Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada hadirin semua. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) kerana kesudiannya menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan perhimpunan agung PBB ini.
2. Setiap kali PBB mengadakan perhimpunannya saya telah hampir tidak ketinggalan dijemput bersama dan ini amatlah saya hargai kerana ia merupakan satu kehormatan kepada saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan membawa erti yang besar yang parti-parti komponen Barisan Nasional bergerak dalam perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
3. Negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang' telah membangun dengan begitu pesat terutama dalam tempoh satu dekad yang lalu. Kemajuan yang dicapainya adalah mengkagumkan jika dilihat kepada saiz negeri Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia. Malahan adalah sukar untuk mempercayai bagaimana Sarawak dapat membangun dengan pesat kawasannya yang sebegitu luas di samping terpaksa pula menghadapi banyak faktor penghalang seperti masalah pengangkutan, keadaan alamnya yang mencabar serta bilangan penduduknya yang kecil dan terpencil. Tetapi itulah kenyataan. Sarawak dapat membangun dengan sempurna walaupun terdapat halangan-halangan seperti yang disebutkan tadi.
4. Pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang dapat dilaksanakan mengikut rancangan, sementara kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan eletrik dan air, klinik dan sekolah sudah pun banyak dinikmati oleh penduduk negeri ini. Program-program ekonomi seperti perindustrian, perhutanan, pelancongan dan pertanian turut dijalankan dan terus dipertingkatkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negeri ini dan menaikkan lagi taraf hidup penduduk Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
5. Kemajuan yang dicapai oleh Sarawak selama ini ternyata adalah hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh oleh Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional Sarawak dan ditunjangi oleh PBB, untuk membawa rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran. Kemajuan ini juga adalah hasil daripada adanya semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak untuk membangunkan penduduk negeri ini supaya tidak ketinggalan untuk turut sama menikmati hasil-hasil pembangunan selepas kemerdekaan negara.
6. Semangat setiakawan dan muafakat yang menjadi amalan parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak, iaitu PBB, SUPP dan SNAP selama ini telah memudahkan usaha-usaha pembangunan di negeri ini dilaksanakan oleh Kerajaan dengan licin dan lancar tanpa bimbang akan diganggu-gugat oleh tekanan-tekanan politik atau pertelingkahan oleh mana-mana pihak.
7. Amalan perkongsian kuasa yang menjadi pegangan Barisan Nasional sejak waktu Perikatan lagi, iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan, telah terus menjamin kestabilan politik negara ini dan membolehkan penduduk berbilang kaum mendapat layanan yang adil dan saksama dalam semua bidang, baik ekonomi, sosial, budaya mahupun politik. Pendekatan ini telah dapat mengelakkan daripada tercetusnya persengketaan di antara kaum dalam menghadapi isu-isu yang menyentuh soal untung nasib dan masa depan kaum masing- masing. Ini ialah kerana semua masalah dapat diselesaikan secara rasional melalui rundingan dalam parti. Pertentangan secara terbuka atau melulu bagi mengatasi sesuatu masalah bukanlah cara atau budaya Barisan Nasional. Public debate tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah atau mencapai apa-apa hasil kerana cara ini sering menyebabkan perasaan yang tidak dapat dikawal. Amalan tradisi perkongsian kuasa ini hendaklah dikekalkan agar politik negara terus stabil dan rakyat dapat hidup aman dan selamat.
8. Hasil daripada kestabilan negara ini, usaha-usaha membangunkan negara telah dapat dijalankan dengan sempurna dan lancar. Dengan itu juga rakyat berbilang kaum dapat mengecapi nikmat yang banyak yang tidak mungkin dihasilkan jika perebutan berlaku sehingga menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.
9. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, baik dari dalam negeri mahupun dari luar, yang cuba hendak menggugat kestabilan politik dan keamanan negara kita. Sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan ramai pihak yang mula cemburu terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh negara seperti di bidang ekonomi, terutamanya dalam perindustrian, serta perjuangan kita dalam hal-hal perdagangan, alam sekitar, hak asasi manusia, demokrasi dan kepentingan negara-negara Selatan di forum-forum antarabangsa.
10. Berbagai-bagai usaha dibuat oleh pihak-pihak seperti badan-badan bukan Kerajaan, gabungan-gabungan kesatuan sekerja antarabangsa dan pertubuhan tempatan dan asing, untuk merosakkan nama baik Malaysia dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita. Isu-isu seperti hak asasi manusia, kebebasan mengambil tindakan perusahaan, soal alam sekitar, pembalakan, demokrasi dan kaum Penan telah dijadikan asas untuk menentang Malaysia. Pihak-pihak ini cuba mempengaruhi negara-negara yang berkawan baik dengan kita supaya menjauhi Malaysia dan yang mempunyai hubungan perdagangan dengan kita supaya jangan membeli barangan eksport kita. Tujuan mereka ialah untuk meletak kita di bawah telunjuk jari mereka.
11. Malah usaha Malaysia untuk menubuhkan EAEC atau Perundingan Ekonomi Asia Timur demi kepentingan ekonomi dan perdagangan penduduk di rantau ini mendapat tentangan pihak tertentu. Ini semua adalah bukti cubaan-cubaan yang sedang dibuat untuk tidak mahu melihat Malaysia berjaya menjadi sebuah negara maju dengan rakyat menikmati taraf hidup yang setanding dengan mereka.
12. Kita berasa bersyukur melihat Sarawak berada dalam keadaan aman dan dapat membangun dengan pesat walaupun terdapat sedikit-sebanyak halangan terhadap usaha-usahanya itu. Kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil daripada dasar "politik pembangunan" atau "politics of development" yang menjadi pegangan dan perjuangan Barisan Nasional Sarawak selama ini. Dasar itu yang menjadi asas kekuatan politik kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah terbukti berkesan dan berjaya dalam membawa kemajuan dan kemakmuran kepada penduduk Sarawak.
13. Keadaan ini haruslah dipelihara oleh penduduk Sarawak agar mereka dapat menikmati pembangunan yang berterusan.Sebaliknya negeri yang tidak menerima konsep kerjasama dan berkongsi nikmat, tetapi mengutamakan kepentingan satu kaum sahaja, akhirnya tidak akan mendapat apa-apa. Dengan terganggunya pembangunan, kaum yang ingin merebut semua bagi diri mereka sahaja tidak akan mendapat lebih daripada bahagian mereka. Tetapi ini tidak mungkin berlaku jika mereka sanggup berkongsi.
14. Ada anggapan yang mengatakan bahawa Sarawak ketinggalan kira-kira 10 tahun jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung daripada segi pembangunannya. Negeri ini dikatakan tidak akan dapat mengejar atau tidak boleh setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung kerana jika mereka bergerak selangkah Sarawak akan hanya dapat mengekori selangkah dari belakang dan jika mereka bergerak 30 tahun ke hadapan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, Sarawak tidak akan terdaya mengejar sejauh 30 tahun itu.Jika begini keadaannya sampai bila pun Sarawak tidak akan setaraf dengan rakan-rakan negerinya yang lain. Anggapan ini mungkin benar jika ia mengambil kira yang Sarawak menyertai Malaysia agak lambat sedikit. Tetapi ia juga mungkin tidak benar jika ia mengambil realiti negeri itu sekarang.
15. Sesiapa pun tidak boleh menafikan yang Sarawak sudah membangun dengan lebih pesat dalam bidang-bidang tertentu.Seseorang yang pernah datang ke negeri ini 10 tahun lalu jika ia datang semula hari ini sudah pasti akan terkejut dengan kemajuan yang dicapai oleh Sarawak, bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi juga dalam semua bidang.Malahan dalam beberapa aspek tertentu negeri ini adalah lebih maju berbanding dengan sesetengah negeri di Semenanjung seperti dalam industri pelancongan, perhutanan dan industri petro-kimia. Pembangunan berlaku di segenap pelusuk Sarawak termasuk di pedalaman. Malahan masyarakat Penan yang tidak dihasut supaya menolak pembaharuan, sudah mencapai pembangunan yang tidak berbeza dengan kaum-kaum lain.
16. Oleh itu, anggapan yang mengatakan bahawa Sarawak akan tetap ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain menjelang tahun 2020 adalah salah. Saya percaya penduduk negeri ini mempunyai keupayaan dan sumber kekayaan yang diperlukan untuk mengejar negeri-negeri di Semenanjung dan mengambil bahagian dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.Malah saya yakin Sarawak boleh mendahului negeri-negeri lain jika rakyat negeri ini berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri. Tanda-tanda awal sudah pun ada. Setiap tahun sejak beberapa tahun lalu, Sarawak terus membelanjakan lebih $1,000 juta untuk membangunkan negeri ini dan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.
17. Saya sendiri pernah melawat ke beberapa tempat di negeri ini seperti di Bahagian Miri, Limbang, Bintulu dan banyak tempat lain dan melihat sendiri rancangan dan projek pembangunan yang dijalankan. Ternyata kerajaan negeri memberikan tumpuan yang sama rata dalam melaksanakan program-program pembangunannya dan tidak ada pilih kasih terhadap mana-mana kawasan atau mana-mana kaum. Orang-orang Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lebih 20 kaum lain yang ada di Sarawak diberi perhatian dan peluang yang sama oleh kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk menikmati kekayaan sumber negeri ini.
18. Yang boleh menghalang pembangunan dan pembahagian kekayaan secara sama rata ialah perkembangan pendapat yang disemai oleh orang asing bahawa kehidupan tradisional dalam hutan lebih baik daripada kehidupan secara moden. Mereka ingin melihat Sarawak kekal di zaman batu supaya kaum-kaum di Sarawak dapat dijadikan sebagai "museum pieces" dari zaman purba yang boleh dikaji untuk tesis antropologi.Sudah tentu jika rakyat Sarawak kekal dalam keadaan ini, Sarawak akan terus ketinggalan dan tidak akan dapat membantu Malaysia mencapai taraf negara maju yang boleh bersaing dengan negara-negara Barat. Justeru itu, rakyat Sarawak harus menolak dakyah orang asing bahawa kononnya hidup ala zaman batu adalah lebih bahagia dari kehidupan moden. Orang Sarawak yang menyokong pendapat orang asing ini adalah mengkhianati kaum dan bangsanya sendiri.
19. Di samping kita meningkatkan hubungan di antara kaum di Sarawak ini, usaha-usaha hendaklah juga terus dibuat untuk merapatkan lagi tali silaturrahim antara penduduk negeri ini dengan penduduk Semenanjung. Integrasi nasional antara dua wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan ini adalah penting demi kemajuan rakyat dan keutuhan negara. Laut yang luas yang terbentang di antara kita tidak harus dijadikan pemisah. Jambatan-jambatan penghubung kasih antara kedua- dua penduduk hendaklah terus dibina dan yang sudah ada diperkukuhkan lagi. Dengan cara ini perasaan bahawa penduduk Sarawak dipisahkan daripada Semenanjung dapat dihapuskan.
20. Kejayaan peniaga-peniaga Sarawak mengambilalih perniagaan-perniagaan yang berpusat di Kuala Lumpur tidak harus dianggap sebagai luar-biasa. Peniaga Sarawak sama berhak dengan rakyat Malaysia yang lain untuk menguasai kegiatan ekonomi di peringkat nasional kerana mereka juga orang Malaysia dengan mempunyai hak yang sama. Walaupun Sarawak masih melindungi penduduknya, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak terjejas sedikit pun. Pengalaman menunjukkan bahawa peniaga dan pengusaha Sarawak cukup mampu untuk bersaing dengan peniaga dari tempat-tempat lain di Malaysia. Ini jelas terbukti dalam bidang-bidang perhotelan, pesuratkhabaran dan perusahaan.
21. Saya juga gembira melihat hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat begitu baik, mesra dan terus kukuh. Keadaan ini adalah baik untuk penduduk Sarawak kerana melalui hubungan yang akrab ini segala rancangan dan projek Kerajaan Persekutuan bagi manfaat rakyat Sarawak akan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa gangguan seperti yang dilihat di Kelantan baru-baru ini.
22. Kerenggangan perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri tidak akan membawa manfaat kepada sesiapa. Memang tidak dinafikan bahawa ada kalanya timbul rasa tidak puashati atau tidak sependapat di antara kedua- dua pihak mengenai perkara-perkara tertentu. Tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh diselesaikan dengan baik atau diatasi secara perundingan. Pemerintahan oleh parti yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri lebih memudahkan penyelesaian.
23. Kejayaan dan kemajuan Sarawak hari ini adalah hasil daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional Negeri yang sentiasa mengutamakan nasib rakyat. Parti-parti komponen di dalamnya meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan parti sendiri. Ini telah menyebabkan harapan dan kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan kewibawaan Barisan Nasional dalam memperjuangkan nasib mereka menjadi begitu tinggi.
24. Justeru itu, saya menyeru parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak supaya terus berusaha mengekal dan meningkatkan lagi hubungan baik di antara satu sama lain.Perpaduan yang erat di antara parti-parti komponen ini akan menjamin Kerajaan Barisan Nasional dapat terus membawa nikmat pembangunan kepada rakyat. Inilah amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kita.
25. Saya percaya PBB dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan negeri ini. Saya juga yakin PBB dengan anggota yang ramai dan jentera politik yang mantap di seluruh pelusuk Sarawak, mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Dengan keazaman yang tinggi dan cita-cita yang murni, anggota-anggota PBB boleh membawa Sarawak menjadi negeri yang maju dan dengan itu membantu pencapaian matlamat Wawasan 2020. Saya berkeyakinan penuh PBB dapat memenuhi tanggungjawab ini terutama di bawah kepimpinan Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
26. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Sarawak kali ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
******
|