Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MESYUARAT PERWAKILAN YANG KE-10 PARTI GERAKAN
Lokasi : DEWAN SERI PINANG, PULAU PINANG
Tarikh : 21-11-1981
 
Presiden Parti GERAKAN, Yang Berhormat Dr. Lim Kheng Yaik; Ketua-ketua Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti GERAKAN Dr. Lim Kheng Yaik,dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Parti yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Yang ke-10 Parti GERAKAN pada hari ini.

2. Ini adalah merupakan kehadiran saya yang pertama kali di Mesyuarat Perwakilan Parti GERAKAN setelah saya memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Barisan Nasional. Kehadiran saya di majlis yang dihadiri lebih daripada dua ribu orang perwakilan merupakan satu peluang yang baik bagi saya untuk bertemu muka dengan semua lapisan ahli Parti. Walaupun kehadiran saya ini tidak meluangkan masa yang begitu banyak untuk saya berkenal-mesra dengan ahli-ahli parti, namun demikian memandang kepada kesibukan saya ia memberi faedah yang besar kepada saya. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada Parti GERAKAN serta ahli-ahlinya yang telah memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada saya untuk memimpin Barisan Nasional.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

3. Wujudnya Barisan Nasional sebagai satu gabungan parti-parti politik yang mendukung Kerajaan merupakan satu keganjilan kepada mereka yang kurang biasa dengan negara kita. Setengah anggota masyarakat di seberang laut menganggap Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia sebagai satu bentuk pemerintahan yang lemah kerana kemungkinan desakan dan tekanan daripada berbagai-bagai pihak di dalam Barisan Nasional. Kepada kita di dalam Barisan Nasional, kita faham bahawa Barisan Nasional adalah sesuai dengan kehendak dan suasana di negara kita. Melalui Barisan Nasional kita dapat mencapai kata sepakat dalam hal-hal yang besar.Kita juga dapat bertukar-tukar pendapat meluaskan penerimaan anggota parti dan rakyat terhadap sesuatu perkara atau isu. Melalui Barisan Nasional juga kita dapat mengurangkan perselisihan politik secara terbuka yang boleh menguntungkan pihak lawan ataupun memberi faedah kepada musuh-musuh negara.

4. Melalui Barisan Nasional kita telah dapat mengukuhkan lagi asas dasar-dasar penting negara bagi menjamin masa depan kita yang lebih cemerlang dan berjaya lagi. Di dalam sesebuah masyarakat berbilang kaum seperti di negara kita, apa yang diperlukan ialah usaha dan tindakan dan dikurangkan percakapan dan persengketaan. Di dalam suasana masyarakat berbilang kaum, sesuatu isu boleh diputar-belitkan untuk meningkatkan sentimen perkauman oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan untuk mewujudkan barisan "pressure group" terhadap isu tersebut. Keadaan seperti ini hanya akan melambat-lambatkan pencapaian matlamat perpaduan negara kerana isu-isu yang dibakarkan dengan sentimen perkauman, atau kedaerahan akan hanya menimbulkan keraguan di dalam fikiran rakyat, dan seterusnya sekiranya dikerohkan lagi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan kekacauan. Semua pihak mestilah sedar bahawa keadaan seperti ini tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak juapun sama ada sekarang ataupun bagi jenerasi akan datang.

5. Kewibawaan Barisan Nasional adalah sangat bergantung kepada perpaduan parti-parti komponen di dalamnya. Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kewibawaan Barisan Nasional kerana kelemahan Barisan Nasional boleh mendatangkan kemerosotan kepada kestabilan politik. Ia juga boleh menimbulkan masalah kepada ekonomi negara yang selama ini adalah kukuh dan dapat dijamin pada kadar perkembangan yang tinggi. Oleh itu, apa-apa jua kemusykilan atau perselisihan di kalangan parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional hendaklah di atasi melalui jentera yang wujud bagi penyelesaian masalah di dalam Barisan Nasional sendiri tanpa diheboh-hebohkan atau diperbesar-besarkan melalui akhbar dan lain-lain media massa.

6. Sepertimana yang pernah saya tegaskan, parti-parti komponen Barisan Nasional mempunyai tanggungjawab yang berat bukan sahaja kerana ia adalah parti yang membentuk Kerajaan tetapi juga oleh kerana "coalition" Barisan Nasional ini adalah satu gabungan yang istimewa yang mewakili sebahagian besar daripada masyarakat Malaysia yang berbilang keturunan. Kita telah diberi mandat oleh rakyat dan kita tidak akan menyalahgunakan kuasa yang ada di tangan kita. Setiap tindakan dan langkah yang kita ambil adalah bertujuan untuk mendatangkan faedah kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada kita untuk membimbing negara. Kerajaan Barisan Nasional akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk membawa kemajuan dan kemakmuran yang lebih lagi kepada rakyat dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

7. Perpaduan merupakan kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara. Begitu pula kemakmuran dan kesejahteraan merupakan asas bagi perpaduan yang lebih kukuh. Semua dasar yang telah dirumuskan untuk negara kita adalah dengan tujuan untuk mencapai matlamat-matlamat kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan. Tindak tanduk untuk mengungkit dasar-dasar yang telah dipersetujui dengan menggunakan sentimen 'pressure group' oleh mana-mana pihak akan mendatangkan kesan yang buruk. Penggunaan 'pressure group' oleh kumpulan minoriti terhadap perkara-perkara yang telah dipersetujui di dalam sistem demokrasi merupakan penentangan terhadap demokrasi itu sendiri. Hakikat ini hendaklah sentiasa disedari oleh rakyat kerana kita melihat bagaimana berkali-kali setengah-setengah pihak telah menjadikan diri mereka sebagai "pressure group" atau menggunakan 'pressure group' untuk menggugat keadaan yang tenang dalam negara kita.

8. Perkataan Dasar Ekonomi Baru tentulah tidak asing lagi bagi rakyat di negara kita. Tetapi sejauh manakah fahaman rakyat mengenai Dasar ini? Kadang-kadang kita merasa begitu aneh bagaimana setengah pihak, dengan cara langsung atau tidak langsung, telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai kurang keyakinan atau pun kurang fahaman terhadap Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru telah digubal dengan mengambil kira kepentingan semua kaum, golongan dan kawasan serta kepentingan negara, sama ada dalam jangka pendek atau pun jangka panjang. Tentulah tidak wajar, malah dalam suasana negara kita adalah merbahaya sekali, sekiranya perimbangan ekonomi tidak wujud di kalangan kaum dan usaha-usaha ke arahnya tidak dibuat. Pihak-pihak atau individu-individu yang hanya memikirkan untuk mengumpul kekayaan bagi diri mereka sahaja adalah seolah-olah mencurahkan minyak ke api. Begitu pula mereka yang enggan berusaha untuk memperbaiki taraf hidup mereka akan ketinggalan masa dan akan mengalami kepahitan hidup. Sekiranya perkara yang tidak diingini ini berlaku mereka tidak harus menyalahkan orang lain tetapi diri mereka sendiri. Dalam konteks Dasar Ekonomi Baru apa-apa jua galakan dan bantuan Kerajaan tidak akan menghasilkan kejayaan kepada seseorang di dalam bidang ekonomi kecuali ianya sanggup mengubah nasibnya sendiri.

9. Rakyat keseluruhannya sepatutnya bersyukur dengan keadaan baik kita di negara kita ini. Jika dibandingkan dengan keadaan di kebanyakan negara-negara yang sedang membangun yang lain keadaan kita adalah begitu baik sekali. Kita tidak mengalami kebuluran dan negara kita tidak diancam oleh bencana-bencana alam kecuali jarang-jarang sekali kita mengalami banjir. Oleh itu, adalah tidak patut sekali bagi setengah-setengah rakyat negara ini yang tidak putus-putus mengeloh tentang keadaan di tanah tumpah darahnya. Setengahnya berhijrah ke negara maju untuk mengejar pendapatan yang lebih lumayan sedangkan mereka menonjol-nonjolkan masalah di negara ini kononnya mereka didiskriminasi. Sebenarnya apa yang berlaku tak ubahlah apa yang terdapat di dalam pepatah Melayu "kacang lupakan kulit". Bagi rakyat yang tulin "dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung" dan "hujan emas di negeri orang hujan keris-lembing di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri". Sebenarnya dari cerita-cerita yang diterima mereka yang telah berhijrah ke negara lain merasai kehidupan yang tidak selesa dan menjadi warganegara kelas dua, tetapi mereka malu mengakui hakikat ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

10. Hasrat kita untuk memesatkan pembangunan negara tentulah tidak akan terlaksana dengan jayanya sekiranya setiap rakyat sendiri tidak membuat sumbangan dan menyertainya. Ini menjadi bertambah-tambah penting dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil. Setakat ini kita bernasib baik kerana kemelesetan ekonomi dunia tidak begitu menjejaskan ekonomi kita. Tetapi oleh sebab ekonomi kita adalah ekonomi terbuka inflasi yang mengancam kebanyakan negara-negara yang maju, iaitu negara-negara perindustrian dan pengeluar, telah menambahkan pula inflasi di negara kita. Usaha mengawal inflasi adalah penting dan usaha ini tidak akan memberi kesan yang memuaskan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat. Dalam hal ini juga, setiap parti politik di negara kita perlulah memainkan peranan mereka untuk mententeramkan suasana tanpa menanggok di air keroh untuk kepentingan-kepentingan sempit perjuangan politik mereka.

11. Kerajaan sentiasa sedar dan menginsafi masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Malahan Kerajaan juga menginsafi betapa rumitnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara di dalam suasana politik dan ekonomi antarabangsa yang tidak begitu tenteram. Kerajaan akan berusaha untuk menjamin supaya program-program pembangunan kita akan dapat diteruskan dan faedah-faedahnya dinikmati oleh rakyat keseluruhannya. Saya yakin, sekiranya kita menjadikan usaha pembangunan sebagai satu perjuangan kita pasti akan berjaya.

12. Negara kita mempunyai "ingredients" untuk mencapai tahap kemajuan yang telah dicapai oleh negara-negara maju. Kita mempunyai tenaga kerja yang cukup. Negara kita telah dikurniakan dengan sumber-sumber alam yang kaya dan banyak. Oleh itu yang perlu sekarang ini ialah bagi setiap rakyat Malaysia bekerja dengan lebih tekun dan gigih lagi bagi meninggikan daya pengeluaran negara. Jikalau negara-negara yang tidak mempunyai sumber-sumber alam sebanyak yang kita ada boleh membangun dan mencapai kemajuan yang pesat, tidak ada sebabnya mengapa kita di Malaysia ini tidak boleh mencapai kejayaan yang sama malahan yang lebih lagi daripada itu. Sekiranya kita benar-benar menumpukan perhatian dan bekerja kuat kita sudah pasti dapat meningkatkan lagi prestasi ekonomi kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

13. Dengan harapan itu tadi saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan ini.

Terima kasih.


Kami menerima 7,382,919 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri