UCAPAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN MPP IPTA 2004
DI GENTING INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
GENTING HIGHLAND
4 FEBRUARI 2004, JAM 8.00 MALAM
---------------------------------
Yang Berhormat Tan Sri Musa Bin Mohamad,
Menteri Pendidikan Malaysia
Yang Dihormati Dato’ Dr. Salleh bin Mohd Nor,
Pengerusi Lembaga Pengarah KUSTEM
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Mohamed Mahyuddin bin Mohd Dahan,
Rektor Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia
Yang Berusaha Prof. Dr. Abd Majid bin Mohd Isa,
Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) KUSTEM,
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Konvensyen MPP IPTA 2004,
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pendidikan,
Yang Berbahagia Naib Canselor-Naib Canselor dan Rektor-Rektor IPTA,
Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Rektor,
Dif-dif jemputan,
Dan para mahasiswa dan mahasiswi peserta konvensyen yang saya hormati sekalian.
Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
1. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya kita dapat sama-sama berkumpul untuk menjayakan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2004.
2. Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan penghargaan saya kepada pihak penganjur atas undangan untuk merasmi dan menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2004 yang berlangsung pada 4 hingga 6hb. Februari 2004. Melihat kepada program yang telah dirancang ditambah pula dengan kehadiran saudara dan saudari di hadapan saya ini, saya penuh yakin konvensyen yang bertemakan Mengurus Kejayaan; ‘Isu dan Cabaran’ ini akan mampu menjana hasil yang baik dan berkualiti, dalam usaha meningkatkan tahap kecemerlangan kepimpinan para pemimpin mahasiswa, di samping dapat membantu dan memacu visi dan misi kepimpinan mahasiswa, memperutuhkan perpaduan dan tekad dalam konteks kesejahteraan pembangunan bermasyarakat dengan berpaksi kepada perolehan kecemerlangan ilmu dan tanggungjawab mahasiswa dalam mencurah bakti, tenaga dan pemikiran sebagai aset mengurus kejayaan negara pada masa hadapan.
Saudara dan saudari sekalian,
3. Hari ini, anda semua, para pimpinan tertinggi dan mahasiswa daripada IPTA berkumpul untuk berkonvesyen serta bertukar-tukar pandangan, idea dan pengalaman dengan para pembentang kertas kerja dan juga sesama sendiri dengan satu matlamat iaitu mempertajamkan minda ke arah menjana kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dalam konteks sebagai aset mengurus kejayaan negara pada masa depan. Sejarah telah memperlihatkan, setiap zaman melahirkan barisan pemimpinnya sendiri yang berupaya memimpin pimpinannya ke arah hala tuju dan destinasi yang relevan pada zaman masing-masing. Keadaan dan fenomena ini tidak terkecuali dalam isu kepimpinan para mahasiswa. Dalam konteks Malaysia hari ini, kepesatan pembangunan dan kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara contoh dunia sewajarnya membuka minda para mahasiswa dalam konteks kepimpinan hari ini untuk turut membantu pemimpinan kerajaan mengurus kejayaan yang dibina sekian lama dan pelbagai pengorbanan yang tidak perlu saya jelaskan.
4. Justeru itu, kalau ditanya pada saya tema konvensyen ini, saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa penganjur kerana memahami aspirasi negara untuk memperbahaskan isu-isu dalam membentuk strategi jitu dan padu dalam usaha mengurus kejayaan yang dinikmati dari kaca mata kepimpinan mahasiswa. Adalah lebih tepat kalau saya katakan, dalam mengurus kejayaan negara, para mahasiswa adalah aset penting negara untuk mempertingkat dan memperkukuhkan pengurusan kejayaan negara. Oleh demikian, Konvensyen 3 hari ini haruslah dimanfaat sepenuhnya dan diguna sebaik mungkin bagi menghasilkan strategi-strategi dan idea konkrit dalam konteks sumbangan kepemimpinan kemahasiswaan dan secara tidak langsung ke arah keharmonian pembangunan negara secara menyeluruh.
5. Dalam membincangkan kejayaan, menjadi satu pengharapan agar kejayaan duniawi dan ukkhrawi itu diteruskan dalam suasana kepesatan pembangunan sosio-ekonomi dan diuruskan secara berterusan dengan penuh nekad dan keazaman yang disertai dengan kerja keras pada tahun baru ini dan di masa-masa akan datang untuk memastikan kejayaan dapat dicapai, dinikmati dengan lebih baik. Ini sesuai dengan doa yang sentiasa kita baca iaitu; “ Ya Allah, berilah kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di akhirat”.
Saudara dan saudari sekalian,
6. Buat masa ini kita ada hampir 280,000 pelajar di institusi pengajian tinggi di negara kita. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita memperuntukkan sebanyak 20.2 bilion ringgit bagi sektor pendidikan untuk tahun 2004 dan sejumlah 490 juta ringgit diperuntukkan bagi mengurus dan membangunkan universiti awam. Sudah tentulah, kepimpinan pelajar yang berkualiti dan positif adalah aset penting mengurus kejayaan negara. Kenyataan ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk mempunyai tenaga-tenaga kepimpinan yang mampu memahami cabaran-cabaran senario semasa dan mendatang dalam mempertahankan kejayaan yang dicapai menerusi kecekapan dan keberkesanan kepimpinan organisasi. Tidak dapat dinafikan mahasiswa khususnya pemimpin mahasiswa merupakan tenaga pengganti kepimpinan masa kini bagi merealisasikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Kepimpinan mahasiswa perlu sentiasa berpandangan jauh, berupaya meletakkan kecemerlangan matlamat yang besar dan perlu berusaha keras mempersiapkan diri bagi mengganti kepimpinan semasa untuk mencapai wawasan negara.
7. Sebagai anak atau pemuda-pemudi harapan bangsa, agama dan negara, Kepimpinan mahasiswa mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan kejayaan yang dibentuk dan dicapai dapat diurus dan terus dikekalkan. Tanpa usaha yang berterusan, kejayaan hari ini tidak akan dapat menjamin kejayaan di masa hadapan. Sesungguhnya adalah diharap, kepimpinan mahasiswa memahami harapan dan pengiktirafan masyarakat kepada saudara saudari untuk memperlengkapkan diri menghayati isu-isu dan cabaran semasa serta mendatang dalam membentuk kekuatan dan keupayaan menghadapi segala bentuk perubahan serta hambatan untuk memastikan kejayaan dicapai seperti yang dirancang. Saya mengajak dan menyeru agar pemimpin pelajar bekerja dengan saya dan negara.
8. Dalam konteks ini, saya amat percaya Majlis Perwakilan Pelajar seharusnya mampu memainkan peranannya sebagai entiti penting dalam membantu universiti atau IPT membentuk barisan-barisan penjana pembangunan negara secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan sumber manusia negara. Dalam hal ini, semua peringkat warga mahasiswa perlu memiliki kefahaman mengenai sumbangannya kepada negara dan memiliki keazaman untuk terus berusaha membantu dan bekerja keras untuk meningkatkan lagi kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi kepada satu tahap yang lebih tinggi.
Saudara dan saudari sekalian,
9. Kepimpinan pelajar merupakan salah satu segmen penting di dalam pembangunan negara. Kepimpinan tersebut mampu mencorak dan menentukan arah negara melalui gerakan dari kegiatan positif yang anda lakukan. Beberapa rentetan sejarah perjuangan pelajar menunjukkan wujudnya sumbangan jelas para pimpinan pelajar dalam usaha membangunkan negara atau sebaliknya. Kepimpinan pelajar sememangnya mampu membuat sumbangan konkrit kepada pembangunan agama, bangsa dan negara sekiranya mereka mempunyai kesatuan tekad, semangat dan daya juang serta menghayati aspirasi negara. Adalah wajar kepimpinan pelajar masa kini dan di masa-masa akan datang perlu meletakkan keutamaan perjuangan mereka ke arah pembangunan negara dan bangsa yang lebih menyeluruh dan tidak hanya terbatas kepada kepentingan segolongan kecil pelajar atau anggota masyarakat. Pemahaman ke atas lipatan sejarah perjuangan kepimpinan pelajar sejak awal abad ke 20 hingga ke masa kini adalah penting kepada generasi kepimpinan pelapis. Pemahaman seperti itu akan menguatkan keazaman dan tekad untuk mewarisi kepimpinan pelajar yang berwawasan, berwibawa dan mampu membuat sumbangan yang konkrit kepada kejayaan pembangunan negara dan bangsa.
10. Kepimpinan pelajar masa kini berhadapan dengan empat tugas utama :
1. Menangani kemerosotan minat belajar di kalangan pelajar
2. Mengatasi masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik di antara pelajar bumiputera dan pelajar bukan bumiputera
3. Mengatasi bersama masalah kemerosotan akhlak di kalangan pelajar
4. Memperbaiki persepsi pelajar terhadap kerajaan
11. Pertama, kepimpinan pelajar harus mampu bertanggungjawab menjalankan usaha meningkatkan minat belajar para pelajar. Melalui beberapa kajian, di dapati wujudnya minat belajar di kalangan sebahagian kecil pelajar bumiputera telah menurun. Jika fenomena ini tidak ditangani dengan bijaksana, ia akan mengancam survival bangsa. Justeru itu, perlu ada usaha-usaha memberi motivasi pelajaran dan pendidikan kepada kumpulan ini secara terancang dan berkesan. Senario ini jika berterusan boleh mengancam pembangunan negara untuk menjadi negara maju tahun 2020.
12. Kedua, isu ini merupakan isu yang berpanjangan iaitu rendahnya pencapaian akademik pelajar bumiputera. Seperkara yang jelas, pelajar bumiputera gagal mempertahankan kecemerlangan yang dicapai di peringkat awal. Sehubungan itu, kepimpinan pelajar perlu menjalankan usaha memperbaiki sikap pelajar bumiputera yang rata-ratanya masih negetif terhadap tugas dan tanggungjawab mereka kepada pelajar. Kelemahan pencapaian akademik pelajar bumiputera perlu dilihat secara mikro dan ia amat berkaitan dengan maruah, harga diri dan survival kejayaan bangsa.
13. Ketiga, permasalahan sosial seperti maksiat dan lumba haram serta isu dadah. Wujudnya penemuan kajian, permasalahan sosial dilakukan oleh remaja yang berada di bangku sekolah dan pusat pengajian. Baru-baru ini juga media memaparkan isu-isu permasalahan sosial di kalangan pelajar IPT yang pada pandangan peribadi saya jika ianya benar berlaku, amat memalukan generasi harapan masyarakat, bangsa dan negara. Pembangunan akhlak adalah sesuatu yang asas dalam pembangunan bangsa dan negara perlu ditegaskan kekuatan sesuatu bangsa dan negara bergantung kepada tahap akhlak pemiliknya. Dalam isu ini, kepimpinan pelajar mempunyai tanggungjawab untuk memberi kepimpinan bermoral kepada anggota masing-masing. Motto kepimpinan melalui teladan yang dilahirkan oleh Tun Dr. Mahathir masih releven dan terpakai. Kata bidalan “Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari” juga masih berkaitan dan bermakna dalam membentuk kepimpinan mahasiswa masa kini.
14. Dan keempat, isu persepsi negatif pelajar terhadap kerajaan seharusnya diperbaiki. Wujudnya minda dan sikap tidak berterima kasih kepada kerajaan di kalangan generasi muda harus diperbetulkan. Dalam erti kata kemampuan menyeluruh, tidak dinafikan kerajaan ada kalanya belum mampu mengisi segala harapan dan hasrat rakyat, namun menafikan apa yang telah disumbangkan oleh kerajaan selama ini adalah satu gambaran kepada sikap tidak menghargai apa yang diperolehi. Sikap angkuh seumpama ini merugikan bangsa dan negara. Seharusnya pendidikan yang diperolehi di IPT dapat meningkatkan tahap rasional dan bijaksana mahasiswa. Perlu dijelaskan dalam kehidupan manusia iaitu penguasaan ekonomi, kejayaan ilmu, agama dan politik hanya akan diperolehi melalui pengetahuan dan bukannya melalui perasaan. Agak malang kini, ramai generasi muda termasuk yang berilmu ingin menguasai keempat-empat bidang tersebut melalui perasan semata-mata. Mereka ini adalah insan-insan yang akan kecewa kemudiannya.
Saudara dan saudari sekalian,
15. Kekuatan dan kualiti pemimpin siswa terletak kepada visi dan misi yang diterapkan dalam sesebuah organisasi di bawah pimpinannya. Kedua-dua kekuatan ini ditentukan oleh proses pemahaman, penghayatan dan terkandung secara komprehensif dalam minda sihat seseorang pemimpin. Keperluan memahami konsep pembelajaran intelek amat dituntut dalam Al-Quran, misalnya dalam surah Al-Baqarah, ayat 269.
“Allah memberi hikmah kepada siapa yang dikehendakinya. Dan barang siapa yang memberi hikmah, sungguh telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal”
16. Ayat tersebut menjelaskan kesihatan minda, mampu memahami makna “hikmah” yang bakal memberi kesejahteraan kepada dirinya dan masyarakat. Dalam konteks selanjutnya, suka atau tidak setiap pemimpin mahasiswa perlu memperlengkapkan diri dari aspek pembangunan minda khususnya menghayati budaya berfikir dan budaya percambahan ilmu. Untuk mengurus kejayaan kepimpinan, pengisian minda sihat perlu disusuli dengan ilmu penyampaian mesej yang berkesan. Sesungguhnya pemimpin berfungsi mendorong, melatih, menilai, memberi ganjaran dan sekaligus menjadi sumber ilham kepada orang lain. Dalam erti kata lain, kayu ukur kualiti kejayaan pimpinan bukan setakat keperluan memahami maksud visi dan misi, bahkan mampu menterjemahkan maksud itu secara vokal, penghayatan dan perlaksanaan supaya dapat difahami. Mengurus kejayaan pimpinan organisasi seperti MPP sewajarnya dilakukan dengan sentuhan pengalaman, kefahaman minda dan naluri ikhlas.
17. Dunia mahasiswa adalah dunia di mana pemikiran dibentuk dan hala tuju pemikiran seseorang insan berpendidikan yang sentiasa dicanai dan bercambah. Dalam masyarakat kampus, yang rata-ratanya rakan sebaya dan bergurukan para pensyarah yang mempunyai kelulusan dari universiti-universiti dalam dan luar negara, mahasiswa harus bijak membahagikan komitmen di antara akademik, berpersatuan, beriadah, ibadah dan bersukaria. Ini merupakan suatu tugas yang dianggap kunci kepada segala kejayaan kecemerlangan mahasiswa dari dahulu hingga kini.
18. Dalam erti kata lain, mahasiswa perlu menjadi pragmatik. Tidak guna cakap tanpa pelaksanaan dan tidak guna juga pelaksanaan tanpa idea permulaan, pratikal adalah pendekatan terbaik. Untuk itu, saya berpesan kepada golongan mahasiswa, pilihlah jalan yang paling berhemah terbaik dan berwaspadalah dalam segala yang dilakukan. Jika bicara tanpa ilmu, umpama menyuap tangan yang kosong ke dalam mulut sendiri. Takkan kenyang perut yang berharap dan rohani yang dahaga.
Saudara dan saudarai sekalian,
19. Kembali kita kepada tema konvensyen “Mengurus Kejayaan : Isu dan Cabaran”. Dalam hal ini kita semua perlu lebih bertanggungjawab bersama-sama kerajaan meneruskan agenda wawasan 2020. Ini bererti kepimpinan mahasiswa mempunyai peranan sama penting dengan organisasi lain dan perlu memberi sumbangan terbaik dalam semua aspek termasuk kerja-kerja kita untuk terus mewarisi kejayaan yang sedia ada ini dengan mengurus setiap satunya bagi mencapai satu negara, satu rakyat, satu bangsa dan satu masyarakat majmuk yang berupaya mengekalkan keutuhan dan kekuatan perpaduan negara.
20. Pada hemat saya, bagi membantu mencapai hasrat tersebut, setiap daripada kepimpinan mahasiswa perlu merentasi halangan minda yang mempunyai tanggapan bahawa keupayaan dan kemampuan kita adalah terhad. Kita perlu membina asas keyakinan bahawa isu dan cabaran di hadapan itu boleh diselesaikan dan kegagalan yang lalu menjadi ikhtibar untuk merangka strategi kejayaan masa hadapan. Keadaan ini memerlukan satu perubahan minda bagi perbaharuan dari segi perancangan, strategi, program, dan mekanisma perlaksanaan disamping pemantauan kejayaan atau kegagalan.
21. Apa yang saya perhatikan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan gerakan atau kepimpinan pelajar sekarang adalah :
a) apathy di kalangan sebahagian besar pemimpin
b) membenarkan diri menjadi bayang-bayang kuasa polisi luar kampus di kalangan segelintir yang aktif
c) kurangnya kepekaan dalam mengenalpasti isu
d) kurangnya kemahiran dalam menguruskan isu
e) kurangnya kebijaksanaan dan menentukan urutan keutamaan
22. Namun begitu, di sebalik 5 permasalahan yang diutamakan tersebut, saya juga melihat wujudnya kekuatan yang mampu mencemerlangkan kepimpinan mahasiswa sebagai aset pengurusan kejayaan negara. Untuk itu, saya ingin memberi pesanan sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya dan juga kepimpinan negara, kepada pemuda-pemudi harapan negara agar dalam menerajui kepimpinan mahasiswa, jangan pula kita lupa untuk menimbal sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan pengalaman agar apabila anda melangkah ke alam pekerjaan nanti, anda mempunyai kualiti diri yang tinggi untuk berjaya dan secara tidak langsung menjadi penyumbang untuk meneruskan usaha mengurus kejayaan negara. Kita semua, sebagai warga negara Malaysia yang mempunyai peranan yang besar untuk membantu kerajaan mengurus kejayaan. Tanpa kita berjaya terlebih dahulu dalam pendidikan yang dipelajari ini, usaha kita untuk membantu menterjemah aspirasi negara amat sulit dan menghadapi kesukaran.
23. Dalam mengenalpasti isu-isu kepimpinan pelajar masa kini dan relevannya pada masa hadapan serta mengatur strategi untuk mengekalkan kejayaan atau kemenangan yang diperolehi, pengetahuan, ilmu dan kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi sahaja tidak mencukupi bagi menjamin prestasi tersebut. Beberapa tindakan pragmatik yang perlu dilaksana bersama dan perlu diutamakan iaitu:
a) kemenangan yang diperolehi, pengetahuan, ilmu dan kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi sahaja tidak mencukupi bagi menjamin prestasi tersebut. Beberapa tindakan progmatik yang perlu dilaksanakan bersama juga perlu diutamakan iaitu :
i) melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara amanah, jujur, cekap dan adil
ii) membentuk pembudayaan etika dalam organisasi
iii) pelopor perubahan minda yang bersedia menghadapi isu dan cabaran dengan mengutamakan visi yang ingin dicapai
iv) perlaksana sesuatu perancangan secara kerja berpasukan dan semangat berpasukan hendaklah dipupuk subur melalui masyarakat, Konsep “Bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya” merupakan satu seruan yang dapat memastikan kejayaan masa depan. Oleh itu, melaksanakan tugas untuk kejayaan kita, organisasi kita dan negara kita. Segala kejayaan yang dicapai dan kegagalan yang dialami merupakan tanggungjawab bersama.
24. Sesungguhnya Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar 2004 yang akan saudara-saudari lalui selama 3 hari yang akan datang ini merupakan satu peristiwa yang memaju dan memangkinkan peranan mahasiswa dalam pembangunan negara. Saya benar-benar berharap agar konvensyen ini akan menjana pembukaan minda dan keyakinan kemampuan diri untuk kita sama-sama menggilap kegemilangan kepimpinan mahasiswa dalam konteks menguruskan kejayaan demi masa depan negara.
25. Untuk itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2004.
Terima Kasih. |