"DASAR-DASAR UTAMA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA MENJELANG ALAF BARU"
1. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Linguistik Malaysia yang telah menjemput saya serta memberi penghormatan kepada saya untuk berucap dalam majlis yang istimewa ini. Saya juga merakamkan ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan ini sempena perayaan tahun ke-20nya.
2. Dalam masa 20 tahun yang lampau saya percaya Persatuan Linguistik Malaysia telah menempa banyak kejayaan yang telah memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli-ahlinya tetapi juga kepada negara, khususnya dalam bidang linguistik serta perkembangan bahasa. Peranan ahli-ahli bahasa dalam memperjuangkan martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sebagai alat pembangunan dan perpaduan negara di sanjung tinggi oleh Kerajaan dan seluruh masyarakat di Malaysia. Peranan tersebut perlu diteruskan bagi menyokong usaha-usaha negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahasa haruslah berkembang maju selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku dalam berbagai aspek, termasuklah keilmuan, ekonomi, sains dan teknologi serta budaya.
3. Hubungan antara kemajuan bahasa, khususnya Bahasa Kebangsaan dan pembangunan tidak dapat dipersoalkan lagi, lebih-lebih lagi dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Persefahaman dan perpaduan kaum melalui penggunaan bahasa yang sama adalah salah satu asas yang penting bagi kestabilan dan keharmonian negara, tanpanya negara tidak akan dapat maju dan makmur seperti yang kita nikmati hari ini. Atas kesedaran inilah maka perpaduan kaum menjadi matlamat utama dasar pembangunan negara. Matlamat ini, walaupun sudah ujud sejak sebelum Merdeka lagi, diberi penekanan baru sejak peristiwa 13 Mei 1969.
4. Seperti yang kita masih ingat peristiwa tersebut berpunca dari ketegangan akibat dari ketidak seimbangan yang ketara antara kedudukan sosio-ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini Dasar Ekonomi Baru (DEB), dengan strategi serampang dua mata, iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat, dilancarkan pada tahun 1970. Antara unsur- unsur penting DEB adalah usaha-usaha bagi menambah aliran masuk gunatenaga Bumiputera ke sektor-sektor ekonomi moden, penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih luas dan penyusunan semula hakmilik modal saham dalam syarikat. Dasar ini telah mencapai hasil yang cukup menggalakkan. Secara keseluruhannya, ekonomi dapat berkembang dengan kadar pertumbuhan KDNK purata 6.7 peratus setahun, penyertaan Bumiputera dalam perdagangan semakin meningkat, kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan perpaduan kaum dapat dipulihkan. Namun demikian, beberapa matlamat yang ditetapkan oleh Kerajaan di akhir jangka waktu DEB pada tahun 1990 tidak dapat dicapai sepenuhnya. Contohnya, bagi hakmilik saham syarikat, Bumiputera hanya memegang 20.3 peratus berbanding dengan matlamat 30 peratus. Dalam bidang gunatenaga di peringkat pengurusan dan pentadbiran, Bumiputera hanya mencapai 31.3 peratus berbanding dengan matlamat sebanyak 49 peratus. Kemajuan yang dicapai oleh usahawan Bumiputera dalam sektor-sektor perindustrian dalam tahun-tahun 70an telah terjejas oleh kemelesetan ekonomi pada tahun 80an. Oleh itu penyertaan Bumiputera dalam bidang ini mencapai kejayaan kecil sahaja.
5. Oleh yang demikian banyak dari unsur-unsur penting dalam DEB seperti pembasmian kemiskinan, pembangunan usahawan Bumiputera, peranan yang lebih luas bagi pihak swasta dalam pembangunan negara melalui projek penswastaan, dan pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Negara DPN) bagi tahun 1991 - 2000. Perbezaan antara DEB bagi 1970 - 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (1991 - 2000) adalah penekanan yang diberi di bawah DPN kepada:- (a) galakan perkongsian secara lebih adil dan saksama yang diperolehi daripada pembangunan ekonomi untuk semua rakyat; (b) penggalakan dan pengukuhan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri-negeri dan di antara kawasan bandar dan luar bandar; (c) pembangunan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta mempunyai perasaan bangga dan cintakan negara; (d) pembangunan sumber manusia yang berdisiplin dan produktif serta peningkatan kemahiran melalui budaya cemerlang; (e) penghayatan sains dan teknologi bagi membangun industri strategik dan perindustrian moden; dan (f) perhatian kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi bagi menjamin pembangunan mampan.
6. Penekanan yang diberi kepada unsur-unsur ini mencerminkan keyakinan Kerajaan terhadap kejayaan rancangan pembangunannya berasaskan pencapaian yang menggalakkan di akhir tempoh DEB pada tahun 1990.Keyakinan inilah yang mendorong penggubalan Wawasan 2020 yang menggariskan cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam acuannya sendiri.
7. Fasa pertama DPN yang diliputi oleh Rancangan Malaysia Ke-Enam (RME) 1991 - 1995, telah menghasilkan kejayaan yang cukup baik dengan pertumbuhan purata KDNK sebanyak 8.7 peratus, mengatasi sasaran 8.1 peratus.Pelaburan swasta meningkat 16.6 peratus setahun dan perdagangan meningkat sungguhpun jumlah import yang besar menyebabkan imbangan dagangan mengalami defisit pada tahun 1994.
8. Awal tahun 90an, manakala RME sedang dilaksanakan, proses liberalisasi dan globalisasi ekonomi dunia semakin memuncak. Di samping itu juga penggunaan IT dan teknologi multimedia berkembang luas. Perkembangan ini mendedahkan negara kita kepada persaingan yang cukup hebat dari negara-negara lain yang mengeluarkan barangan yang sama atau yang sama-sama ingin menarik pelaburan asing. Bagi menghadapi cabaran ini, Rancangan Malaysia Ke-Tujuh (RMT) telah digubal dengan memberi penekanan kepada strategi-strategi berikut:-
(a) memesatkan transformasi ekonomi daripada pertumbuhan yang didorong oleh pelaburan kepada pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti dan kualiti;
(b) mempercepatkan peralihan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi yang menjimatkan penggunaan buruh dan menggunakan proses pengeluaran yang berintensifkan modal;
(c) menggalakkan perindustrian berskala besar supaya pengeluaran boleh dieksport ke pasaran dunia;
(d) meningkatkan daya saingan untuk menghadapi cabaran globalisasi;
(e) membangun sektor perkhidmatan yang moden dan berorientasi terbuka bagi membolehkannya bukan sahaja menjadi pemangkin utama pertumbuhan tetapi juga berpotensi untuk dieksport dalam perdagangan antarabangsa;
(f) memperkukuhkan lagi sains dan teknologi dan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (P&P) untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan teknologi negara serta memajukan teknologi maklumat (IT) bagi membolehkan negara beralih daripada hanya sebagai pengguna produk multimedia kepada pembekal dan pemaju IT;
(g) menangani masalah sosial berikutan dari kemajuan yang pesat.
9. Pelaksanaan strategi-strategi ini amat kritikal sekali bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang sehat dan pengagihan yang saksama dan membolehkan negara kita menghadapi persaingan yang semakin hebat. Oleh itu sungguhpun negara sedang menghadapi masalah ekonomi akibat kejatuhan nilai ringgit, Kerajaan dijangka tidak akan berkisar dari strategi-strategi ini.
10. Untuk menggalakkan pertumbuhan industri IT, Kerajaan sedang melaksanakan projek MSC bagi menarik pelabur-pelabur IT asing dan dalam negeri untuk melabur di kawasan berkenaan. Sebagai tanda komitmen negara kepada MSC, Kerajaan telah menawar pusat pentadbiran Putrajaya sebagai test-bed bagi aplikasi Kerajaan Elektronik. Di samping itu projek-projek lain berkaitan dengan penggunaan IT seperti sekolah bistari, kad pintar dan telemedicine akan juga diperkenalkan.
11. Kemajuan pesat dalam teknologi IT dan penggunaannya secara meluas oleh Kerajaan dan pihak swasta dijangka akan menukar cara hidup dan cara kita bekerja. Kesannya besar sekali. Kita tidak ada pilihan selain dari sama- sama turut menghayati IT. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Ini adalah salah satu cabaran yang besar bagi semua rakyat Malaysia. Bagi menyahut cabaran ini semua jentera Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri telah diberi arahan untuk melatih pegawai- pegawainya dalam penggunaan IT.
12. Peralihan oleh industri-industri kepada aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi dan penjimatan penggunaan tenaga buruh perlu disegerakan bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti tetapi juga kerana kehadiran tenaga buruh asing sudah terlalu ramai dan memberi kesan yang negatif dalam beberapa aspek. Hari ini negara kita mempunyai hampir 2 juta pekerja asing, iaitu hampir 10 peratus penduduk Malaysia. Jumlah mereka mesti dikurangkan.
13. Kegawatan ekonomi yang kita sedang hadapi sekarang sudah tentu mempunyai kesan ke atas beberapa aspek pembangunan negara. Cabaran kepada pentadbir ialah bagaimana melaksanakan program-program kritikal dan tidak dapat tidak mesti dilaksanakan seperti latihan dan pendidikan dengan peruntukan yang terhad. Kita tahu bahawa program ini perlu diteruskan bagi mengeluarkan sumber tenaga terlatih yang amat berkurangan dalam bidang-bidang tertentu. Satu cara ialah dengan menambah kemudahan latihan dan pendidikan di Malaysia sendiri dan mengurangkan atau menghentikan sama sekali penghantaran pelatih-pelatih keluar negeri. Dalam bidang pemakanan pula, bagi mengurangkan perbelanjaan import barang makanan, Kerajaan-kerajaan negeri dan tempatan telah digesa memberi tanah-tanah kosong dan terbiar untuk penanaman sayur dan pokok-pokok buah-buahan.
Memperkenalkan cara-cara inovatif bagi meneruskan program-program pembangunan dalam keadaan sekarang adalah satu cabaran yang kita mesti sama-sama hadapi.
14. Kerajaan telah menubuhkan Majlis Ekonomi Negara bagi mengkaji tindakan yang perlu untuk menangani krisis ekonomi sekarang. Di samping itu Kerajaan memerlukan sokongan padu dari setiap rakyat Malaysia bagi menentukan apa-apa tindakan dan strategi yang diambil berjaya sepenuhnya. Ia bertekad akan mencari jalan untuk memulihkan ekonomi negara tanpa mendapat pinjaman dari IMF. Pengalaman negara-negara jiran yang mendapat bantuan IMF jelas menunjukkan beban berat yang terpaksa dipikul apabila menerima bantuannya. Negara kita tidak mahu diikat dengan syarat-syarat dan beban tersebut yang kemungkinan besar akan menjejas falsafah dan arah tujuan dasar ekonomi kita.
15. Salah satu keutamaan dalam dasar luar negara kita ialah menjalin hubungan yang rapat dengan negara-negara serantau, khususnya ASEAN. Hubungan ini bukan sahaja penting dari sudut politik dan ekonomi, tetapi juga strategik. Krisis ekonomi yang sedang dihadapi oleh semua negara ASEAN sekali lagi menampilkan bagaimana pentingnya kerjasama serantau ini. Kalaulah semua negara ASEAN dapat melaksanakan cadangan untuk menggunakan matawang negara ASEAN dalam perdagangan antara mereka, sudah tentu keperluan membeli dollar Amerika yang menekan nilai matawang masing-masing akan berkurangan.
16. Tiap-tiap negara ASEAN sedar betapa pentingnya kerjasama sesama mereka, tetapi mencapai kata sepakat, lebih-lebih lagi melaksanakannya bukanlah selalu mudah.
Ia memerlukan kesabaran dan persefahaman yang tebal.
Menjelang alaf baru ini lebih banyak lagi perkara- perkara yang perlu ditangani oleh ASEAN. Ini adalah satu cabaran kepada diplomat-diplomat kita dan juga institusi-institusi yang turut berkecimpung dalam kerjasama serantau.
|