua jangan dilukai hati mereka dengan senjata biar di wajah dan hatinya cinta berbunga dunia yang damai, hidup yang sejahtera.

13. Oleh yang demikian, sama ada anda datang dari Moscow atau Ibadan, dari Tokyo atau Kuala Lumpur, dari Sydney atau Belgrade, marilah kita bersama-sama memperjuangkan cita-cita kemanusiaan yang tinggi dan murni demi kelangsungan peradaban dunia dan keselamatan penduduk dunia seluruhnya.

14. Saya gembira bahawa pada malam ini saya berada di tengah-tengah penyair dunia yang ternama, yang mempunyai cita-cita kemanusiaan yang unggul. Sementara Malaysia berjuang melalui saluran rasmi dan forum Bangsa-bangsa Bersatu, saya menyeru para penyair sekalian meneruskan perjuangan murni masing-masing melalui penulisan. Mudah-mudahan abad ini dan abad-abad yang akan datang akan menyaksikan hasil yang manis daripada percantuman perjuangan kita.

15. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan "Kuala Lumpur Poetry Reading '88" ini.



Kami menerima 7,363,175 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri