Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERASMIAN PAMERAN DRAF RANCANGAN STRUKTUR LANGKAWI
Lokasi : LANGKAWI
Tarikh : 05-01-1991
 
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Dato Seri Osman Arof, Menteri Besar Kedah; Yang Berhormat Datuk Daim Zainuddin, Menteri Kewangan; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Kita bersyukur kerana dapat bersama-sama menyaksikan satu pameran yang akan membawa rakyat dan kerajaan bersemuka bagi menyatukan idea dan ilham untuk menentukan pembangunan masa depan Langkawi. Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah, Majlis Daerah Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Jabatan-jabatan Kerajaan lain yang telah menjayakan perjumpaan kita pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Kemajuan dan kemakmuran negara terletak di tangan kita semua. Terpulanglah kepada kita untuk mengatur, merancang dan melaksanakannya dengan sebaik yang mungkin ke arah ini. Negara kita mempunyai bumi yang subur untuk pertanian, dan kaya dengan hasil bumi. Negara kita juga mempunyai alam semulajadi yang indah yang terdiri daripada pantai-pantai yang permai dan hutan-hutan yang belum tercemar. Pemberian Tuhan ini jika digunakan dengan bijaksana bukan sahaja akan membawa kepada kehidupan yang makmur dan bahagia, tetapi juga dapat mengekalkan alam persekitaran semulajadi yang sedia wujud.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Pengalaman masa lalu menunjukkan bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada satu sektor ekonomi sahaja. Oleh itu, kerajaan telah mengenengahkan pelancongan sebagai salah satu sektor yang boleh memberi sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Strategi ini telah menunjukkan kesan yang menggalakkan. Tahun Melawat Malaysia 1990 telah berjaya menarik 60% lebih ramai pelancong ke negara ini dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Pendapatan negara daripada tukaran wang asing juga turut meningkat melalui perbelanjaan pelancong-pelancong asing. Di masa yang sama pelancong-pelancong tempatan yang juga meningkat, menolong pembangunan industri dan perniagaan yang mengiringi kegiatan pelancongan seperti kraftangan, kenderaan, kedai dan gerai makanan, rekreasi dan lain-lain. Perkembangan ini haruslah dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

4. Kita haruslah mengambil peluang daripada pembangunan sektor pelancongan untuk meraih pendapatan bagi melengkapkan Malaysia dengan kemudahan-kemudahan yang mencukupi dan selesa. Dengan cara ini, Malaysia akan dikunjungi oleh pelancong-pelancong bukan sahaja untuk kali kedua tetapi juga kali ketiga dan seterusnya. Untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pelancongan ini, pihak kerajaan dan swasta perlulah terus bekerjasama supaya ianya dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik dan teratur. Pihak swasta telah menunjukkan minat dan keyakinan terhadap sektor pelancongan. Kini terdapat projek-projek pelancongan swasta yang bernilai beratus-ratus juta ringgit. Pelaburan ini memberi faedah kepada semua pihak, daripada buruh kasar sehinggalah kepada pengurus hotel, selain daripada pelabur itu sendiri. Pendek kata seluruh rakyat, di mana juga mereka berada, akan mendapat nikmat daripada pelaburan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Langkawi memang terkenal semenjak dahulu lagi sebagai gugusan kepulauan yang bersejarah dan penuh legenda. Faktor sejarah dan legenda ini, ditambah pula dengan keindahan alam semulajadinya, menjadikan Langkawi kepulauan yang istimewa. Tetapi hanya dengan legenda dan keindahan sahaja tidak akan membawa apa-apa hasil kepada penduduk Langkawi dan kepada negara. Emas dalam bumipun tidak akan mendatangkan kekayaan sehinggalah ia digali dan dipasarkan. Demikian jugalah dengan Langkawi dengan legenda dan keindahannya.

6. Menyedari hakikat ini dan menyedari juga bahawa Langkawi ketinggalan daripada segi pembangunan berbanding dengan tanah besar, maka kerajaan telah membentuk satu pendekatan yang istimewa supaya Langkawi dapat dibangunkan secara yang lebih cepat dan menguntungkan penduduk Langkawi sendiri. Pendekatan yang dipilih ialah dengan menjadikan Langkawi kawasan bebas cukai, iaitu untuk menurunkan harga barang-barang bukan semata-mata bagi pelancong tetapi juga bagi penduduk Langkawi sendiri.

7. Harapan kerajaan ialah supaya pelabur tertarik dengan penurunan kos pembangunan di Langkawi dan pelancong pula tertarik kerana tempat penginapan dan harga barang-barang di Langkawi adalah rendah. Malangnya harapan kerajaan tidak menjadi kenyataan kerana kos tanah melambung naik dan harga barang-barang juga meningkat kerana peniaga membolot semua penurunan cukai untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan. Sebenarnya harga jualan di Langkawi jauh lebih tinggi daripada harga di tanah besar. Soalan yang timbul adalah apa perlunya taraf bebas cukai diberi kepada Langkawi? Tidakkah memadai dengan hanya legenda dan keindahan alam untuk menarik pelancong dan membangunkan Langkawi? Harus diingat bahawa pembebasan cukai bermakna pembangunan Langkawi dibiayai oleh orang-orang yang membayar cukai di tempat-tempat lain di Malaysia.

8. Saya sebut perkara ini bukan kerana kerajaan menyesal atau berhasrat menarik balik taraf bebas cukai yang diberi kepada Langkawi. Saya hanya ingin semua pihak menilai dan menghargai segala nikmat yang didapati supaya dengan itu kita akan lebih bersyukur. Rakyat Malaysia harus insaf dan bersyukur sepanjang masa kerana masyarakat yang insaf dan bersyukur akan menjadi masyarakat penyayang, atau a "caring society". Saya khuatir kalau-kalau ada pendapat bahawa masyarakat penyayang bermakna hanya kerajaan sahaja yang bersikap penyayang. Kasihsayang tidak akan wujud jika ia terhad kepada satu pihak sahaja.

9. Masyarakat yang tahu bersyukur pula akan dapat lebih banyak nikmat. Ini adalah kerana orang yang bersyukur tidak akan membuat sesuatu yang akan menghentikan nikmat yang diperolehi. Jika kerana terlalu ingin mendapat keuntungan cepat daripada pelancongan ke Langkawi maka bilangan pelancong menurun dan kualiti mereka juga merosot, maka industri ini akan gagal dan akhirnya wang yang didapati dahulu akan habis dan wang yang diharapkan tidak akan datang.

10. Apa yang dikehendaki oleh kerajaan ialah jenis industri pelancongan yang bernilai tinggi terutama pelancongan asing. Bagi pelancong-pelancong tempatan pun layanan hendaklah sejajar dengan perbelanjaan mereka. Penggunaan kawasan yang indah yang amat terhad di Langkawi untuk pembangunan yang mendatangkan hasil yang rendah amatlah tidak bijak. Ia boleh diibaratkan sebagai membuat rantai sauh kapal dengan emas, suatu pembaziran besar. Justeru itu tempat-tempat yang sesuai untuk pelancong-pelancong hendaklah dibangunkan secara yang boleh memberi pendapatan yang maksima kepada tuan tanah dan pengusaha.

11. Penjualan tanah hari ini mungkin memberi keuntungan yang tinggi kepada tuan tanah. Tetapi hakikatnya ialah harga tanah tetap meningkat dan tuan-tuan tanah yang telah menjualnya akan menyesal kerana sementara pendapatan mereka daripada penjualan tanah sudahpun habis, harta mereka dahulu meningkat nilainya dan memberi keuntungan kepada orang lain. Adalah lebih baik menilai tanah dengan nilai yang lebih murah tetapi masih terus mendapat hasil daripadanya daripada menjualnya sekaligus. Ataupun sekurang-kurangnya melabur hasil penjualan dalam sesuatu pelaburan yang akan memberi pulangan di masa hadapan. Kerajaan rela mengorbankan hasil dan cukai untuk penduduk Langkawi tetapi kesanggupan kerajaan semata-mata tidak akan memberi manfaat jika penduduk Langkawi sendiri tidak menggunakan peluang ini untuk kebaikan diri mereka. Jangan salahkan kerajaan jika penduduk-penduduk Langkawi terpaksa menumpang orang lain di Langkawi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Pembangunan pelancongan yang dirancangkan telah membawa banyak manfaat kepada penduduk-penduduk Langkawi. Selain daripada peningkatan harga tanah, banyak peluang perniagaan dan pekerjaan telah wujud. Kesuburan industri pelancongan bergantung kepada layanan atau perkhidmatan yang baik. Apa yang kita mahu ialah pelancong-pelancong akan datang berkali-kali. Jika kita berharap kepada pelancong-pelancong yang datang sekali sahaja, maka peningkatan bilangan pelancong tidak akan berlaku. Pelancong akan datang sekali sahaja jika perkhidmatan atau layanan yang diberi tidak memuaskan. Pelancong yang mendapat layanan yang tidak baik akan memberitahu ejen dan kawan mereka supaya tidak menghantar pelancong lain ke tempat berkenaan. Dan dengan itu industri pelancongan akan merosot. Justeru itu kita semua hendaklah berpandangan jauh dan menolong menjayakan industri pelancongan ini kerana ia boleh menolong membangunkan kita dan negara kita.

13. Bagi menjayakan Langkawi keseluruhannya, kerajaan telah menubuhkan satu badan khas, iaitu LADA atau Lembaga Pembangunan Langkawi. Untuk menentukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri saling tolong-menolong dalam usaha pembangunan Langkawi, LADA dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kedah dan Menteri Kewangan. Sokongan Kerajaan Persekutuan adalah penting daripada segi pendekatan undang- undang dan peruntukan. Sebaliknya kerjasama Kerajaan Negeri Kedah tidak kurang pentingnya. Tidak ada mana-mana pihak yang akan rugi hasil daripada kerjasama ini. Namun Langkawi masih kekal sebagai wilayah Negeri Kedah. Selain daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan khusus bagi Langkawi, ia tertakluk kepada kuasa-kuasa yang ada kepada kerajaan Negeri Kedah. Jika kedudukan ini difahami oleh semua pihak maka pelan pembangunan Langkawi dapat diselenggarakan dengan jayanya.

14. Langkawi tidak dijadikan kawasan bebas cukai kerana hanya ingin memajukan Langkawi. Tujuannya lebih khusus daripada itu. Tujuannya ialah supaya Langkawi menjadi pusat pelancongan yang terkenal di seluruh dunia. Tetapi untuk mendatangkan hasil yang maksima amatlah penting pembangunan industri pelancongan di Langkawi dirancang dengan teliti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Seperti yang disebutkan tadi pelancong tidak banyak mendapat manfaat daripada taraf bebas cukai. Pelancong datang kerana pemandangan indah dan alam sekitar yang nyaman yang terdapat di Langkawi. Jika pembangunan Langkawi tidak mengambilkira pemandangan dan alam sekitar di Langkawi, maka daya penarik Langkawi akan luput dan pembangunan Langkawi tidak akan membawa hasil.

16. Memandang kepada soal inilah maka kerajaan telah mendapat bantuan pakar-pakar untuk menyediakan Rancangan Struktur Langkawi. Tujuannya ialah supaya penempatan kemudahan pelancongan seperti hotel dan lain-lain bangunan tidak menghapuskan unsur-unsur estetika yang menjadikan Langkawi unik dan menarik. Mereka yang berminat mengadakan kemudahan pelancongan, perniagaan dan perusahaan di Langkawi hendaklah meneliti pelan induk yang disediakan. Walaupun pindaan dan penyesuaian boleh dibuat, tetapi umumnya "pristine beauty" Langkawi mestilah diselamatkan. Imbangan mesti dibuat di antara kepentingan komersial dengan kepentingan estetika. Pembangunan Langkawi hendaklah terhad supaya tidak memusnahkan segala warisan semulajadi dan sejarah. Rancangan Struktur Langkawi adalah dokumen yang penting yang perlu dirujuk sebelum sesiapa mengambil apa-apa langkah untuk melabur di Langkawi. Jika keraguan timbul kerana pelan ini, maka LADA hendaklah dirundingi terlebih dahulu. Kita tidak ingin lihat mana-mana pihak rugi kerana tersilap langkah. Pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada orang ramai akan hasrat dan rancangan kerajaan untuk kepentingan semua pihak iaitu penduduk Langkawi, pelabur dan negara.

17. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Draf Rancangan Struktur Langkawi ini.

Kami menerima 7,368,417 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri