Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM
Lokasi : BANDAR SERI BEGAWAN
Tarikh : 23-03-1990
 
Yang Di muliakan Dayang-Dayang di Raja Datin Seri Utama Hajah Rosnah bte Isa Dif-dif Kehormat Puan-puan dan tuan-tuan sekalian Bismillahirahmanni rahim Assalamualaikum dan salam sejahtera para hadirin sekelian Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana atas limpah kurniaNya dapat saya dan rombongan dari Malaysia berada di Bandar Seri Begawan yang indah ini.

2. Izinkan saya menyatakan betapa gembiranya kami kerana dapat melawat Negara Brunei Darussalam. Terima kasih saya ucapkan kepada puan-puan sekelian yang telah menyambut kami dengan begitu meriah sekali. Kami di BAKTI merasa sungguh bangga dengan kesudian pihak Negara Brunei Darussalam menerima kedatangan rombongan kami dari Malaysia.

3. Tujuan lawatan muhibbah ini adalah untuk mengeratkan lagi tali silatulrahim dan perpaduan diantara kaum wanita Malaysia dengan kaum wanita Negara Brunei Darussalam. Diantara negara-negara ASEAN, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia mempunyai banyak persamaan dari segi agama, sejarah, kebudayaan, sukan dan kesenian. Kita sebagai masyarakat rumpun Melayu boleh dikatakan saudara kembar kerana mempunyai tali persaudaraan, ikatan agama dan kebudayaan yang paling dekat diantara semua wanita dari negara-negara ASEAN.

4. Wanita dari negara-negara ASEAN telah banyak mengalami perkembangan yang pesat selepas Perang Dunia Kedua. Wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan yang utama daripada segi kesihatan keluarga dan perkembangan mereka tetapi telah juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara sebagai pentadbir, ahli-ahli perniagaan, ahli-ahli politik, ahli-ahli profesional dan sebagainya di negara masing- masing. Wanita zaman ini beruntung kerana diberi peluang dari segi pelajaran untuk membolehkan mereka memainkan peranan yang aktif dalam masyarakat dan tempat kerja. Dizaman yang penuh cabaran dan pembangunan yang pesat ini masanya telah tiba bagi kaum wanita dari negara-negara ASEAN berkerjasama demi memupuk semangat ASEAN. Wanita ASEAN bukan sahaja boleh bertemu melalui seminar dan persidangan yang sering diadakan diantara wanita profesional tetapi boleh juga bertemu melalui sukan dan kebudayaan.

5. Kami percaya semangat muhibbah dan kemesraan diantara kaum wanita boleh dipupuk melalui kegiatan sukan dan kebudayaan. Sumbangan kami terhadap perpaduan negara ialah melalui permainan badminton. Sejak penubuhan pasukan badminton BAKTI kami telah berjaya mengadakan pertandingan pusingan setiap tahun di antara pasukan BAKTI dengan pasukan-pasukan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pada tahun ini kita bercadang untuk meluaskan permainan ke peringkat ASEAN dan dengan itu memilih untuk bermula dengan Negara Brunei Darussalam secara perlawanan persahabatan.

Puan-Puan sekelian

6. Izinkan saya menyampaikan sedikit maklumat mengenai latar belakang dan aktiviti BAKTI untuk makluman puan-puan sekalian. BAKTI atau nama penuhnya 'Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri' telah ditubuhkan pada bulan Mei 1977 untuk menggembelingkan tenaga isteri pemimpin-pemimpin negara dengan tujuan membuat bakti kepada orang ramai. Sambil mengumpul isteri-isteri pemimpin, isteri-isteri juga dapat kenal-mengenali diantara satu sama lain dan menggembeling tenaga untuk berbagai usaha dan aktiviti.

7. BAKTI terdiri daripada isteri Menteri-Menteri, isteri Timbalan-Timbalan Menteri, isteri Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan isteri Setiausaha-Setiausaha Parlimen. Pentadbiran BAKTI dikelolakan oleh Jawatankuasa Tadbir yang dipilih dalam Mesyuarat Agong BAKTI setiap tahun. Lapan Jawatankuasa Kecil dilantik untuk menguruskan aktiviti- aktiviti BAKTI sepanjang tahun.

8. Diantara matlamat BAKTI ialah menambahkan pengetahun ahli-ahlinya melalui Jawatankuasa Pendidikan yang mengaturkan lawatan-lawatan sambil belajar, ceramah dan kursus yang berkaitan dengan polisi-polisi kerajaan, pembangunan negara dan kemajuan diri. Lawatan muhibbah BAKTI ke Negara Brunei Darussalam ialah suatu matlamat bagi membolehkan ahli-ahli BAKTI mengenal dengan lebih dekat negara jiran kita dan juga untuk bertemu dan bermesra dengan rakan-rakan kita di negara ini.

9. Sejak ketibaan kami di Bandar Seri Begawan kami telah bertemu dan bermesra dengan ramai wanita di sini dan berpeluang juga melawat Muzium Teknologi Melayu dan Pusat Kraftangan yang begitu menarik sekali. Pada keesokan harinya kami akan berpeluang lagi melawat sekitar Bandar Seri Begawan.

10. Pada petang tadi kita telah bermain sepenuh hati dengan tentangan yang penuh hebat daripada pasukan tuan rumah. Kami harap dapat menjadi tuan rumah kepada pasukan badminton dari Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang.

11. Saya bagi pihak ahli-ahli BAKTI ingin mengucapkan terima kasih daun keladi kepada puan-puan sekalian yang telah sudi menyediakan juadah yang dihidangkan dihadapan kita ini.

12. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalam mualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kami menerima 7,372,761 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri