TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H/2025M

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI DIRAJA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H/2025M

 

 

27 APRIL 2025 | AHAD | 8.55 MALAM

DEWAN 2020, KANGAR PERLIS

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

Alaihi Tawakkaltu Wa Ilaihi Uneeb

 

Alhamdulillahil Qawiyyil

Waman Ahsanu Qawlan Mimman Daaa Ila Allahi Waaamila Salihan Waqala Innanee Minaal Muslimeen

 

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli,

Menteri Besar Perlis;

 

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Yang Berhormat Tuan Rus’sele bin Eizan,

Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis;

 

Yang Berhormat Dato’ Rahimi bin Ismail,

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis;

 

Yang Berbahagian Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin,

Mufti Negeri Perlis;

 

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM);

 

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan negeri;

 

Jemaah Hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama sekali lagi dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Kerajaan Persekutuan tentunya menghargai kerjasama penuh oleh Menteri besar dan Kerajaan Negeri Perlis dalam menjayakan acara ini. Dan apa lagi ia selari dengan sambutan Jubli Perak Tuanku Raja Perlis yang berlangsung baru-baru ini, dan memberikan kita semangat, perpaduan dan juga pertahankan prinsip negara yang berperlembagaan, memuliakan Raja dan kebajikan rakyat keseluruhannya.

 

  1. Mendengar dari doa Sahibus Samahah sebentar tadi, menekankan asas yang harus kita renungkan, ‘Taffaquh Fiddin’. Tujuan kita menyebarkan, menghidupkan budaya pembacaan al-Quran dan hafazan ini tentunya dalam kerangka menggali, mempelajari dan menjadikan al-Quran itu sebagai pedoman – Ya ayyuhallazina amanu istajibu lillahi walir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum. Lima yuhyikum (Surah Al-Anfal:24)jadi ini kemudian yang mencabar kita, iaitu setelah ‘Taffaquh Fiddin’ dicabar, dituntut untuk menghayati. Di sinilah kemelut yang disebut ‘malaise’, cabaran umat, sejauh mana kita berupaya, menguasai, menggali al-Quran dan menjadikannya pedoman ke arah persatuan, membina kekuatan dari Deen kepada Madinah, kepada tamadun yang cuba kita rungkai dalam negara MADANI ini. Tidak mungkin lari dari asas Deen. Dan Deen selalunya berkembang dari satu pusat kota kepada negeri. Dan negeri itu hidup dengan dasar ilmu yang kukuh, dan dasar ilmu itu yang dicermati dihayati untuk menjadikan dan membina kekuatan baru tamadun.

 

  1. Negara umpamanya harus terangkat dengan nilai. Sebab itu dalam memperkenalkan dan cuba meningkatkan kefahaman tentang MADANI, kita ada sedikit kelainan daripada konsep pembangunan seutuhnya yang dibicarakan sebelum ini. Benar ada keperluan, negara harus membangun. Membangun rancak dan segar tidak harus ketinggalan dalam beberapa bidang. Tapi pembangunan kita itu berdasarkan nilai dan akhlak kerana ini membedakan kita dengan kefahaman lain, dengan ideologi lain, dan dengan kerakusan yang berlaku. apa lagi dalam dunia sekarang yang mencabar seluruh prinsip nilai kemanusiaan itu sendiri.

 

  1. Kebenaran dalam apa yang disebut post normal time itu sudah dianggap post truth. Kebenaran itu sudah relatif, yang hak itu juga relatif, yang makruf juga relatif. Sebaik sahaja kita pegang konsep Like City sekular ekstrim begini ia tentunya akan meninggalkan daripada prinsip akidah yang kita faham. Tapi saya bawa balik kepada ‘Taffaquh Fiddin’ kerana itu juga mencabar apa yang kita pelajari, apa yang kita kuasai, di mana kesedaran dan tasamuh kebijaksanaan hikmah bahawa mauizatul hasanah kita dalam menyampaikan dan mengapa dalam usaha Taffaquh itu masih diselit bibit-bibit permusuhan dan perpecahan.

 

  1. Dan ini dalam menyambut apa yang disarankan oleh saudara saya Menteri Besar, Mohd Syukri tentang menyebarkan suatu permulaan yang sangat baik di Perlis yang harus juga kita teruskan seperti mana juga dilakukan oleh banyak negeri oleh Jakim, Kementerian Pendidikan dan hampir semua pusat-pusat latihan yang kita kerahkan sekarang. Tetapi masih belum menjawab apakah manhaj tarbiyah yang boleh diperkenalkan, yang boleh menjamin tahap kefahaman yang mantap, yang positif, yang membina, yang baru ditekan satu semangat ‘Kawi’ yang betul-betul kekuatan baru yang boleh mengangkat martabat, harakat, darjat umat ini.

 

  1. Dan saya percaya para ulama, hakim-hakim hafazan yang sudah tentu lebih Arif dan Mufti harus juga menerima cabaran ini bagaimana harus kita pupuk kesedaran baru di kalangan umat ini? Mengapa saya tekankan hal ini kerana tidak semestinya penguasaan al-Quran dan ilmu itu membawa kepada jurus arah yang membina. Sebab itu al-Quran mengingatkan kita, a ta’ murunan nasa bil birri wa tansauna anfusakum wa antum tatlunal -kitab, a fa la ta’qilun (Surah Al-Baqarah: 44). Mencabar orang yang punyai kuasa dan membaca, bukan mencabar orang yang betul-betul buta huruf dan jahil murakab. Mencabar itu bagi yang menguasai dan mampu dan berakal. Tentunya penjelasannya, wasta’innu bissabri was solah; wa innahaa lakaabi ratun illaa alal khaashi’een (Surah Al-Baqarah:45). Saya bila baca ayat Quran itu tadi, teliti balik, hakim-hakim ini bagi saya nervous

 

  1. Tapi itulah yang saya ingat dan menggesa rakan-rakan supaya membantu, kita tidak punyai masa. Kerana cabaran begitu banyak. Malam ini kita tekankan bagaimana penguasaan al-Quran itu menjadi basis untuk mengangkat martabat, harakat, darajat umat membina tamadun dan negara MADANI. Dalam masa yang sama, penguasaan bahasa-bahasa, penguasaan digital, penguasaan artificial intelligence, itu semua menuntut kita cepat menangkapnya kalau tidak, kita akan ketinggalan. Jadi dalam menghadapi ini semua yang mendasari masih pemahaman asas al-Quran dan penghayatannya. Sebab itu saya juga baca tentang keperluan kita dan cabaran berikutnya iaitu untuk mengamal.

 

  1. Ayat mula tadi waamilan solehan, ‘istajibu lillahi walir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum’ (Surah Al-Anfal, Ayat 24) dan di sinilah kadang-kadang kita agak tempang, apa yang dibicarakan, dengan apa yang diamalkan. Bicara tentang akhlak, nilai, kesabaran dan hikmah, mauizatul alhasanah dan mujadalah billati hiya ahsan tapi tidak semestinya dilontarkan disampaikan begitu.
  2. Di beberapa acara saya pernah jelaskan sebagai seorang peminat dan pengkaji sejarah, tentang kemaraan Islam di rantau dan kepulauan Melayu. Banyak kupasan-kupasannya dari zaman sebelum Kesultanan Melayu Melaka, datangnya orang-orang seperti Raniri yang ke pusat bahasa di Pahang dan kemudian menguasai Bahasa Melayu dan menyebarkannya. Cerita-cerita dari Babad Tanah Jawi (Sejarah Tanah Jawa) tentang 9 wali Jawa kebijaksanaan mereka sebagai pengajaran tentang cara hikmah. Tentang pengembaraan sang pengembara terkenal Ibn Battuta yang menjadi Shaikhul Islam Perlak, bagaimana dengan hikmah dan kebijaksanaan yang boleh menarik orang-orang yang hampir animis, yang tidak kenal agama. Pendekatan yang penuh dengan hikmah. Sampaikan dicatat tentang kebijaksanaan menyampaikan dan memahami tentang peringkat-peringkat kefahaman supaya jangan umat itu lari, berkecai atau bermusuh.

 

  1. Di antara contoh disampaikan ialah tentang mengajak ibu-ibu menyempurnakan solat asas, pemahaman asas, tanpa menyinggung soal pakaian mereka kerana seperti mana kita tahu nenek moyang kita ketika itu hanya pakai kain dan tidak ada pakaian menutup sebelah atasnya. Ibn Battuta tidak menyentuh soal itu cuma mengingatkan bahawa dalam solat, pakaian harus begini. Sehinggalah ditanya bagaimana harus solat pakaian lain di luar pakaian lain. Itulah pendekatan yang penuh hikmah.

 

  1. Saya tidak pula menganjurkan sekarang di Perlis oleh kerana pendekatan kita perlahan-lahan, besok sampai ke Kangar dan Arau, Padang Besar, beratur selerak tengah jalan, kerana Anwar kata boleh buka dulu, jangan-jangan (nada berseloroh). Tapi saya hendak jelaskan tentang hikmah dakwah dan kebijaksanaan yang mencabar kita.

 

  1. Sebagai rumusannya, saya ingin mengingatkan dan menyeru rakan-rakan yang mempunyai keupayaan menyampaikan ilmu, ingat bahawa, cabaran kita itu terlalu rumit. Dan umat Islam itu mesti melakukan sesuatu yang lebih segar, lebih dinamik, lebih berani. Pertama, tentunya memperbaiki diri mereka, keluarga mereka dan masyarakat mereka. Ada keupayaan kita, ada orang mengharapkan umpamanya, “Anwar, lakukanlah sesuatu yang lebih untuk Gaza”, kita merintih di dalam tentang masalah. Satu keputusan Presiden Donald Trump mengenai tarif, menggugat sebahagian besar dunia, qpa lagi dengan dengan Islam. Soalnya mengapa? kerana kita tidak ada kekuatan dalaman.

 

  1. Sebab itu dia depan Tuanku Raja Perlis tadi dan Menteri Besar YAB Mohd Syukri, saya sebut tentang keperluan kita membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman itu bukan saja akidah dan akhlak dan sahsiah, tetapi kekuatan keseluruhannya, keluarga dan masyarakat. Kalau dalam konteks ekonomi dikatakan, domestic economic resilience, daya tahan yang kuat. Kita negara dagang, tapi kekuatan dalaman harus ada, tahap tatakelola yang baik, menghentikan sikap bahawa sebaik sahaja jadi pemimpin harus memunggah kekayaan sesuka hati ataupun kecuaian, itu tatakelola. Pegawai-pegawai di semua peringkat harus kemas dan cekap, tahu apa erti prinsip, akhlak, pengurusan urus tadbir yang baik, lurus dan cekap hal yang boleh diluluskan dua (2) minggu tidak ada sebab sama sekali untuk diluluskan dalam tempoh dua (2) bulan. Itu semua tanggungjawab kita yang ‘Taffaquh Fiddin’ dan dalam penghayatannya, baru boleh kita bina kekuatan dalaman, domestic economic resilience.

 

  1. Dan menerima keperluan, meneroka alam, teknologi dan disiplin baru. Pendidikan, kesihatan dan dalam semua bidang. Jadi, saya ingin ambil kesempatan ini mengajak rakan-rakan supaya terus berusaha, berikhtiar, ‘Taffaquh Fiddin’ dan ke arah penghayatan yang menyeluruh dalam semua bidang. Mudah-mudahan hasrat kita bersama untuk mengangkat martabat negara ini dapat dicapai dengan bergaya tetapi mengekalkan landasan sebagai penggerak membawa perubahan berlandaskan prinsip.

 

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.