Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PENUTUP PERSIDANGAN KEEMPAT SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA DAN SURUHANJAYA-SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI
Lokasi : KOTA KINABALU, SABAH
Tarikh : 14-12-1995
 
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan ucapan penutupan sempena Persidangan Keempat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri kali keempat ini. Saya difahamkan sudah 4 kali persidangan seperti ini telah diadakan. Persidangan Pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Oktober 1985, Persidangan Kedua diadakan di Kuching, Sarawak pada 30 dan 31 Mei 1991 dan Persidangan Ketiga diadakan di Kangar, Perlis pada 6 hingga 9 Disember 1993.

2. Saya merasa sungguh terharu di atas usaha-usaha penganjur persidangan dan peserta-peserta persidangan yang hadir beramai-ramai sepanjang 4 hari sesi perbincangan diadakan. Saya rasa melalui persidangan sebegini akan membolehkan kita sama-sama bertukar-tukar fikiran dan bertukar-tukar pengalaman dalam menimba ilmu dan maklumat. Bagi saya ini menggambarkan bahawa Pengerusi-pengerusi, Timbalan Pengerusi serta Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai sikap yang terbuka ke arah melahirkan perkhidmatan awam yang cemerlang. Saya sendiri telah melibatkan diri sebanyak tiga kali dalam Persidangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri ini.

3. Persidangan pada kali ini, bilangan pesertanya meningkat kepada hampir 130 orang. Ini menggambarkan bahawa dari tahun ke tahun sambutan terhadap persidangan ini bertambah baik. Matlamat peserta-peserta menghadiri persidangan ialah untuk bertukar-tukar fikiran demi untuk menjalankan tugas seharian dengan lebih berkesan. Tajuk-tajuk yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang `releven' dengan kerja seperti pengambilan ke perkhidmatan awam, tatatertib, kenaikan pangkat dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan kemajuan pengurusan. Adalah diharapkan segala pengetahuan yang ditimba melalui kertas dan perbincangan dalam persidangan ini dapat dirujuk dan digunakan terutamanya kepada ahli-ahli atau peserta-peserta yang baru.

4. Sektor swasta merupakan `engine of growth'.

Kerjasama diantara sektor awam dan sektor swasta dalam semua bidang akan menggerakkan kemajuan negara dan menaikkan imej negara ketahap yang lebih baik. Kerjasama ini telah melahirkan Dasar Persyarikatan Malaysia atau `Malaysian Incorporated'. Melalui dasar ini akan melahirkan teknik-teknik baru yang lebih berkesan yang patut diketahui dan direnung oleh kita semua. Dilihat sekali imbas sektor swasta adalah menjadi pendokong kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi, manakala sektor awam akan menyediakan dasar-dasar utama dan menentukan arah serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang tertentu kepada pihak swasta.Memandangkan pentingnya peranan sektor swasta dalam pembangunan negara, saya berasa gembira melihat penceramah-penceramah dari sektor ini turut memberi sumbangan mereka. Mungkin terdapat beberapa cara kerja atau peraturan yang diamalkan oleh sektor swasta ini boleh diikuti atau dicontohi oleh Suruhanjaya. Dengan membuat kajian semula terhadap peraturan-peraturan itu supaya ianya bersesuaian dengan cara kerja atau peraturan dalam perkhidmatan awam.

5. Ke arah pengwujudan `paper-less civil service' merupakan satu tajuk yang agak penting dalam persidangan ini. Tajuk ini membawa unsur-unsur penggunaan teknologi tinggi, kualiti pekerja, kurangkan penggunaan kertas, pekerja mahir, pengurangan kos, produk yang bermutu, perkhidmatan yang berkesan dan faedah yang maksima. Untuk mencapai matlamat ini usaha-usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pentadbiran haruslah dijalankan. Kerajaan memandang berat isu ini dengan harapan program ini dapat membantu dalam penghapusan tunggakan, membawa `element speed' dalam pengurusan, tindakan semasa, dan mampu memberi sokongan kepada sektor swasta dan orang awam.

6. Bagi mendapat anggota-anggota perkhidmatan awam yang sesuai khasnya memenuhi keperluan masa hadapan, soal pemilihan menjadi lebih kritikal. Dalam aspek ini, berbagai-bagai cara dijalankan. Saya juga difahamkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia telahpun melaksanakan Ujian Psikologi ini sejak tahun 1988 bagi memenuhi keperluan itu.

Mengikut laporan dan maklumat yang diberi kepada saya, pada masa ini 3 jenis ujian telah dikendalikan oleh SPA iaitu: (i) ujian Personaliti (16 Faktor Personaliti); (ii) ujian Tekanan (Stressor Profile); (iii) ujian Minat (RMID). Sebagai contoh Perancangan Ujian Psikologi yang baru untuk memasuki Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik telah dibangunkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Kementerian Sumber Manusia. Gagasan (constructs) Personaliti dalam ujian ini ialah: (i) kemahiran penganalisaan dan pertimbangan; (ii) kemahiran perancangan dan pengurusan; (iii) kemahiran pentadbiran; (iv) kemahiran perhubungan kemanusiaan; (v) motivasi; (vi) kemahiran kepimpinan; (vii) kemahiran kebolehsuaian; (viii) kemahiran pemikiran; (ix) kemahiran sosial; (x) skala kesahihan.

Pemilihan calon-calon untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam yang mempunyai kelulusan akademik dan profesional mengikut skim-skim perkhidmatan yang berkenaan tidak lagi menjadi masalah. Walau bagaimanapun, saya suka menyampaikan pemerhatian bahawa terdapat calon-calon setelah dilantik ke jawatan tertentu telah menunjukkan sikap dan peribadi yang tidak menguntungkan Perkhidmatan Awam dan menimbulkan pelbagai masalah kepada Ketua-ketua Jabatan. Berasaskan pemerhatian ini, saya yakin bahawa Ujian Psikologi yang dilaksana dengan rapi dan penilaian dibuat oleh pakar-pakar atau Panel Psikologi dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Harus perkhidmatan firma-firma perundingan boleh diambil bagi menyediakan sistem penilaian yang diperlukan bersama-sama dengan pakar-pakar kita sendiri jika masih terdapat kekurangan kepakaran dalam sektor awam.

7. Pembentukan anggota Perkhidmatan Awam yang berkualiti amatlah penting dalam Proses Peningkatan tahap kemajuan negara. Anggota Perkhidmatan Awam yang berkualiti adalah dianggap sebagai salah satu keperluan bagi sesebuah negara untuk mencapai pembangunan yang berkekalan. Oleh itu adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab ahli-ahli Suruhanjaya memainkan peranan bagi mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang benar-benar beketerampilan dan berwibawa. Hubungkait di antara anggota Perkhidmatan Awam berkualiti dan `output' yang berkualiti telah disimpulkan dengan tepat sekali dalam ungkapan ; "Quality (good / service) begin's with a quality man ". " We must build people first before Product or Service ".

Telah terbukti bahawa ketinggian tahap profesionalisme sahaja tidak memadai untuk membentuk pekerja-pekerja yang benar-benar berkualiti. Banyak kes-kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, sogokan, pecah amanah serta lain-lain bentuk perlakuan yang melanggar etika Perkhidmatan Awam telah dilakukan. Saya percaya peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya dalam perjalanan menuju ke tahap kemajuan dan keunggulan Perkhidmatan Awam adalah berat, terutamanya menjelang tahun 2020 dimana cabaran-cabaran serta unsur yang akan menggugat keutuhan nilai-nilai murni akan bertambah hebat dan Suruhanjaya sebagai badan yang mengambil anggota Perkhidmatan Awam dan mengawal tatatertib sesungguhnya menghadapi cabaran dalam menentukan dan meneruskan Perkhidmatan Awam sebagai agen `Social Engineering'.

8. Kita di Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai perkhidmatan awam yang cekap dan dapat memenuhi aspektasi negara kita. Ini dicerminkan melalui pujian Y.A.B. Perdana Menteri, saya petik kata-katanya: "Because of our success in the administrative system, we have earned the respect of the others and are able to stand tall even amongst the developed countries, he said adding that it was a precious gift which Malaysians cherish".

Y.A.B. Perdana Menteri juga pernah memberi penghargaan yang besar kepada perkhidmatan awam.

Antara lain katanya: "Kita juga bersyukur kerana mempunyai jentera pentadbiran yang boleh dibanggakan. Ia bukan sahaja cekap, berdisiplin dan produktif, tetapi juga bermutu tinggi dan setanding dengan jentera pentadbiran di negara-negara maju. Ini telah membolehkan negara kita melaksanakan proses pembangunan dengan lebih licin dan berkesan. Kita telah memperkenalkan banyak perubahan dalam sistem pentadbiran. Jika dahulu pentadbiran kita kurang bekerjasama dengan sektor swasta, hari ini kita jadikan sektor awam dan sektor swasta sebagai satu pasukan yang bekerjasama untuk menjayakan pembangunan negara".

9. Saya selaku pucuk pimpinan kepada perkhidmatan awam, sebenarnya sangat berbesar hati dan berbangga dengan pencapaian dan kedudukan perkhidmatan awam negara kita pada masa ini. Fungsi dan amanah yang telah diletakkan di bahu perkhidmatan awam pada masa ini membayangkan betapa perkhidmatan awam di negara kita telah berupaya dan diberi kepercayaan untuk memikul tugas-tugas yang besar yang mana jika dibandingkan dengan negara-negara lain, tugas-tugas tersebut tidak mungkin diserahkan kepada perkhidmatan awam. Misalnya kita telah diberikan tugas dan tanggungjawab serta kuasa yang luas dalam menentukan kedudukan anggota kita sendiri termasuk memikul tugas-tugas yang lebih besar seperti mengendalikan Pilihanraya, perancangan ekonomi pertahanan, perdagangan dan juga soal-soal kenaikan pangkat pegawai-pegawai awam dan sebagainya. Dengan peranan dan tugas ini, perkhidmatan awam di negara kita dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat umum. Selain daripada itu perkhidmatan awam di Malaysia juga dianggotai oleh pegawai dan kakitangan yang berkebolehan dan bermotivasi tinggi. Ini dibuktikan dengan kejayaan bekas-bekas pegawai kanan yang kini menerajui syarikat swasta yang besar-besar dan bertaraf antarabangsa. Akhir-akhir ini pula perkhidmatan awam Malaysia sering dikagumi dan dijadikan contoh oleh banyak negara-negara membangun sama ada di sekitar Asia mahupun di negara-negara lain.

10. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya mengenai beberapa perkembangan terbaru dalam perkhidmatan awam yang ada kaitan dengan peranan Suruhanjaya: (i) sebagai satu langkah jangka pendek untuk meningkatkan kepakaran Malaysia, khususnya kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang-bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang diutamakan, Kerajaan telah bersetuju supaya saintis warganegara Malaysia di luar negeri dan saintis asing dilantik secara kontrak. Dalam hal ini Ketua Jabatan/agensi Kerajaan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengambilan warganegara asing tersebut dengan keutamaan kepada program/projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diluluskan di bawah mekanisma "Intensification Of Research In Priority Areas" (IRPA) dan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN). Saintis luar dari negara-negara membangun seperti China, India, Pakistan, Russia dan negara-negara "Commonwealth of Independent States (CIS) adalah diberi keutamaan dalam program ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam khususnya terlibat dalam urusan perlantikan kontrak berkenaan; (ii) kewujudan gejala-gejala dan masalah dalam perkhidmatan awam seperti penagihan dadah dan penyakit mental memerlukan perhatian khusus di peringkat pengambilan supaya peraturan dapat diadakan untuk mengurangkan kemungkinan pegawai- pegawai sedemikian memasuki perkhidmatan awam; (iii) sistem pemilihan dan tapisan untuk lantikan ke perkhidmatan awam perlu diperbaiki dan dipertingkatkan supaya pegawai-pegawai yang dilantik bukan sahaja sesuai dari segi kelayakan dan kesihatan fizikal tetapi juga mempunyai minat serta sikap yang sesuai untuk perkhidmatan awam. Teknik temuduga yang diadakan selama ini mungkin tidak memadai untuk menapis calon-calon yang berkenaan; (iv) beberapa aspek mekanisma kenaikan pangkat juga telah mengalami pengubahsuaian supaya sesuai dengan keperluan semasa. Bagi tujuan tersebut saya melalui Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam telah meluluskan 2 sistem kenaikan pangkat baru iaitu kenaikan pangkat bagi guru pakar dan kenaikan pangkat bagi skim bakat di RTM. Saya percaya maklumat lengkap mengenai sistem ini telahpun dimaklumkan kepada ahli-ahli Suruhanjaya dalam seminar ini.

11. Seperkara lagi yang ingin saya bangkitkan pada kali ini ialah mengenai peranan kawalan tatatertib ke atas pegawai awam. Bagi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam yang saya pengerusikan, terdapat kes-kes yang saya rujukkan kepada Suruhanjaya yang didapati dikenakan hukuman yang rendah atau dibebaskan sama sekali. Saya tidaklah berniat atau bercadang untuk memaksa Suruhanjaya mengenakan hukuman berat ke atas semua kes-kes yang dirujukkan oleh Lembaga Taatertib yang saya pengerusikan, tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah mengenai tanggungjawab kita untuk mengenakan hukuman yang setimpal ke atas salahlaku pegawai-pegawai awam.

Dalam perkara ini eloklah rasanya hukuman-hukuman tatatertib yang dikenakan itu mengambilkira perkara berikut: (i) hukuman yang dikenakan hendaklah seimbang iaitu ianya tidak terlalu ringan sehingga pegawai tidak merasa takut atau gerun dengan hukuman tersebut tetapi tidaklah pula terlalu berat sehingga pegawai merasa kecewa dan hilang semangat untuk bekerja; (ii) hukuman-hukuman tatatertib perlu dijatuhkan walaupun dalam keadaan yang agak sukar.

Ini bertujuan untuk menjadikannya sebagai panduan dan pengajaran kepada semua pegawai awam dan mesej tersebut perlulah disebarkan dalam bentuk hukuman- hukuman tatatertib supaya pegawai awam dapat mengelakkan dari melakukan kesalahan yang seumpamanya.

12. Akhir sekali, saya amat menghargai sumbangan yang telah diberi oleh Y.Bhg.Dato'-Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan sebagai Ahli Suruhanjaya ke arah mewujudkan Anggota Perkhidmatan Awam yang berwibawa dan menjalankan tugas dengan berkualiti. Kepada pihak penganjur Persidangan, saya ucapkan tahniah di atas usaha murni yang dijalankan semoga ianya mendatangkan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Kami menerima 7,368,601 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri