Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI MOHD SIDEK BIN HAJI HASSAN
Tajuk : MAJLIS PERJUMPAAN DENGAN KETUA-KETUA MASYARAKAT KUARTERS PUTRAJAYA
Lokasi : DEWAN MAKAN, BLOK B1 JPM
Tarikh : 07-04-2008
 

Bismillahir rahmanir rahim



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera



Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam



Y. Bhg. Dato’ Mohtar Abas

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM



Y. Bhg. Encik Zainol Othman

Timbalan Ketua Setiausaha JPM



Yang Berusaha Encik Hasnol Zam Zam Ahmad, Setiausaha Bahagian

Pengurusan Hartanah, JPM

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.



Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya kita dapat berhimpun dalam Majlis Perjumpaan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada malam ini bagi membolehkan kita berkenal mesra antara satu sama lain serta merapatkan silaturrahim selaku anggota masyarakat Putrajaya yang menetap dan bekerja di sini.



2. Banyak telah diperkatakan mengenai Putrajaya, baik dari segi perancangannya, pembangunan, kemudahan yang ada, kecantikan dan keindahan, mahupun kecanggihan teknologi yang terdapat di sini. Selain mendirikan bangunan pejabat, pusat-pusat komersial, taman-taman serta kemudahan infrastruktur yang lain, kemudahan kuarters untuk kediaman kakitangan awam juga telah didirikan. Sehingga kini, sebanyak 11,213 unit kuarters Kerajaan telah siap dibina dan sebahagian besarnya telah didiami oleh kakitangan awam.



3. Dari aspek kos pembinaan pula, sehingga 1 Mac 2008, sebanyak RM3.7 billion telah dibelanjakan. Menjelang akhir tahun 2010, dijangkakan sebanyak 12,073 unit kuarters baru akan diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Hartanah atau BPH untuk diuruskan. Keseluruhan perbelanjaan bagi pembinaan kuarters adalah dianggarkan sebanyak RM5.8 billion.



Hadirin yang dihormati sekalian,



4. Sesungguhnya bukan suatu perkara yang mudah untuk merealisasikan sebuah Pusat Pentadbiran Negara yang serba lengkap dan moden. Banyak usaha dan keringat yang telah dicurahkan di samping jutaan jumlah wang yang dibelanjakan. Sehubungan itu, adalah amat mendukacitakan apabila rata-rata diperhatikan kemudahan yang disediakan ini tidak dimanfaatkan dan dijaga dengan baik sebagaimana kita menjaga dan menghargai harta benda kita sendiri.



5. Dalam hubungan ini, adalah amat penting bagi kita untuk membentuk anggota masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama yang dapat menghargai segala macam kemudahan yang dinikmati, khususnya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Ini adalah merupakan suatu cabaran yang perlu kita hadapi bersama.



6. Bercakap mengenai komuniti Putrajaya, kita tidak dapat lari dari mengaitkannya dengan warga kakitangan awam yang menghuni kuarters-kuarters yang disediakan oleh Kerajaan. Putrajaya sudah sinonim dengan statusnya sebagai bandar penjawat awam. Di sinilah terdapatnya konsentrasi warga kakitangan awam yang paling tinggi di Malaysia. Justeru itu, apa yang dilihat dan berlaku di Putrajaya baik perkara positif mahupun negatif adalah bayangan kepada sikap dan tingkah laku warga penjawat awam itu sendiri.



7. Saya menyimpan hasrat agar Putrajaya, yang sebahagian besar penduduknya adalah kakitangan awam, berbangsa Melayu dan beragama Islam boleh dijadikan sebagai sebuah bandar contoh, sama ada dari aspek sikap, cara berfikir mahupun gaya hidup. Mudah-mudahan pada suatu hari kelak, apabila dunia tertanya-tanya di manakah boleh dilihat sebuah bandar contoh yang moden dan sempurna dari pelbagai aspek, saya amat berharap agar Putrajaya adalah antara nama bandar yang disenaraikan.



Hadirin yang dihormati sekalian,



8. Akhir ini, terdapat banyak kes vandalisme dan kemerosotan akhlak yang melibatkan anak-anak dan ahli keluarga penghuni kuarters di Putrajaya. Pada tahun 2007, sebanyak 35 hingga 40 kes vandalisme dan kemerosotan akhlak telah direkodkan, manakala sebanyak 6 kes yang serupa telah direkodkan sehingga bulan Mac 2008.



9. Saya harap perkara ini dapat dikawal dan dibendung dengan sebaik mungkin sebelum menjadi lebih serius. Kita perlu sentiasa mendidik dan menasihati anak-anak supaya jangan membuang sampah merata-rata tempat serta menjaga harta benda awam dengan cermat supaya boleh bertahan lama dan dapat digunakan sehingga ke anak cucu pada masa hadapan.



10. Pada tahun 2007, sebanyak RM4.7 juta telah dibelanjakan oleh BPH untuk menyelenggara kuarters-kuarters kerajaan. Sebahagian daripada perbelanjaan tersebut sebenarnya boleh dielakkan jika penghuni kuarters dapat bersama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan dengan baik.



11. Memandangkan bilangan kuarters akan terus bertambah mana kala usia kuarters yang ada semakin meningkat, kos penyelenggaraan kuarters-kuarters dijangka akan meningkat. Di sinilah perlunya warga penghuni kuarters memainkan peranan supaya kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak perlu dapat dielakkan.



Hadirin yang dihormati sekalian,



12. Dari maklumat yang diperolehi, terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh warga penghuni kuarters. Saya telah mengarahkan supaya BPH lebih sensitif terhadap aduan-aduan yang dikemukakan serta memberi perhatian dan tindakan segera mengenai apa jua aduan yang melibatkan kuarters. Dalam hubungan ini, BPH telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan pengguna kuarters mengemukakan aduan. Sebagai contoh, BPH telah mewujudkan Pusat Khidmat Pelanggan, menerima aduan secara online dan yang terbaru mengadakan Pusat Aduan Bergerak di Pasar Tani pada setiap hari Jumaat dan di Pasar Presint 8 pada setiap hari Sabtu.



13. Saya percaya aduan-aduan ini akan ditangani secara bersepadu, di mana kerosakan kecil akan dikendalikan sama ada oleh BPH atau disalurkan kepada kontraktor penyenggaraan yang telah dilantik di setiap kawasan untuk pembaikan. Kerosakan besar pula, akan dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya. BPH dan JKR akan mengadakan pemantauan secara berkala bagi memastikan aduan-aduan diambil tindakan dengan cepat mengikut skop spesifikasi yang ditetapkan.



Hadirin yang dihormati sekalian,



14. Satu isu semasa yang mendapat perhatian penghuni-penghuni kuarters pada masa ini ialah isu hilang kelayakan menduduki kuarters apabila mempunyai rumah dalam lingkungan 25 kilometer radius dari tempat bekerja, seperti yang dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 yang berkuatkuasa mulai 1 April 2008.



15. Sebenarnya, penghuni yang terlibat masih boleh terus menduduki kuarters masing-masing, dengan syarat penghuni bersetuju dengan bayaran berganda bagi kuarters yang diduduki. Sebagai contoh, untuk kuarters kelas G, akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM45 di samping pemotongan Imbuhan Tetap Perumahan.



16. Saya harap isu bayaran berganda ini dapat difahami serta dilihat dalam konteks yang positif dengan mengambilkira segala kemudahan sampingan yang dinikmati, seperti infrastruktur bertaraf dunia dan kemudahan sokongan lain seperti sekolah, pusat komuniti, taman-taman rekreasi dan sebagainya.



17. Selain daripada itu, masalah meter air untuk penghuni apartmen akan diselesaikan pada penghujung bulan Julai 2008. Unit apartmen yang baru akan dipasang terus dengan meter individu bagi membolehkan bil penggunaan air dikira mengikut kadar biasa.



Hadirin yang dihormati sekalian,



18. Pada kesempatan ini, saya ingin menggalakkan agar saudara-saudari memainkan peranan yang aktif melalui Persatuan Penduduk yang saudara-saudari wakili. Pelbagai aktiviti kejiranan boleh dijalankan bagi mengeratkan ikatan silaturahim, seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.



19. Saya ingin mengesyorkan supaya aktiviti gotong-royong dihidupkan semula dan dijadikan budaya di kalangan warga penghuni kuarters di Putrajaya. Melalui aktiviti gotong-royong, kita akan dapat memupuk semangat saling tolong-menolong, bersama memikul tanggungjawab serta menjalin hubungan yang akrab antara sama lain. Dengan itu, saya yakin keharmonian kehidupan di Putrajaya akan dapat dipertingkatkan.



20. Selain itu, perasaan bertimbang rasa serta saling hormat menghormati antara jiran adalah sangat penting. Sebagai contoh, tidak menggunakan tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU); tidak membuat bising pada waktu-waktu yang tidak sesuai sehingga mengganggu jiran tetangga; dan bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan dengan memastikan sampah sarap dibuang di tempat yang betul. Perkara-perkara seperti ini sepatutnya difahami bersama dan tidak perlu dilaporkan kepada BPH untuk diselesaikan.



21. Dalam hubungan ini, saya ingin menyarankan supaya warga penghuni kuarters membentuk kod etika yang bersesuaian dengan kawasan masing-masing. Melalui kod etika ini, penghuni boleh membudayakan amalan bermasyarakat yang baik yang dipersetujui dan diterimapakai secara bersama.



Hadirin yang dihormati sekalian,



22. Pada malam ini, saya akan melancarkan Pelan Strategik Bahagian Pengurusan Hartanah bagi tempoh 2008 – 2012. Saya percaya, antara faktor pendorong dan matlamat utama pelan strategik ini adalah untuk meningkatkan lagi mutu kehidupan warga penghuni kuarters. Salah satu komponen utama pelan strategik ini adalah pelaksanaan Projek Sejahtra 2020 yang bertujuan mewujudkan kehidupan yang sejahtera untuk penghuni kuarters. Namun demikian, saya harap kita tidak perlu menunggu sehingga tahun 2020 bagi mencapai matlamat tersebut. Dengan strategi pelaksanaan yang terancang serta diringi dengan sikap yang betul, adalah diharapkan kesejahteraan kehidupan warga penghuni kuarters akan dapat dicapai dengan lebih cepat.



23. Akhir kata, selaku warga Putrajaya, marilah kita bersama-sama menjadikan Bandar ini sebuah bandar contoh yang dikagumi dan sesuatu yang amat dibanggakan. Hasrat itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan padu semua warga penduduk Putrajaya. Sehubungan itu, marilah kita menanamkan semangat dan memulakan tekad untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah tempat yang mempunyai persekitaran yang harmoni dan permai serta sejahtera dan selamat untuk semua.



Sekian.

Wabillahitaufiq Walhidayah,

Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kami menerima 7,390,369 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri