Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PELANCARAN TAHUN PEMBACA 1988
Lokasi : ANGKASAPURI
Tarikh : 21-01-1988
 
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Tuan-tuan dan Puan-puan, Saya berasa sukacita dapat melancarkan Tahun Pembaca 1988 ini. Tema Tahun Pembaca ini ialah 'Membaca Jambatan Ilmu'.

2. Tema ini amat tepat sekali. Walaupun ilmu pengetahuan boleh didapati melalui pengalaman seseorang dan asuhan secara lisan oleh ahli pemikir yang terkenal, seperti di zaman purba, tetapi kemudahan mencetak telah memudahkan pengumpulan ilmu dalam buku-buku yang boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat. Dari buku segala ilmu boleh dipelajari tanpa persekolahan atau asuhan secara formal.

3. Di zaman moden ini buku mengenai apa juga ilmu serta buku-buku cerita boleh didapati di mana-mana sahaja. Harga buku amatlah murah berbanding dengan ilmu yang terkandung di dalamnya. Kedai-kedai buku membekal ribuan buku dengan berbagai tajuk, sehingga dengan perbelanjaan sedikit sahaja kita dapat mendalami seribu satu bidang ilmu yang boleh memperkayakan akal fikiran kita. Hanya yang diperlukan ialah minat membaca oleh kita.

4. Tetapi kita tidak harus lupa bahawa di zaman dahulu buku tidak begitu mudah didapati. Ia dianggap sebagai alat pengetahuan yang ajaib dan terhad kepada orang-orang tertentu sahaja. Kulit-kulit buku dahulu disalut dengan logam dan mempunyai kunci supaya hanya orang-orang yang tertentu sahaja boleh membuka buku dan membaca isi kandungannya. Ini adalah kerana isi kandungan buku memberi pengetahuan yang ditegah bagi orang biasa. Sebabnya ialah kerana pengetahuan yang mungkin didapati dipercayai boleh memberi kuasa istimewa kepada pemiliknya.

5. Hari ini tidak ada lagi larangan bagi sesiapa pun untuk membaca dan menerap apa juga ilmu dalam mana-mana buku. Yang dahulu dilarang, sekarang sudah didedah dan dibukakan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahuinya. Bagi manusia yang bersyukur, peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan. Secara kebetulan, membaca dan menerap ilmu dengan mudah ini adalah satu nikmat yang perlu kita hargai dan kita gunakan dengan sepenuhnya.

6. Masyarakat yang jahil tidak akan mengecapi kebahagiaan. Mereka akan hidup untuk makan, minum, tidur dan memenuhi nafsu sahaja. Masyarakat yang hidup kerana memenuhi nafsu semata-mata akan ditindas dan diperalatkan oleh orang yang berpengetahuan. Mereka akan diperhambakan. Mereka akan menjadi masyarakat yang tidak bermaruah.

7. Di zaman di mana segala ilmu dibukukan dan banyak terdapat kemudahan membaca, tidak ada alasan bagi mana-mana masyarakat menjadi jahil. Sudah tentu di Malaysia, di mana pelajaran asas boleh didapati secara percuma, kegagalan menimba ilmu daripada buku-buku tidak boleh dipertahankan.

8. Sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh mendalami semua ilmu yang dapat diperolehi sekarang. Tetapi, rakyat di negara yang ingin maju mestilah faham dengan lebih luas akan perkembangan-perkembangan yang mempunyai kesan terhadap kehidupan mereka. Ini bermakna kefahaman serba sedikit berkenaan alam sekeliling, sejarah, sains dan teknologi dan agama. Rakyat yang lebih berpengetahuan akan menjadi lebih waras dan lebih cekap dalam mempertimbangkan reaksinya terhadap segala kejadian dan tindakan yang mempunyai kesan kepada diri mereka dan kepada masyarakat. Sudah tentu masyarakat yang dianggotai oleh rakyat yang waras dan bertanggungjawab akan menjadi lebih maju dan bahagia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Penerapan ilmu daripada buku-buku tidak bermakna membaca buku-buku yang khusus untuk ilmu-ilmu tertentu. Buku-buku novel juga dapat membekalkan berbagai ilmu kepada pembacanya. Di samping itu, kita dapat mengenali pemikiran penulis dan falsafahnya. Banyak daripada cerita-cerita yang dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal seperti Tolstoy, Dickens, Pramoedya, Shahnon dan lain-lain mempunyai analisa sosial yang mempengaruhi aliran pemikiran dan pembangunan masyarakat di zaman-zaman tertentu.

10. Untuk memperolehi ilmu, kita tidak boleh memiliki nasionalisme yang terlalu sempit. Sepertimana juga kita sanggup menjelajah ke negara jauh dan menguasai bahasa-bahasa asing untuk mendapat ilmu, begitu juga kita harus menguasai bahasa-bahasa lain untuk membaca buku-buku dalam bahasa asing.

11. Walau bagaimana kita berusaha sekalipun, tidak mungkin kita boleh mengalih-bahasakan semua buku di dunia ini. Oleh itu, untuk mendapat faedah daripada pembacaan buku, penguasaan bahasa-bahasa asing amatlah penting. Jika kita ingin menterjemahkan buku bahasa asing sekalipun, kefasihan dalam bahasa-bahasa asing adalah perlu. Di zaman moden ini, orang yang berilmu mesti menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa -- iaitu bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya dan satu lagi bahasa asing. Orang biasa juga perlu mengetahui sedikit-sebanyak bahasa asing. Dengan itu, maka akan terbukalah sumber ilmu yang lebih luas kepadanya -- terutama melalui pembacaan buku-buku dalam bahasa asing. Semangat kebangsaan seseorang itu tidak akan terjejas kerana ia faham dua atau tiga bahasa. Yang penting ialah ia tidak membelakangkan bahasanya sendiri. Yang penting ialah ia menjadi warganegara yang berilmu. Warganegara yang jahil tidak dengan sendirinya menjadi warganegara yang setia. Demikian juga warganegara yang boleh bertutur lebih daripada satu bahasa tidak semestinya tidak setia. Jika kerana mengejar ilmu kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita tidak harus teragak-agak menguasai bahasa-bahasa ini. Dengan keupayaan membaca buku-buku dalam bahasa lain, kita akan memperolehi ganjaran yang tidak ternilai harganya. Jika ilmu yang kita perolehi dalam bahasa lain diedarkan pula dalam bahasa kita sendiri, maka akan bertambah kukuh dan berkesanlah bahasa kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Maklumat yang kita perolehi menunjukkan bahawa ramai daripada penuntut kita membaca hanya buku-buku teks mereka sahaja. Sebahagian besar daripada mereka yang tamat pelajaran, di semua peringkat, tidak membaca buku lagi, walaupun akhbar biasanya menarik minat mereka. Keadaan ini menyedihkan. Demikianlah keadaannya sehingga Kerajaan terpaksa mensyaratkan bahawa hanya calon yang membaca sekurang-kurangnya 3 buah buku, yang bukan buku teks, akan dipilih untuk menjadi guru. Alangkah sedihnya kerana kita terpaksa mengupah untuk menentukan kita membaca. Sepatutnya di Malaysia yang mewah dengan bahan-bahan bacaan, kita mensyaratkan hanya mereka yang banyak membaca buku sahaja yang akan dipilih untuk sesuatu jawatan.

13. Minat membaca ini perlu dipupuk dari bangku sekolah lagi. Sepatutnya murid atau penuntut tamat membaca semua buku teks mereka pada bulan pertama buku-buku itu didapati. Sepatutnya semua murid meminjam buku perpustakaan untuk dibaca di rumah. Sepatutnya waktu rehat atau recess digunakan juga untuk membaca di perpustakaan.

14. Dalam usaha menyemai minat membaca ini, para guru harus memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar yang membaca buku-buku selain daripada buku teks mestilah diberi kepujian. Jika ia menggunakan buku-buku ini sebagai sumber dalam rencana atau apa juga kegiatan pelajaran, ini patut diiktirafkan.

15. Guru sendiri haruslah lebih membaca, termasuk buku-buku perpustakaan yang mungkin dibaca oleh murid. Sudah tentu buku-buku lain yang boleh meningkatkan keupayaan guru mengajar perlu dibaca. Dengan ini, murid akan kagum terhadap pengetahuan guru dan mereka akan lebih menghormati guru. Ini akan memudahkan proses pemindahan ilmu dari guru kepada murid.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. Oleh kerana tahun ini ialah Tahun Pembaca maka fokus kita hendaklah ditumpukan kepada pembaca. Pembaca buku bukan sahaja perlu digalakkan supaya lebih membaca buku, tetapi juga perlu dibantu untuk mengatasi beberapa masalah yang selalu dihadapi oleh pembaca buku di Malaysia.

17. Saya percaya ramai orang suka membaca tetapi menghadapi masalah tidak tahu apakah buku-buku terutamanya buku-buku baru yang diterbitkan di negara ini. Ini ialah kerana maklumat atau publisiti mengenai buku-buku itu tidak mencukupi. Para pembaca terpaksa mencari-cari buku di kedai-kedai buku, dan malangnya tidak semua kedai ada menyimpan atau menjual buku-buku itu. Lagipun, kedai-kedai buku lebih banyak terdapat di kawasan-kawasan bandar, dan jarang atau tidak terdapat di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi sukarlah pembeli hendak mendapatkan buku-buku yang mungkin mereka ingin beli atau baca.

18. Untuk mengatasi masalah ini, saya syorkan supaya Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) atau Persatuan Penerbit Buku mengeluarkan katalog buku baru tiap-tiap tahun untuk diedarkan percuma atau dijual dengan harga yang berpatutan kepada orang ramai bagi panduan mereka. Saya difahamkan bahawa pihak MKBK sedang menyusun satu katalog buku kebangsaan dan juga akan menerbitkan sebuah Berita Buku tidak lama lagi. Langkah-langkah ini akan menolong pembaca. Di samping itu, peranan akhbar yang sekarang membuat ulasan mengenai buku-buku baru haruslah dipertingkatkan. Satu halaman patutlah dikhaskan kepada ringkasan buku-buku yang dianggap bermutu tinggi, jika tidak oleh akhbar harian sekurang-kurangnya oleh akhbar mingguan. Kita tidak patut lupa bahawa akhbar juga merupakan bahan bacaan. Jika teknik akhbar diguna untuk mempopularkan bacaan rencana yang berilmiah, tidak dapat tidak negara akan mendapat banyak manfaat dan minat membaca akan dipertingkatkan.

19. Mungkin ada baiknya juga buku umum untuk bacaan orang ramai diterbitkan dalam bentuk yang murah, misalnya dalam edisi 'paperback'. Ini akan membolehkan lebih ramai lagi orang membeli buku. Di samping itu, lebih banyak buku-buku terjemahan daripada bahasa-bahasa asing hendaklah diterbitkan, terutamanya karya-karya oleh penulis-penulis terkemuka dari seluruh dunia. Kerajaan sedia menimbang untuk membantu usaha ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. Saya berharap saudara-saudara dapat menjadikan buku sebagai teman hidup sehari-hari, kerana buku adalah jambatan ilmu yang dapat menghubungkan kita dengan alam persekitaran kita, dengan masyarakat kita, dengan negara kita dan dengan dunia luar. Melalui buku dan pembacaan, kita akan dapat membentuk suatu budaya dan tradisi nilai dan pemikiran bangsa yang akan menjadi asas kekuatan bangsa dan negara.

21. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Tahun Pembaca 1988.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Kami menerima 7,391,233 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri