Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN
Tajuk : ANUGERAH KUALITI PERDANA MENTERI (AKPM) DAN ANUGERAH PERDANA TEKNOLOGI MAKLUMAT (APTM)
Lokasi : KUALA LUMPUR
Tarikh : 18-12-2003
 

UCAPAN ALU-ALUAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA DI MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KUALITI PERDANA MENTERI (AKPM) DAN ANUGERAH PERDANA TEKNOLOGI MAKLUMAT (APTM) PADA 18 DISEMBER 2003, 8.00 MALAM DI HOTEL MANDARIN ORIENTAL,

KUALA LUMPUR Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Yang Berhormat Menteri-Menteri, Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri Tuan Yang Terutama Duta-Duta Besar Dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi Yang Berbahagia Datin Paduka Nazariah Mohd Khalid Ketua Pengarah MAMPU Yang Berusaha Encik Xavier Tan Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya Majlis Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) dan Anugerah Perdana Teknologi Maklumat (APTM) dapat diadakan pada malam ini. Majlis ini merupakan tanda pengiktirafan tertinggi Kerajaan kepada agensi sektor awam, sektor swasta dan sektor sosioekonomi, yang telah membuktikan kecemerlangan organisasi masing-masing. 2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk menyempurnakan Majlis AKPM dan APTM ini. Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri begitu bermakna kepada semua yang hadir pada malam ini. Sokongan yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri akan menyemarakkan lagi semangat kami semua untuk meneruskan usaha dalam menerap dan meningkatkan amalan budaya kualiti dan bersama-sama membantu negara mencapai tahap pembangunan yang lebih tinggi.

Yang Amat Berhormat Datoâ Seri dan hadirin sekalian, 3. Majlis AKPM malam ini adalah kali ke-14 diadakan, manakala Majlis APTM pula, merupakan yang ke-5. Pada tahun-tahun lepas kedua-dua majlis ini diadakan secara berasingan. Memandangkan kedua-dua anugerah ini merupakan anugerah Perdana yang sama pentingnya, kita telah membuat keputusan supaya majlis ini diadakan serentak.

4. Pada tahun ini, sebanyak 59 pencalonan telah diterima bagi Anugerah Kualiti Perdana Menteri; 21 daripada sektor awam, 18 sektor swasta dan 20 daripada sektor sosioekonomi. Bagi Anugerah Perdana Teknologi Maklumat pula, sebanyak 51 pencalonan diterima, iaitu 38 daripada sektor awam, 7 sektor swasta dan 6 dari sektor sosioekonomi. Selaku Pengerusi Panel Memajukan Pentadbiran Awam, saya mengucapkan syabas kepada organisasi-organisasi yang telah mengambil bahagian untuk kedua-dua anugerah ini. Saya percaya melalui penyertaan dalam pertandingan ini, tuan-tuan telah dapat mengenalpasti kekuatan dan juga kelemahan organisasi masing-masing dan dengan itu boleh terus meningkatkan usaha untuk lebih berjaya di masa hadapan. Walaupun kemenangan menjadi sasaran utama, tuan-tuan yang tidak berjaya pada kali ini tidak harus kesal kerana sesungguhnya organisasi yang berani bersaing adalah jauh lebih baik dan dinamik daripada yang tidak bertanding. Sekurang-kurangnya semangat bertanding dan bergerak sebagai satu pasukan akan meletakkan organisasi tuan-tuan di landasan yang kukuh untuk terus bersaing pada tahun hadapan. Saya amat berharap agar lebih banyak organisasi akan tampil untuk menyertai anugerah ini pada tahun-tahun akan datang.

5. Sebagaimana yang ditetapkan, calon-calon AKPM untuk sektor awam dinilai berasaskan tujuh kriteria kecemerlangan, meliputi aspek kepimpinan hinggalah kepada usaha-usaha meningkatkan kepuasan hati pelanggan. Melalui pemerhatian, didapati bahawa di antara ciri-ciri kecemerlangan utama yang diamalkan oleh calon-calon AKPM adalah komitmen yang ditunjukkan oleh ketua agensi terhadap usaha-usaha meningkatkan kualiti, dan kekukuhan proses perancangan strategik yang memandu pergerakan organisasi.

6. Bagi sektor swasta pula, daripada 18 organisasi yang bertanding, 7 merupakan syarikat-syarikat dari sektor perkhidmatan manakala sebelas adalah dari sektor perkilangan. Dari segi pemilikan ekuiti pula, sebanyak 15 organisasi merupakan syarikat tempatan dan usaha sama, manakala 3 adalah merupakan syarikat pemilikan asing. Penyertaan yang tinggi daripada syarikat-syarikat tempatan, menunjukkan telah wujud kesedaran di kalangan mereka tentang pentingnya menanda aras prestasi dan menguji keupayaan masing-masing.

7. Antara ciri-ciri kecemerlangan organisasi sektor swasta yang menyerlah adalah penggunaan ICT yang meluas. Ini boleh dilihat dengan wujudnya sistem-sistem yang bersepadu dalam pelbagai urusan, meliputi proses pengeluaran barangan, membuat tempahan, pembangunan sumber manusia dan aspek kewangan.

8. Juga, didapati syarikat cemerlang memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyelidikan atau R&D, dan pembangunan sumber manusia. Ini adalah satu petanda yang amat menggalakkan memandangkan R&D dapat membantu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan produk. Sementara itu, program latihan yang terancang dan komprehensif dapat meningkatkan kepakaran dan kecekapan anggota organisasi.

9. Bagi sektor sosioekonomi penyertaan tahun ini begitu menggalakkan. Pencalonan diterima daripada pertubuhan koperasi, pertubuhan peladang dan rukun tetangga. Ini menggambarkan bahawa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan semakin prihatin kepada usaha membudayakan kualiti dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Yang Amat Berhormat Dato Seri dan hadirin sekalian,

10. Menyentuh tentang Anugerah Perdana Teknologi Maklumat, walaupun baru 5 tahun diperkenalkan, sambutan yang diterima adalah tidak kurang hebatnya. Pertandingan yang khusus kepada aspek teknologi maklumat ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada organisasi yang berjaya mencapai tahap kecemerlangan dalam penghasilan sistem dan perisian ICT. Sejak diperkenalkan, sebanyak 9 aplikasi berteraskan ICT telah berjaya memenangi APTM, iaitu 4 bagi sektor awam, 4 bagi sektor swasta dan 1 bagi sektor sosioekonomi. Yang lebih menggalakkan ialah bahawa semua aplikasi tersebut boleh diguna pakai atau diubahsuai untuk keperluan yang setara organisasi-organisasi lain. Inilah salah satu manfaat yang dihasratkan melalui pertandingan seperti ini, di mana kejayaan sesebuah organisasi dijadikan sebagai tanda aras untuk dicontohi oleh yang lain. Dengan itu, kemajuan dan faedah penggunaan ICT dapat dinikmati dengan lebih cepat dan meluas. Dari kejayaan yang lepas, terdapat beberapa sistem dan perisian baru yang dibangunkan melalui sumber dan kepakaran tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan diterima pakai untuk urusan perbankan. Yang Amat Berhormat Dato Seri dan hadirin dihormati sekalian,

11. Perkhidmatan Awam akan terus memberi perhatian kepada menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. AKPM dan APTM adalah merupakan salah satu mekanisme untuk menyemarakkan semangat bersaing untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Kami sedar bahawa Perkhidmatan Awam mempunyai tanggungjawab yang berat dalam memastikan proses urus tadbir atau governance yang berkesan. Dengan itu kami berikrar untuk meneruskan usaha-usaha yang cekap, profesional, responsif dan berpegang kepada prinsip integriti yang tinggi, yang juga merupakan satu asas penting bagi membentuk warga negara yang bermoral.

12. Di sini saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan dapat mengisytiharkan satu hari sebagai HARI PERKHIDMATAN AWAM. Salah satu objektif penting pengisytiharan tersebut ialah untuk sentiasa mengingatkan semua warga Perkhidmatan Awam tentang peranan dan tanggungjawab mereka kepada negara di samping untuk meletakkan kedudukan Perkhidmatan Awam di kaca mata umum sebagai institusi yang utuh dan sentiasa prihatin kepada menyediakan perkhidmatan terbaik kepada negara dan rakyat. Cadangan mengadakan hari Perkhidmatan Awam ini juga adalah selaras dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah mengisytiharkan 23 Jun sebagai Hari Perkhidmatan Awam Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami percaya bahawa dengan memberi pengiktirafan dan imej yang baik kepada Perkhidmatan Awam, kita akan dapat menarik lebih ramai rakyat khususnya golongan muda yang cemerlang dan bercita-cita tinggi, untuk memasuki Perkhidmatan Awam dan mencurahkan khidmat bakti kepada negara.

Hadirin yang dihormati,

13. Sebelum saya akhiri, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi hadir menyampaikan anugerah kepada organisasi yang berjaya. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para panel penilai bagi kedua-dua anugerah ini kerana telah bekerja keras untuk menyempurnakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Tidak lupa juga saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur yang telah berjaya menguruskan majlis anugerah pada malam ini. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.


Kami menerima 7,379,806 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri