Profil PM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Beliau memulakan pendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School sebelum meneruskan persekolahan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah institusi tersohor yang melahirkan ramai tokoh negara. Pada tahun 1968, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sejak zaman mahasiswa, kepimpinannya jelas menyerlah apabila aktif dalam gerakan pelajar. Beliau mengasaskan Yayasan Anda Akademik (YAA) pada 1971 serta dikenali sebagai antara pengasas Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972. Melalui wadah ini, beliau memperjuangkan pembangunan intelektual, sosial dan politik belia, sekali gus mengangkat peranan generasi muda sebagai ejen perubahan.
Penglibatan beliau dalam arena politik bermula pada tahun 1982 sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kariernya berkembang pantas dengan jawatan penting seperti Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983-1984), Menteri Pertanian (1984-1986), Menteri Pelajaran (1987-1990), dan Menteri Kewangan (1990-1998). Pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Selepas melalui cabaran getir dalam politik, beliau tampil sebagai Ketua Pembangkang bagi dua tempoh panjang, 2008-2015 dan 2020-2022. Konsistensi beliau memperjuangkan suara rakyat serta agenda reformasi menzahirkan keutuhan prinsip dan daya juang yang tiada tandingan.
Pada 24 November 2022, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Presiden KEADILAN telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh. Dengan pengalaman lebih lima dekad dalam bidang kepimpinan, politik dan gerakan masyarakat, beliau tampil dengan gagasan berteraskan keadilan, ketelusan dan reformasi untuk membina Malaysia MADANI yakni sebuah negara yang inklusif, makmur dan sejahtera untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Di pentas antarabangsa, nama beliau diiktiraf sebagai pemimpin berwawasan. Sejak 2019, beliau memegang jawatan Pengerusi Lembaga Center for Islam in the Contemporary World (CICW). Beliau juga merupakan pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan kini menyandang jawatan Pengerusi Emeritus.
Beliau pernah diberi mandat besar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF (1997-1998), satu penghormatan yang membuktikan keupayaan Malaysia dalam menangani isu ekonomi global. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Presiden Persidangan Agung UNESCO (1988-1991), lantas meletakkan Malaysia di persada diplomasi dunia.

