Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM KETIGA
Lokasi : RIVIERA BAY RESORT, MELAKA
Tarikh : 03-10-2002
 
Saya ucapkan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada pagi ini, kita dapat bersama-sama berkumpul untuk menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (KDMDI) kali Ke-3 di Melaka. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah mengundang saya untuk merasmikan konvensyen dan ekspo perdagangan dunia Melayu dunia Islam.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat datang kepada para peserta KDMDI dan para perwakilan Gabenor-gabenor dari Indonesia dan juga wakil daripada masyarakat Melayu dan Islam bukan sahaja dari Asia Tenggara tetapi juga dari seluruh dunia.

3. Tujuan utama KDMDI ini diadakan setiap tahun sejak tahun 2000 adalah untuk mengumpulkan para pemimpin dari dunia etnik Melayu dan dunia Islam untuk berbincang mengenai pelbagai aspek kepentingan bersama terutamanya sosio-budaya dan ekonomi di samping mewujudkan jaringan atau `networking' di antara para pemimpin masyarakat dunia etnik Melayu dan dunia Islam. Di sini etnik Melayu bukanlah terhad kepada penduduk Semenanjung yang dinamakan Tanah Melayu tetapi semua daripada kumpulan etnik yang sama yang terdapat di kepulauan Asia Tenggara, Pasifik dan juga Lautan Hindi hingga ke Madagascar.

4. Sebenarnya masyarakat etnik Melayu telah mula mencipta tamadun mereka semenjak abad kedua hinggalah abad ke-15 sebelum kedatangan Islam ke Nusantara. Orang Melayu telah pun mendirikan Kerajaan dan membina tamadun Melayu di Langkasuka, Kedah Tua di Semenanjung Tanah Melayu juga di Kalimantan Timur, Sriwijaya dan Majapahit.

5. Setelah kedatangan Islam ke alam Melayu pada abad ke-15, Kerajaan Melayu dan Islam telah wujud seperti Kerajaan Islam Pasai di Acheh, Kerajaan Empayar Melayu Melaka, Kerajaan Islam di Brunei, Pattani, Johor-Riau, Mindanao dan lain-lain. Antara Kerajaan Islam tersebut, Kerajaan Melayu Melaka merupakan kerajaan yang paling menonjol pada abad ke-14 dan ke-15 dan awal abad ke-16 di mana Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan dan pusat penyebaran Islam di sebelah timur. Keagungan Kerajaan Empayar Melayu Melaka dan Kerajaan Melayu lain telah menarik bangsa-bangsa Barat untuk berdagang dan kemudian untuk menjajah sebagai cara menentukan bekalan barangan dari kepulauan Melayu Asia Tenggara.

6. Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, bangsa barat yang lain seperti Belanda, Inggeris dan Sepanyol telah merebut wilayah tertentu untuk masing-masing. Penjajah barat bukan sahaja menjajah bumi Melayu tetapi juga telah berjaya menjajah minda orang Melayu. Orang Melayu telah merasai diri mereka sebagai bangsa yang serba kekurangan dan menyerah segala-galanya kepada penjajah. Dengan itu tamadun Melayu pun runtuh.

7. Selama 450 tahun etnik Melayu di Asia Tenggara dijajah secara langsung. Tidak ada percubaan secara terancang oleh etnik Melayu untuk membebaskan wilayah dan bangsa mereka sehinggalah bangsa-bangsa Barat diusir oleh Jepun dalam Perang Pasifik. Apabila tamat Perang Pasifik dengan Jepun dikalahkan maka barulah ada pemberontakan oleh etnik Melayu untuk membebaskan wilayah mereka.

8. Ikatan orang Melayu Semenanjung dengan agama Islam amatlah kuat. Penjajah sedar bahawa agama Islam yang dianuti oleh orang Melayu tidak boleh disentuh. Demikian juga adat istiadat orang Melayu. Oleh itu apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan maka ke- Islaman orang Melayu dikait rapat dengan bangsa Melayu. Demikian Perlembagaan Tanah Melayu menegaskan bahawa orang Melayu adalah beragama Islam, selain daripada berbahasa Melayu dan beradat istiadat Melayu.

9. Selain daripada menganuti agama Islam, orang Melayu Semenanjung adalah orang Islam Sunni, iaitu Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan mereka mengikuti ajaran Imam Syafie. Dengan itu tidak ada perbalahan antara mereka seperti yang berlaku di kalangan umat Islam lain yang terbahagi kepada Sunni dan Syiah dan berbagai-bagai mazhab yang berbeza-beza tafsiran ajaran Islam mereka.

10. Perpaduan Melayu Semenanjung sepatutnya terjamin kerana anutan ajaran Islam yang sama. Dan sebenarnya semasa mereka berjuang untuk mencapai kemerdekaan, perpaduan mereka begitu kukuh sehingga tidak dapat dipecahbelah oleh penjajah. Tetapi penjajah berjaya juga meninggalkan "time bomb" seperti yang dilakukan oleh mereka di negara-negara lain yang dijajah oleh mereka. "Time bomb" yang ditinggal ini berasas kepada perselisihan agama. Hari ini "time bomb" ini sudah meletup sedikit demi sedikit dan perpecahan yang tidak ada dahulu sudah pun berlaku.

11. Bangsa Melayu sebagai umat Islam sedang melalui proses yang sama yang terdapat di kalangan umat Islam dan wilayah mereka. Perselisihan pendapat berkenaan dengan agama menyebabkan mereka berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Polemik berkenaan dengan agama memesongkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar dan asas. Umpamanya sementara Islam menyuruh penganutnya bersaudara mereka sering bermusuhan sesama mereka sehingga menjadi begitu lemah dan mudah ditindas dan diperalatkan oleh musuh-musuh Islam.

12. Hari ini sesungguhnya umat Islam, termasuk orang Melayu, berada dalam zaman gelap. Mereka ditindas di mana-mana sahaja. Keadilan tidak wujud bagi mereka. Kerana mereka menolak ajaran Islam supaya menuntut ilmu dan menyediakan diri untuk mempertahankan Islam dan umat Islam hari ini apabila umat Islam ditindas tidak ada mana-mana pihak daripada mereka yang mampu memberi pertolongan. Kecewa dengan keadaan ini, beberapa daripada mereka mengambil tindakan ganas yang hanya mengundang penindasan yang lebih dahsyat. Tidak ada perancangan yang bijak dan strategi yang mengambil kira kekuatan dan kelemahan mereka dan musuh mereka supaya perjuangan mereka akan menghasilkan kejayaan bagi mereka. Yang diutamakan dan yang mendorong mereka ialah hanya untuk membalas dendam dan melepas geram, iaitu mengikut nafsu dan tidak perhitungan akal fikiran.

13. Bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia seharusnya sedar dan membuka mata seluas-luasnya untuk melihat keadaan hidup umat Islam yang ditindas dan dianiaya ini. Tanpa kekuatan atau daya ketahanan, orang Melayu dan umat Islam tetap menjadi lemah dan akan hilang martabatnya. Sekiranya bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia tidak mahu menjadi mangsa, termasuk menjadi mangsa globalisasi yang dirancang dunia sekarang, maka bangsa Melayu dan umat Islam perlu kembali kepada asas-asas ajaran Islam, terutama untuk menguasai segala ilmu yang penting termasuk ilmu berkenaan pertahanan dan alatan yang diperlakukan untuk tujuan ini. Sudah tentu tuntutan supaya orang Islam bersaudara dan tidak mencetuskan kacau bilau dalam masyarakat mereka perlu diamalkan.

14. Pengislaman yang mula pesat di rantau ini pada abad ke-13 telah menghasilkan transformasi jiwa dan minda bangsa Melayu. Ajaran Islam yang dilandaskan kepada ilmu dan perkembangan minda telah membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu tahyul, dongeng, mitos dan pelbagai kepercayaan karut. Melalui ajaran dan pendekatan Islam, bangsa Melayu diasuh berfikir secara rasional, logik dan saintifik. Lalu terbinalah tamadun keilmuan Melayu hasil pendedahan kepada karya- karya agung Islam seperti Ibnu Arabi, al-Ghazali, Syafie dan al-Asy'ari. Namun tidak banyak tumpuan diberi kepada ilmu-ilmu yang diterokai oleh Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Al-Khawarijma, Ibnu Rushdi dan lain-lain iaitu mereka yang menerokai bidang hisab, pelayaran, geografi, perubatan dan sains.

15. Sebagai umat Islam, bangsa Melayu berkesempatan menemui umat Islam yang lain dan mengenali tamadun mereka. Pertemuan ini menghasilkan pertumbuhan bahasa Melayu dengan tambahan perkataan-perkataan daripada bahasa-bahasa Arab, Parsi dan lain-lain. Di masa yang sama tamadun-tamadun orang ini diserap menjadi sebahagian daripada tamadun Melayu. Tetapi ke- Melayuan tamadun Melayu tidak hilang bahkan sedikit sebanyak mempengaruhi juga tamadun bangsa lain antara umat Islam. Sebab itu Bangsa Melayu tidak hilang dari muka bumi ini seperti yang berlaku kepada beberapa bangsa dan tamadun lain.

16. Walaupun lumpuh semasa dijajah oleh kuasa-kuasa Barat dan adakalanya diserang dan ditakluk oleh bangsa jiran yang berbudaya dan beragama lain, Bangsa Melayu dapat mengekalkan identiti tamadunnya. Malangnya selepas kejatuhan Melaka, bangsa Melayu tidak lagi menjadi satu bangsa dengan wilayah tertentu. Seperti bangsa-bangsa Eropah dahulu, orang Melayu terbahagi kepada wilayah-wilayah kecil yang masing-masing diperintah oleh raja-raja.. Penyatuan sebagai satu bangsa tidak berlaku terutama kerana dasar "divide and rule" yang diamalkan oleh British. Identiti negeri- negeri diperkuatkan oleh British walaupun seluruh Semenanjung diletak di bawah kuasa mereka.

17. Akibatnya tidak ada usaha secara serentak dan bersama untuk menebus balik kebebasan bangsa Melayu. Jika ada pun penentangan terhadap penjajahan, ia berlaku secara kecil-kecilan dan berasingan dan ditumpas dengan mudahnya oleh penjajah. Demikian pemberontakan oleh Tok Gajah, Mat Kilau, Dato Sagor, Tok Janggut dan lain-lain. Tidak ada sokongan daripada orang Melayu kepada mereka. Penjajahan diteruskan dan orang Melayu kembali tenang dan bersedia untuk berada di bawah pemerintahan British.

18. Bibit-bibit nasionalisme bermula apabila calon- calon untuk latihan perguruan ditempatkan di Maktab Perguruan di Tanjung Malim. Buat kali pertama orang Melayu dari negeri-negeri yang berlainan mengenali diri mereka sebagai orang sebangsa dan seagama, yang menduduki negara yang sama. Dengan itu mereka merancang untuk menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Pendapat yang sama terdapat juga di wilayah etnik Melayu yang dijajah oleh Belanda, iaitu Gugusan Pulau-Pulau Melayu yang kemudian dikenali oleh nasionalis sebagai Indonesia.

19. Perpaduan Melayu di Semenanjung hanya berlaku apabila pihak British merancang untuk menidakkan hak Melayu di Semenanjung dengan menggabungkan negeri- negeri Melayu dan Negeri Selat dalam satu persatuan yang dinamakan `Malayan Union'. Berhadapan dengan kemungkinan hilangnya tanah Melayu dan dengan itu bangsa Melayu, kemungkinan orang Melayu menjadi satu kaum dan bukan satu bangsa, maka barulah tumbuh kesedaran yang menggerakkan orang Melayu untuk bersatupadu dan bertindak bersama menebus bangsa dan tamadun Melayu.

20. Hari ini bangsa Melayu hidup semula sebagai satu bangsa. Berkat perpaduan, mereka berjaya membebaskan diri dan mendapat peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan menghidup semula budaya dan tamadun Melayu. Kebolehan orang Melayu tidak perlu dipersoal. Mereka memang boleh mendirikan tamadun Melayu moden yang sama seperti tamadun bangsa-bangsa maju di dunia.

21. Soalnya ialah apakah kita benar-benar ingin menebus kebesaran tamadun Melayu? Kita tidak perlu mengkhayalkan diri kita dengan cerita-cerita lama berkenaan keagungan Melaka atau Sri Wijaya atau lain- lain. Lebih-lebih lagi jangan kita tokok tambah kepada kebenaran seperti yang sering dibuat oleh ahli sejarah bangsa-bangsa lain. Kita perlu pegang kepada kenyataan dan menjadikan segala kesalahan lama kita yang menyebabkan kita dijajah selama 450 tahun sebagai pengajaran. Ingatlah mereka yang lupa akan sejarah (yang sebenar) akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali. Jika tidak hendak dijajah sekali lagi, dan ini memang mungkin berlaku dengan rancangan globalisasi, maka janganlah kita ulangi kesalahan kita dalam sejarah. Tidak ada kuasa sakti, tidak ada Sang SapurbaTrimurti Tribuana, tidak ada Demang Lebar Daun dan tidak ada todak yang akan menyelamat kita, kita orang Melayu, kita orang Islam dengan agama dan tamadun kita.

22. Realiti hari ini ialah orang Melayu sebagai orang Islam sedang diserang dan ditindas bukan kerana kita bersalah tetapi kerana kita lemah. Dalam dunia "Might is Right" kekuatan menghalalkan segala-galanya. Kita tidak boleh berharap kepada keadilan atau kepada belas kasihan orang. Tamadun Islam dan tamadun Melayu memang gemilang tetapi kegemilangan yang dahulu hanya mencerminkan ketidakgemilangnya zaman ini.

Pantun Melayu berbunyi: "Pulau Pinang negerinya baru Kapitan Light menjadi Raja Bila terkenang zaman dahulu Duduk mengalir air mata"

23. Air mata kita tidak mengalir sekarang. Kita etnik Melayu sudah bebas. Tamadun kita sudah hidup semula. Tetapi memandang akan kecapaian etnik Melayu/Islam semasa, bukanlah sesuatu yang mustahil kita akan mengalir air mata sekali lagi, mengenang zaman ini.

24. Kita boleh berbangga umat Islam berjumlah 1.3 bilion dan etnik Melayu 300 juta tetapi jumlah yang besar tidak menjamin kebebasan ummah dan tamadun. Orang Cina juga 1.3 bilion dan perpaduan serta kekuatan mereka berkali ganda lebih daripada umat Islam.

25. Kita boleh salahkan orang tetapi tidak mungkin kita menyuruh mereka betulkan diri mereka supaya kita akan dapat manfaat daripadanya. Sebaliknya kita berkuasa ke atas diri kita. Jika pembetulan hendak dibuat untuk kebaikan kita, kita sendirilah yang perlu mengusahakannya.

26. Semoga usaha menghimpunkan para pemimpin masyarakat Melayu Islam seluruh dunia seperti ini dapat menghasilkan rumusan yang boleh dijadikan panduan berguna oleh semua warga Melayu dan Islam seluruh dunia untuk membawa perubahan ke atas negara masing-masing. Syabas sekali lagi kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (ISKEP). Semoga usaha ini akan diteruskan untuk kepentingan semua.

27. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam Kali Ketiga.

Sekian.

Kami menerima 7,364,539 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri