Tuan Yang DiPertua,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian di dalam Perbahasan Bajet 2007 di Peringkat Dasar yang telah menyentuh bidang tugas dan tanggungjawab Kementerian Pertahanan.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya izinkan saya menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh YB Arau yang mencadangkan supaya bekas perajurit diberi bantuan perumahan. Bagi tujuan tersebut, adalah dimaklumkan bahawa pada masa ini tiada skim khas diberikan kepada bekas perajurit untuk memiliki rumah. Walau bagaimanapun, Kementerian Pertahanan sedia memberi khidmat nasihat bagi membantu mereka mengenai perancangan persaraan, termasuk masalah pembiayaan membeli rumah melalui forum perancangan untuk bakal pesara.
Seterusnya YB yang sama mencadangkan supaya pesara ATM diambil bekerja atau re-deploy bagi kerja-kerja sivil. Suka dinyatakan bahawa sememangnya Kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) sentiasa berusaha membantu pesara ATM untuk mendapat kerjaya kedua sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Dengan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa dalam perkhidmatan, pesara ATM dapat melaksanakan kerja sivil dengan berkesan.
YB Arau turut menyarankan supaya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diagungkan sebagai satu simbol kemegahan negara.
Tuan Yang Dipertua,
Suka dimaklumkan bahawa Rejimen Askar Melayu Diraja adalah merupakan rejimen tertua yang ditubuhkan pada 1 Mac 1933. Ia dianggotai oleh anggota-anggota yang berbangsa Melayu sahaja. Bagi memartabatkan RAMD, kerajaan telah menubuhkan Batalion Istiadat sebagai satu penghormatan untuk penugasan Perbarisan Kawalan Kehormatan bagi menyambut ketibaan lawatan pembesar-pembesar sama ada dari dalam dan luar negara. Kewujudan Batalion-batalion Mekanis dan Batalion-batalion Para yang merupakan Pasukan Elit Tentera Darat telah turut memartabatkan RAMD di dalam Tentera Darat. Selain dari itu, Kerajaan Malaysia telah memberi keutamaan kepada RAMD untuk berkhidmat dan ditugaskan di dalam Misi Keamanan di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Penubuhan Negara-Negara Islam berdasarkan kemampuan yang telah ditonjolkan seperti kejayaan RAMD di Congo, Namibia, Cambodia serta Bosnia. Selain dari itu, keupayaan menangani Insiden Bakara Market di Somalia telah mencanai kewibawaan RAMD di persada dunia. Malahan ketokohan perjuangan warga RAMD telah difilemkan bagi menonjolkan sifat patriotisme bangsa Melayu memperjuangkan kedaulatan negara hingga ke titisan darah terakhir bagi mempertahankan negara tercinta seperti filem Leftenan Adnan.
Tuan Yang Dipertua,
Bagi mengekalkan identiti dan keterampilan warga RAMD, rejimen ini telah mengekalkan pemakaian Lencana Bahu, Cap Badge Harimau Berjuang dan Stable Belt demi untuk mengekalkan ciri-ciri serta tradisi RAMD agar tidak pupus dan ianya masih relevan dengan perkembangan dunia ketenteraan semasa. Manakala bagi tujuan sudut sejarah, kerajaan telah meluluskan pembinaan Muzium Tentera Darat di Port Dickson bersesuaian dengan sejarah penubuhan RAMD. Selain dari itu, RAMD mempunyai identiti tersendiri dengan Pembinaan Wisma Perwira RAMD, Muzium RAMD dan Tanah Perkuburan RAMD yang semuanya ditempatkan di Port Dickson.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya YB Sepanggar telah membangkitkan isu pembinaan jalan masuk ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar. Suka dinyatakan bahawa pihak kementerian dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama bagi penempatan semula penduduk-penduduk yang terlibat dengan jalan masuk tersebut. Mengikut cadangan asal sebanyak 246 buah rumah dan 104 buah kubur yang terlibat dengan pembinaan jalan masuk. Memandangkan kos pembinaan yang tinggi dan bagi mengelak perpindahan kubur dan penduduk yang ramai, kementerian telah bersetuju jajaran jalan masuk ini dikaji semula dan kementerian memutuskan jajaran baru iaitu jalan pintasan selatan. Terdapat sebanyak 131 buah rumah yang terlibat dengan pembinaan jalan ini dan akan dipindahkan ke Kampung Numbak. Pihak kementerian telah melantik kontraktor untuk melaksanakan pembinaan rumah di Kampung Numbak dan sehingga kini kemajuan projek adalah 70%.
Tuan Yang Dipertua,
YB Bukit Mas telah memohon supaya Kementerian menyediakan pesawat TUDM untuk menghantar pelbagai bekalan ke Bario memandangkan pengangkutan ke daerah tersebut amat terhad. Sukacita dimaklumkan bahawa Pesawat-pesawat Nuri TUDM beroperasi di kawasan Bario, Ba’ Kelalan dan Limbang dalam menyokong Tentera Darat dalam operasi kawalan perbatasan iaitu Ops Jaga Kawan. Tiada pesawat TUDM melakukan perkhidmatan pengangkutan khas ke kawasan pendalaman Sarawak melainkan dalam keadaan kecemasan atau darurat.
Tuan Yang DiPertua,
YB Maran telah membangkitkan isu kes jenayah di kalangan anggota tentera. Penglibatan anggota tentera dalam kes-kes jenayah tidak dapat dinafikan berlaku dalam ATM tetapi bilangan anggota yang terlibat adalah terlalu kecil. Berdasarkan kepada statistik salah laku disiplin dan jenayah tahun 2000 hingga 2005, purata peratus anggota yang terlibat setiap tahun adalah di bawah 1.5% daripada kekuatan anggota ATM. Secara keseluruhannya, penglibatan anggota tentera dalam gejala jenayah adalah tidak serius dan terkawal. Bagi anggota-anggota yang didapati terlibat dalam kes jenayah, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang berat dan kemungkinan ditamatkan perkhidmatan ATM. Langkah-langkah yang telah dan sedang diambil untuk membendung salah laku disiplin dan jenayah adalah seperti berikut:
a. Mewujudkan Kod Etika ATM dan Pelan Tindakan Pelaksanaan Pelan Integriti Nasional ATM.
b. Melakukan tapisan keselamatan dan dadah ke atas
bakal anggota tentera sebelum mereka diterima masuk.
c. Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan ketenteraan dan awam secara konsisten dan adil.
d. Menentukan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan ATM berfungsi lebih efektif iaitu mengatur strategi dan pelan membendung dan membanteras kegiatan jenayah serta memberi kesedaran kepada anggota ATM tentang hukuman disiplin dan implikasinya kepada mereka.
Tuan Yang DiPertua,
Seterusnya izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang telah menyokong penuh hasrat Kerajaan menubuhkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mana sesi akademik pertamanya akan bermula Julai tahun depan.
Tuan Yang DiPertua,
Adalah menjadi hasrat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam terus berusaha gigih memperlengkapkan diri Warga ATM dengan ilmu pengetahuan dan latihan ketenteraan. Perolehan aset yang canggih tanpa mempunyai warga yang mempunyai pengetahuan, kompeten dan bersikap positif tidak akan menjamin keberkesanan dan keupayaan yang dihasratkan daripada aset-aset tersebut. Usaha ini bukan sahaja bagi meningkatkan tahap akademik anggota semata-mata malah merupakan usaha ATM untuk menyediakan anggota untuk menghadapi sebarang situasi di masa hadapan.
Bagi penubuhan UPNM, ATM telah mencadangkan agar Akademi Tentera Malaysia (ATMA) yang sedia ada dinaikkan taraf sebagai Universiti Pertahanan dan ia juga telah dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sewaktu Pembentangan Bajet 2007.
Tuan Yang Dipertua,
YB Lipis mencadangkan supaya Universiti ini dibina di tapak yang lebih sesuai seterusnya mencadangkan negeri Pahang yang mempunyai banyak kawasan yang sesuai untuk Latihan Kemahiran seperti Latihan Medan. Sementara itu, YB Gerik pula mencadangkan supaya kampus universiti ini ditempatkan di Lumut. Justeru itu, sukacita dimaklumkan bahawa UPNM buat masa ini akan beroperasi di Kampus ATMA yang sedia ada. Kerajaan belum ada perancangan untuk membina kampus baru UPNM. Pemilihan tapak yang sedia ada iaitu di Sungai Besi dengan memperuntukkan sejumlah RM63.7 juta dibuat berdasarkan perancangan yang terperinci oleh ATM dan berdasarkan kekangan peruntukan dan infrastruktur yang sedia ada. Sekiranya ada keperluan membina kampus baru di masa akan datang, kedua-duanya bolehlah dipertimbangkan sebagai satu lokasi.
Tuan yang Dipertua,
Seterusnya YB Gerik turut menyarankan supaya UPNM diketuai oleh ahli akademik. Seperti yang telah diumumkan, jawatan Naib Canselor UPNM adalah jawatan terbuka. Oleh itu, terserahlah kepada Pihak Berkuasa untuk memilih dan melantik calon yang layak bagi mengisi jawatan tersebut.
Tuan Yang DiPertua,
Bagi menjawab soalan YB Sungai Petani mengenai status Universiti ini, adalah dimaklumkan bahawa UPNM adalah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam pembangunan program-program pengajian dan latihan ketenteraan serta bidang-bidang lain yang berkaitan. Mengenai cadangan supaya Universiti ini memberi fokus kepada pengajian ketenteraan sahaja pula, sukacita dimaklumkan bahawa program pengajian yang ditawarkan di UPNM adalah responsif kepada bidang Pengajian Ketenteraan, Kejuruteraan, Sains dan Teknologi, Pengajian Strategik dan Pengurusan Pertahanan. Manakala nisbah kemasukan ke UPNM pula ialah 80% untuk bakal pegawai tentera dan 20% untuk pelajar awam.
Tuan Yang DiPertua,
YB Sungai Petani turut mencadangkan supaya Maktab Tentera Diraja (MTD) ditambah lagi menjadi MTD ke-2. Kementerian telah menetapkan agar MTD terus kekal sebagai sebuah institusi sahaja bagi mengekalkan kualiti dan budayanya. Ini sesuai dengan Piagam MTD: iaitu MTD ditubuhkan dengan tujuan menyediakan belia-belia Malaysia mengambil tempat sebagai Pegawai-Pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia, menjadi Pegawai-Pegawai Kanan Perkhidmatan Awam dan menjadi pemimpin-pemimpin dalam bidang ikhtisas, perdagangan dan perusahaan Negara. Dalam RMK-9 kerajaan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk membina sebuah Kompleks baru MTD yang dijangkakan siap selewat-lewatnya 2010. Dengan terbinanya Kompleks MTD Baru maka peningkatan jumlah Putera akan bertambah kepada 1500 orang penuntut berbanding 500 yang ada sekarang. Selain daripada itu, MTD akan melaksanakan sesi pengajian Tingkatan 6 dalam aliran Sains dan Sastera mulai tahun 2007.
YB Sungai Petani turut mengesyorkan supaya taraf MTD ditingkatkan setaraf dengan Sandhurst di United Kingdom dan West Point di Amerika Syarikat.
Tuan Yang DiPertua,
MTD merupakan sebuah sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pertahanan dan ia mempunyai pelajar tingkatan 4 dan 5 sahaja. Justeru itu MTD tidak boleh disamakan dengan Sandhurst di UK dan West Point di USA kerana MTD tidak melatih Pegawai Kadet untuk menjadi bakal Pegawai ATM. Isu penyamaan dengan Sandhurst dan West Point yang melahirkan bakal pegawai tentera yang berkelulusan tinggi dalam pengajian ketenteraan akan diambil kira dalam program pengajian di UPNM.
Tuan Yang DiPertua,
Demikianlah sahaja penjelasan yang dapat diberikan ke atas beberapa isu dan cadangan yang menyentuh bidang tugas Kementerian Pertahanan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan ini. Sekiranya terdapat cadangan-cadangan atau kenyataan-kenyataan secara langsung ataupun tidak oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian yang tidak sempat disentuh, para pegawai Kementerian yang berada di dalam Dewan pada hari ini akan mengambil maklum dan menentukan supaya perkara-perkara yang dibangkitkan itu diambil perhatian dan tindakan selanjutnya akan disusuli jika perlu.
Sekian, terima kasih.