Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), khususnya kepada Y.Bhg. Dato' Dr. Mazlan bin Ahmad, Presiden dan ahli jawatankuasanya kerana sudi menjemput saya merasmikan Debat dan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan.
Sesungguhnya jemputan ini merupakan satu penghormatan yang diberikan oleh PPTD kepada saya.
Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik adalah perkhidmatan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pentadbiran di negara kita. Pegawai-pegawai PTD didapati berkhidmat hampir di semua peringkat pentadbiran sama ada di peringkat pusat, negeri dan juga daerah. Malahan di sektor luar negeri pula, pegawai-pegawai PTD menerajui kebanyakan pejabat-pejabat Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi kita di luar negara. Disini kita dapat katakan bahawa Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik adalah memainkan peranan utama dan ulung dalam sistem pentadbiran di negara kita.
Pegawai-pegawai PTD hendaklah memikirkan usaha-usaha yang perlu dibuat bagi memastikan PTD dapat terus mantap dan dapat mengekalkan imej perkhidmatan sebagai satu perkhidmatan utama. Manakala pegawai-pegawai muda pula haruslah berfikiran terbuka, bersikap positif dan bersedia untuk belajar, memperbaiki diri dan menambahkan kemahiran. Isu pokok kepada cabaran-cabaran ini ialah cara mana PTD dapat menentukan kesinambungan tradisi yang telah ada supaya pada masa-masa akan datang ia terus mendapat kepercayaan pucuk pimpinan negara. Kalau tidak, orang lain atau pegawai-pegawai daripada perkhidmatan lain yang lebih peka dengan keadaan akan mendapat tempat itu. Mengikut pemerhatian saya, beberapa kemahiran yang amat dikehendaki di kalangan PTD masakini ialah keupayaan dan kemahiran dalam berhubung, kemahiran berunding dan kebolehan menggunakan komputer dalam kerja-kerja harian.
Penguasaan dalam bidang-bidang ini dengan sendirinya akan menjadikan seseorang pegawai itu berupaya tampil menjadi pengurus yang berkesan dan dapat mengurus organisasinya dengan baik.
Seseorang pegawai PTD, samada di peringkat atasan atau menengah, akan dapat menjadi seorang pengurus yang berjaya jika ia dapat memberi arahan, panduan, buah fikiran dan tunjuk ajar yang jelas lagi berkesan kepada anggota bawahannya. Melalui kemahiran berhubung atau berkomunikasi ini juga ia dapat menyampaikan misi organisasi dengan jelas dan dapat difahami oleh semua anggota. Dengan cara itu, satu keseragaman pemahaman di semua peringkat dapat diujudkan.
Keupayaan berkomunikasi bukan hanya terhad kepada komunikasi lisan sahaja, tetapi juga kepada komunikasi melalui penulisan. Melalui penulisan yang jelas dan tepat, penyediaan- penyediaan memorandum, surat menyurat, kertas konsep atau lain- lain penulisan akan senang difahami dan mudah diambil tindakan. Dengan itu, penguasaan kemahiran berkomunikasi dalam berhubung dengan orang lain amat besar faedahnya di kalangan pengurus- pengurus.
Pegawai-pegawai PTD juga sentiasa terlibat dalam perundingan. Perundingan adalah berlaku di berbagai peringkat dan merangkumi berbagai bidang. Jika diperhatikan, pegawai-pegawai muda lebih banyak terlibat dalam perundingan. Mereka inilah yang terlibat di peringkat awal sesuatu perundingan khususnya sebelum hasil perundingan dibawa untuk pertimbangan ke pihak atasan. Justru itu, kebolehan dalam perundingan memerlukan seorang mengetahui soal-soal fakta, soal-soal teknikal dan psikologi hubungan manusia. Mereka juga harus menguasai pengetahuan- pengetahuan tentang pengurusan, pemikiran strategi, proses membuat keputusan dan bidang-bidang lain yang berkaitan.
Kemahiran berunding atau negotiation skill amat bergantung rapat dengan penguasaan bahasa. Untuk ini, seorang pegawai PTD yang mahu berjaya dan menguasai kemahiran berunding perlu banyak membaca, mengetahui hal ehwal semasa dari jurnal dan akhbar-akhbar serta memahami corak penulisan baru dari buku-buku terkini. Dalam Perkhidmatan Awam hari ini, kita banyak mengadakan perundingan dengan pihak swasta sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Disini keperluan penguasaan bahasa Inggeris misalnya amat diperlukan. Oleh itu, saya suka menasihatkan pegawai-pegawai muda dalam PTD supaya terus gigih berusaha menguasai kebolehan dan kemahiran berunding ini. Cara ini membolehkan PTD terus mendapat tempat dan diberi kepercayaan bukan sahaja untuk merundingkan soal-soal kewangan, perjawatan, perancangan ekonomi dan lain-lain di peringkat jabatan dan kementerian, tetapi juga mengetuai misi-misi perundingan utama negara di peringkat antarabangsa. Kita juga telah menyaksikan perubahan-perubahan yang dialami dalam sistem pentadbiran di negara-negara maju.
Sistem pentadbiran di negara-negara berkenaan lebih mengutamakan penggunaan automasi supaya hasil kerja lebih cepat, cekap dan produktivitinya bertambah. Oleh itu, pegawai-pegawai PTD khasnya di peringkat bawah dan menengah hendaklah mempunyai kebolehan ataupun berupaya menggunakan komputer.
Pegawai-pegawai PTD hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas dalam berbagai bidang. Oleh itu saya menyarankan supaya pegawai-pegawai PTD menjadikan amalan membaca sebagai budaya harian. Amalan ini bukan sahaja dapat memperluaskan pengetahuan tetapi juga mendedahkan mereka mengenai perkembangan semasa dalam sesuatu disiplin. Oleh itu pegawai- pegawai PTD mestilah mendalami bidang disiplin masing-masing terutamanya mengenai pengurusan strategik, sumber manusia, organisasi, ekonomi, kewangan dan sebagainya. Pegawai-pegawai PTD harus peka dan senantiasa mengikuti arus perkembangan perdagangan dan politik antarabangsa. Pendedahan dan pengetahuan yang luas dalam bidang-bidang tersebut membolehkan pegawai-pegawai PTD menganalisis sesuatu isu secara lebih kritikal dan menyeluruh. Dengan ini, pegawai-pegawai PTD akan dapat terus kekal menyumbangkan buah fikiran dan nasihat yang bernas untuk kemajuan negara.
Sudah tiba masanya PTD membentuk code of ethics yang tersendiri sebagaimana yang dimiliki oleh profesyen-profesyen yang lain seperti doktor, peguam dan jurutera. Pembentukan `code of ethics' ini bukan sahaja dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai profesyen PTD kepada masyarakat, tetapi juga dapat menentukan `standard' yang bersesuaian bagi pemilihan pegawai- pegawai PTD dari segi kelayakan akademik dan keperibadian seseorang calon.
Saya pernah menyarankan pada tahun 1991 supaya pegawai-pegawai PTD perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat sifat melambangkan nilai pegawai yang berkualiti, di antaranya:
(i) sifat akauntabiliti yang dimaksudkan sebagai the obligation to give answers and explanations concerning one's action and performance to those with a right to require such answers and explanations. Dalam hubungan ini juga, akauntabiliti hendaklah dikaitkan dengan tanggung-jawab yang sentiasa dilaksanakann walaupun delegation of power telah dibuat kepada pegawai-pegawai bawahan. Pegawai- pegawai PTD perlu ingat bahawa `delegation of power' bukan bermakna melepaskan seluruh tanggungjawab kepada pegawai yang diberi kuasa tersebut tetapi hanya sebagai kaedah mempercepatkan proses membuat keputusan.
Oleh itu, selagi pegawai berkenaan menyandang jawatan yang diberi kuasa itu, dia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua tindakan dan keputusan yang dibuat dalam bidang kuasa jawatan tersebut. Sekiranya pegawai-pegawai PTD berpegang kepada prinsip ini, mereka akan sentiasa dihormati dan dipercayai oleh masyarakat;
(ii) sifat-sifat amanah, jujur, boleh dipercayai dan memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Sifat- sifat ini penting memandangkan bahawa dalam keadaan di mana setiap dari kita berlumba- lumba mengejar matlamat kebendaan, kita sering lupa akan nilai-nilai kejujuran dalam kehidupan. Kejujuran juga melibatkan kebenaran dan jujur terhadap orang lain di samping kejujuran kepada diri sendiri.
Pegawai-pegawai PTD perlu mempunyai sifat- sifat tersebut sekiranya ingin diiktiraf sebagai pemimpin kerana mereka yang jujur sahaja boleh memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah berkualiti; dan
(iii) disiplin diri, bukan hanya sekadar mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam menjalankan tugas tetapi hendaklah sentiasa menepati masa dan mengawal diri dari bertindak dengan tergopoh-gapah atau marah. Sifat-sifat ini pernah disebut oleh Saidina Ali bin Abi Talib kepada Gabenor Mesir pada tahun Hijrah 655 yang menyatakan:
(a) tabahkanlah hati dan bertenang menghadapi bahasa yang keras ..... jangan menambah kebimbangan kamu;
(b) kawallah kemarahan dan jagalah tangan dan lidah kamu ..... cubalah bersabar, jika tidak ia akan menambah kebimbangan kamu; dan
(c) jangan tergopah-gapah melakukan sesuatu sebelum masanya atau melengah- lengahkan apabila tiba masanya.
Pegawai-pegawai PTD juga perlu mempunyai budi bahasa dan kesopanan yang tinggi dalam perhubungan dengan pegawai-pegawai lain atau sesama sendiri.
Sikap hormat menghormati dan beradap patut diamalkan bila berhubung dengan pegawai-pegawai yang lebih kanan atau dengan orang yang lebih tua. Tegur sapa akan mengeratkan lagi hubungan dan mewujudkan suasana kemesraan dalam bekerja, yang akhirnya menjadikan pegawai-pegawai PTD akan disegani dan dihormati;
(iv) amanah meliputi sifat-sifat yang bukan sahaja ditujukan kepada menjaga harta-harta awam dengan sebaik-baiknya tetapi juga meliputi sikap berhemat dalam membelanjakan harta awam supaya tidak berlaku pembaziran di samping menentukan perbelanjaan dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pegawai- pegawai PTD juga perlu berlaku adil dalam menimbang dan memutuskan sesuatu perkara.
Kepentingan diri hendaklah jangan mengatasi kepentingan awam seperti ingatan Saidina Ali bin Abi Talib Kamu sendiri janganlah memberi walau seinci tanah kepada saudara mara kamu. Selain itu, pegawai-pegawai PTD hendaklah mengelakkan diri daripada sifat-sifat memungkiri janji kerana selain dari sifat tersebut boleh menjejaskan imej pegawai untuk dipercayai tetapi perbuatan berkenaan adalah satu kesalahan di sisi Allah. Oleh itu, pegawai- pegawai PTD hendaklah sentiasa menanamkan semangat menyatakan kebenaran kepada perkara yang benar. PTD sekarang ini terdiri daripada 3,643 orang pegawai. Bilangan ini mengikut umur adalah seperti berikut : 51 tahun ke atas: 161 orang (4.4%); 46 - 50 tahun: 530 orang (14.5%); umur 41 - 45 tahun: 1,139 orang (31.3%), 36 - 40 tahun: 1308 orang (35.9%), dan 35 tahun ke bawah: 505 orang (13.8%). PTD adalah merupakan satu perkhidmatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang muda. Di antara pegawai-pegawai PTD, 44 orang telah memperolehi kelayakan `doctorate', dan 744 orang kelayakan sarjana. Biarpun demikian, pegawai-pegawai PTD perlu didedahkan kepada rancangan latihan yang lebih tersusun dalam bidang-bidang yang dapat membantu mereka menjalankan tugas-tugas masing-masing secara lebih berkesan. Antara kursus-kursus yang perlu diberi penekanan ialah: (i) Creativity Management; (ii) Strategies for Global Competition; (iii) Strategic Management of Technology; (iv) Problem Solving; (v) Creativity and Innovation; (vi) Negotiation Skills; (vii) Communication Skills; (viii)Quality Management; (ix) Team, Leadership and Interpersonal Skills; (x) Information Technology; and (xi) Human Resource Management and Development. Kursus-kursus ini hendaklah didedahkan kepada pegawai-pegawai PTD di peringkat awal perkhidmatan mereka dan secara beransur-ansur diberi penekanan sesuai dengan peningkatan dalam gred pegawai. Dengan cara ini pengukuhan dalam bidang-bidang tertentu dapat dibentuk secara lebih sistematik. Di samping itu, kursus-kursus mandatori untuk kenaikan pangkat juga perlu menjadikan bidang- bidang tersebut sebagai asas dalam sukatan kursus.
Dengan kata-kata ini, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Debat dan Mesyuarat Agong PPTD Tahun 1993.
|