Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN MINGGU PELABURAN BERSAMA PNB
Lokasi : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA
Tarikh : 09-06-1999
 
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjemput saya untuk melancarkan Minggu Pelaburan bersama PNB pada hari ini. Usaha ini jelas menunjukkan ketegasan PNB tentang pentingnya penggemblengan modal dalam membantu mengukuhkan ekonomi negara. Usaha PNB ini adalah tepat pada masanya memandangkan seluruh rakyat di negara ini akan dapat menyaksikan kejayaan PNB selama ini menerusi pameran, ceramah dan seminar sepanjang Minggu Pelaburan ini.

2. Seperti yang kita sedia maklum PNB ditubuhkan sebagai salah satu alat penting dalam usaha menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan semua kaum dan menghapuskan pengenalan atau identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi. Perbezaan kegiatan ekonomi di antara kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera telah menyebabkan jurang pendapatan yang besar dan merenggangkan perhubungan antara mereka. Keadaan yang tidak sihat ini adalah salah satu punca tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

3. Kejayaan PNB menggembleng lebih daripada RM48 bilion daripada tujuh juta pelabur, yang majoriti besarnya adalah Bumiputera, menerusi dana-dana saham amanah yang diuruskan olehnya telah membantu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Di masa yang sama kemiskinan di kalangan semua kaum kini telah berkurangan daripada 49 peratus pada tahun 1970 tahun pertama DEB, kepada lapan peratus sekarang. Kadar kemiskinan ini dijangka berkurangan kepada enam peratus pada tahun 2000.

4. Pada hari ini keadaan yang terdapat dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah lebih adil dan saksama daripada keadaan sebelumnya. Keadilan sosial dan ekonomi yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini ternyata adalah disebabkan oleh DEB yang merupakan dasar dan pendekatan yang penting dan bermakna. Kejayaan DEB lebih membanggakan kerana ia bukan sahaja dapat memperbaiki ketidakadilan ekonomi di antara kaum di Malaysia tetapi jauh daripada menjejas ekonomi, ia telah membantu pertumbuhan ekonomi negara.

5. Bagi kita DEB adalah cara kita mengatasi ketidakadilan dan keadaan tidak seimbang di antara kaum-kaum di Malaysia. Ia adalah suatu usaha 'social- engineering' yang penting dan wajar. Rakyat bukan Bumiputera juga menerima dan bekerjasama dalam menjayakan DEB, walaupun pada mulanya mereka curiga sedikit.

6. Malangnya ada orang asing yang tidak begitu senang dengan DEB. Oleh kerana DEB melayani hak Bumiputera dan bukan Bumiputera, orang asing berpendapat mereka tidak akan mendapat peluang untuk diri mereka. Walaupun mereka juga mendapat peluang, tetapi oleh kerana mereka tidak dapat memiliki semua seratus peratus, mereka amat kecewa. Alasan mereka ialah mereka mampu daripada segi modal dan mereka lebih cekap dan dengan itu kita akan menikmati hasil khidmat yang lebih efisien dan kononnya lebih murah. Tetapi jika mereka memiliki semua bank dan syarikat, apakah yang akan tinggal kepada kita selain daripada menjadi orang gaji mereka? 7. Kecewa dengan DEB mereka menuduh bahawa agihan mengikut DEB adalah cara mengutamakan kroni. Siapa juga yang dapat sesuatu kerana DEB dianggap sebagai kroni oleh mereka. Walaupun berjuta Bumiputera mendapat peluang melalui DEB, semua mereka dianggap sebagai kroni. Apabila penswastaan dilaksanakan dan untuk mengatasi ketidakseimbangan yang ketara di peringkat atasan, maka orang asing menjadi lebih kecewa kerana mereka tidak mendapat peluang-peluang keemasan daripada proses penswastaan.

8. Amat malang sekali apabila Bumiputera tertentu, yang mendapat peluang dan nikmat daripada DEB, tiba- tiba memihak kepada orang asing dan mengecam agihan peluang kepada Bumiputra. Kononnya siapa juga Bumiputera yang dapat peluang adalah kroni pemimpin Kerajaan. Oleh kerana kepentingan tertentu mereka cuba gagalkan DEB kerana dihasut oleh orang asing dan ingin mendapat pujian dan sokongan daripada mereka.

9. Kita tidak boleh terpengaruh dengan tuduhan kronisma, nepotisma dan sebagainya sehingga kita berasa tersalah apabila melaksanakan DEB. Biarlah orang asing mengecam dan mengkritik, biarlah pengikut- pengikut mereka di Malaysia turut mengecam, kita harus teruskan dasar kita. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mestilah dibangunkan bersama dan menikmati kekayaan negara ini secara adil dan saksama. Kita lebih tahu akan apa yang mungkin berlaku jika kaum- kaum di Malaysia tidak menikmati kekayaan negara ini secara adil dan saksama.

10. Seperti mana kita semua tahu, negara kita turut diserang oleh pedagang matawang dan 'short-sellers' di BSKL. Daripada pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus setiap tahun, pada tahun 1998 ekonomi kita merosot sebanyak hampir tujuh peratus. Mereka yang menyerang kita dan menunggu kita akan serah kalah dan mengemis meminta bantuan mereka, berasa amat kecewa kerana kita tidak meminta-minta dan menerima kongkongan oleh mereka. Sebaliknya kita cipta penyelesaian kita sendiri dan pendekatan kita ini dapat memulih semula ekonomi kita. Sekarang mereka terpaksa mengakui bahawa pendekatan kita memang berjaya. Mereka akui kita akan pulih lebih cepat daripada negara-negara lain yang diserang oleh penyangak matawang dan pelabur jangka pendek.

11. Walaupun kita tidak perlu tepuk dada dan bermegah- megah, tetapi kejayaan kita menangani kegawatan ekonomi harus menyakinkan kita bahawa kebolehan kita tidaklah seperti yang didakwa oleh orang asing. Kita boleh, Malaysia boleh. Oleh itu berilah kepercayaan kepada Kerajaan dalam usaha menangani masalah-masalah negara, baik dalam bidang ekonomi mahupun politik atau sosial.

12. Saya sebut tentang perlunya kepercayaan diberi kepada Kerajaan kerana ramai juga rakyat Malaysia, terutama yang berpelajaran yang tidak yakin akan kebolehan kita, yang turut bersama dengan orang asing mengecam kita, yang mendesak supaya kita ikut secara buta tuli apa yang disarankan oleh orang asing dan pakar-pakar mereka. Janganlah apabila mereka kecam DEB, orang kita pun turut kecam, apabila mereka menuduh kita amalkan kronisma dan nepotisma, kita juga menyalahkan Kerajaan kerana kononnya mengamalkan kronisma dan nepotisma, apabila mereka kecam kita kerana tidak telus kononnya, seperti burung kakak tua, kita juga menyahut tuduhan itu.

13. Sekarang ramai daripada orang asing yang bercakap berkenaan dengan sosial 'safetynet'. Bagi mereka sosial 'safetynet' bermakna memberi elaun atau 'dole' kepada sesiapa yang tidak bekerja. Mereka juga mahu kita bayar gaji yang sama tinggi dengan mereka dan lain-lain lagi.

14. Cara mereka sebenarnya akan merosakkan ekonomi. Apabila orang yang tidak bekerja dibayar elaun maka ramai yang pilih untuk tidak bekerja. Dengan ini Kerajaan perlu peruntukan wang yang banyak untuk 'dole'. Ini hanya boleh dibuat dengan menaikkan cukai ke atas orang yang sanggup bekerja. Sudah tentu kos pengeluaran barangan akan naik dan dengan itu sara hidup juga akan naik. Dengan kenaikan sara hidup 'dole' juga perlu dinaikkan, dan kemudian cukai perlu naik sekali lagi dan seterusnya. Sementara itu kenaikan kos pengeluaran barangan akan mengurangkan daya-saing kita dalam pasaran dunia.

15. Kita mungkin fikir bahawa walaupun pendekatan mereka tidak begitu baik, namun mereka masih juga maju. Kemajuan mereka datang daripada kepintaran mereka, daripada cara mereka menurunkan harga bahan mentah yang mereka beli dari negara membangun, dan menjual barangan buatan mereka dengan harga yang naik sepanjang masa. Apabila ternampak seolah-olah ada negara membangun yang mampu bersaing dengan mereka dalam pasaran barang buatan, maka mereka menyerang mata wang dan merosakkan ekonomi negara-negara ini. Mereka boleh menafikan bahawa inilah matlamat mereka, tetapi sama ada benar atau tidak ramalan ini, hakikatnya ialah negara-negara yang baru 'industrialise' sudah tidak dapat bersaing dengan negara maju lagi.

16. Kita juga prihatin dan bertimbangrasa terhadap nasib rakyat kita. Tetapi pendekatan kita ialah dengan menambah peluang kerja, mengawal harga barangan dan inflasi, menghapuskan kemiskinan dan mengagih kekayaan negara secara saksama. Dasar Ekonomi Baru dan dasar-dasar kita yang lain adalah bertujuan untuk menjayakan pertumbuhan ekonomi kita secara tersusun dan teratur, supaya semua rakyat dapat kehidupan yang bahagia. Bukanlah tujuan kita untuk menyamakan pendapatan tiap-tiap rakyat seperti yang dicuba oleh Komunis dan Sosialis. Kita tidak ingin hapuskan orang yang kaya kerana mereka diperlukan untuk membayar cukai yang tinggi supaya hasil Kerajaan meningkat dan dengan itu Kerajaan dapat membekalkan kemudahan bagi semua rakyat dan menolong yang termiskin. Jika DEB melalui penswastaan menyebabkan tercetusnya sebilangan Bumiputera yang kaya-raya, ini adalah kerana kita tidak ingin melihat yang kaya-raya hanyalah daripada kaum bukan Bumiputera sahaja.

17. Kita akui bahawa penswastaan telah menghasilkan beberapa orang Bumiputera yang kaya. Tetapi institusi yang diswastakan tidak mungkin berjaya jika tidak ada seorang yang bertanggungjawab secara serius kerana kegagalan perniagaan akan membawa kerugian yang besar kepadanya. Oleh kerana tidak ada tuanpunya yang takut rugi dalam perniagaan dan institusi Kerajaan, kita dapati perniagaan Kerajaan, walaupun merupakan monopoli, jarang sekali mendapat keuntungan. Kita disuruh oleh orang asing dan pengikut mereka dalam negara ini supaya membenci kepada Bumiputera yang berjaya melalui DEB dan penswastaan. Kebencian dan irihati ini adalah perasaan yang buruk dan hina. Orang asing suka menggunakan perasaan ini untuk menggagalkan rancangan kita mengagihkan kekayaan negara ini secara adil antara kaum. Mereka ingin melihat kaum-kaum di negara ini bermusuh, bertindak ganas dan merosakkan negara kita. Oleh itu janganlah kita benarkan diri kita dipengaruhi dan dihasut oleh mereka.

18. DEB dan alat terpentingnya PNB adalah cara kita mengadakan keadilan sosial dan juga sosial 'safetynet' untuk negara kita. Kejayaan PNB tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Jika tidak kerana PNB tidak mungkin Bumiputera mengumpul modal sebanyak lebih 40 bilion ringgit dan menggunakan modal ini secara berkesan dalam pasaran saham dan perniagaan lain. Lebih tujuh juta Bumiputera mendapat nikmat daripada pelaburan dalam PNB dan amanah saham yang diuruskan olehnya. PNB adalah ciptaan kita yang unik yang tidak ada di mana-mana negara di dunia. Dan dianya lebih baik daripada pendekatan ideologi-ideologi yang biasa dicipta untuk membentuk masyarakat yang adil dan saksama.

19. Golongan Bumiputera telah mendapat manfaat yang besar dengan melabur dalam Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera. Begitu juga dengan kaum bukan Bumiputera yang turut menikmati hasil kejayaan PNB menerusi pelaburan mereka dalam Skim Amanah Saham Wawasan 2020. Pulangan dividen dan bonus yang diberikan oleh PNB kepada para pelabur dana-dana saham amanahnya pada setiap tahun adalah menarik. Purata dividen yang diberikan oleh PNB (1981-1998) adalah lebih kurang 13 peratus. Sementara purata pulangan di pasaran terbuka dan simpanan tetap dalam tempoh yang sama (1981-1998) adalah lebih kurang lapan peratus. Manfaat daripada pulangan dividen dan bonus daripada PNB ini terus dinikmati oleh golongan termiskin di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin Skim Amanah Saham Bumiputera. Sehingga 30 April 1999, seramai 156,397 orang daripada golongan termiskin terlibat di bawah program PPRT-ASB ini dengan peruntukan sebanyak RM782 juta.

20. Kemantapan dan kejayaan PNB telah menyakinkan Kerajaan untuk meluluskan PNB menawarkan satu lagi produk baru sempena Minggu Pelaburan Bersama PNB ini. Produk baru tersebut dikenali sebagai Amanah Saham Nasional Kedua dan akan mula ditawarkan berkuatkuasa pada 10 Jun 1999, iaitu pada hari esok. Amanah Saham Nasional Kedua ini dibuka kepada semua Bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas. Saiz dana Amanah Saham Nasional Kedua ini adalah berjumlah 2.5 bilion unit. Saya harap mereka yang layak akan mengambil peluang melabur dalam Amanah Saham Nasional Kedua ini yang mana had maksimum pelaburan yang dibenarkan ialah sehingga 500,000 unit. PNB juga sedang meneliti dan mengkaji produk-produk baru yang lain bagi memenuhi keperluan pasaran dan yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

21. Sebagai pemimpin dalam industri saham amanah di negara ini, sememangnya tepat bagi PNB mengadakan Minggu Pelaburan Bersama PNB ini. Sehubungan dengan ini, Kerajaan ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini, 20 April pada setiap tahun akan dikenali sebagai Minggu Saham Amanah Malaysia bertepatan dengan tarikh pelancaran Skim Amanah Saham Nasional Pertama pada 20 April 1981.

22. Akhir kata, dengan sukacitanya saya dengan rasminya melancarkan Minggu Pelaburan Bersama PNB.


Kami menerima 7,364,730 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri