Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS ANUGERAH USAHAWAN WANITA HARAPAN
Lokasi : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 06-01-1994
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PENIAGAWATI kerana menjemput saya dan isteri saya untuk hadir di Majlis Anugerah Usahawan Wanita Harapan '93 pada malam ini.

2. Anugerah seperti ini sudah pasti dapat mendorong dan memberi motivasi kepada lebih ramai lagi wanita untuk menceburkan diri di dalam perniagaan. Galakan seperti ini memanglah sesuai dan tepat pada masanya kerana sesuatu pencapaian yang cemerlang harus diberi pengiktirafan jika kita mahu melihat lebih ramai lagi usahawan wanita, terutama Bumiputera, maju dalam bidang perdagangan dan perindustrian.Bagi usahawan-usahawan yang telah lama berkecimpung di dalam dunia perniagaan pengiktirafan mereka adalah selaras dengan sumbangan mereka kepada masyarakat. Dalam hal ini Peniagawati boleh memainkan peranan yang penting sebagai jentera penggerak di dalam mewujudkan usahawan-usahawan baru ataupun mempertingkatkan perniagaan-perniagaan yang diwakili oleh kaum wanita, terutamanya wanita Bumiputera.

3. Usaha Peniagawati untuk mengadakan Anugerah Usahawan Cemerlang ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai lagi wanita berkecimpung di dalam dunia perniagaan. Perusahaan dan aktiviti-aktiviti perdagangan merupakan satu tulang belakang yang penting untuk mendokong usaha Kerajaan ke arah negara perindustrian yang maju dan dinamik.

4. Saya telah berkali-kali menekankan bahawa budaya sesuatu bangsa akan menentukan maju-mundurnya bangsa itu.

5. Di kalangan Bumiputera di Malaysia memanglah menjadi sebahagian daripada budaya mereka untuk wanita bergerak lebih aktif daripada lelaki dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Di mana-mana juga kita lihat wanita Melayu umpamanya sibuk berniaga, kadang-kadang dari rumah ke rumah menjaja barang-barang kemas atau kain baju, dan kadang-kadang di pasar. Berbagai-bagai jenis makanan dan barangan tenunan juga dikeluarkan oleh kaum wanita untuk jualan.

6. Budaya ini memang baik dan harus diteruskan. Hanya yang diperlukan sekarang ialah penyesuaian dengan alam pasaran moden. Barangan dan khidmat yang dipasarkan sekarang sudah jauh berubah dan skelnya sudah menjadi jauh lebih besar. Selain daripada itu tidak ada banyak perubahan yang tidak boleh dipelajari dan diamalkan oleh kaum wanita.

7. Umumnya wanita lebih berdisiplin dan cermat dalam pengurusan wang. Ini juga adalah hasil daripada budaya masyarakat tempatan. Ini menjadikan wanita lebih mungkin untuk berjaya. Lagipun, perniagaan secara moden tidak mempunyai banyak misteri. Sesiapa sahaja boleh berniaga asalkan sanggup melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat yang diperlukan dan bersedia untuk bekerja kuat mengejar kejayaan dengan disiplin. Soal bangsa dan keturunan tidak relevan melainkan daripada segi budaya. Dan budaya boleh diserap secara sedar dengan tidak perlu menanti budaya itu menjadi budaya bangsa.

8. Kita telah menetapkan supaya negara kita Malaysia mengejar pembangunan sehingga menjadi negara maju. Untuk pembangunan ekonomi kita memerlukan kecekapan perniagaan dan perusahaan. Penyertaan wanita dalam usaha ke arah ini amat penting memandangkan mereka memiliki sifat-sifat yang sesuai. Di samping itu, kita juga memerlukan seberapa ramai daripada rakyat Malaysia menyumbangkan tenaga dan kepintaran bagi menjayakan pembangunan negara. Jika wanita dipisahkan dan tidak menyumbang segala aset yang ada pada mereka, maka separuh daripada tenaga kita akan hilang. Jika diambilkira kualiti-kualiti tertentu yang ada pada wanita yang boleh menolong kemajuan negara, pengasingan wanita dari dunia perniagaan dan perusahaan boleh menghalang kelancaran pembangunan. Sebab itu tenaga wanita mesti digemblengkan secara berterusan dan rapi.

9. Memang pun ada jenis-jenis kerja dan bidang di mana wanita mempunyai kebolehan yang istimewa. Di sebaliknya ada pula jenis kerja yang tidak sesuai untuk wanita. Pendapat moden bahawa untuk persamaan wanita dengan lelaki maka wanita mesti membuat apa sahaja yang dibuat oleh lelaki tidak penting dan tidak boleh diterima. Tetapi ada bidang-bidang yang mana sehingga kini menjadi 'domain' lelaki yang sebenarnya boleh disertai oleh wanita.Umpamanya bidang kejuruteraan. Penyertaan wanita dalam bidang ini akan menolong mengisi keperluan tenaga kerja dalam bidang ini. Tetapi langkah ini tidaklah sehingga bidang-bidang yang khusus bagi wanita ditinggalkan. Kita tidak perlu kepada jenis budaya yang menimbulkan kekeliruan sama ada seseorang itu wanita atau lelaki. Keterlaluan dalam kecenderungan mengasingkan wanita daripada lelaki hanya akan meningkatkan fokus kepada perkara ini.

10. Umat Islam yang hari ini perlu berlumba-lumba dengan orang lain tidak boleh mengenepikan separuh daripada tenaganya iaitu wanita tanpa melemahkan umat Islam sehingga dihina dan ditindas selama-lamanya. Mereka yang begitu asyik dengan soal kewanitaan wanita sehingga tidak dapat melihat kepentingan lain untuk melindung dan memuliakan Islam dan umat Islam belum tentu mengikuti ajaran Islam yang sebenar. Islam yang tidak mengambilkira keadaan di sekeliling tidak akan hidup subur dan maju. Dan menyebabkan agama Islam menjadi pudar dan umat Islam lemah bukan suruhan Islam. Apabila mempersoalkan masalah wanita, janganlah ditekankan hanya tentang jantina mereka, kerana Islam mengambilkira faktor-faktor lain juga.

11. Usaha Peniagawati untuk membuka badan-badan perhubungan di setiap negeri di mana badan perhubungan ini bertindak sebagai penyalur maklumat dan pembuka peluang-peluang kepada ahli-ahli untuk berinteraksi adalah sungguh baik dan bijak.Bahawa Peniagawati telah dipilih mewakili Malaysia untuk bergabung dengan ' Women's World Entrepreneur Association' yang dianggotai oleh lebih 30 buah negara di seluruh dunia mencerminkan keupayaan dan taraf pencapaian Peniagawati. Gabungan ini akan membolehkan Peniagawati menyumbang terus kepada pertubuhan antarabangsa ini. Secara tidak langsung ini juga akan memberi pendedahan dan peluang 'networking' kepada ahli-ahli Peniagawati.

12. Peniagawati diharapkan dapat meneruskan usaha murni untuk menyedarkan seluruh masyarakat, terutama kaum wanita bahawa dunia keusahawanan adalah sesuatu bidang yang kompetitif, penuh risiko tetapi membawa peluang dan kepuasan yang tinggi. Justeru itu kaum wanita haruslah berusaha dengan berganding bahu serta dengan gigih merebut peluang-peluang perniagaan yang terbuka luas di negara kita, di samping melahirkan golongan wanita yang mampu berdikari, cekal, bersemangat dan sekaligus mendapat pengiktirafan masyarakat. Mereka mempunyai peranan bagi memajukan wanita masa kini dan generasi baru.

13. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang Anugerah Usahawan Wanita Harapan '93 pada malam ini.

******

Kami menerima 7,380,965 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri