1. Alhamdullillah, saya bersyukur kehadrat ALLAH S.W.T. Kerana dengan limpah dan kurnianya dapat kita sama-sama berhimpun di persidangan ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Ketua Polis Negara Dato' Seri Mohd Bakri, serta PIHAK POLIS DIRAJA MALAYSIA (P.D.R.M), kerana berjaya menganjur pertemuan yang penting ini. Saya percaya hasil perbincangan persidangan ini akan memberi sumbangan yang begitu bermakna terhadap pembangunan P.D.R.M. Sebagai penguatkuasa undang-undang yang terulung di negara ini.
2. Pada kesempatan ini, saya ingin mengiktiraf dan merakamkan sebesar-besar penghargaan terhadap sumbangan setiap anggota P.D.R.M. Kepada rakyat dan negara sekian lama. Dalam menjalankan tugas-tugas am seperti membanteras jenayah dan menjaga keamanan, serta tugas-tugas khas seperti di musim perayaan, anggota polis telah menunjukkan dedikasi dan kesungguhan yang jitu. Pada musim perayaan contohnya, sebilangan besar anggota polis berkerja keras melaksanakan tanggungjawab mengenepikan kepentingan untuk bersama keluarga tersayang, demi keselamatan dan kesejahteraan negara. Hasil usaha gigih mereka, seperti di dalam Ops sikap 5 baru-baru ini, bilangan kemalangan dan kecederaan di jalan raya telah berjaya dikurangkan. Syabas dan terima kasih kepada setiap anggota pasukan.
Saudara dan saudari sekelian
3. Kita sedia maklum bahawa tugas dan tanggungjawab polis, terutamanya dalam membanteras jenayah dan menjaga keamanan, kini lebih berat dan jauh lebih rumit. Pembangunan negara yang begitu pesat, terutamanya di bandar, menyebabkan jenayah harta benda seperti kes meragut beg, menyamun serta merompak semakin meningkat. Pemodenan dari segi teknologi melahirkan pelbagai jenis jenayah yang tidak pernah terdengar beberapa tahun dahulu. Contohnya, jenayah kolar putih yang melibatkan penyalahgunaan teknologi canggih berkomputer, semakin berleluasa. Gejala sosial semakin teruk jika dibandingkan masa dahulu. Kegiatan kong-kongsi gelap, samseng sekolah, kutu rayau, pengedaran dadah dan maksiat, serta keganasan rumahtangga, semakin membimbangkan. Ini semua menjadi cabaran harian kepada pihak polis.
4. Anggota-anggota polis menangani cabaran- cabaran ini meskipun menghadapi kekurangan dari segi bilangan kakitangan, kelengkapan dan logistik, kemahiran tentang teknik-teknik kepolisan terbaru, suasana kerja yang kurang kondusif, serta proses kerja yang lama dan lapuk. Walapun begitu, pencapaian dan prestasi pihak polis amat menggalakkan. Kes-kes jenayah telah berkurangan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2002 bilangan kes jenayah berjaya diturunkan kepada 149,042 kes, dari 156,469 kes pada tahun 2001 dan 167,173 kes pada tahun 2000. Pada tahun 2003, bilangan kes adalah sebanyak 118,468 sehingga bulan september. Memandangkan keadaan serba kekurangan yang dialami, pencapaian ini memang membanggakan dan patut dipuji. Selain daripada ini, kadar penyelesaian kes-kes jenayah di malaysia adalah lebih tinggi daripada penanda aras yang ditetapkan oleh interpol yang menunjukkan keberkesanan dan kecekapan pasukan polis kita dalam menjalankan kerja-kerja penyiasatan.
5. Walaupun kes jenayah telah berkurangan dan kadar penyelesaian kes-kes di malaysia berada pada tahap yang agak tinggi, namun pada hakikatnya, sebilangan besar rakyat negara ini tidak merasakan diri mereka hidup dalam suasana yang lebih selamat dalam erti kata yang sebenar. Hampir setiap hari, media massa memaparkan laporan tentang pelbagai jenis kes jenayah samada rompakan bersenjata, penculikan, atau pencabulan wanita. Ternyata aktiviti-aktiviti jenayah pada masa kini semakin bersifat ganas dan penjenayah pula semakin berani dalam menjalankan aktiviti mereka. Kita harus sedar bahawa rakyat menaruh harapan besar terhadap P.D.R.M. Untuk menjaga keselamatan anak, isteri, keluarga dan sahabat handai tersayang. Walaupun rakyat sedar bahawa polis tidak mampu menjaga tiap-tiap anggota masyarakat, namun harapan tersebut masih berbisik di hati kecil mereka.
6. Oleh kerana harapan rakyat yang begitu tinggi terhadap polis, tidak hairanlah jika setiap kekurangan yang dilihat pada anggota polis dipandang berat oleh rakyat. Gejala rasuah yang melibatkan anggota polis misalnya, menggugat kepercayaan rakyat terhadap polis sebagai sebuah institusi yang berdisiplin dan berintegriti. Sesungguhnya, rasuah boleh membawa kepada pelbagai jenis penyalahgunaan kuasa. Selain itu, ia menggalakkan budaya kerja sambil lewa dan cara berinteraksi yang kasar terhadap rakyat. Semua ini menyumbang kepada persepsi negatif terhadap polis, persepsi yang tidak harus dibiarkan berlarutan, memandangkan betapa pentingnya institusi P.D.R.M. Dalam menjaga keselamatan dan kestabilan negara.
7. Turut dipersoalkan oleh rakyat adalah proses kerja yang lapuk, kurang efisyen serta banyak birokrasi. Ditambah pula dengan sikap sesetengah anggota polis yang bersahaja, tidak mengambil peduli, serta tidak mesra rakyat. Dengan itu, ada sekumpulan rakyat yang sudah mula khuatir akan kecekapan dan keberkesanan polis menjalankan tugas. Ada pula yang seolah-olah hilang kepercayaan terhadap kebolehan polis menyelesaikan kes. Oleh itu, mungkin ada segelintir mangsa jenayah yang kurang berminat untuk melaporkan kejadian jenayah kepada polis. Akibat daripada persepsi rasuah dan proses kerja yang kurang berkesan, Polis Diraja Malaysia boleh dikatakan dibelenggu krisis imej sekarang. Sekiranya ia tidak ditangani dengan segera, maka ia akan menyebabkan penghakisan kepercayaan awam terhadap kewibawaan polis sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang yang terpenting.
Saudara dan saudari sekelian
8. Cabaran utama Polis Diraja Malaysia ialah untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap anggota-anggotanya dan terhadap perkhidmatan yang diberi. Saya yakin kepercayaan rakyat akan dapat dikekalkan jika pihak polis mengambil tindakan segera dan tegas terhadap tiga perkara.
9. Pertama sekali ialah perubahan nilai dan cara pemikiran dalam P.D.R.M, iaitu `Change in Values and Mindset'. Yang paling penting ialah kesedaran yang kukuh dan mendalam tentang erti amanah dan tanggungjawab setiap anggota polis terhadap rakyat dan negara. Kesedaran ini amat penting, kerana ia memberi kesan ke atas pelbagai aspek tugas kepolisan. Kesedaran yang kuat membawa kepada rasa bangga berkhidmat dan perasaan ingin mencurah bakti kepada rakyat dan tanahair. Justeru itu, pekerjaan kita menjadi bagaikan ibadah yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, kesedaran yang lemah dan etika kerja yang kurang berdisiplin dan kurang berintegriti membuka peluang kepada salahguna kuasa dan gejala rasuah.
10. Sebagai pegawai-pegawai tertinggi P.D.R.M., anda semua mempunyai peranan besar dalam mencetuskan perubahan nilai dan cara pemikiran bagi anggota polis yang lain. Sebagai langkah permulaan, tindakan tegas harus diambil untuk menangani gejala rasuah. Yang penting ialah untuk memperkuatkan daya tahan kakitangan masing-masing untuk menolak rasuah. Sememangnya, budaya "Zero Tolerance" terhadap rasuah harus dibina dari peringkat akar umbi lagi. Di dalam hal ini, pelbagai langkah boleh dilaksanakan seperti keperluan deklarasi aset persendirian, pameran poster atau peringatan mengenai keburukan rasuah secara meluas, di setiap balai, berek, dan lain-lain tempat. Langkah-langkah penerapan nilai anti-rasuah mestilah disokong oleh usaha punitif, di mana aduan rasuah disiasat dengan pantas dan jujur, dan mereka yang bersalah dihukum dengan adil.
11. Tindakan konkrit juga harus diambil untuk mengubah sikap dan amalan anggota polis terhadap rakyat, terutamanya mereka yang memerlukan pertolongan. Pelbagai aduan dan keluhan rakyat sering kedengaran tentang layanan polis yang kurang mesra atau bersikap tidak endah dan bersahaja. Adakalanya kekasaran juga ditunjukkan kepada pihak mangsa, termasuk wanita yang mengalami trauma akibat jenayah yang ganas. Perkara sebegini tidak patut berlaku sama sekali. Dalam keghairahan menangkap dan menghukum penjenayah, jangan sampai mangsa pun dihukum sama. Sebaliknya, kita harus cuba memahami keadaan dan perasaan mereka yang teraniaya dan yang memerlukan pertolongan. Saya yakin jika kita dapat memahami perasaan mangsa, maka dengan sendirinya cara kita berinteraksi dan melayan mereka akan turut berubah ke arah yang lebih positif juga. Adakalanya, prosedur kerja dikatakan mempamerkan "lack of empathy and understanding" terhadap mangsa-mangsa jenayah ganas, khususnya mangsa jenayah pencabulan wanita. Sebagai langkah permulaan, saya meminta supaya setiap balai polis daerah menggunakan "one-way mirror" supaya mangsa wanita tidak perlu mendekati yang tertuduh untuk mengenalpastinya. Saya juga meminta unit khas terlatih ditubuhkan di setiap balai polis daerah untuk mengendali kes-kes jenayah seksual dan keganasan rumahtangga seperti penderaan. Sehubungan dengan itu, adalah perlu untuk anggota-anggota polis dilatih melalui kursus-kursus `gender sensitization' agar mereka berkemahiran untuk mengendalikan aduan-aduan yang dibuat oleh mangsa-mangsa wanita yang telah mengalami penderaan atau jenayah seksual.
Saudara dan saudari sekelian
12. Cabaran kedua yang perlu ditangani adalah peningkatan keberkesanan cara bekerja. Beban kerja P.D.R.M. Yang semakin bertambah menguji keupayaan kakitangan untuk memproses, menyiasat dan menyelesaikan kes dengan cekap dan cepat. Walaupun usaha untuk menambah anggota P.D.R.M. Sedang diteruskan, masih banyak langkah lain yang boleh dilakukan. Prosedur yang lapuk boleh dikemaskini, struktur organisasi dan pengaturan kedudukan ("deployment") anggota boleh ditambahbaik, agar perkhidmatan polis lebih efisyen di setiap peringkat operasi.
13. Memang badan-badan berseragam terkenal dengan keakuran mereka terhadap prosedur dan peraturan. Namun begitu, adakalanya oleh kerana terlalu akur dengan prosedur dan peraturan, mereka sebaliknya `diperhambakan' oleh prosedur atau peraturan lapuk yang hanya menambah kerja. Matlamat atau tujuan mereka berkhidmat mula terpesong. Akibatnya, sebahagian besar kakitangan ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran, walaupun menghadapi kekurangan kakitangan untuk meronda dan menjaga keselamatan rakyat.
14. Ini menunjukkan betapa pentingnya agar prosedur dan peraturan yang berbelit, yang menghasilkan banyak duplikasi, yang tidak lagi relevan, dikemaskinikan. Dalam konteks ini, prosedur dan peraturan yang melibatkan mangsa jenayah harus diberi keutamaan. Masa untuk menjalankan sesuatu prosedur harus disingkatkan. Dengan itu, ia akan mengurangkan kesusahan yang dialami oleh mangsa dan secara tidak langsung meringankan beban kerja setiap balai yang menerima dan memproses berpuluh laporan setiap hari. Penyingkatan kerja-kerja pejabat juga dapat membolehkan deployment tenaga yang lebih baik, iaitu dengan menambahkan bilangan kakitangan peronda. Sesungguhnya, peningkatan "visibility" anggota polis adalah amat penting bagi mencegah jenayah dan meningkatkan tanggapan keselamatan rakyat ("sense of safety").
Saudara dan saudari sekelian
15. Cabaran ketiga ialah untuk meningkatkan akauntabiliti dan rasa tanggungjawab para pemimpin polis terhadap prestasi pasukan dan anggota polis masing-masing. "The Top 150 Police Personnel of Tthe Country are Gathered Here Today". Sebarang perubahan kepada perkhidmatan P.D.R.M. Bermula dengan komitmen para hadirin di sini. Kita hanya boleh mendapat hasil yang konkrit, seperti pengurangan jenayah, pengurangan rasuah, perkhidmatan mesra rakyat dan sebagainya, sekiranya semua ketua pasukan benar-benar inginkan pembaharuan, dan sanggup melaksanakannya melalui konsep kepimpinan melalui tauladan.
16. Ini bermakna bahawa pencapaian setiap kawasan, dari segi kadar jenayah dan prestasi pasukan, mencerminkan keupayaan ketua polis berkenaan sebagai penguatkuasa dan juga pemimpin. Sebagai penguatkuasa, ketua polis harus peka terhadap perkembangan di kawasannya, dan memahami corak jenayah yang berlaku, serta profail penduduk. Dari maklumat ini, ketua tersebut berupaya untuk membuat analisa mengenai keperluan kawasannya, seterusnya dapat mengatur pasukannya dengan sebaik mungkin.
17. Sebagai pemimpin pula, ketua polis harus berupaya memantapkan disiplin kakitangannya, sambil menjaga hal- ehwal kebajikan mereka. Semangat dan kesungguhan ahli pasukan akan terkikis jika keselesaan diri dan keluarga mereka dilupakan. Oleh itu, saya harap setiap ketua di sini prihatin terhadap keperluan kakitangan masing- masing, supaya semangat ("morale") dan produktiviti dipertingkatkan. Di dalam hal ini, saya ingin memberi jaminan berkenaan komitmen kerajaan yang berterusan untuk membantu memantapkan taraf hidup anggota P.D.R.M. Dari pelbagai aspek, termasuk dalam meningkatkan keselesaan suasana perumahan dan pejabat.
18. Justeru itu, saya ingin mengumumkan cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang akan mengkaji dan mensyorkan langkah-langkah yang boleh diambil ke arah menjadikan P.D.R.M. sebuah pasukan penjaga keamanan dan penguatkuasa undang-undang yang berwibawa dalam abad ke-21. Cadangan ini akan disembahkan untuk diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Objektif suruhanjaya ini ialah untuk mengkaji semula perjalanan kerja pasukan polis serta mengemukakan cadangan-cadangan yang dapat meletakkan P.D.R.M. sebagai sebuah pasukan polis yang dipercayai oleh masyarakat serta mempunyai keupayaan untuk mengendali segala tuntutan keperluan tugasan dan tanggungjawab yang dipikul, selari dengan peredaran zaman. Ini bertujuan untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti agar pasukan polis dapat berdiri atas prinsip pengurusan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.
19. Skop tugas suruhanjaya diraja ini akan meliputi perkara-perkara berikut: peranan dan tanggungjawab pasukan polis dalam menguatkuasakan undang-undang negara dalam konteks semasa; syarat dan terma perkhidmatan pegawai dan anggota, termasuk pengambilan; pembangunan sumber manusia termasuk latihan; imbuhan serta kemudahan; serta etika kerja dan prosedur kerja ("Standard Operating Procedures") pegawai dan anggota P.D.R.M.. Suruhanjaya tersebut akan memodenkan semua aspek operasi dan kerja polis, termasuk mengambilkira teknik-teknik kepolisan terkini, isu-isu hak asasi manusia termasuk isu-isu yang melibatkan kaum wanita.
20. Hakikatnya dewasa ini, jenayah-jenayah yang berlaku merupakan jenayah-jenayah yang semakin kompleks yang memerlukan sebuah pasukan polis yang dinamik serta berkemahiran tinggi di dalam pelbagai bidang ilmu untuk menanganinya. Kerjaya di dalam pasukan polis tidak boleh dilihat sebagai alternatif terakhir di dalam memilih kerjaya bagi seseorang individu sebaliknya kita perlu menjadikan bidang kepolisan sebuah bidang yang mampu untuk menarik minat graduan-graduan yang terbaik dan berkualiti dari pelbagai bidang untuk menyertainya. Saya percaya, pasukan polis kita akan menjadi lebih efektif sekiranya kita dapat menarik individu yang berkelayakan seperti graduan dalam bidang sains dan teknologi bagi menyiasat jenayah siber dan meningkatkan keupayaan forensik, graduan dalam bidang perakaunan bagi menangani jenayah kolar putih, graduan komunikasi dan perhubungan awam untuk menyalurkan maklumat dengan tepat kepada orang awam serta pelbagai bidang yang lain lagi yang akan membantu mengukuhkan pasukan P.D.R.M..
21. Selain daripada meningkatkan keupayaan P.D.R.M. Serta mutu anggotanya, saya juga berharap suruhanjaya ini dapat menangani isu-isu yang berhubungkait dengan tanggapan masyarakat umum terhadap pasukan polis. Realitinya, masyarakat hari ini semakin tinggi pendidikan mereka dan tambahan pula mereka terdedah kepada pelbagai maklumat dari dalam dan luar negara, maka dengan itu, mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap hak-hak asasi mereka dan isu-isu pembangunan pemerintahan negara. Mereka akan menilai P.D.R.M. Berasaskan kepada hak-hak mereka sebagai rakyat. Oleh itu, P.D.R.M. Sebagai sebuah pasukan yang berurusan dengan orang ramai perlu arif tentang hak-hak asasi manusia di dalam menjalankan tugas dan berurusan dengan anggota masyarakat. Isu-isu seperti kekerasan polis, layanan yang tidak memuaskan, gejala rasuah dan isu-isu negatif yang lain perlu dihapuskan. Setiap anggota polis perlu ingat bahawa mereka bertindak sebagai pelindung kepada masyarakat umum. Oleh itu, anggota polis tidak boleh dilihat sebagai tidak melindungi mereka apatah lagi menjadikan mereka sebagai mangsa kerana kegagalan menjalankan amanah tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang telah diletakkan di atas bahu kita. Adalah menjadi harapan saya agar dengan tertubuhnya suruhanjaya ini, negara akan mampu untuk memiliki sebuah pasukan polis negara yang dinamik, berwibawa dan berintegriti bagi abad ke-21 ini.
Saudara dan saudari sekelian
22. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan satu amanat: badan polis diraja malaysia adalah satu institusi asas masyarakat, yang mempunyai tanggungjawab dan amanah yang begitu besar. Saya ingin melihat semua kakitangan P.D.R.M. Merasa bangga dan mengambil berat tentang jawatan mereka, dan berkhidmat dengan gigih untuk rakyat dan negara. Justeru itu, pasukan polis diraja malaysia akan dapat kekal menjadi sebuah badan yang dihormati, disegani, dan dipercayai. Maka dengan harapan itu, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan persidangan PJP, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan.
Sekian, terima kasih.
|
 |