Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN
Tajuk : MAJLIS KHIDMAT
Lokasi : REGENT KUALA LUMPUR
Tarikh : 25-06-2003
 
Pengacara Majlis

Dif -dif yang diraikan

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Alhamdullilah, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama hadir di majlis untuk meraikan dua kumpulan tetamu istimewa, iaitu rakan-rakan kita yang telah bersara dan pegawai-pegawai kanan yang telah dinaikkan pangkat. Bagi pihak Kerajaan dan Perkhidmatan Awam, saya ingin merakamkan ucapan setinggi- tinggi penghargaan kepada rakan-rakan kita yang telah banyak menabur bakti dan berjasa kepada perkhidmatan dan negara.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah dilantik ke jawatan tinggi Kerajaan.

Hadirin dihormati sekalian Persaraan adalah sebahagian daripada fasa kehidupan yang perlu ditempuhi. Setiap dari kita telah melalui satu perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai pengalaman dan cabaran. Setiap fasa mempunyai keistimewaan tersendiri.

Setiap fasa mencatat detik-detik manis dan tidak kurang juga yang mencabar. Sebahagian dari pengalaman ini masih segar di ingatan. Saya percaya kita semua masih boleh mengimbas kembali keindahan dan keceriaan semasa di alam persekolahan terutama apabila bertemu dengan rakan sedarjah, seasrama, serumah atau kawan sesekolah. Kita juga masih boleh mengingati bermacam peristiwa di hari-hari pertama kita memulakan kerjaya. Yang pasti sepanjang tempoh kerjaya banyak yang kita tidak dapat lupai. Ada masa-masa yang menyeronokkan, ada pula masa-masa yang menekan perasaan dan fikiran. Semakin tinggi kita meningkat dalam kerjaya, semakin besar tanggungjawab dan bertambah hebat pula tekanan yang perlu ditempuhi. Masa berlalu begitu pantas dan seolah- olah tidak pernah cukup, sehingga semakin sukar untuk diluangkan kepada keluarga. Semuanya menguji daya tahan dan kepimpinan kita semua. Kita semua patut bersyukur atas keupayaan menangani segala cabaran yang dihadapi, terutama kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berjaya mengakhiri kerjaya masing-masing dengan cemerlang dan penuh terhormat.

Kini ada antara kita yang terpaksa menamatkan perkhidmatan dengan Kerajaan dan memulakan kehidupan baru dalam fasa `persaraan'. Bersara bukan bermakna berakhirnya kehidupan aktif. Retirement may mean leaving the present work behind, but it does not mean leaving reality behind. We have been conditioned to expect our later years to be free of hassles.

We anticipate a quiet, peaceful, wind-down period. We sometimes dream about the day we leave the `rat race' behind. But the reality is that the more we want to stay simple and independent, the sooner we will become dependent on others. The answer is attitude. If we have a positive outlook on life, retirement should be easier for us. If we want to see the beautiful and humorous side of life, we can focus on these positive factors. If we want to see unpleasant side, all we need to do is let our mind dwell on the negative aspects. This is true all through our life, but accentuating the positive is immeasurably more important as you approach retirement. To be negative then can be disastrous.

Saya percaya kita semua berfikiran positif terhadap persaraan dan menerimanya tanpa kejutan. Malah, persaraan harus dianggap sebagai satu peralihan yang memberi peluang bagi kita memulakan satu lagi fasa kehidupan yang terus aktif dan menyeronokkan. Saya yakin ramai yang telah membuat perancangan lama sebelum bersara dan bersedia untuk memulakan kehidupan baru ini. Sebahagian daripada tuan-tuan dan puan-puan telah pun bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan dengan Kerajaan sama ada sebagai penasihat atau ahli Suruhanjaya. Ramai juga yang telah pun dilamar oleh syarikat-syarikat besar atau badan-badan sukarela, dan ada pula yang telah bersedia memulakan usaha niaga sendiri.

Tidak kurang juga yang memilih untuk berehat seketika dan menghabiskan masa bersama keluarga. Apa pun aktiviti dan bidang yang dipilih, saya mendoakan agar saudara-saudara akan terus menjalani kehidupan harian yang lebih membahagiakan kepada diri sendiri dan keluarga serta terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Satu keistimewaan bagi mereka yang bersara ialah peluang untuk memilih sesuatu aktiviti yang disukai; sama ada kerjaya baru dengan ganjaran lumayan, atau kerja-kerja sukarela atau aktiviti yang dapat memenuhi hobi atau kepuasan peribadi. Sebenarnya banyak kajian mengenai hubungan antara persaraan dengan kesihatan selepas bersara dan penemuan umum menunjukkan mereka yang berjaya memenuhi zaman persaraan dengan kerja-kerja yang disukai akan lebih sihat dan dengan izin Allah, `panjang umur'. Salah satu kajian telah memberikan beberapa petua atau tips yang boleh menyediakan kita untuk hidup lebih bahagia selepas bersara.

Saya petik di sini sebahagian daripadanya: Pertama, "find something you genuinely like to do. All evidence indicates that liking, and being engaged in what you do is healthy. There is objective scientific research showing that being happy in what you do contributes to continued good health". Mungkin inilah sebabnya kebanyakan senior kita yang telah bersara dan aktif dalam bidang yang diceburi sentiasa kelihatan lebih sihat, bertenaga dan ceria.

Kedua, "plan your transition in advance, if possible. If you know that you want or need to retire in the next three to five years, start planning now. Smoothest career transitions were made by people who saw change coming and set up new lives for themselves while still employed in their primary jobs. By the time `retirement' came, they stepped smoothly from their job into their retirement career, with no trauma and no negative consequences".

Satu lagi nasihat ialah "recapture a bypassed interest. One good way of choosing a future direction is to return to your childhood dreams and choose one that still fascinates you.

Everyone has bypassed interests in their earlier lives: passions that they never got to explore but still burn brightly somewhere in their memory." Mungkin tidak semua berupaya untuk memenuhi cita-cita ini, tetapi peluang untuk mencapainya lebih terbuka selepas bersara.

Saya jangka ramai juga yang memilih untuk meluangkan masa dengan keluarga, satu hasrat yang sekian lama diidamkan.

Saya dapat merasakan betapa bahagianya mereka yang dapat menghabiskan detik-detik gembira bersama isteri, anak, cucu dan menantu tanpa diganggu dengan kekalutan memikirkan tentang jadual harian yang sentiasa sibuk. Saya juga dapat gambarkan betapa seronoknya seorang pesara yang dapat meluangkan lebih masa untuk melakukan sesuatu hobi yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan. Bagaimanapun perubahan ini perlu dilalui dengan berhati-hati kerana saya pernah mendengar rungutan betapa sukarnya untuk menyesuaikan diri di beberapa bulan pertama selepas bersara, terutama apabila terpaksa menghabiskan masa di rumah yang sunyi dari kesibukan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Bayangkan juga betapa resahnya sesetengah isteri melayani seorang full time husband yang mengekorinya sepanjang hari. Kadang-kadang kerehatan yang berpanjangan juga boleh membuntukan fikiran dan akhirnya menjejaskan kesihatan.

Hadirin yang dihormati, Bersama-sama kita malam ini ialah pemimpin-pemimpin organisasi yang telah banyak berjasa kepada perkhidmatan awam dan Kerajaan. Kebanyakan mereka ini telah memulakan kerjaya sejak akhir tahun-tahun enam puluhan dan awal tahun tujuh puluhan - bermakna mereka telah mengabdikan lebih daripada tiga puluh tahun usia mereka kepada negara. Di kalangan mereka terdapat pakar dalam pelbagai disiplin, sama ada dalam bidang pentadbiran dan pengurusan mahupun dalam bidang ikhtisas. Pengalaman dan kepakaran mereka adalah tidak ternilai dan sudah tentu kita akan kehilangan satu aset paling penting kepada pentadbiran awam. Namun demikian pada saya, negara tidak akan kerugian, kerana walaupun mereka meninggalkan Perkhidmatan Awam, saya percaya mereka akan terus mencurahkan bakti dan sumbangan melalui penglibatan dalam bidang-bidang baru yang akan diceburi, sama ada di sektor korporat atau dalam kegiatan sosial.

Malah ada di antara mereka terus berkhidmat dengan Kerajaan untuk beberapa ketika.

Suatu yang kita tidak harus lupa, terutama bagi pemimpin pelapis yang akan mengambil alih tempat senior yang akan meninggalkan kita, ialah bahawa mereka yang kita raikan malam ini adalah antara peneraju dan pelopor kepada usaha pembaharuan dalam pembangunan ekonomi dan perkhidmatan awam.

Mereka memulakan kerjaya di ketika negara sedang menstrukturkan semula ekonomi berikutan peristiwa 13 Mei 1969. Di kalangan mereka ada yang pernah terlibat dalam operasi MAGERAN dan ramai yang telah menyumbang kepada penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Pertama. Tahun-tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan juga mencatatkan beberapa peralihan penting dalam perkhidmatan awam termasuk penubuhan JPA, ICU, MAMPU dan INTAN. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan adalah antara pegawai-pegawai muda yang menganggotai agensi-agensi berkenaan pada masa itu dan sama-sama berusaha membangunkannya hingga mencapai kejayaan yang kita dapat lihat pada hari ini.

Dalam tahun-tahun lapan puluhan kebanyakan tuan-tuan dan puan-puan telah melangkah ke jawatan yang lebih kanan dan telah memainkan peranan penting dalam pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan. Ada yang menyumbang kepada penggubalan beberapa dasar seperti Dasar Pandang Ke Timur, Penswastaan dan Dasar Persyarikatan Malaysia. Ada pula yang terlibat dalam usaha penerapan nilai-nilai murni dan perubahan sikap di kalangan anggota melalui pelbagai program seperti penggunaan Kad Perakam Waktu, Tanda Nama dan pelaksanaan Kod Etika Dalam Perkhidmatan Awam atau kempen mengenai konsep Bersih, Cekap dan Amanah, dan Kepimpinan Melalui teladan.

Sebagai pegawai-pegawai kanan pada masa itu sudah tentu tuan- tuan terlibat dengan pelaksanaan awal program peningkatan kualiti dan produktiviti melalui pelaksanaan Manual Prosedur Kerja, Fail Meja dan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja. Semua usaha-usaha ini terus kekal dan berkembang sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan dan pentadbiran. Di bidang ekonomi pula saya percaya ramai yang telah menyumbang kepakaran kepada usaha-usaha membebaskan negara daripada kegawatan ekonomi dunia di pertengahan tahun lapan puluhan.

Pengalaman inilah juga yang telah membantu Kerajaan dalam menangani pelbagai krisis yang melanda negara sehingga ke masa ini.

Di tahun-tahun sembilan puluhan pula kebanyakan telah menjawat jawatan yang lebih tinggi sama ada sebagai ketua jabatan atau timbalan dan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Gerakan Budaya Cemerlang yang menjadi teras kepada usaha pembudayaan kualiti dalam perkhidmatan awam, iaitu satu anjakan paradigma kepada amalan pengurusan kualiti menyeluruh yang berorientasikan pelanggan. Menyusul selepas itu adalah pelbagai pakej pembaharuan, termasuk usaha-usaha menggunakan ICT sebagai enabler penting kepada gerakan pemodenan dalam pentadbiran awam. Ini hanyalah contoh sebahagian daripada sumbangan tuan-tuan dan puan-puan kepada perkhidmatan awam. Pastinya banyak lagi khidmat bakti yang telah dicurahkan bukan sahaja kepada penambahbaikan dalam pentadbiran tetapi juga dalam bidang- bidang khusus yang lain seperti perubatan dan kesihatan; pendidikan; perhutanan; pembangunan sosial dan seumpamanya.

Harapan saya ialah semoga kepakaran dan pengalaman yang terkumpul selama berpuluh-puluh tahun ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh pegawai-pegawai muda tetapi juga oleh Perkhidmatan Awam dan mereka yang berminat untuk membuat kajian mengenainya. Di sini saya ingin menyarankan agar tuan- tuan dan puan-puan dapat merakamkan kembali pembelajaran dan pengalaman yang dilalui bagi dijadikan panduan dan rujukan generasi akan datang.

Hadirin sekalian, Majlis pada malam ini juga meraikan pegawai-pegawai kanan yang telah dilantik bagi memegang jawatan yang lebih tinggi dan menerajui pelbagai kementerian dan jabatan. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan Kerajaan dan Perkhidmatan Awam ke atas prestasi cemerlang yang melayakkan saudara- saudari dinaikkan pangkat serta melangkah ke satu lagi tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya masing-masing. Saya mempunyai penuh keyakinan bahawa saudara-saudari tidak mempunyai kesukaran untuk meneruskan usaha-usaha yang telah diasaskan oleh senior yang kita raikan atau pemimpin- pemimpin sebelum ini. Malah ada antara saudara-saudari yang telah bersama dengan bos masing-masing sama ada sebagai timbalan atau immediate subordinate dan sekarang mengambil alih tugas dan tanggungjawab mereka.

Sementara menentukan kesinambungan usaha-usaha pembaharuan dapat dilaksanakan dengan licin dan lancar, Perkhidmatan Awam perlu terus bergerak dan melonjak ke tahap yang lebih cemerlang. Masih banyak agenda yang perlu kita laksanakan.

Sebahagiannya adalah untuk meneliti semula usaha-usaha yang telah kita mulakan sekian lama dan mencari jalan untuk menambah baik supaya lebih berkesan dan memberi manfaat yang lebih bermakna kepada rakyat. Salah satu tumpuan utama kita masa kini ialah untuk menentukan strategi dan tindakan- tindakan bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan yang telah diumumkan oleh Kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan dengan segera dan bersepadu.

Usaha untuk menyempurnakan tanggungjawab ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh sesebuah agensi secara sendirian walau sebesar mana agensi berkenaan atau setinggi mana pangkat pemimpinnya. Setiap tindakan memerlukan kesepaduan tenaga dan minda. Pada pemerhatian saya, banyak contoh yang membuktikan bahawa terdapat program dan projek yang besar berjaya kerana wujudnya sinergi, kerjasama dan penyelarasan yang rapi. Sebaliknya terdapat pula program dan projek yang terbantut kelancaran pelaksanaannya kerana agensi-agensi yang terlibat gagal untuk bergerak sehaluan. Saya amat berharap bahawa kecenderungan untuk `bergerak bersendirian' ini dapat kita ubah supaya kita dapat buktikan bahawa Perkhidmatan Awam bukan sahaja sehaluan menyokong dan mendukung dasar-dasar Kerajaan semasa, tetapi juga sentiasa bersatu untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Dengan harapan yang tinggi ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai yang baru dilantik ke jawatan lebih tinggi semoga saudara-saudari akan terus mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang.

Kepada yang bersara, marilah kita sama-sama mendoakan semoga tuan-tuan dan puan-puan sentiasa sihat walafiat dan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Adalah juga menjadi harapan kita agar tuan-tuan dan puan-puan akan terus menyediakan kepimpinan dan menyumbang kepada negara dan bangsa: Bagaikan kayu besar di tengah padang Rimbun daunnya tempat berteduh Kuat dahannya tempat bergantung Kukuh batangnya tempat bersandar Besar akarnya tempat bersila Cerdiknya penyambung lidah Alimnya tempat berfatwa Bijaknya tempat berguru Teladannya tempat meniru Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada isteri dan suami rakan-rakan yang bersara atas pengorbanan, kesabaran serta sokongan yang diberi kepada pasangan masing-masing sepanjang perkhidmatan dengan Kerajaan. Semoga Allah SWT memberkati kita, keluarga kita dan merahmati kita dengan hidayah, petunjuk dan kasih sayang.

Sekian, wabillahhi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Isnin, 23 Jun 2003

Kami menerima 7,368,421 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri