Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ampun Tuanku, Dengan hormat dan penuh takzimnya patek, bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri, mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, di majlis yang mulia pada pagi ini sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Tuanku.
2. Sempena hari yang berbahagia ini, patek sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga Duli Tuanku serta Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya. Demikian juga, patek sekalian berdoa semoga Duli Tuanku berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat, dengan penuh daulat dan kesejahteraan.
Ampun Tuanku,
3. Patek bagi pihak Kerajaan dengan sepenuh ikhlas menyanjung tinggi serta merakamkan setinggi penghargaan Ke Bawah Duli Tuanku di atas pimpinan serta panduan Duli Tuanku kepada patek dan anggota Pentadbiran negara ini. Sungguh pun negara ini telah mengalami beberapa cabaran dan dugaan dari semasa ke semasa, dengan nasihat dan berkat pemerintahan serta kearifan Duli Tuanku, cabaran-cabaran ini akhirnya dapat diatasi. Dalam cabaran-cabaran ini, perpaduan rakyat sekali-sekala diduga oleh golongan-golongan tertentu yang selalu dikongkong oleh emosi yang melulu, perasaan sangsi dan cemburu, tanpa menyedari bahawa tindak-tanduk mereka itu telah membawa mudarat kepada kesejahteraan rakyat dan negara. Tetapi kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendong keadaan supaya tidak mencetuskan apa-apa akibat yang tidak diingini. Alhamdulillah perpaduan rakyat kukuh kembali.
Ampun Tuanku,
4. Patek bagi pihak anggota Pentadbiran dan Kerajaan juga menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku kerana sentiasa mengambil berat atas pentadbiran negara serta memberi perhatian kepada kebajikan rakyat jelata. Hubungan rapat dan saling persefahaman yang baik selama ini antara Tuanku dan anggota Kerajaan sangatlah dihargai dan ini menjadi suatu inspirasi bagi pemimpin-pemimpin semua. Kesempatan patek menyampaikan ucapan ikrar taat setia ini adalah bukti kemesraan yang dihulurkan oleh Tuanku kepada patek semua. Kesempatan ini telah lama menjadi tradisi pemerintahan negara. Ianya perlulah dikekalkan sebagai suatu majlis yang mulia di mana diwujudkan jalinan kemesraan antara Raja memerintah dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan. Ini adalah satu-satunya amalan penting untuk menjaga kemuliaan majlis mengadap dan ikrar taat setia ini.
Ampun Tuanku,
5. Kerajaan berasa bersyukur dengan tahap perpaduan di kalangan rakyat negara dewasa ini. Walaupun terdapat satu-dua dugaan yang menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat negara ini, Kerajaan di bawah naungan Duli Tuanku telah berjaya mengatasi masalah-masalah ini. Namun demikian Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi perpaduan rakyat supaya terbina satu negara yang lebih teguh lagi makmur. Usaha-usaha ke arah perpaduan ini termasuklah menanamkan lagi nilai-nilai kesetiaan rakyat kepada negara, agama, raja memerintah, pemimpin-pemimpin negara, undang-undang dan norma-norma serta amalan hidup yang positif. Untuk tujuan ini, Kerajaan mengadakan perhimpunan-perhimpunan SEMARAK. Patek sekalian bergembira sekali yang Duli Tuanku amat memahami tujuan sebenar perhimpunan-perhimpunan seperti ini. Kesetiaan adalah satu-satunya teras untuk menjamin perpaduan di negara ini dan mempertahankan kedaulatannya.
Ampun Tuanku,
6. Sukacita juga patek menyembahkan bahawa ekonomi negara kita telah mula pulih setelah mengalami kelembapan akibat kemelesetan ekonomi dunia. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK, sebanyak 4.7% tahun lalu adalah satu pencapaian yang membanggakan. Kerajaan yakin negara kita akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih membanggakan pada tahun-tahun yang akan datang.
7. Satu ciri dalam pertumbuhan ekonomi negara ialah pertumbuhan yang besar telah berpunca daripada sektor swasta. Sebaliknya penglibatan Kerajaan atau pihak awam dalam aktiviti ekonomi telah menunjukkan penurunan. Kerajaan sekarang memang mengharapkan supaya sektor swasta memainkan peranan yang lebih giat lagi dalam perkembangan ekonomi negara.
8. Di peringkat antarabangsa, negara kita semakin hari semakin aktif memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pertubuhan-pertubuhan seperti ASEAN, OIC, Komonwel, Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali dan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita menghulurkan bantuan teknikal kepada negara-negara kecil Dunia Ketiga dan mengambil daya usaha untuk membantu menubuhkan Suruhanjaya Selatan-Selatan. Negara kita juga akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ketua-Ketua Negara Komonwel pada tahun hadapan.
Ampun Tuanku,
9. Patek, bersama-sama dengan anggota Pentadbiran serta kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia.
10. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku demi kedaulatan Tuanku sebagai Raja yang memerintah serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.
|