1. Selaku Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia saya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada malam yang bersejarah ini. Kehadiran para hadirin sekalian sangat bererti kepada ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri kerana ianya membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan menyokong dan mengiktirafkan kegiatan persatuan ini dalam membina beliawanis yang berwibawa. Kepada ahli-ahli pergerakan ini, iaitu dari peringkat Tunas Puteri, Pandu Puteri, Renjer Puteri, Kadet, Pemimpin, Pesurujaya dan ahli-ahli yang tidak berpakaian seragam sempena menyambut 80 tahun kepanduan, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi- tinggi tahniah.
2. Pada hemat saya Persatuan Pandu Puteri Malaysia dari semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1917 telah membawa pengaruh yang paling bermakna kepada kaum wanita dari segi pembentukan sahsiah yang mempunyai sikap yang positif dan dinamik, yang berpandangan jauh dan mempunyai kekuatan serta ketahanan yang kental.
3. Usaha ke arah pembentukan anak-anak gadis yang mempunyai prinsip yang berteraskan pada nilai-nilai yang murni diteruskan sehingga hari ini dengan berbagai aktiviti kepanduan yang berasaskan keilmuan. Maju mundurnya sesebuah organisasi itu terletak pada sejauh mana ahli-ahlinya berilmu dan dapat pula memanfaatkan ilmunya.
4. Negara memerlukan rakyat yang berilmu dan beramal, iaitu yang dapat menggabungkan di antara teori ilmu dengan amalannya. Generasi muda yang berjaya melengkapkan diri dengan nilai-nilai murni ini dengan sendiri boleh menjadi model dan contoh yang baik kepada masyarakat. Nilai-nilai murni ini merupakan perisai yang kuat dalam menghadapi cabaran-cabaran dan nilai- nilai negatif dari perubahan budaya dan cara hidup moden yang keterlaluan.
5. Dalam 80 tahun, Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah banyak mencapai kejayaan dan terus berkembang dengan penuh keyakinan dan pengaruh. Kalau dahulu aktiviti kepanduan banyak tertumpu di dalam negara, kini ia melibatkan diri dalam kegiatan antarabangsa. Tema Insiatif Kedamaian (Peace initiative) dan Membina Warganegara Dunia (Building World Citizenship) yang diutarakan oleh Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia memberi kesedaran kepada ahli-ahli persatuan tentang kekuatan persahabatan dan persefahaman budaya antarabangsa di dalam dunia yang bergolak hari ini. Saya merasa bangga yang Persatuan Pandu Puteri Malaysia dapat membantu kanak-kanak pelarian melalui Projek Pek Kedamaian (Peace Pack) dengan kerjasama badan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).
6. Mulai tahun 1997 ini pula Persatuan Pandu Puteri akan melancarkan projek-projek khidmat masyarakat yang berteraskan pembinaan warganegara sedunia melalui projek pemeliharaan persekitaraan dan kesihatan.
7. Dengan projek-projek seperti ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia sekarang memainkan peranan yang bermakna kepada nusa dan bangsa.
8. Kejayaan dan perkembangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia tidak tercapai tanpa professionalisme dan tenaga puncuk kepemimpinannya di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Kehadiran mereka dalam organisasi ini sedikit sebanyak telah menjadi kuasa yang mendorongkan perubahan. Taraf wanita telah dapat dipertingkatkan dan aktiviti-aktiviti kepanduan menjadi pencepat bagi pendekatan baru untuk kemajuan beliawanis.
Sudah pasti Persatuan Pandu Puteri Malaysia adalah antara badan sukarela yang penting dalam mencapai kemajuan melalui kerjasama yang erat dengan Kerajaan.
9. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Majlis Makan Malam 80 Tahun Kepanduan yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan majlis malam ini. Kepada para dermawan dan mereka yang telah memberi sumbangan sama ada dalam bentuk buah fikiran, material dan fisikal, secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan majlis ini berjaya seperti yang diharapkan, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih.
|