Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBANGUNAN PROJEK CSL DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DENGAN MESINIAGA SDN. BHD.
Lokasi : BILIK GERAKAN NEGARA, JABATAN PERDANA MENTERI
Tarikh : 28-04-1994
 
Saya ingin mengucapkan berbanyak- banyak terima kasih atas kesudian pihak MAMPU menjemput saya untuk menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Projek Civil Service Link (CSL). Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Mesiniaga Sdn. Bhd. kerana telah berjaya dan diberi kepercayaan oleh Kerajaan bagi sama- sama membangunkan projek ini.

2. Kita menyedari bahawa maklumat merupakan satu sumber penting dalam Perkhidmatan Awam. Justeru itu, penekanan yang tinggi wajar diberi ke atas penggunaan teknologi maklumat secara yang lebih meluas. Pada tahun lepas, pihak Kerajaan telah menerbitkan buku berjudul "Berurusan Dengan Perkhidmatan Awam Malaysia", yang merupakan satu panduan dan rujukan kepada para peniaga bagi menyenangkan mereka dan orang awam berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan.

Berikutan dengan itu, pihak Kerajaan juga telah bersetuju untuk membangunkan satu sistem pangkalan data berkomputer yang dikenali sebagai Civil Service Link (CSL). Pihak MAMPU telah diberi tanggungjawab untuk membangun dan mengoperasikan kemudahan ini.

3. Objektif-objektif utama penubuhan CSL ini adalah:

(a) untuk memudahkan pengguna-pengguna mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan; dan

(b) untuk menyelaras dan membantu usaha-usaha bagi menggiatkan pewujudan pangkalan data public domain serta rangkaian di jabatan-jabatan Kerajaan.

4. Bagi mencapai objektif-objektif di atas, CSL akan menjalankan fungsi-fungsi seperti berikut:

(c) mewujudkan satu repository atau pangkalan data yang mengandungi maklumat berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sektor awam;

(d) menyediakan kemudahan capaian (access) maklumat tersebut samada secara on-line atau off-line kepada pengguna- pengguna;

(e) berfungsi sebagai sebuah clearing-house bagi permohonan untuk maklumat sektor awam;

(f) menjadi pusat dokumentasi dan penyebaran maklumat pentadbiran dan pengurusan sektor awam;

(g) menggiatkan pewujudan pangkalan data public domain di jabatan-jabatan Kerajaan; dan

(h) dalam jangka masa panjang, mewujudkan hubungan maklumat secara elektronik antara CSL dengan pangkalan-pangkalan data public domain jabatan-jabatan Kerajaan.

5. Mengikut perancangan yang telah dibuat oleh MAMPU, CSL ini akan mempunyai dua komponen, iaitu:

(a) Pangkalan Data CSL di mana maklumat boleh diperolehi secara on-line.

Pangkalan data ini lebih sesuai digunakan oleh pihak swasta dan agensi-agensi Kerajaan yang mempunyai komputer dan telekomunikasi untuk berhubung dengan pangkalan data CSL.

Walaupun pada peringkat perlaksanaan secara perintis, perkhidmatan akan ditawarkan secara percuma, penggunaannya selepas tempoh itu akan dikenakan bayaran; dan

(b) Kiosk maklumat yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi awam seperti di Pejabat Pos Besar serta di kompleks membeli belah untuk kegunaan awam. Kiosk merupakan satu kemudahan multi-media di mana orang awam dapat memperolehi maklumat Kerajaan dengan mudah. Penggunaannya adalah percuma.

6. Pada peringkat permulaan, maklumat yang akan disimpan di dalam CSL adalah maklumat-maklumat yang terkandung dalam Buku "Berurusan Dengan Perkhidmatan Awam Malaysia".

Maklumat-maklumat ini meliputi latar belakang agensi-agensi Kerajaan yang mengeluarkan berbagai lesen, permit dan kelulusan. Bagi tiap-tiap agensi Kerajaan yang berkenaan, maklumat-maklumat yang akan disimpan dalam CSL termasuklah:

(a) objektif, fungsi dan struktur;

(b) perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan;

(c) alamat, nombor telefon dan nombor faks;

(d) aktiviti- aktiviti yang memerlukan lesen dan kelulusan;

(e) bayaran dan cara membuat pembayaran;

(f) akta, peraturan dan garispanduan yang terlibat;

(g) tempoh masa yang diambil untuk memproses sesuatu permohonan; dan

(h) senarai penerbitan-penerbitan yang dikeluarkan.

7. Di samping itu, maklumat-maklumat lain akan juga disimpan dan secara amnya, maklumat-maklumat ini perlu memenuhi ciri-ciri seperti berikut:

(a) maklumat yang mempunyai permintaan yang tinggi oleh pihak swasta; dan

(b) maklumat yang dinamik untuk mempastikan tahap penggunaan CSL yang tinggi.

8. Jenis-jenis maklumat yang telah dikenalpasti yang difikirkan dapat memenuhi kriteria-kriteria di atas adalah seperti berikut:

(a) notis tender-tender Kerajaan;

(b) data ekonomi atau petunjuk ekonomi yang utama;

(c) data yang mempunyai nilai perdagangan seperti nilai import dan eksport;

(d) klasifikasi dan duti kastam;

(e) data banci penduduk;

(f) status pasaran buruh dan pekerjaan;

(g) maklumat dari Pendaftar Syarikat dan Pendaftar Perniagaan; dan

(h) maklumat mengenai sektor perniagaan seperti tahap credit worthiness syarikat-syarikat.

9. Untuk meningkatkan kegunaan atau functionality CSL, beberapa jenis perkhidmatan akan ditawarkan oleh CSL kepada pengguna-pengguna iaitu:

(a) pencarian dan petikan secara on-line di mana seseorang pengguna yang mempunyai komputer mikro dan alat perhubungan akan dibenarkan mencari dan memperolehi sendiri maklumat yang diperlukan dari pangkalan data CSL;

(b) kemudahan pengumuman untuk membolehkan agensi-agensi Kerajaan menyebarkan maklumat-maklumat terkini melalui CSL. Antara maklumat- maklumat yang difikirkan sesuai ialah seperti iklan tender dan pengumuman mengenai perkhidmatan-perkhidmatan atau peraturan-peraturan baru;

(c) penghantaran dokumen di mana CSL akan menyedia, menyalin dan menghantar dokumen-dokumen kepada pengguna- pengguna; dan

(d) perkhidmatan rujukan di mana bagi maklumat yang tiada dalam simpanan, CSL akan merujuk pelanggan- pelanggan kepada sumber maklumat yang diperlukan.

10. Orang ramai juga boleh menggunakan kemudahan untuk mendapatkan maklumat Kerajaan melalui Kiosk Maklumat.

Maklumat-maklumat yang akan disimpan adalah maklumat dari agensi-agensi Kerajaan yang banyak berhubung dengan orang ramai.

11. Perlaksanaan CSL ini dijangka akan memberi banyak faedah kepada negara dan di antaranya adalah seperti berikut:

(a) memudahkan pengguna-pengguna memperolehi maklumat Kerajaan bagi memenuhi keperluan-keperluan maklumat mereka;

(b) mewujudkan satu Perkhidmatan Awam yang terbuka bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap Perkhidmatan Awam di Malaysia;

(c) mempastikan semua usaha-usaha pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan awam didokumentasikan dan disebar sepenuhnya kepada orang awam dan agensi-agensi Kerajaan; dan

(d) menggalakkan agensi- agensi Kerajaan meningkatkan pengurusan sumber maklumat mereka.

12. CSL merupakan satu lagi inovasi yang diperkenalkan untuk mempertingkatkan prestasi Perkhidmatan Awam.

Perlaksanaan CSL mencerminkan kesedaran dan kepekaan perkhidmatan awam terhadap perubahan-perubahan persekitaran di mana masyarakat negara kini kian menempatkan harapan yang lebih tinggi ke atas perkhidmatan- perkhidmatan Kerajaan.

13. Walau bagaimanapun, tiap-tiap satu yang baru yang diperkenalkan akan menghadapi berbagai masalah dan cabaran.

Cabaran yang pertama ialah untuk mewujudkan satu pangkalan data yang mengandungi maklumat yang dapat memenuhi keperluan pengguna-pengguna. Lebih-lebih lagi memandangkan bahawa maklumat Kerajaan meliputi bidang yang begitu luas dan usaha-usaha perlu dijalankan untuk mengumpul maklumat daripada pelbagai agensi-agensi Kerajaan secara berterusan.

14. Cabaran kedua ialah untuk mendapatkan komitmen dan sokongan pengurusan atasan agensi-agensi Kerajaan. Oleh kerana maklumat untuk CSL adalah milik agensi-agensi Kerajaan, kerjasama rapat daripada mereka sangat- sangat diperlukan oleh MAMPU untuk mengemaskinikan pangkalan data CSL secara berterusan.

15. Memandangkan bahawa perlaksanaan CSL ini memerlukan penglibatan yang aktif dari agensi-agensi Kerajaan, maka satu Garis Panduan telah diedarkan yang menyenaraikan peranan- peranan agensi-agensi Kerajaan dalam menjayakan CSL. Peranan-peranan ini adalah seperti berikut:

(a) membantu menyediakan maklumat dalam proses pembangunan CSL dan memastikan supaya maklumat jabatan masing-masing dalam CSL sentiasa tepat dan terkini;

(b) mewujudkan mekanisme dan prosedur dalam jabatan supaya maklumat Kerajaan di jabatan masing-masing dapat disimpan dan diuruskan dengan baik;

(c) membantu menawarkan maklumat kepada pengguna dalam kes-kes di mana maklumat yang diperlukan tidak disimpan di dalam CSL dan pengguna dirujuk oleh CSL kepada mereka;

(d) membantu CSL dalam kajian-kajian samada untuk menilai keupayaan jabatan-jabatan dalam menyalurkan maklumat kepada CSL atau menilai kesesuaian maklumat jabatan- jabatan bagi memenuhi keperluan pengguna.

16. Garis Panduan tersebut juga memerlukan supaya agensi-agensi Kerajaan mengambil tindakan bagi mengenalpasti satu Pusat Tumpuan Kementerian/Jabatan Bagi CSL yang akan bertanggungjawab bagi menyedia dan mengemaskinikan maklumat CSL. Antara unit-unit yang boleh dijadikan Pusat Tumpuan ini adalah seperti Perpustakaan, Bahagian Teknologi Maklumat atau Bahagian lain yang dipilih untuk bertanggungjawab terhadap maklumat dalam CSL. Saya adalah berharap bahawa agensi-agensi Kerajaan akan mengambil tindakan yang segera untuk menubuhkan Pusat-Pusat Tumpuan mereka selaras dengan Garis panduan ini. 17. CSL akan dilancarkan pada bulan Jun tahun ini iaitu lebih kurang dua bulan dari sekarang.

Walau bagaimanapun, pelancaran CSL ini hanyalah merupakan satu langkah permulaan sahaja. Apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan CSL sebagai sebuah institusi yang diiktiraf kegunaannya oleh sektor swasta dan orang ramai dalam jangka masa panjang.

18. Untuk mencapai tahap tersebut, usaha-usaha hendaklah dilaksanakan secara berterusan untuk membangunkan satu budaya atau culture bagi mewujudkan sistem penyusunan maklumat yang teratur dan sistematik di agensi- agensi Kerajaan. Untuk maksud ini, saya ingin mengesyorkan supaya MAMPU merancang dan menggubal satu agenda penyelidikan dalam bidang maklumat Kerajaan untuk mengkaji dan membuat perakuan tentang kaedah-kaedah dan piawaian bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan maklumat Kerajaan. Saya ingin mencadangkan supaya agensi-agensi seperti Perpustakaan Negara, Jabatan Arkib Negara, Pejabat Keselamatan Negara serta Institusi- Institusi Pengajian Tinggi seperti ITM dilibatkan bersama dalam usaha penyelidikan ini.

19. Saya menyedari bahawa projek CSL ini bukanlah satu projek yang mudah untuk dilaksanakan. Selain dari komitmen agensi-agensi Kerajaan, pembekal yang berkualiti ataupun quality supplier amat diperlukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan CSL. Oleh yang demikian, saya berharap agar Mesiniaga Sdn. Bhd. akan dapat memenuhi keperluan Kerajaan dalam membangunkan sistem CSL mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

20. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak MAMPU dan Mesiniaga Sdn. Bhd.

Kami menerima 7,380,967 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri