Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : TEKS UCAPAN MENGGULUNG PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2019
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 16-07-2019
 


Teks Ucapan Menggulung Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019
oleh YAB Perdana Menteri
16 Julai 2019 (Selasa)






 Tuan Yang di-Pertua,





1.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengambil
bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang
telah saya bentangkan pada hari ini.





2. Saya
telah mendengar dengan teliti sesi perbahasan yang berlangsung dan dapat
menyimpulkan bahawa secara umumnya kebanyakan Ahli Dewan menyokong pindaan yang dicadangkan ini tetapi telah
menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan pindaan-pindaan tersebut.





3. Sebagaimana yang telah saya jelaskan, pindaan ini adalah
bukti bahawa Kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17
dalam Buku Harapan, iaitu “menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun”
dan “pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara”.
Susulan daripada cadangan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun, terdapat
saranan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menurunkan had umur calon
kepada 18 tahun yang juga telah dibentangkan dan dibahaskan bersama di Dewan
Yang Mulia ini.





Tuan Yang di-Pertua,





4. Berdasarkan perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat
sebentar tadi, saya dapati kebanyakan Ahli-Ahli Yang Berhormat agak teruja
dengan pelaksanaan pindaan-pindaan ini, namun juga telah menyatakan kebimbangan
berkaitan tempoh pelaksanaannya. Tempoh pelaksanaan ini perlu dipertimbangkan
kerana ianya akan menentukan hala tuju demokrasi negara. Penelitian kepada
pelaksanaan ini adalah wajar bagi mengambil kira segenap aspek kebajikan
bakal-bakal pengundi diberi keutamaan dan bukannya untuk memberi ruang kepada
apa-apa agenda politik. Agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung
sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya
dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara
Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan
Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan. Haruslah diingat dengan
pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran
seramai 7.8 juta pengundi-pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih
dalam Daftar Pemilih untuk tempoh 5 tahun akan datang. Ini bukanlah tugas yang
mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya
yang betul. Dalam melaksanakan perkara ini, Kerajaan tidak boleh bertolak ansur
dengan apa-apa kesilapan kepada Daftar Pemilih kerana ia melibatkan hak setiap
warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan.





5. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar Rang Undang-Undang
Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan ini difahami dan dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak. Ini adalah untuk memastikan hasrat kepada pindaan
ini dapat diterjemahkan sepenuhnya demi menyuburkan demokrasi negara. dan
seterusnya meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara maju lain yang telah
lama berbuat demikian.





6. Saya ingin mengingatkan kembali ahli-ahli Yang Berhormat
bahawa pindaan ini memerlukan sokongan yang padu daripada semua Ahli-ahli Dewan
dan juga rakyat di luar sana kerana pindaan yang kita lakukan ini akan memberi
kesan yang sangat signifikan dan berpanjangan kepada negara dan generasi akan
datang.





Tuan Yang di Pertua,





7. Izinkan saya untuk mengulas beberapa isu yang dibangkitkan
oleh ahli-ahli Parlimen semasa perbahasan tadi.





8. Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada 59 Ahli-ahli Yang Berhormat, yang mengambil bahagian
dalam perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini untuk
meminda perenggan (a) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang
menetapkan had umur kelayakan untuk menjadi pemilih, Perenggan (b) Fasal (4)
Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan mengenai pendaftaran pemilih secara
automatik serta perenggan (b) Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan
mengenai penurunan had umur kelayakan calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.





(PENURUNAN HAD UMUR CALON KEPADA 18 TAHUN)





9. YB Jelebu yang memohon kepastian mengenai adakah terdapat
perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan dengan Kerajaan Negeri atau pre-council
mengenai penurunan had umur calon. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Kerajaan Persekutuan belum mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri bagi
maksud penurunan had umur calon tetapi yakin bahawa had umur ini akan mendapat
sokongan Kerajaan Negeri kerana ia memberi ruang dan peluang kepada wakil belia
untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.





(PENDAFTARAN PEMILIH SECARA AUTOMATIK)





10. Yang Berhormat Bera dan Yang Berhormat Pontian memohon
pengesahan daripada Kerajaan supaya 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21
tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi, akan
terdaftar secara automatik selepas cadangan pindaan ini diluluskan. Untuk
makluman Ahli Yang Berhormat, cadangan pendaftaran pemilih secara automatik ini
adalah meliputi 3.9 juta warganegara Malaysia berumur 21 tahun yang akan
didaftarkan secara automatik dan akan diberi keutamaan oleh SPR dalam
pelaksanaan pendaftaran pemilih ini.





11. YB Bandar Kuching ingin mendapatkan kepastian sama ada
pendaftaran pemilih secara automatik akan memberi manfaat kepada negeri Sarawak.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penurunan had umur pengundi dan pendaftaran
automatik akan menambah dan memberi peluang kepada pemilih di Sarawak yang
berumur 18 tahun untuk mengundi. Berdasarkan kepada unjuran sehingga tahun
2021, anggaran jumlah pemilih di Sarawak akan meningkat kepada 2.04 juta orang
pemilih berbanding 1.96 juta pada Suku Tahun Pertama 2019.





(MEWAJIBKAN PENGUNDIAN)





12. Yang Berhormat Pontian telah mengemukakan cadangan untuk
mewajibkan rakyat untuk mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa
ini Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa
PRU. Kajian awal terhadap negara-negara yang telah mewajibkan pengundinya
keluar mengundi juga tidak mendapat 100% keluar mengundi. Singapura mencapai
93.56%, Australia 91.89% diikuti oleh Belgium 88.3% dan Austria 80%.





Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk memberi kesedaran
kepada warganegara yang layak untuk keluar mengundi.





13. Yang Berhormat Bagan Serai memohon kepastian sama ada
mereka yang keluar mengundi akan dikenakan denda atau akan diwujudkan syarat-syarat
yang mewajibkan untuk mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan
perlu mengkaji kesesuaian untuk mewajibkan pengundian terlebih dahulu sebelum
sebarang keputusan mewajibkan pengundian pada masa hadapan.





(PENDIDIKAN PENGUNDI)





14. Yang Berhormat Bera memohon kepastian mengenai peranan
yang dimainkan oleh SPR dalam memberikan pendedahan dan pendidikan kepada
golongan muda tentang pilihan raya dan demokrasi. Ini kerana menurut beliau,
hanya 31,000 orang pelajar sahaja yang dapat menghadiri program pendidikan
pengundi pada tahun 2017. Bagaimana SPR dapat meningkatkan jumlah ini. Untuk
makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi
Pilihan Raya (APR) telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun
2017 bagi mendekati warganegara khususnya golongan muda. Program ini bertujuan
untuk memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya yang dijalankan di
Malaysia di samping menjawab isu-isu yang kerap dibangkitkan semasa pillihan
raya. Dengan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya
ini, maka mereka akan berminat untuk mendaftar sebagai pemilih dan keluar
mengundi semasa pilihan raya. Selain itu, SPR juga telah memperkenalkan Program
APR Associate Trainer atau lebih dikenali dengan nama AAT. Melalui
program tersebut, SPR dapat melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih yang
mampu untuk bersama-sama dengan APR bagi menyampaikan maklumat tentang proses
pilihan raya di Malaysia dan memberikan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih
kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan masyarakat umum di seluruh negara. Pada
tahun 2019, APR telah merancang sebanyak 150 program pendidikan pengundi yang
akan memberikan manfaat kepada 45,000 orang pelajar institusi pengajian tinggi
dan sekolah menengah. APR juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama
dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi pelaksanaan Program APR Associate
Trainer
(AAT) dan Program Sekolah Rukun Negara yang bertujuan untuk
menyebarluas maklumat tentang pilihan raya dan tanggungjawab sebagai seorang
warganegara dalam sebuah negara demokrasi.





Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, demi menjayakan hasrat
untuk meningkatkan jumlah kumpulan sasar khususnya golongan belia, SPR
memerlukan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan
jumlah golongan sasar yang dapat menerima pendidikan demokrasi dan pilihan
raya. APR sentiasa berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan,
Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, media dan masyarakat sivil amatlah
diharapkan bagi merealisasikan hasrat ini.





(PENGHAPUSAN AUKU)





15. YB Ketereh ingin mendapatkan kepastian sama ada Kerajaan
bercadang supaya akta AUKU dihapuskan untuk membenarkan anak muda mengambil
bahagian dalam arena politik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berkaitan
dengan cadangan agar Akta AUKU dihapuskan, kajian yang mendalam sedang
dilaksanakan oleh KPM dan penyelarasan dasar berkaitan peruntukan yang
bertentangan dengan cadangan pindaan ini perlu dibuat di antara agensi-agensi
yang terlibat sebelum apa-apa keputusan muktamad berkaitan pemansuhan
undang-undang dibuat.





(KEBEBASAN SPR)





16. Yang Berhormat Bera telah mengetengahkan isu Pengerusi
SPR dan ahli-ahli SPR dilantik dari kalangan aktivis politik yang dikatakan
boleh mewujudkan isu berat sebelah dalam pilihan raya. Untuk makluman Ahli Yang
Berhormat, SPR adalah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab untuk
memelihara, mengawasi dan mengekalkan demokrasi di negara ini. Berdasarkan
Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
setelah berbincang dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Pengerusi
dan Ahli-ahli SPR. Kebebasan SPR boleh dinilai melalui tindakan-tindakan yang
dilaksanakan, dan bukan hanya merujuk kepada kaedah pelantikan semata-mata. SPR
bersedia untuk berjumpa dengan Jawatankuasa Pilihan Khas yang bersifat
bipartisan untuk sebarang penjelasan berkaitan SPR.





17. Yang Berhormat Bera memohon kepastian mengenai kebebasan
semasa mengundi untuk memastikan tiada tekanan tertentu daripada pihak luar
contohnya kesalahan PRK tidak diambil tindakan oleh SPR. Beliau memohon
penjelasan mengenai tindakan SPR terhadap kesalahan pilihan raya di PRK Cameron
Highlands. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR telah membuat 5 laporan
polis terhadap kesalahan pilihan raya yang telah berlaku semasa PRK Cameron
Highlands telah dibuat oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya. SPR tidak
mempunyai kuasa untuk menyiasat berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya
termasuklah kesalahan melibatkan unsur-unsur rasuah yang disiasat oleh SPRM.
Lain-lain kesalahan pilihan raya disiasat oleh pihak PDRM.





(REFORMASI PILIHAN RAYA)





18. Yang Berhormat Julau, Yang Berhormat Masjid Tanah dan
Yang Berhormat Sibuti mencadangkan supaya tiga fungsi SPR iaitu penjalanan
pilihan raya, persempadanan dan pendaftaran pemilih diasingkan, mereformasikan
sistem pilihan raya, penetapan tarikh pilihan raya, pelaksanaan e-voting dan
kemudahan di Pusat Mengundi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SPR dengan
kerjasama Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihan
Raya (ERC) sedang menjalankan kajian perkara-perkara yang berkaitan reformasi
pilihan raya termasuklah perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang
Berhormat.





(PEMBERSIHAN DAFTAR PEMILIH)





19. Yang Berhormat Kota Kinabalu dan Kota Marudu telah
membangkitkan mengenai isu Daftar Pemilih yang tidak bersih sekiranya
pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan. Untuk makluman Ahli Yang
Berhormat, Kerajaan akan meneliti isu tersebut dengan lebih mendalam. Kerajaan
akan meneliti isu ini dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu
alamat ini. Isu alamat ini merupakan salah satu perkara yang diambil kira
sebelum pelaksanaan penuh pendaftaran automatik oleh SPR.





20.
Yang Berhormat Kota Bharu membangkitkan cadangan mewujudkan kategori baru
pengundi awal bagi pekerja di industri minyak dan perkapalan (yang bertugas
pada hari bekerja) untuk meningkatkan peratus keluar mengundi. Untuk makluman
Ahli Yang Berhormat, cadangan mewujudkan kategori baru pengundi awal akan
melibatkan pindaan kepada Peraturan 27A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
(Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Ia memerlukan penelitian opsyen-opsyen terbaik
sebelum mempertimbangkan cadangan ini.





(PENUTUP)





21.
Akhir kata, saya sekali lagi menyeru kepada semua ahli-ahli Dewan Yang Mulia
ini untuk bersatu hati bagi menyokong pindaan ini. Walaupun kita berbeza dari
segi fahaman politik, kita mampu bersetuju demi kebaikan, kesejahteraan dan
kemakmuran rakyat Malaysia. Marilah kita sama-sama mencipta sejarah Malaysia
pada hari ini.





22. Dengan itu, saya memohon
sokongan penuh Ahli-ahli Berhormat sekalian untuk Rang Undang-Undang ini
diluluskan.





Sekian, terima kasih.







Kami menerima 7,608,796 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri