1. Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia PORIM pada hari ini. Saya difahamkan bahawa Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia ini merupakan yang pertama ditubuhkan di Malaysia, khusus untuk menumpukan kajian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai oleokimia. Oleh yang demikian, tahniah kepada pihak PORIM kerana telah berusaha membangunkan pusat oleokimia ini. Dengan adanya kemudahan ini, PORIM akan dapat melaksanakan tanggungjawab R&Dnya dengan lebih berkesan lagi bagi mempercepatkan pembangunan industri oleokimia dan memajukan lagi industri sawit Malaysia.
2. Aktiviti ekonomi negara ini sejak dulu lagi berlandaskan kepada pertanian. Oleh itu fokus R&D juga menitikberatkan kepada pengeluaran bahan-bahan pertanian dan produktiviti pertanian dan tidak banyak perhatian dan usaha ditumpukan ke arah aspek- aspek lain yang berkaitan dengan pembangunan dan pengeluaran barangan hiliran yang dapat dihasilkan daripada bahan mentah pertanian.
3. Dalam hubungan ini adalah diperhatikan bahawa industri sawit Malaysia telah berkembang sebagai industri berasaskan pertanian yang terpenting di negara ini. Kita boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang industri minyak sawit ini. Daripada segi produktiviti, pengeluaran dan kualiti minyak sawit Malaysia adalah di tempat yang nombor satu. Tetapi dalam aspek pemprosesan barangan bagi menghasilkan produk hiliran atau barangan siap, industri sawit masih jauh ke belakang khususnya dalam sektor bukan makanan. Sebagai perbandingan, 90 peratus pengeluaran dan eksport minyak sawit adalah dalam bentuk bahan makanan. Oleh itu sudah tiba masanya ditingkatkan penggunaan minyak sawit dalam sektor bukan makanan atau industri.
4. Pada masa ini aktiviti hiliran hanya tertumpu kepada pengeluaran bahan oleokimia asas atau `basic oleochemical' seperti fatty acid, methylester, fatty alcohol dan glycerine. Kini terdapat 15 buah kilang oleokimia yang mengeluarkan sebanyak 740,000 tan metrik oleokimia asas. Saya difahamkan bahawa lebih kurang 90 peratus daripada jumlah keluaran oleokimia ini dieksport ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah Barat dan Jepun untuk pemprosesan hiliran. Oleokimia asas ini selepas menjalani prosesan hiliran diimport semula oleh Malaysia dalam bentuk produk siap dengan harga yang berlipat ganda lebih tinggi daripada oleokimia asas yang kita eksport. Apa yang sebenarnya berlaku ialah aktiviti pemprosesan hiliran ini dibuat di negara-negara pengimport yang berjaya menjana serta menikmati hasil nilai tokok produk berkenaan. Sudah sampai masanya kita sendiri mengusahakan pengeluaran barangan-barangan siap di dalam negara kita.
5. Dalam usaha negara mencapai hasrat menjadi sebuah negara industri yang maju, adalah wajar Malaysia bergerak cergas dalam bidang pembuatan barangan hiliran dengan mewujudkan industri berasaskan komoditi yang dikeluarkan dengan banyaknya oleh negara ini. Dalam hubungan ini industri minyak sawit menunjukkan potensi yang sangat besar. Melalui pembabitan industri sawit dalam aktiviti hiliran, bermakna kita akan dapat mempertingkatkan hasil pendapatan negara daripada komoditi eksport tradisional ini.
6. Bagi sebuah negara yang berada di ambang era perindustrian, industri sawit perlu menumpukan perhatian kepada pembangunan sektor pembuatan barangan hiliran yang lebih menguntungkan. Ini akan membolehkan Malaysia mengekalkan kedudukannya di dalam memaksimumkan pendapatan negara daripada industri sawit. Daya saingan kita tidak lagi tertumpu kepada buruh murah kerana terdapat negara- negara lain yang mampu muncul sebagai pengeluar minyak sawit yang lebih kompetitif dari Malaysia kerana kos buruh mereka rendah. Kita perlu mengalihkan perhatian kita kepada pengeluaran produk yang lebih menjimatkan penggunaan buruh serta berteknologi tinggi. Saya yakin Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengubah corak industri sawit daripada satu industri pertanian atau tradisional yang berjaya ke tahap industri moden yang lebih canggih.
7. Sesungguhnya potensi pembangunan industri oleokimia sawit adalah tinggi. Skop pengeluaran barangan daripada oleokimia amat luas. Bermacam jenis barangan siap dapat dihasilkan daripada oleokimia seperti bahan pencuci, kosmetik, pelincir, aditif, plastik, bahan bakar, farmaseutikal, bahan kimia untuk industri dan pertanian. Produk-produk lain termasuk makanan haiwan, cat polimer, bahan campuran makanan, alat pemangkin pemprosesan dan sebagainya. Terdapat banyak lagi produk baru dan canggih yang dicipta dari masa ke semasa hasil daripada kegiatan R&D. Bahan-bahan ini merupakan barangan strategik terutama dalam keadaan di mana kita menghadapi kekurangan bahan petroleum pukal.
8. Apa yang paling menarik mengenai produk-produk ini ialah pengunaannya tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar oleh kerana ia berasaskan bahan sayuran. Adalah dijangkakan bahawa produk-produk ini akan digemari dan menjadi `trend' di kalangan pengguna oleh kerana ia adalah `biodegradable and environmentally friendly'. Oleokimia juga adalah daripada bahan asli dan `renewable' yang tidak begitu merugikan sesiapa yang mencintai alam ini.
9. Semasa kita mengembangkan ekonomi negara ini melalui pengeksportan sumber, kita dikecam hebat oleh setengah-setengah negara dan NGOs kononnya kita memusnahkan alam sekitar. Setelah mereka musnahkan hutan rimba mereka, maka mereka anggapkan hutan tropika adalah warisan sejagat. Walaupun kita katakan ladang getah dan kelapa sawit itu adalah penanaman semula rimba, mereka dalihkan pula ladang- ladang ini adalah `monocrop' yang tidak mengembalikan hidupan liar ke kawasan itu. Mereka tidak sedar betapa tebalnya rimbunan pokok-pokok kecil di antara baris tanaman yang peladang-peladang kita biarkan tumbuh, betapa banyaknya ayam hutan yang berkeliaran di sana. Mereka tidak sedar betapa banyaknya faedah dan manfaat yang telah dikecapi oleh masyarakat dunia hasil daripada minyak sawit kita. Mereka juga tidak sedar bahawa minyak sawit telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada bekalan minyak dan lemak dunia terutama kepada negara-negara yang mengalami kekurangan minyak makanan.
10. Mereka sangka kita tidak memahami benteng pemasaran yang mereka tibarkan ke atas komoditi dari negara kita. Selepas mereka gagal dengan benteng nyata yang didalangkan oleh Persatuan Kacang Soya Amerika ke atas minyak sawit dari negara kita, mereka tibarkan benteng itu secara halus, melalui warisan hutan tropika ke atas hasil balak dan Analisis Kitaran Hidup atau Life Cycle Analysis (LCA), ke atas oleokimia kita. Kita semua ketahui bahawa ciri-ciri sekitaran (environmental features) industri minyak sawit yang positif bukan hanya terhad di ladang-ladang dan kilang-kilang, bahkan beberapa kajian telah membuktikan bahawa produk- produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia adalah lebih `biodegradable' dibandingkan dengan produk-produk berasaskan petrokimia. LCA ke atas bahan oleokimia berasaskan minyak sawit adalah didapati positif. Kajian LCA tersebut mampu menunjukkan bahawa ianya adalah produk yang `environmentally compatible' di samping mempunyai kesan yang minimum ke atas alam sekitar.
11. Di samping itu secara diam-diam mereka bebankan sungai-sungai dan tasik-tasik kita dengan detergen berasaskan branched alkyl benzene sulphonate (BAS), satu kimia yang susah musnah di dalam alam sekitar dan sudah diharamkan penggunaannya di negara mereka. Sisa BAS ini memberikan buih yang banyak dalam air. Ia cantik diperhatikan dalam mesin basuh, tetapi amat mencemarkan bila didapati terapung-apung dalam sungai. Insya-Allah, tidak lama kita akan dapat gantikan BAS ini dengan satu oleokimia `Made in Malaysia'.
12. Peluang bagi kita membangunkan sebuah industri oleokimia yang maju adalah cerah sekali oleh kerana bahan mentah oleokimia terdapat dengan banyaknya dan pasaran atau permintaan terhadap barangan daripada oleokimia adalah luas. Sesungguhnya kita telah mengenalpasti sektor oleokimia sebagai sektor yang kian menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri sawit negara pada masa akan datang. Ingin saya jelaskan di sini bahawa industri ini telah diberikan penekanan di bawah Pelan Induk Perindustrian Pertama (IMP) dan akan terus diberikan tumpuan yang lebih kuat di bawah IMP Kedua yang akan dilancarkan tidak lama lagi. IMP Kedua yang berasaskan konsep `clustering' boleh menggunakan sektor oleokimia sebagai satu `cluster' yang memang sesuai untuk menubuhkan satu pembangunan aktiviti-aktiviti ala `Silicon Valley' yang terkenal itu. Dengan tertubuhnya sektor industri oleokimia yang maju, status minyak sawit bukan lagi akan dikenali sebagai satu komoditi yang dibanding dengan minyak soya sebagai minyak makanan tetapi sebagai bahan oleokimia sepertimana petroleum dijadikan berbagai jenis barangan pengguna. Kini Malaysia telah pun muncul sebagai pengeluar oleokimia asas yang ketiga besarnya di dunia dan merangkumi 20 peratus daripada jumlah bekalan oleokimia dunia. Saya yakin bahawa dengan adanya `competitive advantage' bagi Malaysia, negara kita boleh muncul sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan oleokimia yang terbesar di dunia. Inilah cabaran kepada PORIM dan usahawan-usahawan Malaysia untuk memastikan sebahagian besar eksport negara di masa hadapan adalah dalam bentuk barangan siap berasaskan oleokimia. Saya percaya ini boleh dicapai memandangkan kawasan Asia Pasifik semakin maju dan mempunyai peluang pasaran yang baik.
13. Di sini letaknya peranan R&D untuk memperbaiki mutu produk serta membangunkan teknologi-teknologi baru. Pembangunan sektor oleokimia memerlukan teknologi dan produk yang sesuai. Saya difahamkan bahawa syarikat-syarikat oleokimia pada masa ini banyak terdiri daripada syarikat multi nasional (MNC) yang menempatkan operasi dan teknologi mereka di Malaysia untuk mengambil faedah daripada berada berdekatan dengan sumber bekalan bahan mentah oleokimia. Syarikat-syarikat MNC ini beroperasi dengan menubuhkan usahasama dengan syarikat-syarikat tempatan. Pada asalnya, adalah dijangkakan bahawa syarikat-syarikat usahasama ini akan membawa bersama mereka kepakaran dan teknologi yang canggih ke negara ini untuk menghasilkan pelbagai produk yang bermutu. Syarikat-syarikat tersebut juga diharapkan dapat memindahkan teknologi kepada pihak tempatan. Nama-nama syarikat gergasi luar negeri yang tidak lagi asing bagi kita yang terlibat dalam industri oleokimia ini ialah seperti Procter and Gamble, Henkel, Unilever, KAO, Mitsui & Co. Ltd., dan Akzo and Pacific. Penglibatan syarikat-syarikat gergasi tersebut ialah untuk mempastikan bahawa bekalan produk oleokimia dari Malaysia ke negara-negara mereka adalah terjamin. Kini pelaburan dalam industri oleokimia telah mencapai RM1.5 billion, yang mana syarikat asing mempunyai majoriti 54 peratus. Saya ingin juga melihat penglibatan dalam sektor oleokimia ini bukan sahaja terhad kepada syarikat-syarikat gergasi atau multi nasional, tetapi juga meliputi pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI) di negara ini. Begitu juga dengan teknologi yang digunakan. Pengusaha- pengusaha tempatan ini harus menikmati hasil penglibatan mereka dan seterusnya membangun sebagai syarikat gergasi Malaysia dalam bidang ini.
14. Di samping itu, syarikat-syarikat perladangan Malaysia yang kini telah menjadi `conglomerate' seperti Sime Darby, FELDA, Golden Hope, KLK hendaklah juga memainkan peranan yang aktif dalam mempelopori pembangunan industri oleokimia di negara ini. Apatah lagi sumber kewangan bagi R&D dibiayai dengan bayaran ses industri minyak sawit, maka adalah wajar pengusaha-pengusaha sektor ini yang sudahpun terlibat dalam oleokimia memainkan peranan yang lebih ketara ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport bahan- bahan oleokimia yang terkemuka di dunia. Dalam hubungan ini PORIM sudah bersedia untuk memberikan sumbangan dengan tertubuhnya Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia ini. Adalah diharapkan bahawa Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia ini dapat menjalankan kajian berbentuk gunaan bagi mempercepatkan pembangunan industri berasaskan oleokimia di negara ini dan meletakkan Malaysia dalam peta dunia oleokimia.
15. Dengan harapan sedemikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia.
|