Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN PUSPANITA KE-18
Lokasi : DEWAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PUTRAJAYA 1, PUTRAJAYA
Tarikh : 22-07-2000
 
Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya saya dapat hadir bersama-sama puan-puan dan tuan-tuan pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada PUSPANITA yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Yang Ke- 18 pada hari ini.

2. Saya telah mengikuti perkembangan PUSPANITA setakat ini dan berbangga dengan pencapaian PUSPANITA yang kini mempunyai seramai 47,995 orang ahli dari seluruh Malaysia. PUSPANITA juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 141 buah cawangan di peringkat Kementerian, negeri dan daerah. Ahli-ahli PUSPANITA boleh berbangga kerana mempunyai persatuan yang kukuh dan cergas yang diiktiraf dan dibantu oleh Kerajaan.

3. Sebagai persatuan wanita, PUSPANITA tentu mengikuti perbahasan tentang hak wanita yang telah lama diperjuangkan. Hanya pada awal abad ke-20 wanita baru diberi hak mengundi tetapi peranan dan hak mereka dalam bidang politik seperti juga dengan bidang sosial dan ekonomi terus dihalang. Apabila tamat abad ke-20 hak wanita di negara-negara maju sudah sama dengan hak lelaki sehingga apa sahaja yang boleh dilakukan oleh lelaki boleh dilakukan oleh wanita.

4. Kita tentu menerima baik agihan hak yang sama antara wanita dan lelaki. Kita tidak suka `male chauvanism' atau apa-apa jenis diskriminasi di antara lelaki dengan wanita. Tetapi hakikatnya ialah Tuhan menjadikan makhluknya berpasangan, lelaki dan perempuan yang mempunyai sifat-sifat tertentu yang berbeza-beza. Sifat-sifat ini memberi kekuatan dan kelemahan tertentu kepada kedua-dua jantina atau seks. Kita tidak memerlukan sifat-sifat yang berbeza ini dihapuskan sepenuhnya kerana mengejar persamaan.

5. Kita dapati di Barat penentuan persamaan sudah sampai kepada tahap yang merosakkan moral masyarakat. Mengikut naluri manusia lelaki berkahwin dengan perempuan dan mendirikan rumahtangga. Kerana pendapat bahawa tidak ada perbezaan di antara lelaki dengan perempuan, maka perkahwinan antara perempuan dengan perempuan juga boleh dilakukan. Jika anak tidak dapat dihasilkan kerana percanggahan biologikal, maka cara- cara luar nikah diizinkan.

6. Kerana terlalu mengejar persamaan, maka keruntuhan akhlak dan masyarakat sumbang telah dihasilkan. Lelaki juga melakukan perbuatan sumbang ini. Sekarang segala- galanya boleh dilakukan secara terbuka tanpa segan silu.

7. Kita di Malaysia ingin melihat wanita mendapat hak yang sama tetapi kita perlu akui ada sifat-sifat yang berbeza antara lelaki dan perempuan yang menyekat persamaan secara total. Seperti juga lelaki tidak harus berlagak sebagai perempuan, perempuan juga tidak harus berlagak sebagai lelaki. Perbezaan sifat-sifat ini adalah perkara semulajadi dan tidak menidakkan hak lelaki atau perempuan.

8. Yang penting bagi kita di Asia ialah wanita mendapat layanan yang sama dalam masyarakat daripada segi hak dan peluang dalam bidang pendidikan, pekerjaan yang sesuai dengan sifat semulajadi, keadilan, taraf dan tempat dalam masyarakat serta lain-lain.

9. Pendapat kuno bahawa wanita adalah hak milik lelaki sama seperti harta benda lain memang pun tidak secocok dengan persamaan hak antara lelaki dengan wanita. Pendapat bahawa wanita hanya diadakan untuk memuaskan nafsu lelaki hanya mencerminkan pandangan sempit kaum lelaki. Nafsu bukan untuk hiburan tetapi untuk mengekalkan makhluk yang dijadikan oleh Tuhan. Kita lihat kerana persamaan antara lelaki dengan perempuan memberi kebebasan yang tidak terhad kepada kedua-dua jantina, masyarakat Barat telah menjadi masyarakat hedonis iaitu masyarakat yang hanya asyik mengejar keseronokan dan kepuasan nafsu tanpa tanggungjawab kekeluargaan. Manusia seharusnya tidak begitu kerana itu menghapuskan perbezaan di antara manusia dengan haiwan.

10. Di Malaysia kita menuntut perseimbangan hak dan keadilan di antara lelaki dan perempuan bukan persamaan tanpa batasan antara mereka. Wanita akan terus bersifat wanita dan lelaki bersifat lelaki seperti yang dijadikan oleh Tuhan. Tetapi kita tidak menerima pandangan bahawa wanita adalah puak yang terhina dan tidak mempunyai hak yang sama seperti lelaki. Kita tidak ingin melihat wanita ditindas kerana kononnya Tuhan menjadikan mereka puak yang terhina. Di zaman jahiliah memanglah benar perempuan dianggap begitu hina sehingga anak perempuan di tanam hidup-hidup. Islam melarang amalan yang tidak berperikemanusiaan ini. Islam memberi tempat tertentu kepada kaum wanita. Tetapi ada antara kita yang ingin kembali ke zaman jahiliah dengan menindas dan menidakkan hak dan keadilan kepada wanita. Dengan itu berlakulah layanan yang jelas tidak adil kepada wanita di zaman ini. Di negara-negara tertentu kerana kononnya bertanggungjawab memelihara dan menebus maruah keluarga, ada yang membunuh adik atau kakak kerana melakukan perkara yang dikatakan memalukan. Yang anehnya apabila abang atau adik lelaki memalukan keluarga, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil, bahkan ada antara golongan yang terpelajar dalam bidang agama yang mendakwa kesalahan lelaki perlu disembunyikan.

11. Agama Islam ialah agama yang adil. Maruah keluarga bukanlah sesuatu yang melebihi keadilan. Ketidakadilan yang dilakukan kepada wanita tidak mempunyai asas agama. Ia berpunca daripada salah tafsiran ajaran Islam oleh lelaki dalam masyarakat yang dikongkong oleh lelaki yang percaya jenayah yang sama yang dilakukan oleh mereka tidak salah.

12. Di Malaysia kaum wanita perlu berjuang untuk keadilan dan pertimbangan yang waras bagi wanita, bukan untuk menjadikan wanita itu lelaki sehingga keburukan yang dilakukan oleh lelaki sepatutnya dihalalkan bagi wanita juga. Budaya kita dan kesopanan kita perlu dipertahankan kerana tidak ada yang memalukan kita walaupun budaya kita berbeza daripada budaya Barat yang dianggap oleh mereka sebagai sejagat atau `universal'.

13. Oleh kerana pegangan kita kepada budaya kitalah yang isteri-isteri kepada semua pegawai dalam semua perkhidmatan Kerajaan mengadakan badan-badan amal. Badan-badan ini bukan terhad kepada menjaga dan memperjuangkan hak isteri-isteri. Badan-badan amal isteri di Malaysia adalah badan kebajikan yang menjaga kebajikan keluarga dan masyarakat umum. Ia amat sesuai dengan konsep masyarakat prihatin yang menjadi satu daripada matlamat kita.

14. Dalam pada itu terdapat juga keperluan menolong suami dalam menjayakan perkhidmatannya dalam perkara tertentu. Demikian apabila tetamu dari luar negeri melawat bersama isteri mereka, maka isteri pegawai tempatan dapat memberi layanan kepada isteri tetamu. Biasanya apabila pegawai kita membuat lawatan ke luar negeri bersama isteri, layanan yang sama diberi oleh isteri pegawai yang menjadi tuan rumah.

15. Tentulah kita akan mendapat imej yang buruk jika kita dilayan di negara lain sementara kita tidak memberi layanan kepada isteri tetamu yang melawat negara kita.

16. Isteri tidak dibayar gaji atau apa-apa upah untuk memberi layanan ini. Tetapi saya percaya tiap satu kebaikan yang kita lakukan akan ada balasannya.

17. Di zaman materialis ini ramai daripada kita yang suka bertanya apa yang kita dapat apabila kita menyumbangkan sesuatu. Sebenarnya tiap kebaikan yang kita lakukan ada balasannya walaupun tidak secara langsung. Jika kita memberi perkhidmatan yang baik sehingga lebih daripada yang dikehendaki daripada kita, negara tetap akan maju dan tumbuh dengan pesat. Negara yang maju dapat menyediakan banyak kemudahan kepada kita. Di Malaysia kemajuan yang dicapai kerana rakyat cintakan keamanan dan tidak suka huru-hara telah memberi kualiti hidup yang tinggi kepada kita. Sebaliknya jika huru-hara sering berlaku segala pendapatan Kerajaan perlu dibelanjakan untuk mengawal keselamatan dan keamanan. Pihak swasta juga perlu belanja wang untuk keselamatan. Kita juga perlu menjaga keselamatan kita.

18. Semua ini akan mengalihkan perbelanjaan kita daripada kesejahteraan hidup kepada perlindungan diri. Segala kos sara hidup akan meningkat kerana semua pihak perlu menghabiskan sebahagian daripada pendapatan untuk keselamatan dengan menaikkan segala harga.

19. Dalam negara yang aman dan selamat di mana tidak semua daripada perkhidmatan yang diberi mesti dibalas dengan upahan, kos sara hidup tetap rendah dan kualiti hidup pula lebih baik.

20. PUSPANITA yang ditubuhkan untuk menggemblengkan tenaga isteri dalam kegiatan sukarela secara langsung meringan dan meningkatkan kualiti hidup ahli dan keluarga serta masyarakat. Kita tidak dapat menilai kebaikan dan hasil daripada PUSPANITA melainkan jika kita bubarkan badan ini. Pada ketika itu barulah kita akan sedar terhadap khidmatnya dan hubungan silaturrahim yang terjalin daripadanya.

21. Pada kebiasaannya kemajuan badan seperti PUSPANITA banyak bergantung kepada kepimpinan. Alhamdulillah sejak ianya ditubuhkan, PUSPANITA telah memperolehi kepimpinan yang baik yang terdiri daripada isteri- isteri pegawai yang diketuai oleh isteri kepada Ketua Setiausaha Negara.

22. Saya percaya dalam usaha untuk menjadikan ahli- ahli lebih aktif dan lebih dihormati, lebih banyak latihan perlu diberi untuk membentuk peribadi yang sesuai dengan tugas dan kedudukan isteri pegawai Kerajaan dalam masyarakat. Seperti juga dengan pegawai- pegawai dan kakitangan Kerajaan yang dikehendaki menerap nilai-nilai Islam dan nilai-nilai moral yang tinggi, isteri-isteri pegawai juga perlu menerap nilai- nilai yang sama. Di sini isteri-isteri perlu tahu akan maksud menerap nilai-nilai Islam. Kita ingin melihat segala nilai yang mulia seperti amanah, keikhlasan, berpegang kepada janji dan ikrar, jujur, bertanggungjawab dan nilai-nilai lain yang mulia yang diajar oleh agama Islam, diterima, diserap dan diamalkan oleh isteri pegawai sama seperti pegawai juga.

23. Sementara kita tidak boleh lupa akan ibadat-ibadat tertentu yang termasuk dalam fardu `ain yang kita semua mesti amalkan, kita tidak boleh lupa bahawa pelajaran fardu `ain semata-mata bukanlah matlamat tunggal penerapan nilai-nilai Islam. Segala kebaikan yang kita buat untuk kebaikan masyarakat kita juga adalah sebahagian daripada ibadat dalam Islam. Tidak ada kebaikan yang kita buat yang tidak disuruh atau ditegah oleh agama Islam dan agama lain juga. Sebaliknya tidak ada keburukan yang disuruh atau diizinkan oleh agama Islam.

24. Di sini ahli-ahli PUSPANITA hendaklah berhati-hati dengan pendapat yang dibawa oleh orang-orang tertentu yang suka menyalahtafsirkan agama untuk menimbulkan kebencian kepada orang lain terutama kepada Kerajaan dan pemimpin-pemimpin Kerajaan. Dengan membuat dakwaan- dakwaan tertentu mereka ini akan cuba menyemaikan perasaan kebencian dalam hati kita sehingga kita menerima dan mengizinkan perbuatan yang salah dan berdosa.

25. Baru-baru ini telah berlaku peristiwa penyeksaan dan pembunuhan oleh satu kumpulan yang kononnya ingin menghayati ajaran Islam. Dengan membakar hati pengikut kumpulan ini melalui berbagai-bagai tafsiran agama yang salah, mereka berjaya mengheret ahli-ahli mereka untuk melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama Islam itu sendiri.

26. Perasaan kebencian kepada pihak-pihak lain akan menyebabkan kita hilang akal dan maruah tanpa sebab. Semakin lama semakin kuat perasaan kebencian. Sebab perasaan kebencian ini, kebenaran dan keadilan sudah menjadi tidak penting lagi.

27. Di zaman jahiliah dahulu perasaan kebencian antara kabilah-kabilah Arab memang dipupuk daripada kecil. Kabilah musuh sudah tidak ternampak sebagai manusia biasa. Ahli-ahli kabilah begitu taksub kepada kabilahnya sehingga jenayah sanggup dilakukan atas nama kepentingan dan kesetiaan kepada kabilah sendiri. Mereka inilah yang dikenali sebagai puak Assabiah. Kerana ketaksuban inilah maka Arab Jahiliah menjadi bangsa yang mundur dan lemah.

28. Hari ini ramai orang Islam yang kembali kepada amalan jahiliah yang mengutamakan puak lebih daripada ummah. Di Malaysia juga kita dapati ramai yang menggunakan kebencian untuk menjayakan perjuangan mereka. Lambat laun kebencian ini akan meningkat ke tahap yang kita lihat baru-baru ini dengan kumpulan Al- Ma'unah. Agama di salahtafsirkan untuk tujuan menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada Kerajaan dan orang-orang bukan Islam. Akhirnya tindakan ganas diambil sehingga sanggup menyeksa dan membunuh secara kejam kerana benci dan berlainan agama. Manusia biasa yang bukan penjenayah boleh menjadi pembunuh kerana menerima hasutan melalui syarahan-syarahan oleh orang- orang yang berkepentingan.

29. PUSPANITA mungkin menjemput pensyarah agama dengan niat meningkatkan pengetahuan agama. Kadang-kadang pensyarah-pensyarah ini mengambil kesempatan untuk menjayakan kepentingan tertentu mereka dengan membangkitkan kemarahan dan kebencian kepada Kerajaan. Mereka akan menuduh Kerajaan sebagai tidak Islam kerana berbagai sebab. Kerajaan akan dituduh tidak menguatkuasakan hukum hudud di negara ini, seolah-olah ini menjadikan negara Islam. Bahawa kebanyakan negara OIC termasuk yang dikenali sebagai "Republik Islam" juga tidak mengamalkan hukum hudud tidak diambilkira. Malaysia dan Kerajaan Malaysia ditakrif oleh puak ini sebagai tidak Islam dan percubaan dibuat untuk menjatuhkan Kerajaan.

30. Syarahan-syarahan yang membangkitkan perasaan marah dan benci kepada Kerajaan amat merbahaya dan PUSPANITA tidak harus memberi peluang kepada pensyarah agama seperti ini. Sebaliknya PUSPANITA hendaklah mempelajari agama Islam yang sebenar seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis yang sahih yang mana pencetusan huru-hara dan tidak setia kepada ulul-amri adalah ditegah.

31. Insya-Allah dengan pengetahuan agama dan nilai- nilai murni pergerakan PUSPANITA akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan pembangunan diri sendiri.

32. Akhir kata saya ucapkan selamat maju jaya kepada PUSPANITA.

33. Dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Yang Ke-18 ini.




Kami menerima 7,368,413 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri