Tuan Yang DiPertua,
Izinkan saya mengemukakan usul berikut di Dewan yang mulia ini:
1. `Bahawa Dewan ini,
menyedari akan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan dan pencapaian matlamat sosioekonomi yang baik meskipun terjejas akibat keadaan ekonomi global yang bergolak dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelapan;
mengambil maklum dan menyokong usaha berterusan Kerajaan bagi mencapai pertumbuhan seimbang dan mapan dalam tempoh 2004-2005;
melulus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan yang bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi mencapai matlamat dan iltizam Dasar Wawasan Negara seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 30 Tahun 2003;
Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha dengan keazaman yang teguh dan terus menyokong Kerajaan untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, adil, berdaya tahan dan berdaya saing.
PENDAHULUAN
Tuan Yang DiPertua,
3. Saya amat bersyukur dengan kemajuan dan kejayaan yang telah kita capai. Ianya bersandarkan usaha gigih dan pengorbanan setiap warga dalam menghadapi pelbagai cabaran, dugaan dan kesusahan. Dasar kita yang memastikan penglibatan semua kumpulan dalam proses pembangunan telah menyumbang kepada perpaduan nasional dan kemajuan negara yang cemerlang. Kita perlu meneruskan usaha dan ikhtiar yang telah diambil, malah memperkukuhkannya lagi demi masa depan yang lebih gemilang.
4. Kita telah membina struktur ekonomi serta institusi yang berdaya tahan, tetapi cukup fleksibel untuk bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang kejutan. Kita menggubal dasar yang menggalakkan perusahaan dan keusahawanan, serta memberikan sektor swasta peranan utama sebagai jentera pertumbuhan. Walaupun begitu, apabila pihak swasta tertekan, sepertimana yang berlaku ekoran krisis kewangan, kita mempunyai kelonggaran untuk meningkatkan peranan Kerajaan bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Ini dapat dilakukan kerana kedudukan fiskal yang kukuh dan akaun luaran yang mantap, hasil pengurusan ekonomi yang baik dan pelaksanaan dasar-dasar yang berkesan.
5. Kajian Separuh Penggal ini telah dibentangkan di Dewan Rakyat dua minggu yang lalu oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang telah memimpin negara sebagai Perdana Menteri selama lebih 22 tahun. Warga dan negara amat menghargai sumbangan beliau yang bertanggungjawab membentuk Malaysia hari ini. Beliau telah melaksanakan peranan dan tugas dengan penuh dedikasi, cekal berani mengemudi negara agar terus merdeka dan berdaulat, bersatu dan berpadu, maju dan makmur, aman dan sejahtera. Kewibawaan dan kebijaksanaan beliau telah mengharumkan nama negara dan bangsa di persada dunia.
RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN
Tuan Yang DiPertua,
6. Rancangan Malaysia Kelapan yang telah dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada Mei 2001 telah menetapkan dasar, strategi dan program bagi mencapai objektif Dasar Wawasan Negara untuk membina negara yang berdaya saing dan berdaya tahan. Tumpuan utama Rancangan adalah untuk meningkatkan tahap pembangunan dan menghasilkan pertumbuhan mapan supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran dan kualiti hidup yang lebih tinggi. Di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi, usaha terus dipergiatkan untuk mengurangkan ketidakseimbangan sosial. Memandangkan negara perlu menjana aktiviti nilai ditambah yang semakin tinggi, pembangunan sumber manusia dan peningkatan teknologi diberi keutamaan. Penekanan diberikan untuk menggalakkan sektor swasta menjadi tunggak pertumbuhan ekonomi. Sementara itu, sektor awam terus diperbaiki bagi menyediakan persekitaran yang menyokong pembangunan.
KEMAJUAN EKONOMI MAKRO
7. Malaysia menghadapi cabaran luar biasa dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan disebabkan keadaan di luar kawalan kita. Ia bermula dengan kelembapan ekonomi dunia, ketidaktentuan akibat peristiwa 11 September 2001, peperangan di Afghanistan dan Iraq serta penularan wabak SARS (Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk).
8. Alhamdulillah, ekonomi Malaysia terus berkembang. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar meningkat 3 peratus setahun bagi tempoh 2001 hingga 2003. Sungguhpun pencapaian ini di bawah sasaran pertumbuhan 7.5 peratus dalam Rancangan Malaysia Kelapan, namun kita harus bersyukur kerana ekonomi Malaysia berdaya tahan dan tidak merosot walaupun menghadapi cabaran demi cabaran.
9. Pendapatan per kapita meningkat sebanyak 2.4 peratus setahun kepada 14,324 Ringgit pada tahun ini. Sekiranya diukur berdasarkan kuasa beli pariti (PPP), prestasi kita lebih baik iaitu meningkat 3.9 peratus setahun kepada 9,380 Dolar Amerika. Pertumbuhan telah dicapai dalam suasana harga yang stabil, tahap pengangguran yang rendah, kedudukan perdagangan luar negara yang kukuh, serta pengurusan fiskal yang mantap. Kita berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, menyediakan perumahan dan kemudahan asas yang lebih baik, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
10. Dua pakej rangsangan yang diperkenalkan Kerajaan dalam tempoh separuh pertama Rancangan untuk mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dunia, iaitu pada tahun 2001 dan pada tahun ini, telah membuahkan hasil. Permintaan dalam negeri telah memelihara keutuhan ekonomi negara dengan pelaburan dan penggunaan awam serta penggunaan swasta yang berkembang pesat.
11. Asas ekonomi negara lebih luas dengan meningkatnya sumbangan sektor perkhidmatan terutamanya kewangan, insurans, harta tanah, perniagaan, pengangkutan dan komunikasi, serta pelancongan dan pendidikan. Dalam sektor pembuatan, industri berorientasikan domestik telah memanfaatkan pakej rangsangan fiskal dan kadar faedah yang rendah. Kelengkapan pengangkutan, pemprosesan makanan dan industri berasaskan pembinaan telah mencatat prestasi yang kukuh. Industri elektronik yang pada mulanya terjejas akibat kejatuhan permintaan global, telah pulih pada tahun 2002 dengan meningkatnya permintaan untuk semikonduktor. Sektor pertanian juga berkembang berikutan peningkatan hasil keluaran tanaman makanan, perikanan dan ternakan serta harga komoditi yang lebih baik.
ISU DAN CABARAN
Tuan Yang DiPertua,
12. Dengan prestasi dan asas ekonomi yang kukuh, kita mampu terus melangkah kehadapan. Namun, kita harus bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang bakal menguji daya tahan, daya saing, keberkesanan dan kemampuan kita. Walaupun kita menjangkakan persekitaran ekonomi dunia akan bertambah baik dalam tempoh akhir Rancangan, namun tekanan geopolitik dan kebimbangan terhadap keselamatan antarabangsa boleh menggugat keyakinan pengguna dan perniagaan, meningkatkan kos perniagaan, serta melembapkan perdagangan dan pelaburan global. Oleh kerana perkembangan ini di luar kawalan kita, kita perlulah terus berusaha untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi supaya mampu mengatasi kesan kejutan luar.
13. Dari segi ekonomi, kita menghadapi tekanan globalisasi dan liberalisasi serta persaingan yang semakin meningkat. Banyak negara yang dahulunya dianggap lokasi berisiko, kini menjadi tarikan kepada pelaburan asing langsung (FDI). Melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), aktiviti pembuatan dipermudah dan dipertingkatkan melalui saluran Internet yang menghubungkan pembekal, pengeluar, dan pengedar dengan serta merta. Di dalam suasana beginilah ahli perniagaan Malaysia harus bersaing.
14. Ahli perniagaan tidak harus berpuas hati dan lalai dalam menghadapi dunia bisnes masakini. Mereka tidak harus bergantung kepada kontrak Kerajaan sahaja. Ahli perniagaan perlu terus membina keupayaan diri agar dapat meneroka peluang pasaran baru, mengumpul kekuatan dalam bidang spesifik, serta melibatkan diri dalam rantaian penawaran global yang mampu menyediakan peluang- peluang bermutu.
TUMPUAN DASAR DALAM KAJIAN SEPARUH PENGGAL
Tuan Yang DiPertua,
15. Kajian Separuh Penggal akan meneruskan teras dasar Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan di samping memperkukuhkan lagi usaha yang diperkenalkan di bawah Pakej Strategi Baru Mei 2003 yang lalu, untuk menangani cabaran yang mendatang. Tumpuan dasar dalam Kajian Separuh Penggal adalah untuk:
16. Memperkukuhkan asas ekonomi makro bagi mencapai pertumbuhan mapan; Memperkuatkan ketahanan ekonomi bagi menghadapi sebarang kejutan; Memperlengkapkan semula ekonomi bagi meningkatkan persaingan; Menggiatkan semula pelaburan swasta bagi membolehkannya memainkan peranan sebagai jentera pertumbuhan; Menerokai sumber pertumbuhan baru; Mempercepatkan peralihan daripada teknologi rendah dan ekonomi berintensif input kepada ekonomi berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan; Meningkatkan sumber manusia yang berkualiti bagi memenuhi permintaan ekonomi yang menuju ke arah aktiviti nilai ditambah yang tinggi; Membangunkan masyarakat yang lebih adil bagi memastikan semua pihak mendapat faedah daripada pembangunan; Menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat; dan Meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi kesejahteraan.
MEMPERKUKUHKAN PRESTASI EKONOMI MAKRO
17. Kerajaan akan terus menguruskan ekonomi secara berhemat bagi memastikan asas ekonomi makro yang kukuh, seperti kadar inflasi yang rendah, tabungan yang mencukupi, kedudukan imbangan pembayaran yang sihat, kadar pertukaran yang stabil dan pengurusan kewangan dan fiskal yang baik. Usaha mengukuhkan ketahanan ekonomi akan dilaksanakan, termasuk usaha mempelbagaikan kegiatan ekonomi, membangunkan sektor kewangan dan pasaran modal yang lebih cekap, serta memperbaiki pengurusan risiko dan tadbir urus korporat.
18. Prospek pertumbuhan ekonomi dijangka lebih baik untuk dua tahun hadapan. KDNK sebenar dijangka tumbuh pada kadar purata 6 peratus setahun. Berdasarkan kadar pertumbuhan ini, Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita akan meningkat kepada 15,600 Ringgit dan dari segi kuasa beli pariti mencapai 10,400 Dolar Amerika pada tahun 2005.
19. Pertumbuhan ekonomi dijangka disokong oleh peningkatan permintaan dalam negeri akibat kesan "wealth effect" dari kenaikan pasaran saham, kegiatan hartanah yang berterusan, serta pemulihan ekonomi dunia secara keseluruhan. Dengan adanya landasan ekonomi kukuh, usaha akan ditumpukan ke arah mempromosikan pelaburan dalam negeri terutamanya pelaburan dari pihak swasta. Selain itu, usaha bersepadu untuk memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dilaksanakan, termasuk usaha memudahkan akses terhadap kemudahan pembiayaan, memperbaiki kemahiran teknologi, menggalakkan penggunaan ICT, serta meningkatkan mutu keluaran.
20. Kerajaan terus mengalu-alukan pelaburan asing langsung (FDI), tetapi lebih berminat kepada pelaburan pada tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, supaya ianya dapat menyumbang kepada peningkatan daya saing dan daya tahan negara. Kerajaan tetap menyediakan insentif berpakej serta insentif khusus dan bantuan bukan cukai untuk menggalakkan perkembangan pelaburan sedia ada, atau untuk mewujudkan pelaburan dalam bidang pertumbuhan baru dan strategik.
21. Dengan pulihnya pelaburan swasta, Kerajaan akan mengurangkan pelaburan awam kembali ke tahap yang lebih mapan dalam tempoh dua tahun akan datang. Penggunaan awam dijangka terus kukuh apabila Kerajaan meningkatkan tahap perkhidmatan untuk memenuhi permintaan rakyat yang kian meningkat.
22. Penggunaan swasta akan meningkat berikutan keyakinan pengguna dan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi. Eksport dijangka bertambah dengan prospek perdagangan dunia yang semakin baik, di samping lebih banyak produk dan perkhidmatan yang kita usahakan. Sektor pelancongan, pendidikan, pengangkutan, kewangan, kesihatan dan perkhidmatan profesional akan menjadi sektor eksport yang semakin penting, selain sektor pembuatan yang sekian lama menjadi tunggak pengeluaran kita.
MENINGKATKAN DAYA SAING DAN KETAHANAN
23. Menurut laporan World Competitiveness Report 2003, Malaysia menduduki tangga keempat negara paling berdaya saing di kalangan negara berpenduduk lebih 20 juta. Namun begitu, kita tidak boleh berasa selesa dan alpa dengan pencapaian tersebut. Pengeluar-pengeluar Malaysia perlu meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos supaya mampu bersaing di arena global. Firma seharusnya meningkatkan produktiviti keluaran dan kemampuan mencipta. Ini akan membolehkan pembangunan produk berjenama sendiri yang menghubungkan kualiti dengan produk keluaran Malaysia. Manakala Kerajaan akan terus mewujudkan suasana mesra perniagaan dengan meningkatkan sistem penyampaian perhidmatan awam, memperbaiki insentif dan infrastruktur, serta menyediakan tenaga kerja mahir.
MENERUSKAN AGENDA PENGAGIHAN
Tuan Yang DiPertua,
24. Sebelum Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, pada tahun 1970 satu daripada dua isi rumah di Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Hasil usaha gigih membasmi kemiskinan, pendapatan isi rumah telah meningkat dengan ketara mencapai 3,011 Ringgit pada tahun 2002, dengan kadar kemiskinan berkurangan kepada 5.1 peratus. Malah kadar kemiskinan hanya 4.5 peratus sekiranya tidak dimasukkan golongan cacat, kurang upaya dan warga emas.
25. Namun, kemiskinan di luar bandar masih tinggi, di tahap 11.4 peratus atau 198,300 isi rumah pada tahun 2002. Oleh itu, Kerajaan akan meneruskan usaha membasmi kemiskinan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat. Tumpuan terus diberi kepada peningkatan taraf jalan raya, bekalan eletrik, air dan kemudahan lain untuk memastikan akses yang mencukupi ke kawasan luar bandar. Dalam tempoh Kajian, 1,310 projek bekalan air luar bandar, 15,100 kilometer jalan luar bandar dan jalan kampong, dan 863 projek bekalan eletrik luar bandar telah dilaksanakan. Program lampu jalan luar bandar telah pertama kali diperkenalkan dalam Rancangan untuk mewujudkan suasana kediaman lebih selesa.
26. Keutamaan diberi kepada program yang dapat menjana pendapatan dan memupuk nilai positif, termasuk membina sikap berdikari dan keyakinan diri di kalangan golongan miskin. Langkah terus diambil untuk memberi penekanan kepada pengkomersilan bukan sahaja dalam bidang pertanian, malah untuk membolehkan penduduk luar bandar mengembangkan aktiviti dalam sektor industri, perdagangan dan perkhidmatan. Penggunaan tanah secara optimum disertai teknik dan teknologi moden, serta aplikasi hasil penyelidikan, akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti masyarakat luar bandar. Kawasan baru yang berpotensi akan dimajukan untuk pertanian dan aktiviti lain, termasuk rekreasi dan pelancongan. Pelbagai program sokongan pembangunan luar bandar akan terus dijalankan, termasuk kemudahan pembiayaan dan skim kredit.
27. Program Gerakan Daya Wawasan akan diperkukuhkan untuk mempertingkatkan keupayaan individu dan pemimpin masyarakat luar bandar. Melalui Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR), Kerajaan akan menyediakan latihan yang bersesuaian dan kemudahan asas untuk memperbaiki kualiti hidup golongan miskin, terutamanya di kawasan luar bandar dan di kalangan penduduk Orang Asli dan golongan minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
28. Isu ketidakseimbangan pendapatan di antara dan di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan, wilayah dan negeri terus diberi perhatian. Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk mewujudkan golongan berpendapatan sederhana yang lebih besar di samping meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.
29. Dari segi penyusunan semula masyarakat, semua kumpulan etnik telah memperolehi hak milik modal saham yang lebih tinggi. Hak milik modal saham Bumiputera telah meningkat daripada 63 bilion Ringgit pada nilai par pada tahun 2000, kepada 73.2 bilion Ringgit pada tahun 2002, berkembang 7.8 peratus setahun. Namun, peratusan ekuiti saham Bumiputera telah berkurangan sedikit daripada 18.9 peratus pada tahun 2000 kepada 18.7 peratus pada tahun 2002. Peratusan hak milik modal saham masyarakat Cina telah meningkat kepada 159.8 bilion Ringgit pada tahun 2002, berkembang 11.2 peratus setahun dalam tempoh kajian semula. Sementara itu, ekuiti masyarakat India telah meningkat kepada hampir 6 bilion Ringgit pada tahun 2002, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus setahun.
30. Pemilikan saham Bumiputra terjejas kerana rapuhnya perusahaan Bumiputera yang masih kurang kepakaran, rangkaian, jalinan, pengalaman, sumber dan modal, menyebabkan mereka mudah terjejas oleh pergolakan ekonomi. Kelemahan ini perlu ditangani dan saya berpendapat ianya akan lebih berjaya sekiranya dapat dilaksanakan dengan kerjasama masyarakat bukan bumiputera yang lebih jauh ke hadapan.
31. Kerajaan sedar bahawa usaha meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam tempoh akhir Rancangan akan menjadi lebih mencabar, terutamanya berikutan proses globalisasi dan liberalisasi. Justeru, untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2010, lebih banyak usaha baru perlu dijalankan untuk menyediakan peluang bagi Bumiputera dalam sektor terpilih. Kerajaan akan menubuhkan sebuah institusi pelaburan baru, Dana Harapan, untuk menarik dan menggembleng sumber kewangan Bumiputera menerusi penubuhan skim unit amanah. Di samping itu, Kerajaan akan menawarkan sekurang-sekurangnya 60 peratus daripada perolehan dan kerja kontrak dalam projek Kerajaan kepada syarikat Bumiputera yang layak dan berkeupayaan.
32. Pendidikan dan latihan akan kekal sebagai strategi penting untuk mencapai objektif penstrukturan semula pekerjaan. Untuk mencapai matlamat ini, bantuan akan diberi kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan untuk menuntut di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, terutamanya dalam bidang sains, ICT dan kursus profesional. Kerajaan akan terus menaja pelajar Bumiputera yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di institusi terkemuka di luar negara. Sektor swasta diminta mengambil lebih ramai pekerja Bumiputera, terutamanya di peringkat pentadbiran dan pengurusan. Penglibatan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam akan ditingkatkan, terutamanya dalam profesion yang kurang diceburi seperti perguruan, kejururawatan, polis dan tentera.
33. Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya saing dan berdaya tahan. Pakej program seperti Program Pembangunan Vendor, Program Pembangunan Francais, Skim Modal Teroka dan usahasama akan digalakkan untuk membantu membangunkan MPPB.
MEMPERCEPATKAN PERALIHAN KEPADA EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN DAN BERTEKNOLOGI TINGGI
Tuan Yang DiPertua,
34. Usaha untuk beralih daripada ekonomi berasaskan input kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan produktiviti bermula hampir sedekad yang lalu. Dalam tempoh tersebut, banyak kemajuan yang telah kita capai, namun perjalanan kita berhijrah kepada ekonomi berasaskan pengetahuan masih jauh. Jika dilihat dari segi infrastruktur, ternyata Malaysia bersedia untuk menerima pengetahuan global. Namun aktiviti daya cipta tempatan masih jauh ketinggalan berbanding negara maju. Kebanyakan industri tempatan menggunakan teknologi asing yang diubahsuai. Oleh itu, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif untuk menggalakkan dan memperbaiki keupayaan sains dan teknologi (S&T) dan inovasi supaya firma Malaysia mampu membuat peralihan menjadi pereka cipta teknologi.
35. Kerajaan telah melancarkan Dasar Sains dan Teknologi Kedua. Dasar ini memperkenalkan beberapa dimensi dan penekanan baru, termasuk mempertingkatkan penyelidikan, meluaskan kapasiti dan keupayaan teknologi, menggalakkan pengkomersilan hasil penyelidikan, membangunkan sumber manusia, serta memupuk budaya sains, inovasi dan keusahawanan. Dasar S&T Kedua menyediakan rangka kerja bagi menggerakkan penyertaan Kerajaan, industri dan institusi penyelidikan secara lebih sinergistik. Selaras dengan itu, undang-undang hak milik harta intelektual akan diperkukuhkan untuk mendorong kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memperbaiki kualitinya.
36. Ternyata jumlah sumber manusia yang pakar dalam bidang sains dan teknologi masih kurang. Oleh itu, pelajar-pelajar yang memperolehi pencapaian tinggi dalam peperiksaan PMR dan SPM akan digalakkan mengikuti program sains tulen untuk menambahkan bilangan pakar sains dan teknologi pada masa akan datang. Sebagai langkah perantara untuk menambah bilangan pakar sains dan teknologi dalam negara, Kerajaan akan melonggarkan kriteria dan memudahkan prosedur untuk pengambilan pekerja asing berkemahiran tinggi dalam sektor intensif teknologi.
37. Kerajaan telah mengenalpasti bioteknologi sebagai satu bidang penting bagi negara. Tiga buah makmal interim telah ditubuhkan untuk menjalankan R&D dalam bidang ini. Bagi memperbaiki kemahiran bioteknologi negara dan mewujudkan "international linkages", usahasama strategik telah diadakan dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di bawah Program Kerjasama Bioteknologi Malaysia- MIT.
38. Dalam bidang ICT, usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah pusat ICT/multimedia serantau dan global telah dilaksanakan. Pelaburan kerajaan dalam ICT dan infrastruktur berkualiti tinggi telah meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk syarikat multinasional menubuhkan ibu pejabat operasi, pusat perolehan antarabangsa, pusat pengagihan serantau, pusat logistik bersepadu serta pusat R&D. Sebagai langkah sokongan, Kerajaan akan memperluaskan infrastruktur telekomunikasi untuk meningkatkan lagi taraf perhubungan dan akses. Bagi mempercepatkan pembangunan Malaysia sebagai pusat ICT, National ICT Strategic Roadmap akan disediakan. Dalam tempoh fasa kedua, yang akan berakhir pada tahun 2010, MSC akan dihubungkan dengan bandar-bandar siber lain di dunia.
39. Dalam membangunkan negara sebagai pusat ICT dan multimedia, kita perlu memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam menggunakan peluang-peluang yang dibuka oleh ICT. Kerajaan peka dan sedar akan perlunya mengurangkan jurang digital, sama ada di antara penduduk bandar dan luar bandar, mahupun antara lapisan masyarakat. Justeru itu, kerajaan telah mengambil langkah melipat-gandakan usaha menyediakan kemudahan ICT dan akses Internet bagi penduduk luar bandar. Di samping 16 pusat Internet Desa dan 15 pusat InfoDesa yang ada di seluruh negara, lebih banyak pusat seumpama ini akan dibina. Pengajaran dan pembelajaran dengan bantuan komputer akan digalakkan, terutama bagi memudahkan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan memastikan generasi muda biasa dengan penggunaan komputer dalam amalan harian mereka. Pada akhir tempoh Rancangan, 84 peratus sekolah menengah dan 80 peratus sekolah rendah akan dilengkapi dengan infrastruktur komputer.
PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA
Tuan Yang DiPertua,
40. Pembangunan sumber manusia terus menjadi keutamaan kerajaan. Tumpuan diberikan kepada peningkatan pengetahuan, pembelajaran kemahiran baru, serta penyemaian nilai-nilai positif. Usaha giat telah meningkatkan kapasiti institusi serta bilangan pelajar di semua peringkat pendidikan dan institusi latihan. Kita berharap, menjelang tahun 2010, kira-kira 35 peratus tenaga pekerja akan mempunyai kelayakan di peringkat tertiari, iaitu dua kali lebih tinggi berbanding kedudukan sekarang.
41. Untuk meningkatkan daya saing sumber manusia negara, mahasiswa akan dilengkapkan dengan soft skills seperti keupayaan menyelesaikan masalah, kerja berpasukan dan kebolehan berkomunikasi dan menulis. Di samping itu, mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris akan dititikberatkan, supaya sistem pendidikan negara mampu membangunkan tenaga kerja yang dapat bersaing di peringkat global.
42. Bagi menyokong keperluan industri untuk sumber manusia mahir, program latihan kemahiran akan diperluaskan. Latihan di tempat kerja akan dijadikan komponen penting dalam sistem latihan kemahiran. Lebih banyak pusat latihan kemahiran baru akan dibina dan program latihan secara fast- track akan dijalankan.
43. Memandangkan keupayaan sektor awam terhad, sektor swasta perlu terus mengembangkan program pendidikan dan latihan bagi meningkatkan bekalan sumber manusia negara yang berpendidikan dan berkemahiran. Di samping memenuhi permintaan pelajar tempatan, sektor swasta perlu berusaha menarik lebih ramai pelajar asing untuk memenuhi hasrat menjadikan pendidikan sebagai industri eksport. Bagi membantu sektor swasta menarik lebih ramai pelajar asing, kerajaan telah membuka empat pejabat penggalakkan pendidikan di luar negeri.
44. Saya menyeru agar institusi pengajian tinggi swasta mewujudkan bidang pengkhususan tersendiri, berasaskan keupayaan dan kelebihan mereka, selaras dengan usaha membangunkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Kerajaan akan memperkenalkan langkah untuk menggalakkan persaingan di kalangan institusi pengajian tinggi tempatan supaya ada yang boleh muncul sebagai universiti unggul, menandingi universiti-universiti antarabangsa yang terkemuka.
MENINGKATKAN KECEKAPAN PERBELANJAAN SEKTOR AWAM
Tuan Yang DiPertua,
45. Dasar fiskal yang berhemat akan terus diamalkan bagi mengukuhkan asas ekonomi negara. Defisit fiskal dan hutang sektor awam akan dikawal lebih ketat dengan mempraktikkan disiplin perbelanjaan, mengurangkan pembaziran dan mengawal kos. Projek pembangunan mesti dinilai dari sudut faedah berbanding kos, termasuk faedah kesan penggandaan ekonomi, supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
46. Dari segi pendapatan awam, defisit fiskal akan ditangani dengan meningkatkan kecekapan sistem kutipan cukai dan duti, termasuk cukai pendapatan.
47. Kerajaan akan meningkatkan pemberian kontrak secara tender terbuka, serta menetapkan reka bentuk projek mengikut piawaian dan spesifikasi yang digariskan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos. Bagi projek yang dilaksanakan melalui pendekatan reka bentuk dan bina, Kerajaan akan melantik juruperunding atau kontraktor bagi bahagian reka bentuk yang berasingan daripada bahagian pembinaan. Ini adalah satu mekanisma bagi mengelak peningkatan kos.
Tuan Yang DiPertua,
48. Disebabkan pengembangan dasar fiskal dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelapan, 99.3 peratus daripada siling asal perbelanjaan pembangunan Rancangan, sebanyak 110 bilion Ringgit , akan dibelanjakan menjelang akhir tahun ini. Oleh itu, Kerajaan bercadang untuk menambah perbelanjaan pembangunan sebanyak 50 bilion Ringgit untuk baki dua tahun Rancangan. Ini bermakna siling perbelanjaan pembangunan dinaikkan kepada 160 bilion Ringgit. Walaupun kita menambah perbelanjaan, defisit fiskal akan dikurangkan dari tahap terkawal 5.5 peratus KDNK dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan, kepada 1.8 peratus pada akhir tempoh Rancangan.
49. Lebih daripada 80 peratus jumlah perbelanjaan pembangunan pindaan adalah untuk sektor ekonomi dan sosial. Pendidikan dan latihan akan menerima peruntukan tertinggi, sebanyak 25 peratus, kesihatan 5.9 peratus, perumahan 3.9 peratus dan pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kebajikan 5 peratus. Sebahagian besar daripada peruntukan sektor ekonomi adalah untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.
50. Selain penyediaan infrastruktur, Kerajaan akan mengambil langkah untuk memperbaiki penggunaan kemudahan yang telah dibina. Usaha akan dijalankan bagi meningkatkan budaya penggunaan dan penyelenggaraan yang berhemat di kalangan penduduk. Pihak pengguna perlu berkongsi dengan Kerajaan dalam menanggung kos penyelenggaraan infrastruktur yang kian meningkat. Sesetengah kemudahan mungkin harus ditanggung oleh kedua-dua pihak Kerajaan dan pengguna supaya lebih adil kepada mereka yang tidak mengguna kemudahan tetapi tetap membayar cukai.
MEMBANGUNKAN SUMBER PERTUMBUHAN BARU
Tuan Yang DiPertua,
51. Untuk terus melangkah maju, kita perlu kreatif dan inovatif dalam mencari sumber pertumbuhan ekonomi baru, baik dalam sektor yang sudah kita ceburi mahupun dalam sektor-sektor baru.
52. Dalam tempoh kajian semula, sektor perkhidmatan telah menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi, berkembang pada kadar purata 4.7 peratus. Sektor ini masih mempunyai potensi untuk pertumbuhan dan akan terus diterokai. Ini termasuk bidang pendidikan, pelancongan, kewangan, kewangan Islam, kesihatan, pengangkutan, perkhidmatan perundingan dan profesional, perkhidmatan berkaitan ICT dan perkhidmatan berkaitan sektor pembuatan.
53. Sektor pertanian, yang berkembang 1.5 peratus dalam tempoh kajian semula, mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan. Ia termasuk tanaman makanan dan akuakultur untuk eksport, bioteknologi, biomass, keluaran semulajadi seperti herba, rempah dan ubat-ubatan dari tumbuhan, serta keluaran industri hiliran pertanian seperti industri pembuatan makanan, kraftangan dan lain-lain keluaran. Peralihan ke aktiviti nilai ditambah yang semakin tinggi menjadi tunjang penting dalam strategi memajukan sektor pertanian.
54. Pembangunan sektor pertanian akan diusahakan dengan menggunakan kaedah pertanian moden, disokong dengan pengetahuan, sistem maklumat dan teknologi terkini. Ini bukan hanya bagi meningkatkan tahap penanaman, tetapi juga untuk memperbaiki aktiviti logistik, pengagihan dan pemasaran hasil pertanian. Kita harus mengambil pendekatan menyuluruh bagi memajukan sektor pertanian, supaya hasil pertanian berada dalam keadaan berkualiti dari kebun hinggalah ke meja konsumer. Ini bermakna perkhidmatan sokongan sektor pertanian harus sama- sama diperbaiki oleh pihak Kerajaan dan swasta.
55. Pembangunan sektor pertanian moden memerlukan tenaga kerja yang lebih profesional. Lebih ramai juruteknik, golongan profesional dan usahawan akan dilatih dengan amalan dan kemahiran pertanian moden. Masalah kekurangan tenaga profesional pertanian seperti ahli sains tanah, ahli mikrobiologi, ahli bioteknologi dan pakar pemakanan akan diatasi.
56. Sektor pembuatan dan perkilangan masih penting. Namun, dengan munculnya persaingan dari negara-negara yang mempunyai tenaga kerja murah, Malaysia perlu beralih kepada industri berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan. Beberapa bidang sektor pembuatan telah dikenalpasti untuk pembangunan, termasuklah aktiviti perkilangan yang berkaitan dengan bioteknologi serta industri pemprosesan makanan.
MEMPERTINGKATKAN KUALITI HIDUP DAN MEMELIHARA ALAM SEKITAR
Tuan Yang DiPertua,
57. Kualiti hidup rakyat terus meningkat, sepertimana dipaparkan oleh Indeks Kualiti Hidup Malaysia. Peningkatan pendapatan diiringi dengan penurunan kadar kemiskinan. Kedudukan lebih baik dicapai dari segi kesihatan, pendidikan, pengangkutan, komunikasi, persekitaran kerja dan kehidupan berkeluarga. Kerajaan akan terus bekerja meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menjadikannya satu matlamat utama.
58. Tahap kesihatan penduduk dijangka bertambah baik dalam tempoh akhir Rancangan. Namun, program kesejahteraan akan diteruskan kerana kesihatan masakini tidak boleh dianggap semata-mata berasaskan ketiadaan penyakit, malah menjurus kepada kesejahteraan yang menyeluruh dari segi fizikal, mental dan rohaniah.
59. Program penggalakkan kesihatan dan pencegahan penyakit terus diberi keutamaan. Program ini penting, mengambil kira masyarakat kini yang semakin mewah serta gaya hidup yang kurang aktif dan semakin banyak menghadapi tekanan. Ia memberi tumpuan kepada menggalakkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang serta jaminan keselamatan makanan yang berkualiti. Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan dan Pelan Tindakan telah dirangka bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan tempatan dan yang diimport. Untuk mencegah penyakit, skop dan liputan program imunisasi kanak-kanak terus dipertingkatkan.
60. Kerajaan akan menentukan pembangunan perumahan yang mampu dimiliki, berkualiti dan mencukupi dengan keutamaan diberi kepada rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Program perumahan akan menitikberatkan faktor keselamatan dan keselesaan kawasan persekitaran.
61. Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan telah dikaji dan ditingkatkan jumlah pinjaman bagi membolehkan kumpulan berpendapatan rendah memiliki rumah. Kerajaan juga akan melaksanakan program menaik taraf dan memperbaiki perumahan awam kos rendah untuk memastikan bangunan, kemudahan bersama dan kemudahan awam dijaga dengan baik.
63. Isu pengumpulan dan pelupusan sisa pepejal menjadi semakin penting. Kerajaan baru sahaja menyiapkan satu kajian komprehensif dan berharap sistem pengurusan sisa bersepadu dapat dilaksanakan. Kempen Kitar Semula Peringkat Kebangsaan akan diperluaskan kepada lebih banyak pihak berkuasa tempatan untuk mencapai sasaran 22 peratus kitar semula daripada jumlah sisa pepejal pada atau sebelum tahun 2020. Suruhanjaya Sanitasi akan ditubuhkan untuk mengawasi dan mengawal selia pengurusan sisa pepejal bersepadu dan satu undang- undang sisa pepejal akan digubal untuk memperkukuhkan rangka kerja perundangannya.
64. Dalam usaha mencapai matlamat ekonomi dan sosial negara, alam sekitar perlu dipelihara agar kemajuan yang dicapai terus seimbang dan berkekalan. Pencapaian ekonomi masakini tidak harus mengorbankan peluang pembangunan generasi akan datang.
65. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan mengenalpasti dan melaksanakan langkah-langkah bagi menjaga keseimbangan eko-sistem dan memastikan pembangunan tidak memusnahkan alam semulajadi. Rakyat, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan penting dalam usaha mengitar semula dan memelihara alam sekitar. Kerjasama antara pihak-pihak ini dan Kerajaan akan ditingkatkan lagi.
Tuan Yang DiPertua,
66. Kerajaan meletakkan keutamaan kepada pembangunan keluarga. Satu kempen kesedaran bertajuk "Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang" telah dilancarkan di peringkat negeri dan kebangsaan. Kerajaan telah meluluskan penubuhan 29 Kompleks KASIH Keluarga di mana program-program berkaitan kesejahteraan keluarga dijalankan.
67. Kaum wanita terus diberi sokongan supaya mereka dapat memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara. Pelbagai undang-undang dan institusi telah dirombak untuk meningkatkan keadilan gender, termasuklah meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001. Pelbagai skim telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran wanita dan menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan dan peniaga. Dalam tempoh akhir Rancangan, usaha akan diteruskan untuk meningkatkan taraf dan kedudukan wanita, termasuk membekalkan kemahiran dan pengetahuan yang dapat menolong mereka mengendalikan tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya.
PERPADUAN NASIONAL DAN PATRIOTISME
Tuan Yang DiPertua,
68. Asas perpaduan nasional adalah persefahaman dan toleransi antara pelbagai kaum, budaya dan tradisi yang dapat melahirkan semangat kekitaan dikalangan rakyat Malaysia. Namun, perpaduan tidak mungkin tercapai jika terdapat sesetengah pihak yang merasakan diri mereka terpinggir. Kerajaan akan meneruskan usaha ke arah mengurangkan jurang perbezaan di kalangan dan di antara kumpulan etnik dan setempat. Bagi menyemai kehidupan yang harmoni dan mewujudkan masyarakat penyayang, Program Rukun Tetangga telah diubah konsepnya dari pengawasan kejiranan kepada khidmat masyarakat.
69. Untuk memperkukuhkan asas perpaduan nasional, kita perlu meningkatkan semangat patriotisme dan toleransi bermula dari peringkat usia muda. Langkah- langkah seperti penubuhan kelas prasekolah perpaduan negara dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah rendah dan menengah telah dijalankan. Kempen "Kamu, Aku, Seiring" telah dilancarkan untuk menghayati semangat Rukunegara bagi memastikan keharmonian yang berterusan dalam negara. Program tambahan akan dilaksanakan untuk meningkatkan lagi integrasi nasional di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
70. Selain itu, Program Khidmat Negara, yang akan bermula pada tahun hadapan, akan dapat memupuk nilai murni di kalangan golongan belia serta memberi peluang kepada mereka untuk membina keyakinan diri, meningkatkan perpaduan, dan menabur bakti kepada negara.
PENUTUP
Tuan Yang DiPertua,
71. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan memberi peluang kepada kita untuk menilai prestasi yang telah kita capai, dan seterusnya membuat perubahan dan pindaan yang perlu untuk memantapkan lagi dasar dan strategi yang dilaksanakan. Keupayaan kita menyesuaikan diri dengan situasi, dan kesediaan kita untuk membuat dan menerima perubahan ke arah mencapai yang lebih baik, merupakan kekuatan kita. Saya yakin sifat pragmatik ini akan membantu kita merealisasikan Wawasan 2020 kelak.
73. Kita adalah pewaris sebuah negara yang berjaya dan pesat membangun. Kita berazam untuk memberikan rakyat kualiti hidup yang lebih baik. Tanggungjawab untuk terus membangunkan warisan ini sangatlah berat. Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bangun dan sama-sama berusaha membentuk sebuah negara yang bersatu padu, maju dan berjaya. Saya yakin dengan adanya kecekalan dan kerajinan rakyat, disertai dengan kesungguhan Kerajaan, maka negara ini akan berjaya menempuh segala cabaran yang mendatang, dan seterusnya berjaya menjadikan Malaysia lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang.
Tuan Yang DiPertua, saya mohon mencadangkan.