Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MALAM MAKSAK 1998
Lokasi : DEWAN DR. SITI HASMAH, RUMAH PUSPANITA
Tarikh : 12-12-1998
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Selamat Malam dan Selamat Sejahtera YBhg. Tan Sri Dr. Mazlan bin Ahmad Timbalan Yang Di Pertua MAKSAK Kebangsaan Merangkap Yang DiPertua MAKSAK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Puan Sri; Naib-Naib Yang DiPertua MAKSAK Kebangsaan serta Isteri; Yang Berhormat Yang Di Pertua-Yang Di Pertua MAKSAK Gabungan; Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato'-Dato', Tuan- tuan, Puan-Puan, Dif-Dif Kehormat yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu saya dan isteri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Malam MAKSAK 1998, terutamanya YBhg. Dato' Omar bin Mohamad Dan, Naib Yang Di Pertua MAKSAK Kebangsaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malam MAKSAK 1998 yang telah berusaha bertungkus lumus untuk mempastikan agar majlis ini dapat diadakan dengan lancar dan teratur.

Saya ingin juga mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu jemputan dan kesemua ahli gabungan yang mewakili setiap negeri, yang mana telah sudi bersama untuk menjayakan MALAM MAKSAK 1998 ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, MALAM MAKSAK adalah merupakan acara tradisi yang telah diadakan bermula dari tahun 1990. Sejak dari tahun itu, MALAM MAKSAK terus diadakan bagi memenuhi hasrat untuk menanamkan semangat setiakawan dan mengeratkan ikatan mesra di kalangan ahli MAKSAK di seluruh negara dalam suasana informal. Perlu saya menyatakan bahawa penganjuran MALAM MAKSAK ini mempunyai beberapa matlamat tertentu. Pertamanya, malam ini adalah merupakan Malam Penghargaan yang diberikan oleh MAKSAK Kebangsaan, sebagai tanda terima kasih kepada semua gabungan yang telah menjayakan program dan aktiviti Peringkat Kebangsaan di sepanjang tahun 1998.

3. Sehubungan dengan ini, semua 26 program dan aktiviti yang dirancang dan diluluskan di Mesyuarat Agong kali ke 42 di awal tahun 1998, telah dapat disempurnakan dengan lancar, teratur serta meriah oleh badan-badan gabungan secara bergilir-gilir. Kejayaan penganjuran ini menunjukkan komitmen dan daya usaha gigih barisan Jawatankuasa dan ahli-ahli badan gabungan bagi mencapai objektif MAKSAK Malaysia dalam melahirkan bakat sukan, kesenian dan kepimpinan dalam berbagai jenis aktiviti yang dianjurkan.

4. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab MAKSAK Kebangsaan untuk memberikan penghormatan dan terima kasih kepada semua yang terlibat agar segala jasa dan sumbangan mereka tidak terus dilupa dan diabaikan. Di samping itu, majlis ini juga merupakan Malam Pengiktirafan kepada badan gabungan serta individu- individu tertentu yang mana sumbangan bakti yang mereka curahkan telah mengharumkan nama MAKSAK samada di peringkat Negeri, Kebangsaan Antarabangsa. Di antara pengiktirafan yang akan diberi ialah:-

(i) Anugerah Tokoh MAKSAK 1998, yang akan kita sampaikan kepada beberapa individu atas sumbangan cemerlang yang mereka tunjukkan dalam menjayakan aktiviti MAKSAK. sepanjang kerjaya mereka dalam Perkhidmatan Awam;

(ii) Anugerah Olahragawan dan Olahragawati yang akan dipilih dari kalangan ahli-ahli sukan badan-badan gabungan MAKSAK Kebangsaan yang menunjukan prestasi terbaik sepanjang tahun 1998; dan

(iii) Pengiktirafan kepada kontijen-kontijen yang telah menjadi juara keseluruhan dari siri aktiviti sukan MAKSAK Kebangsaan dan penganjuran terbaik terhadap aktiviti yang di pertandingkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Tahun 1998 juga merupakan tahun di mana sejarah telah tercipta di peringkat antarabangsa bagi Kerajaan dan rakyat Malaysia yang saya maksudkan adalah Sukan Komanwel 1998 yang diiktiraf sebagai sukan komanwell yang paling berjaya yang pernah dianjurkan oleh mana- mana negara hingga hari ini. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota MAKSAK yang telah memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan sukan ini. Sedikit sebanyak, melalui pengalaman dan latihan yang diperolehi daripada penganjuran aktiviti sukan tahunan MAKSAK, pegawai dan kakitangan Kerajaan telah memperolehi pengalaman dan keyakinan untuk menghadapi penganjuran kejohanan sebegini besar.

5. Malam ini juga kita akan memberi penghargaan dan penghormatan istimewa kepada 14 orang atlit negara yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kerajaan yang telah berjaya menyumbangkan pingat kepada negara semasa Sukan Komanwel lalu. Tahniah dan syabas kepada mereka semua.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Kita sekarang ini berada di penghujung tahun 1998. Selama 12 bulan yang lalu MAKSAK telah merangka pelbagai program dan aktiviti ke arah melahirkan anggota-anggota perkhidmatan awam yang sihat, cergas, berdisiplin, komited dan berdaya saing. Di samping itu juga, melalui perlaksanaan program-program MAKSAK ini diharap dapat dijadikan sebagai salah satu landasan dan tempat perhubungan serta pertemuan di kalangan kakitangan dari berbagai peringkat. Oleh itu, saya amat-amat berharap agar Kerajaan-kerajaan Negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri masing-masing dapat berusaha untuk membantu MAKSAK dan badan-badan gabungan memperbanyak dan mempelbagaikan lagi aktiviti mereka, agar hasrat murni MAKSAK Kebangsaan akan tercapai maksudnya.

7. MAKSAK Kebangsaan sendiri disepanjang tahun 1998 telah membelanjakan lebih RM 250,000.00 bagi kepentingan ahli-ahli gabungannya sendiri serta anggota masyarakat disekeliling mereka. Perbelanjaan ini dibuat bagi membekalkan komputer kepada 18 badan gabungannya, mesin hemodialysis untuk MAKSAK Sabah dan Labuan serta projek-projek kebajikan dan rakan muda.

Hadirin yang dihormati sekelian,

8. Kita sedar bahawa keadaan kegawatan dan kemelesetan ekonomi yang dialami sekarang telah memberikan tamparan yang hebat kepada badan-badan gabungan untuk mempelbagai dan menganjurkan kejohanan dengan lebih meriah lagi. Namun begitu, saya merasa bersyukur kerana Kerajaan-kerajaan Negeri telah memberikan sokongan yang padu samada dalam peruntukan kewangan dan sokongan moral bagi menjayakan aktiviti- aktiviti MAKSAK di peringkat negeri tersebut. Bagi pihak Exco MAKSAK Kebangsaan, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan- kerajaan Negeri atas sokongan yang telah diberikan.

9. Menyentuh soal kekurangan sumber kewangan bagi menjayakan program dan aktiviti di peringkat negeri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Trengganu merangkap Yang Di Pertua MAKSAK Terengganu kerana berjaya memperolehi sebidang tanah dari Kerajaan Terengganu bagi membolehkan MAKSAK Trengganu menggunakan tanah itu untuk memperolehi sumber pendapatan tetap. Langkah yang turut diambil oleh Kerajaan Sabah dan Kerajaan Pahang sebelum ini seharusnya diikuti oleh ahli gabungan lain untuk membolehkan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan masing-masing.

10. Dalam tempoh dua hari Timbalan Yang DiPertua MAKSAK, Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad akan bersara wajib.

Beliau telah banyak menyumbang idea dan tenaga untuk menjayakan aktiviti-aktiviti MAKSAK, bukan sahaja di peringkat JPA, KL tetapi juga di peringkat Kebangsaan. Penghargaan dan terima kasih atas segala bantuan, sumbangan dan khidmat bakti kepada MAKSAK - Selamat Maju Jaya.

11. Akhir kata, saya ingin mengucapkan salam takzim serta Selamat Menyambut Puasa dan Selamat Berhari Raya kepada ahli-ahli beragama Islam serta Selamat Tahun Baru kepada semua. Marilah kita sama-sama menjanjikan pencapaian yang lebih baik melalui komitmen jitu dari semua ahli MAKSAK untuk tahun 1999.

Kami menerima 7,368,371 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri