Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI ABDUL HALIM BIN ALI
Tajuk : MAJLIS MALAM KHIDMAT BAKTI 1/98
Lokasi : RUMAH PUSPANITA, JALAN HOSE, KUALA LUMPUR
Tarikh : 01-07-1998
 
Terlebih dahulu ingin saya melafazkan rasa syukur dan gembira kerana dapat mengadakan Majlis Khidmat Bakti ini, istimewa untuk memberi penghormatan kepada 35 orang pegawai kanan yang berjasa kepada negara dalam bidang masing-masing. 24 dari mereka baru bersara dan 11 baru dilantik ke jawatan utama sebagai Ketua Jabatan dalam Perkhidmatan Awam. Sesungguhnya majlis ini, walaupun diadakan di tempat dan dalam suasana yang sangat sederhana, amat istimewa dan besar ertinya kepada Perkhidmatan Awam.

2. Saya sebenarnya membawa perutusan daripada tiga pihak iaitu Kerajaan, Perkhidmatan Awam dan bagi pihak diri saya sendiri sebagai rakan sekerja dalam Perkhidmatan Awam. Atas nama ketiga-tiga pihak, pertama sekali saya ingin mengucapkan selama berpisah dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu-tetamu istimewa iaitu 24 orang yang bersara dalam setengah tahun pertama tahun ini dan selanjutnya untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan yang baru dinaikkan pangkat dalam perkhidmatan masing-masing. untuk memegang jawatan-jawatan tinggi Kerajaan yang lebih mencabar.

3. Persaraan memberi pelbagai pengertian bagi setiap penjawat awam. Walau apapun tafsirannya, yang jelas ialah persaraan membawa makna bahawa seseorang penjawat awam itu perlu melepaskan jawatan terakhir yang disandangnya ketika menghampiri peringkat akhir perkhidmatan. Pada hakikatnya seseorang pesara atau akan melangkah ke suatu dunia baru. Tentunya beliau akan berhadapan dengan suasana dan cabaran yang berbeza dengan keadaan sebelum bersara.

4. Seorang penulis Elwood N. Chapman dalam bukunya `Comfort Zones - Planning Your Future' pernah merakamkan pendapatnya bahawa sikap positif adalah penting dalam mengharungi dunia persaraan. Mengikut beliau `..Retirement should be viewed as a second life composed of various stages of fulfillment..'1"...Retirement should be an opportunity to replace a work-oriented lifestyle with a new one, equally or even more exciting. ... If we do not stay in charge by maintaining our health, protecting our living environments, and managing our money , we will ultimately fall victim to the detachment syndrome.... The detachment syndrome is a trap we should learn to recognize and avoid..'.2 Justeru itu, persediaan awal seharusnya dibuat bagi memudahkan para pesara dan bakal pesara menerima hakikat persaraan ini dengan baik dan meneruskan hidup dengan lebih bersedia dan bermakna.

5. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telah cukup bersedia dan tidak menghadapi masalah besar dalam mengatur strategi untuk menghadapi dunia persaraan. Ini saya yakin, memandangkan tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya membuktikan kewibawaan, ketokohan, kepimpinan dan kepakaran dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan semasa berkhidmat.

6. Saya percaya ada yang tidak mahu pengalaman dan ilmu yang ditimba selama 30 tahun atau lebih itu dibiarkan berlalu begitu sahaja dan dengan itu berazam untuk terus bergiat aktif dalam lapangan baru. Malah ada di antara tuan-tuan/puan-puan yang begitu aktif dan mencapai tahap kepakaran yang tinggi hingga sudahpun dikenali di kalangan sektor swasta sebagai pakar dalam bidang-bidang tertentu. Khidmat dan kepakaran itu merupakan ilmu berharga yang mungkin diperlukan di syarikat-syarikat swasta dan di sektor korporat. Saya tidak hairan sekiranya sudah ada syarikat-syarikat perniagaan atau badan-badan korporat yang telah merisik dan menawarkan jawatan tinggi serta pendapatan yang lumayan. Kepada mereka ini saya mengucapkan syabas dan selamat bertugas di tempat dan persekitaran kerja yang baru.

7. Saya kira ada juga di antara pesara-pesara yang lebih suka berdikari dan bercadang untuk membuka syarikat sendiri. Kepada mereka saya mendoakan agar akan menjadi usahawan-usahawan yang berjaya. Selain itu, akan ada juga mereka yang lebih berminat untuk menabur bakti dalam aktiviti-aktiviti sosial, kebajikan dan pembangunan masyarakat. Mereka mungkin akan berkecimpung cergas dalam badan-badan kebajikan dan badan-badan sukarela. Sumbangan bakti seperti ini amatlah dialu-alukan pada masa ini bila mana masalah sosial serta pencemaran alam sekitar adalah merupakan antara gejala-gejala yang melanda negara dan perlu ditangani segera secara berkesan. Matlamat masyarakat madani yang diidam-idamkan akan dapat dicapai dengan lebih cepat sekiranya ramai pihak sanggup memainkan peranan dan memberi sumbangan secara sukarela.Albert Schweitzer seorang pejuang kemanusiaan pernah berkata `... Wherever a man turns, he can find someone who needs him. Even if it is a little thing, do something for which you can get not pay but the privilege of doing it. For remember, you don't live in a world all your own. Your brothers are here, too...' Ingatlah bahawa kami yang masih bertugas dengan Kerajaan menghargai persahabatan dan kerjasama dari semua rakan-rakan yang telah bersara.

8. Tidak ketinggalan terdapat juga pesara-pesara yang hanya ingin mengisi masa persaraan bersama keluarga dan sanak saudara bagi mengeratkan silaturahim dan melakukan beberapa kerja peribadi yang sekian lama terpaksa ditangguhkan. Mungkin bagi sesetengah warga isteri, saat ini amat ditunggu-tunggu untuk lebih dekat dan kerap bersama-sama suami. Namun begitu, ada pula isteri yang sudah biasa melakukan kerja-kerja yang disukai di rumah seorang diri, akan mendapati kehadiran suami sebagai gangguan yang merimaskan. Isteri ke dapor dia ikut. Isteri ke pasar dia mengekor. Isteri pergi menanam bunga dia sibuk membelek benih bunga dan pasu. Dalam keadaan ini saya harap bersabarlah. Orang dulu-dulu pernah berkata `... to grow old is to pass from passion to compassion...'. Mungkin si suami masih lagi bingung dan perlu masa untuk menerima perubahan. Sokongan isteri adalah diperlukan untuk membantu beliau menyesuaikan diri seperti maksud pantun Melayu yang berbunyi : Anak ruan tidak terluang Benang sutera di dalam buluh Hendak buang tidak terbuang Sudah mesra di dalam tubuh.

Jika belayar ke tanah Aceh Singgah dulu di kota Deli Jika hendak orang mengasih Hendaklah baik bicara budi.

9. Walau apapun bidang yang dipilih untuk ceburi, satu perkara yang nyata ialah adanya peluang bagi setiap pesara untuk melakukan sesuatu yang berfaedah tanpa dikongkong oleh masa. Kalau semasa berkerja dahulu terpaksa bertungkus lumus mengejar masa apabila setiap kerja ditentukan kerana deadline, sekarang boleh membuat pilihan sendiri dan menentukan sendiri jadual harian.

Walau apa arah tuju yang dipilih, jagalah kesihatan masing-masing. Ingatlah a sound mind rests in a healthy body.

Para Hadirin yang dihormati sekelian,

10. Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pegawai- pegawai awam yang bersara. Mereka telah memainkan peranan yang besar dalam mengukir pencapaian negara ketahap yang ada pada hari ini. Kini, Perkhidmatan Awam kita telah mendapat sanjungan dan kepujian bukan hanya daripada warganegara Malaysia, tetapi juga daripada dunia luar. Perkhidmatan Awam kita telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan prgoram-program yang boleh meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, dan untuk memberi khidmat yang berkualiti kepada pelanggan. Saya harap usaha-usaha yang telah dipelopori itu akan terus ditingkatkan.

Hadirin yang dihormati sekelian,

11. Majlis ini juga bertujuan meraikan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan yang telah mendapat kenaikan pangkat dan diberi tugas dan tanggungjawab untuk mengetuai pelbagai kementerian dan jabatan. Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang berkenaan. Kejayaan anda semua adalah berasaskan prestasi yang cemerlang dan keyakinanan Kerajaan di atas kebolehan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi dan lebih mencabar. Tuan-tuan juga telah berjaya melalui beberapa proses ujian competencies sebelum dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Saya berharap tuan-tuan menggunakan peluang keemasan ini sebaik mungkin untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Dengan tanggungjawab yang lebih berat ini adalah diharapkan tuan-tuan semua yang menerajui agensi masing- masing dapat memberi bimbingan dan kepimpinan serta idea yang bernas ke arah pencapaian misi agensi khususnya dan Perkhidmatan Awam amnya dan negara keseluruhannya dalam menuju Wawasan 2020.

12. Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selama Maju Jaya pada mereka yang akan meninggalkan perkhidmatan Kerajaan kerana bersara. Tahniah juga diucapkan kepada penjawat- penjawatan tinggi Perkhidmatan Awam yang baru dilantik.

Semoga kecemerlangan serta teladan tinggi yang ditunjukkan oleh rakan-rakan pesara dapat terus disokong dan dipertingkatkan dalam pengendalian tugas harian.

Kami menerima 7,373,520 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri