Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : YBHG. TAN SRI SAMSUDIN OSMAN
Tajuk : MAJLIS MAPPA KE 3
Lokasi : AUDITORIUM INTAN
Tarikh : 07-01-2002
 
Assalaamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh, dan salam sejahtera.

YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia,

YBhg. Dato' Seri Jamaludin Haji Ahmad Damanhuri,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Para hadirin yang dihormati sekalian, Saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran semua hadirin dan hadirat ke majlis MAPPA ketiga. Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan ditujukan khusus kepada YAB Perdana Menteri kita. Tanpa kehadiran beliau tiadalah majlis ini. Marilah kita berikan satu tepukan untuk beliau. Sempena kita masih berada di bulan Syawal yang mulia ini, saya mengucapkan selamat Hari Raya, maaf zahir batin kepada para hadirin sekalian.

Di awal tahun ini memanglah sesuai masanya untuk kita menilai prestasi kita yang lalu, melihat akan kelemahan- kelemahan, kekuatan, kejayaan yang telah tercapai dan rancangan yang tidak kesampaian baik bagi diri kita mahupun untuk organisasi yang kita pimpin. Ini amat perlu untuk kita mengorak langkah yang sesuai merencanakan program bagi memperbaiki kelemahan yang ada dan menggariskan tindakan untuk meningkatkan perkhidmatan kita kepada orang ramai. Memang tepat sekali masanya kita mendengar amanat dan nasihat YAB Perdana Menteri untuk memberi hala tuju kepada kita agar apa yang kita rencanakan selari dengan hasrat kerajaan dan cita-cita negara.

Sesungguhnya terlalu banyak nikmat Allah kepada kita yang sewajarnya kita mensyukuri. Kedamaian dan kemakmuran yang kita kecapi, keselamatan dan kesihatan untuk diri kita dan keluarga kita, rezeki dan keselesaan hidup yang kita nikmati yang merupakan hanya satu impian bagi rakyat di setengah negara. Satu kurniaan Allah yang mungkin jarang kita fikirkan ialah kurniaanNya sebuah kerajaan dan pemimpinnya yang menguruskan negara dengan baik yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyat dan kakitangan awam serta kemajuan, perpaduan dan kesejahteraan semua rakyatnya. Kita baru sahaja menerima imbuhan tahunan, dan mulai bulan ini akan menikmati kenaikan gaji 10%. Marilah kita mengucapkan terima kasih kita dengan satu lagi tepukan gemuruh untuk Perdana Menteri kita.

Para hadirin sekalian, Sebagai balasannya, amatlah wajar sekali semua anggota perkhidmatan awam mengzahirkan kesyukuran kita dengan memperbaharui azam dan tekad untuk bekerja dengan lebih rajin dan memberikan khidmat sebaik mungkin untuk negara kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menandatangani "Aku Janji" yang telah diputuskan oleh kerajaan, yang tiada lain hanyalah menyatakan pengakuan kita untuk berkhidmat dengan tanggungjawab dan sepenuh taat setia kepada Yang Dipertuan Agong, negara dan Kerajaan yang memerintah.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kami seluruh anggota perkhidmatan awam sebagai tulang belakang kerajaan akan tetap mendukung usaha mempertahankan prestasi perkhidmatan awam, ekonomi dan kedaulatan negara di dalam suasana ekonomi dan politik antarabangsa yang amat mencabar. Sebagai tanda penghargaan kami kepada Kerajaan yang telah membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan anggota perkhidmatan awam, kami berjanji akan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan yang dipimpin oleh YAB untuk mencapai cita-cita dan WAWASAN negara.

Kami juga sedar bahawa perkhidmatan awam masih mempunyai kelemahan tertentu khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, pelaksanaan projek dan juga isu-isu keutuhan perkhidmatan. Insya-Allah kami akan terus berusaha memperbaiki diri dan prestasi kami semua. Teguran dan pemerhatian Kerajaan dan orang ramai terhadap prestasi kami, akan kami terima dengan positif dan dijadikan dorongan untuk mempertingkatkan usaha ke arah mencapai kecemerlangan. Doa kami semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa akan memberi nikmat kesihatan serta melindungi YAB serta keluarga agar sentiasa di dalam kesejahteraan dan keselamatan. Amin Ya Allah.

YAB Dato Seri dan para hadirin sekelian, Sebagai mengakhiri ucapan saya, bersempena dengan perhimpunan yang dihadiri oleh lebih 600 anggota perkhidmatan awam di peringkat tinggi, mewakili berbagai perkhidmatan, saya ingin menyeru kepada hadirin sekelian supaya membulatkan muafakat untuk berusaha dengan lebih gigih untuk memajukan perkhidmatan awam ke tahap yang lebih cekap, utuh dan dinamik dan bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai cita-cita negara.

Tanpa melengahkan masa , saya dengan penuh hormat menjemput Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapannya.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalaamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Terima kasih.

Kami menerima 7,386,789 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri