Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PEMBUKAAN KILANG WAKO ELECTRONICS MALAYSIA SDN BHD
Lokasi : SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh : 12-09-1988
 
Yang Amat Berhormat Datuk Muhammad bin Muhammad Taib, Menteri Besar Selangor; Encik Yosuke Yoshioka, Presiden WAKO Electronics Sdn. Berhad; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan; Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan WAKO Electronics (Malaysia) Sendirian Berhad kerana menjemput saya untuk berucap dan merasmikan kilang syarikat elektronik ini. Perasmian hari ini menandakan satu lagi perkembangan bagi industri elektronik di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Pada permulaan proses industrialisasi negara ini industri-industri yang digalakkan ialah pengeluaran barangan pengganti import atau import substitution industries. Selepas itu kita memberi penekanan kepada industri yang mengeluarkan barangan eksport. Pertukaran hala industrialisasi Malaysia ini adalah tepat oleh kerana kita perlu meningkatkan eksport kita untuk mengimbangi import yang semakin meningkat. Pada tahun 1987, eksport barangan perkilangan, yang menggambarkan kesan industrialisasi negara ini, telah meningkat sehingga menjadi kira-kira 45% daripada jumlah eksport negara.

3. Langkah Kerajaan memberi penekanan kepada industrialisasi telah membawa manfaat yang sangat bermakna kepada ekonomi negara. Kalau dahulu sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menjadi tulang belakang eksport dan Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK, sekarang ini sektor tersebut menduduki tempat kedua. Sektor perkilangan sekarang ini merupakan sektor yang terbesar dari segi jumlah nilai eksport dan juga KDNK negara. Sekiranya kita teragak-agak melaksanakan dasar industrialisasi, kemungkinan besar kita masih lagi bergantung sangat kepada naik-turun permintaan pasaran antarabangsa terhadap barangan-barangan utama kita. Sementara kita tidak harus membelakangkan peranan pertanian, kita perlu meningkatkan lagi kegiatan perkilangan untuk mengimbangkan ketidak-stabilan harga barangan utama.

4. Di samping itu, Kerajaan menyedari bahawa asas industri perkilangan kita tidak luas. Dari jumlah eksport barangan perkilangan negara, kira-kira 65% adalah terdiri daripada barangan industri elektrik dan elektronik serta barangan industri tekstil. Pada suku pertama tahun ini, eksport komponen-komponen elektronik sahaja melebihi satu-per-tiga jumlah eksport barangan perkilangan.

5. Kerajaan dengan itu akan terus menggalakkan berbagai industri lain yang belum wujud atau belum berkembang dalam negara kita. Di samping itu, galakan akan diberi kepada industri pembekalan komponen untuk industri yang sedia ada. Dengan adanya komponen tempatan yang berpatutan harganya, pertumbuhan industri barangan siap akan menjadi lebih pesat. Komponen juga perlu dieksport untuk mempertingkatkan keluarannya supaya kita dapat mengurangkan kos dan menjadi lebih berupaya untuk bersaing atau competitive. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna Malaysia tidak akan memberi galakan dan kemudahan bagi industri-industri perkilangan yang telah bertapak dengan kuatnya seperti elektrik dan elektronik serta industri tekstil.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Turut hadir di majlis ini ialah para pelabur dan para pengusaha dari negara Jepun dan juga negara-negara asing. Dengan itu, izinkan saya berucap sedikit dalam Bahasa Inggeris.

Ladies and Gentlemen,

7. The multi-million Ringgit investment by WAKO Electronics will no doubt bring substantial benefit to us. We do realise that the political and economic stability of this country is of paramount consideration to foreign investors. Economic and political stability are the prerequisite for successful enterprises which will yield profits. The setting up of this factory by WAKO Electronics is a measure of the faith that this company and others have in the economic climate and political stability of Malaysia.

8. That Malaysia is getting economically stronger is clear from the recent economic indicators. The GDP growth of 9% in the first half of this year is remarkable even by the standards of the boom years of the 70's and early 80's. This achievement is made possible by the recovery in commodity prices. But no less important are the efforts of both the Government and private sectors to make adjustments and exercise greater financial discipline.

9. The Government has taken several measures to improve the investment climate further. Besides offering fiscal incentives, the Government has also improved its administrative procedures concerned with approval and implementation of projects. Decisions on incentives has been hastened. Procedures related to manufacturing licences and technical agreements have been streamlined to ensure a minimal amount of delay.

10. The electronics industry in Malaysia has been confined principally to the assembly and testing of semiconductors. Another feature of the industry is its imported technology and material inputs. For the Malaysian Government, the thrust of the electronics industry in future should be greater local sourcing of materials and parts and diversification into a wider range of electronic products. It is hoped that the industry will also be able to establish effective forward and backward linkages. In line with this aspiration, the Government hopes investment in the electronics industry in future will include and emphasise other products in addition to semiconductors.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Industri elektronik merupakan industri yang paling pesat mengalami kemajuan baru-baru ini. Pertumbuhannya pada suku pertama tahun ini adalah yang paling tinggi sekali bukan sahaja di kalangan industri-industri dalam sektor pembuatan, bahkan juga bagi semua industri di negara kita ini. Sudah semestinya para pengusaha dan pekerja dalam industri ini berbangga dengan pencapaiannya. Walau bagaimanapun pelaburan dalam industri ini dikuasai oleh modal dan pengurusan luar negeri. Dengan itu Kerajaan berharap pengusaha-pengusaha tempatan akan cuba mengadakan usahasama atau joint-ventures dengan pelabur-pelabur luar negeri dalam industri elektronik. Jurutera-jurutera kita yang berpengalaman luas dalam bidang pembuatan komponen elektronik sepatutnya mencuba bersama dengan pemodal-pemodal dalam negeri untuk mengadakan kilang elektronik sendiri. Negara-negara seperti Korea, Taiwan dan Hong Kong sudah pun mempunyai keupayaan mengeluarkan microchips mereka sendiri. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mengeluarkan barangan ini. Kerajaan akan memberi sebarang bantuan yang difikirkan wajar.

12. Kepada para pengurus dan pekerja tempatan di syarikat ini, Kerajaan berharap kita harus ingat bahawa banyak negara yang berminat dengan pelaburan asing. Dengan itu persaingan antara negara-negara ini adalah hebat. Di samping Kerajaan menyediakan berbagai insentif dan kemudahan-kemudahan lain untuk menarik pelaburan asing, para pengurus dan pekerja tempatan mempunyai peranan yang bermakna untuk menarik mereka ke sini. Para pengurus dan pekerja tempatan yang bekerja di syarikat-syarikat dan kilang-kilang milik asing hendaklah menunjukkan contoh yang baik. Kita hendaklah rajin bekerja serta memastikan sumbangan dan produktiviti kita adalah ditahap yang tinggi. Dengan cara ini para pelabur akan menolong mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mereka yang masih menganggur dan peluang naik pangkat bagi yang sudah bekerja.

Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Saya berharap kilang ini akan berjaya dan kejayaan itu akan menggalakkan pekilang-pekilang asing datang ke negara ini dengan modal dan teknologi yang diperlukan. Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya membuka kilang WAKO Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. ini dengan rasminya.



Kami menerima 7,368,415 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri