Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS MALAM KHIDMAT BAKTI
Lokasi : CARCOSA SERI NEGARA
Tarikh : 07-06-1995
 
1. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. oleh kerana dengan limpah dan izinNya kita dapat bertemu dalam majlis ini bagi menghormati dan menghargai persaraan seramai 16 orang Pegawai Kerajaan.

2. Pada malam ini juga kita meraikan teman-teman kita yang telah tamat perkhidmatan mereka dalam Suruhanjaya Perkhidmatan.

3. Disamping itu saya ingin mengucapkan tahniah atas perlantikan Ketua-Ketua Jabatan yang baru. Juga diraikan ialah perlantikan 2 orang Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan.

4. Y.Bhg. Tan Sri Datuk Wira Borhan yang merupakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah bersara pada 1 Februari 1995 setelah berkhidmat selama 36 tahun bermula pada 2 Januari 1958 dan ditauliahkan sebagai Lt. Muda pada 13 Disember 1959. Beliau telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dan telah dinaikkan pangkat sehingga mencapai pangkat Jeneral pada 3 Mac 1993. Beliau adalah bekas Komando dan menjadi Panglimanya.Beliau pernah berkursus di luar negeri seperti di USA dan India dan pernah juga menjadi Attache Tentera di Vietnam dan Pakistan iaitu dari 1 Januari 1975 hingga 28 Februari 1978. Beliau telah menjadi Panglima 5 kali dalam kariernya:- i. Panglima 21 GGK; ii. Panglima 4 Divisyen; iii. Panglima Kor Tentera Darat; iv.Panglima Tentera Darat; dan v. Panglima Angkatan Tentera. Saya mengucapkan selamat bersara kepada Y.Bhg. Tan Sri Borhan.

5. Pada malam ini juga kita meraikan persaraan kawan-kawan rapat saya iaitu Y.Bhg. Datuk Ismail bin Ahmad, Pesuruhjaya Komoditi dan Y.Bhg. Dato' Sadasivan Ketua Pengarah MIDA. Semasa saya menjadi Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian/Pengerusi MIDA saya banyak berhubung dengan mereka khasnya Y.Bhg. Dato' Sadasivan. Beliau adalah seorang pegawai yang penuh dedikasi dan berani mengeluarkan pendapat-pendapatnya. Pegawai- pegawai lain yang bersara telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dan lama kepada perkhidmatan Kerajaan. Diatas segala sumbangan, jasa dan pengorbanan tuan-tuan itu, bagi pihak Kerajaan Malaysia saya mengucapkan terima kasih dan mendoakan supaya semuanya sihat-sihat semasa dalam persaraan dan selamat maju jaya dalam apa-apa kerjaya yang baru selepas ini.

6. Saya ingin menarik perhatian iaitu jika ada diantara saudara-saudara kita yang ingin menulis atau memaparkan segala pengalaman mereka untuk direkodkan, Jabatan Arkib Negara sentiasa bersedia membantu. Saya percaya bahawa apabila Y.Bhg. Datuk Ismail bin Ahmad menulis `memoirs', beliau pasti tidak akan lupa peranan beliau memulakan perkenalan saya dengan Sagiyah di bandar DiRaja Kelang. Saya difahamkan Jabatan Arkib Negara telah berjaya mengumpulkan pengalaman pegawai-pegawai kanan dalam siri seperti itu. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para isteri yang sangat bersabar terhadap para suami yang sentiasa sibuk dalam pekerjaan mereka. Segala sumbangan mereka itu adalah sebenarnya terpahat di atas kejayaan para suami dalam kerjaya mereka. Selaku Penasihat PUSPANITA saya juga mengucapkan terima kasih bagi pihak isteri saya kepada para isteri yang telah memberi khidmat bakti kepada PUSPANITA dalam apa jua peranan dan tanggungjawab.

7. Perkhidmatan Awam kini dalam suasana yang sangat mencabar khasnya selepas Pilihanraya Umum dimana kita perlu melaksanakan dasar-dasar baru dan yang telah diputuskan oleh Kerajaan dengan sepenuh tenaga. Saya menyeru pegawai-pegawai Kerajaan yang masih berkhidmat terus meningkatkan prestasi dan produktiviti masing-masing. "...In developing managerial competencies, we must do more than `drive through the rear view mirror.' It is not enough to look at what excellent organizations and managers are already doing. It is also necessary to be proactive in relation to the future: to anticipate some of the changes that are likely to occur and to position organizations and their members to address these new challenges effectively." 8. Kita menanti ucapan daripada Y.Bhg. Tan Sri Datuk Wira Borhan yang mewakili para pesara sekelian.

Kami menerima 7,361,956 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri