Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PROJEK 1001 GELANGGANG RAKYAT
Lokasi : KAWASAN PARLIMEN BUKIT GANTANG TAIPING, PERAK
Tarikh : 25-02-1997
 
1. Bagi pihak Yayasan Badminton Malaysia (YBM), saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak kerana sudi bersama-sama meraikan majlis ini.

2. Ucapan penghargaan dan terima kasih juga kepada YB Dato Dr. Abdullah Fadzil Che Wan, Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kawasan Bukit Gantang kerana mengadakan majlis ini khususnya bagi menandakan usaha bersama dengan Projek 1001 Gelanggang Rakyat Yayasan Badminton Malaysia (YBM).

3. Sesungguhnya kesediaan pihak Kementerian Belia dan Sukan menyumbang satu pertiga iaitu RM 20,000 daripada jumlah kos pembinaan bagi setiap kawasan parlimen yang berjumlah RM 3.24 juta adalah manifestasi sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi pihak Kerajaan terhadap usaha murni ini dan mengangkat kecemerlangan sukan badminton tanah air.

4. Sehubungan dengan ini setiap Ahli Parlimen akan menyumbangkan RM20,000 selain daripada mengenalpasti dan mendapat tapak untuk pembinaan gelanggang tersebut. Pihak YBM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan akan menjelaskan baki perbelanjaan gelanggang tersebut.

5. Projek ini adalah unik sekali kerana ia melibatkan semua pihak iaitu pihak swasta, orang awam dan Kerajaan untuk satu tujuan iaitu pembangunan sukan negara.

6. Tujuan YBM melancarkan projek ini ialah untuk memperlengkapkan kemudahan asas bagi gelanggang badminton untuk semua peminat badminton, khasnya di luar bandar. Dengan adanya kemudahan ini, YBM berharap ianya akan memberi lebih banyak peluang kepada muda mudi untuk memajukan bakat mereka. Ianya juga akan mewujudkan lebih ramai pemain-pemain yang berbakat untuk dipilih bagi mengisi tempat-tempat dalam pasukan-pasukan di peringkat Negeri dan Kebangsaan.

7. Setika ini YBM telah berjaya membina 30 gelanggang dan banyak lagi sedang dibina. Adalah menjadi harapan YBM bahawa semua gelanggang dapat didirikan di semua kawasan Ahli Parlimen sebelum akhir bulan Mei ini.

8. YBM berharap akan dapat membina semua dewan sebelum akhir bulan Mei supaya ianya boleh menganjurkan satu pertandingan untuk pasukan-pasukan Ahli-Ahli Yang Berhormat sahaja pada Julai 1997. Pemenang pertandingan ini akan menerima hadiah wang tunai yang lumayan serta hadiah-hadiah yang lain. YBM berharap ianya akan mewujudkan satu persaingan di antara pasukan-pasukan supaya setiap pasukan akan berlatih bersungguh-sungguh bagi memenangi pertandingan. Ini akan melahirkan lebih ramai pemain-pemain yang berpotensi untuk negara.

9. Ketika YBM melancarkan projek ini hasrat kami ialah untuk membina 1001 gelanggang di luar laman seluruh negara dengan perbelanjaan RM5,000 satu gelanggang serta kemudahan berlampu. Bagaimanapun berikutan perbincangan kami dengan berbagai-bagai pihak, khasnya dengan Pegawai- pegawai Daerah jelaslah bahawa terdapat banyak gelanggang luar laman di negara ini tetapi kegunaannya terhad oleh sebab-sebab berikut:-

(a) Kebanyakkan gelanggang luar laman tiada berlampu, oleh itu ianya boleh digunakan pada siang hari sahaja.

Ramai yang berkerja atau bersekolah di waktu siang dan ketika balik ke rumah masing-masing, hari sudah gelap; (b) Cuaca hujan atau angin mengurangkan penggunaan gelanggang;

(c) Ramai pemain yang berpotensi yang bermain atas gelanggang-gelanggang ini berasa mereka tiada bertujuan untuk meneruskan permainan ini secara serius oleh kerana tiada latihan tertentu atau pertandingan bagi bakat-bakat mereka dikenalpasti dan dimajukan lagi dalam permainan ini.

10. Setelah mempertimbangkan perkara-perkara di atas, maka YBM menetapkan supaya berkerjasama sepenuhnya dengan Ahli Yang Berhormat untuk melaksanakan projek ini di kawasan parlimen masing-masing.

11. Satu perjumpaan telah diadakan dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat parlimen dari Barisan Nasional bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan projek ini.

12. Setelah perbincangan diadakan, Ahli-Ahli Yang Berhormat memberi sokongan sepenuhnya terhadap projek ini dan bersetuju bahawa:-

(a) Sekurang-kurangnya satu gelanggang nuklius dibina di satu kawasan Parlimen. Ahli Yang Berhormat berkenaan akan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk membina dewan itu melalui Pegawai Daerah masing-masing.

(b) Tujuan projek ini bukan sahaja untuk memperkembangkan permainan badminton bahkan ianya akan dijadikan satu saluran untuk kerjasama dan perpaduan antara semua kaum di satu-satu kawasan serta memberi harapan kepada muda-mudi dalam sukan ini.

13. YBM akan merancangkan fasa kedua dengan program kejurulatihan. Klinik-klinik kejurulatihan akan dianjurkan bersama BAM untuk memberi galakan kepada pengawal-pengawal Gelanggang Rakyat di kawasan Ahli Parlimen. Persatuan-Persatuan Badminton Negeri akan bekerjasama dengan Ahli-Ahli Berhormat bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar. Kursus tersebut akan dijalankan secara wilayah. Kawasan wilayah ini akan ditentukan oleh YBM kelak. Harapan YBM adalah supaya semua pemain muda-mudi yang terlibat dalam pertandingan Piala "SITI HASMAH" akan terdiri daripada pemain harapan.

14. YBM mencadangkan supaya pertandingan tersebut bermula pada akhir bulan Julai. Penglibatan muda-mudi akan ditegaskan dalam anggota pasukan. Untuk mengeratkan tali persahabatan, setiap pasukan akan bertanding di luar kawasan mereka. Ini akan memberi peluang kepada pemain melawat kawasan lain. Untuk peringkat akhir pertandingan akan dijalankan secara "Karnival" di mana 16 pasukan akan dipilih dalam kejohanan ini.

15. Kita juga mengharapkan sokongan daripada rakyat yang cintakan badminton untuk membantu projek ini. Pemaju- pemaju perumahan boleh memastikan bahawa satu dewan nuklius dapat didirikan di kawasan perumahan masing- masing. Begitu juga, kita mengharapkan Kumpulan-Kumpulan Peladang dapat menyediakan dewan-dewan ini di kawasan- kawasan ladang mereka. YBM akan membekalkan mereka dengan alat teknikal yang perlu dalam mendirikan dewan-dewan nuklius. Adalah menjadi impian kita untuk melihat dewan nuklius ini dibina di setiap kampung dan sekolah beberapa tahun akan datang; mungkin menjelang tahun 2020.

16. Bagi jangka panjang YBM sedang memohon jasa baik Kerajaan Negeri untuk menyumbangkan satu tapak tanah untuk pembinaan Pusat Latihan. Pusat Latihan tersebut akan dilengkapkan dengan jimnasium dan tempat penginapan. Di negeri-negeri yang sudah mempunyai Pusat Latihan, YBM akan membaiki tarafnya setanding dengan keperluan antarabangsa.

17. YBM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Tan Sri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak kerana sudi mengenalpasti sekeping tanah kepada Persatuan Badminton Perak untuk tujuan tersebut. Projek ini bukan sahaja akan membantu dalam mempertingkatkan permainan badminton tetapi akan menyediakan satu medan kerjasama di kalangan setiap bangsa di negara ini. Kita mengharapkan ianya juga akan membantu mengurangkan masalah "bohsia dan lepak" di kalangan muda-mudi kita.

18. Badminton merupakan satu sukan yang kita pernah menjadi jaguh dunia dan kita masih mampu untuk terus menjadi jaguh dunia. Persembahan kita baru-baru ini dalam Olimpik dan Piala Remaja Dunia jelas menunjukkan kebolehan kita. Kita perlu menyediakan lebih ramai lagi pemain yang berpotensi dan untuk tujuan itu kemudahan-kemudahan yang sesuai amatlah penting. YBM juga mengharapkan sokongan yang positif daripada akhbar, radio, dan televisyen oleh kerana mereka boleh menggalakkan orang ramai bersama-sama mengambil bahagian dalam projek 1001 Gelanggang Rakyat ini.

19. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih YBM kepada Kerajaan Negeri Perak, semua penaja kita, Pegawai Daerah Kawasan Taiping dan pegawainya dan mereka yang telah membantu sedikit sebanyak dalam menjayakan majlis kita ini hari ini. Sekali lagi ucapan terima kasih saya kepada YAB Tan Sri Ramli bin Ngah Talib dan YB Tan Sri Haji Muhyiddin, Menteri Belia dan Sukan dan semua yang hadir.

Kami menerima 7,392,815 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri