Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PERHIMPUNAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1413H PERINGKAT KEBANGSAAN
Lokasi : DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR (K.L)
Tarikh : 09-09-1992
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dua belas Rabiul Awal adalah tarikh amat penting bagi umat Islam. Bermula dari sinilah dunia telah beralih dari kegelapan kepada sinar yang terang benderang dan penuh harapan. Kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana tarikh itu dapat disambut dan dikenang di negara kita. Kita juga harus bersyukur kerana negara kita dikurniakan keamanan dan keharmonian, yang mana ini adalah suatu keistimewaan yang tidak mudah dicapai dalam dunia Islam.

2. Dalam rangka kita mengambil dan melaksana hikmah yang terkandung dalam upacara memperingati tarikh kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. ini, tepatlah rasanya, jika kita memanfaatkannya sebagai usaha meningkatkan kesedaran kita terhadap perjuangan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun Baginda adalah rasul pilihan Tuhan, tetapi perjuangannya tidaklah mudah.Usaha dan ketekunan yang gigih diperlukan daripadanya sebelum Baginda berjaya menyampaikan ajaran Islam.

3. Menurut ajaran Islam, melaksana dan menyelesaikan tugas-tugas yang bersifat duniawi seperti usaha menegakkan kesejahteraan dan mencapai kecemerlangan adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam, lebih-lebih lagi bagi para pemimpin, pentadbir dan ketua-ketua masyarakat yang diamanahkan oleh rakyat. Namun begitu, kejayaan tidak akan dapat dicapai jika tidak mendapat kerjasama dan sokongan yang padu daripada seluruh masyarakat. Oleh itu, matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam kerja-kerja kita perlulah diutamakan oleh setiap seorang dari kita.

4. Bagi kita umat Islam, Nabi Muhammad S.A.W. adalah contoh yang unggul dan terbaik untuk kita teladani. Akhlak, kepimpinan dan kewibawaan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Baginda seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk mencapai kecemerlangan dalam semua usaha kita.

5. Sifat-sifat kenabian baginda iaitu sidiq (yakni benar), amanah, tabligh (yakni menyampaikan) dan fatanah (yakni bijaksana) merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan. Pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlulah berusaha memiliki sifat-sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindak-tanduk mereka. Jika empat sifat ini dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian kita, saya percaya kita dan masyarakat kita akan berupaya mencapai kecemerlangan dalam semua bidang kehidupan seperti yang dicita-citakan. Nilai-nilai mulia yang Kerajaan terapkan dalam pentadbiran negara adalah berdasarkan kepada nilai-nilai yang disebutkan itu.

6. Kita mestilah sentiasa sedar bahawa setiap kejayaan yang ingin dicapai hendaklah melalui pemilikan sifat-sifat mulia ini dan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal rasa jemu dan putus asa. Tiada kejayaan dan kemenangan yang dapat dicapai dengan mudah tanpa adanya kedua-dua perkara tersebut. Dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. pun tiada kejayaan yang diperolehi oleh Baginda dan para sahabat Baginda melainkan melalui usaha-usaha perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang tersusun, dan bersungguh- sungguh. Segala harapan dan cita-cita mestilah disertai dengan perancangan, usaha dan ikhtiar.

7. Peristiwa Peperangan Khandak misalnya telah membuktikan bahawa Rasulullah dan para sahabat Baginda menggunakan akal fikiran dan bermesyuarat dengan sebaik-baiknya, merancang dan bertindak secara kolektif melalui strategi yang betul.Dalam peristiwa itu umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah telah berjaya mengalahkan musuh hasil daripada usaha mereka yang bersungguh-sungguh. Sebaliknya dalam perang Uhud oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin, mereka kalah.Inilah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang harus memandu kita.Allah telah menunjukkan dengan jelasnya betapa pentingnya sifat-sifat yang mulia dalam menentukan kejayaan di dunia dan di akhirat. Jika Nabi boleh kalah kerana kelemahan pengikut-pengikut Baginda, apatah lagi kepimpinan oleh manusia biasa.

8. Dalam kita mengharungi dan menangani arus kemajuan ini kita tidak terlepas daripada menempuh pelbagai keadaan, cabaran dan dugaan. Segala cabaran dan dugaan yang buruk yang bercanggah dengan nilai-nilai moral dan pegangan agama, kini lebih mudah berleluasa dan memecah masuk ke dalam tembok budaya kita. Melalui peralatan-peralatan yang canggih seperti satelit, segala apa yang berlaku di dunia luar boleh terus dilihat di dalam rumah-rumah kita. Bagi melawan arus ini, kita tidak lagi mampu atau boleh membuat peraturan-peraturan untuk menyekat orang lain daripada mengembangkan nilai-nilai dan budaya yang buruk di kalangan kita. Penapisan dan pendinding yang boleh menjadi benteng bagi umat Islam ialah pegangan kepada nilai-nilai yang mulia yang boleh mengukuhkan ketahanan diri sendiri. Oleh itu, umat Islam perlulah memiliki sifat-sifat hasil pegangan ini kerana Allah S.W.T. menjadikan sesuatu yang buruk itu sebagai dugaan untuk menguji hamba-hambaNya.

9. Salah satu elemen yang tidak kurang pentingnya dalam usaha kita mencapai kesejahteraan hidup di dunia ini ialah perpaduan di kalangan umat. Walaupun soal ini bukan perkara baru tetapi kita mestilah sedar bahawa kegagalan kita beroleh sesuatu kejayaan ialah kerana adanya perpecahan di kalangan umat Islam hari ini. Kita sedang melihat bagaimana perpecahan di kalangan umat Islam menguntungkan musuh-musuh Islam.

10. Orang yang tidak mengutamakan perpaduan jelas mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka hanya menonjol- nonjolkan identiti kumpulan dan perkara-perkara yang bersifat individualistik dan sementara. Inilah penyakit yang sukar untuk diubati di dalam masyarakat Islam hari ini.Jika perkara-perkara seperti ini masih menguasai kita, maka masalah yang lebih besar tidak akan dapat diputuskan.

11. Oleh itu, sempena kita memperingati hari Maulidur Rasul ini marilah kita bersama-sama membetulkan tekad dengan menumpukan kepada soal-soal yang lebih utama ke arah membangunkan kecemerlangan umat dan sekaligus mengenepikan unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan kita.Setiap umat Islam juga mestilah mempunyai fikiran yang lebih terbuka, mempunyai kemahuan yang kuat untuk maju ke depan dan memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang luas dan berdaya maju, mempunyai daya tahan serta daya saing yang unggul. Jika umat Islam masih tidak mahu atau tidak sanggup menyaingi arus kemajuan ini maka selama-lamanyalah umat Islam akan lemah, akan ditindas dan mungkin dipisah daripada agama mereka.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*****

Kami menerima 7,368,096 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri