Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN MENANAM POKOK SELURUH NEGARA
Lokasi : TAMAN REKREASI, MEDAN IDAMAN, KUALA LUMPUR
Tarikh : 03-03-1997
 
1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerana menjemput saya pada hari ini untuk merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Menanam Pokok Seluruh Negara ini.

2. Wawasan Kerajaan ialah untuk menjadikan Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005. Apa yang dimaksudkan dengan Negara Taman ini ialah wujudnya secara keseluruhan keseimbangan di antara kawasan hijau dan kawasan pembangunan di dalam negara. Ia juga bermakna kehijauan di mana taman-taman dan pokok-pokok menjadi komponen penting dalam semua pembangunan fizikal. Bagi negara seperti Malaysia yang banyak terdedah kepada matahari, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan diperlukan untuk memberi perlindungan. Penanaman pokok dengan kuantiti yang banyak boleh mengubah iklim mikro di sesuatu tempat di samping dapat mengurangkan pencemaran.Juga terdapat banyak faedah daripada penyediaan kawasan hijau dan penanaman pokok terutamanya daripada segi peningkatan keindahan dan keselesaan. Malahan persekitaran yang bersih dan indah berjaya meningkatkan produktiviti rakyat dan negara.

3. Seluruh negara sedang menjalani pembangunan yang pesat hasil pertumbuhan ekonomi yang sangat menggalakkan. Perubahan ketara sedang berlaku ke atas alam sekitar negara di mana sebahagian daripada kawasan hutan telah bertukar menjadi kawasan pembangunan. Namun pembangunan tidak seharusnya disertai dengan pemusnahan pokok dan kawasan semulajadi secara total. Dalam hubungan ini, apa yang penting ialah kawalan dibuat ke atas pembangunan supaya kawasan-kawasan hijau dapat dikekalkan di tahap maksima dan pokok yang telah hilang dapat diganti melalui penanaman pokok baru. Tekanan pembangunan yang tinggi, terutamanya di bandar-bandar utama jika tidak dikawal dengan baik, boleh menggantikan kawasan hijau dengan `concrete jungle' yang hodoh dan tidak selesa sepertimana yang wujud di kebanyakan negara maju.

4. Untuk membentuk satu masyarakat yang maju dalam semua aspek seperti yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020 khususnya, mutu hidup kawasan persekitaran yang selesa dan seimbang diperlukan. Kualiti persekitaran yang baik adalah penting dalam memupuk masyarakat yang sihat daripada segi mental dan fizikal serta berkeyakinan. Dengan adanya persekitaran kehidupan yang teratur dan mampan sahaja baharulah Malaysia akan mencapai taraf negara maju mengikut acuan kita sendiri menjelang tahun 2020.

5. Oleh itu usaha untuk menghijaukan bandar adalah penting. Sejak Deklarasi Langkawi 1989 dan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan yang dimeteraikan pada tahun 1992, Kerajaan telah menekankan keperluan untuk menghijaukan bukan sahaja negara tetapi dunia. Kita juga berpegang kepada pernyataan prinsip bagi hutan dalam Agenda 21 yang dipersetujui dalam Persidangan Antarabangsa Alam Sekitar di Rio de Janeiro dalam tahun 1992, iaitu semua negara perlu mengambil bahagian dalam penghijauan dunia melalui penanaman dan pemeliharaan pokok. Sebarang kerja penanaman pokok yang dilaksanakan tidak bererti hanya bagi persekitaran sendiri atau alam sekitar negara sahaja, tetapi juga secara langsung menyumbang kepada peningkatan kualiti alam sekitar dunia.

6. Malaysia sedang mengalami proses transformasi ekonomi yang pesat. Dengan itu, kita perlu bergerak pantas dan kompetitif. Negara-negara maju telah pun mengguna unsur-unsur kecantikan dan keselesaan hidup sebagai komponen penting untuk menarik para pelabur dan pelancong. Industri lanskap mereka berkembang pesat. Dalam hal ini, saya yakin dengan sumber dan kepakaran yang sedia ada di negara kita, pembangunan lanskap kita boleh menandingi pembangunan lanskap di negara-negara maju. Apa yang penting ialah kita mesti bijak dan profesional dalam merancang dan melanskap seluruh negara. Lanskap bukan lagi aspek sampingan pembangunan, malahan adalah penyumbang penting kepada sektor pelancongan dan pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, aspek lanskap mesti diwajibkan dalam setiap projek pembangunan. Saya ingin menyeru kepada semua Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya menangani isu lanskap ini dengan lebih serius. Mereka mesti melengkapkan keupayaan organisasi dan kepakaran dalam bidang ini bagi menghasilkan mutu lanskap yang tinggi.

7. Dalam usaha kita menghijaukan sekitaran kita, kita perlu mengambil kira faktor-faktor tempatan. Yang pertamanya ialah penyediaan ruang yang sesuai bagi penanaman pokok. Jumlah bangunan dalam satu-satu skim pembangunan hendaklah dihadkan untuk memberi lebih ruang bagi kolam takungan, pokok-pokok perhiasan dan bunga yang boleh mewarnakan taman. Di samping kecantikan, penanaman ini boleh menolong kita mengelakkan banjir kilat dan keruntuhan tanah. Jika dilihat daripada sudut ini, penanaman pokok dan penyediaan kawasan hijau dalam kawasan pembangunan adalah sesuatu keperluan yang amat mustahak.

8. Perancangan pembangunan hendaklah disediakan dengan kawasan penanaman pokok. Kawasan ini hendaklah dikekalkan dan tidak diambil alih untuk kegunaan lain apabila tanah hendak dibangun semula. Jika perancangan dibuat dari mula lagi, kawasan pokok tidak akan dimusnahkan kerana kegunaan-kegunaan tanah lain.

9. Selain daripada mewajibkan penyediaan kawasan lapang minima 10 peratus, pihak pemaju juga hendaklah melanskap dan mencantikkan kawasan lapang dan keseluruhan kawasan perumahan dan kawasan pembangunan. Dalam hal ini, pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan harus memastikan rezab lanskap untuk tanaman pokok disediakan di tepi-tepi jalan bagi mengelak pemusnahan pokok yang kerap berlaku akibat daripada kerja-kerja pelebaran jalan dan penyediaan talian utiliti. Bagi memastikan perkara ini dipatuhi, peraturan dan akta berkaitan dengan lanskap hendaklah diadakan.

10. Dalam melaksanakan aktiviti penanaman pokok, jenis pokok yang sesuai hendaklah ditentukan. Jika tidak pokok yang ditanam akan membawa masalah, umpamanya, mengganggu talian elektrik dan telefon atau akarnya akan merosakkan jalan atau paip air dan kabel di bawah tanah. Cara menyelenggara juga adalah penting. Jika dibiar, pokok mungkin condong dan tidak tumbuh dengan baik. Ranting-ranting juga perlu dipotong secara teratur supaya tidak terlalu rendang dan menghalang lalu lintas.Tiap pokok mempunyai `character'nya yang tersendiri yang perlu diketahui supaya penyelenggaraan dapat menghasilkan tumbuhan yang indah dan menepati tujuan menanam pokok berkenaan.

11. Untuk kawasan awam, pihak-pihak berkuasa tempatan terutamanya mempunyai peranan yang penting bagi memastikan pokok-pokok yang telah ditanam sentiasa dijaga dengan baik. Pihak-pihak berkuasa tempatan perlulah memastikan pelaksanaan satu bentuk pengurusan penyelenggaraan yang sempurna dalam kawasan pentadbiran mereka. Janganlah kita anggap tanggungjawab dan kerja kita tamat apabila pokok ditanam. Penjagaan sepanjang masa tidak kurang pentingnya daripada penanaman, bahkan mungkin lebih penting.

12. Untuk menanam pokok di seluruh negara ini, penyediaan stok tanaman perlu ditingkatkan. Sebenarnya masalah stok `planting material' amat mudah diatasi di Malaysia. Iklim Malaysia dan tanahnya begitu subur sehingga apa sahaja yang ditanam dapat tumbuh dengan baik. Namun demikian cara menyelenggara benih yang ditanam memerlukan pendekatan yang separa saintifik sekurang-kurangnya. Kerajinan dalam mengawasi juga amat penting.

13. Penanaman pokok secara komersil tidak begitu menguntung kerana kos tanah yang tinggi dan masa yang amat panjang sebelum hasil diperolehi. Justeru itu siapa sahaja yang memiliki tanah lapang yang tidak diguna, umpamanya di tepi jalan raya dan sungai-sungai atau di mana sahaja ada kawasan yang tidak akan diguna buat beberapa lama, pokok hendaklah ditanam sebagai punca bekalan pokok `instant'. Jika pemilik tanah, sama ada kuasa tempatan, Kerajaan atau swasta tidak berminat, mereka hendaklah membenarkan pihak yang berminat menggunakan tanah mereka untuk tanaman pokok dengan bayaran nominal sahaja untuk tanah. Sebaliknya pemilik tanah yang enggan memberi kebenaran tetapi membiarkan tumbuh-tumbuhan yang tidak sempurna tumbuh atau menjadikan tempat membuang sampah atau diduduki oleh setinggan, pihak kuasa tempatan hendaklah mengenakan bayaran atau denda tertentu.

14. Keindahan dan keselesaan adalah satu keperluan asas bagi masyarakat Malaysia yang semakin makmur dan canggih. Untuk itu piawaian dan syarat yang khusus bagi penyediaan kawasan lapang dan penanaman pokok perlu diadakan dan dipatuhi. Pemaju-pemaju perumahan seharusnya peka terhadap kehendak masyarakat. Lagipun, taman perumahan yang disediakan dengan kehijauan yang secukupnya akan lebih menarik minat pembeli dan mempunyai nilai pulangan yang lebih baik.

15. Selain daripada kawasan perumahan, kawasan-kawasan bandar, kawasan pelancongan dan kawasan industri perlu juga diberi penekanan untuk dilanskap dan diindahkan.

16. Tugas untuk menjadikan Malaysia `Negara Hijau' yang indah bukanlah tanggungjawab yang harus dipikul oleh Kerajaan semata-mata, malahan ianya adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Oleh itu, saya menyeru pihak-pihak swasta, pekilang, pemaju, sektor korporat dan orang perseorangan untuk tampil ke hadapan membantu menaja lampu-lampu dan program-program lanskap di bandar-bandar dan kampung-kampung di seluruh negara. Syarikat- syarikat bekalan elektrik, termasuk IPP hendaklah memberi sumbangan kepada lampu hiasan sama ada melalui tarif yang rendah atau dengan membayar tarif kepada Tenaga Nasional yang menjadi pembekal tunggal.

17. Pelancaran kempen menanam pokok secara serentak di seluruh negara pada hari ini menandakan bermulanya usaha menanam pokok secara besar-besaran untuk mencapai matlamat tiga juta pokok pada tahun 2000 dan 20 juta pokok pada tahun 2020. Untuk menentukan kejayaan kempen ini ada baiknya jika tiap negeri mengadakan satu hari yang dikhaskan untuk tiap seorang penduduk menanam sepohon pokok di tempat tertentu. Dengan usaha ini, diharapkan suasana kehijauan, keindahan dan keselesaan akan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat negara ini. Kerajaan-Kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan adalah bertanggungjawab untuk memanjangkan hasrat ini kepada semua pihak dan seluruh rakyat. Kepada semua agensi Kerajaan, pihak-pihak swasta, badan-badan bukan Kerajaan dan individu, saya juga menyeru supaya sama-sama melibatkan diri bagi menjayakan kempen ini. Semoga dengan adanya kerjasama yang rapat antara semua pihak, bukan sahaja dalam melaksanakan kempen ini tetapi juga usaha untuk mempertingkatkan lanskap negara, kita akan berjaya menjadikan cita-cita `Negara Hijau' yang indah ini satu kenyataan.

18. Dengan itu, saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Menanam Pokok Seluruh Negara.

Kami menerima 7,408,539 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri