PTP CAPAI KEJAYAAN LUAR BIASA DI PERSADA ANTARABANGSA – PM ANWAR

JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dalam tempoh lebih 20 tahun sebagai kejayaan luar biasa di persada antarabangsa sehingga menjadi antara tiga pelabuhan utama di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-15 dalam senarai pelabuhan utama dunia.
Beliau berkata kawasan pelabuhan yang terletak di Gelang Patah itu yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini menjadi hab pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia.
“Pelaburan sebanyak RM8.7 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan terminal PTP yang turut menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung tempatan berjumlah RM4.4 bilion dengan menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan.
“Saya percaya kejayaan membanggakan ini lahir daripada perancangan yang baik serta pengurusan yang mantap dan cekap. Lebih daripada itu, PTP tidak mungkin mencapai ke tingkat yang kita saksikan hari ni tanpa komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan seluruh tenaga penggerak di PTP,” katanya dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata pelaburan dalam PTP telah menghasilkan limpahan rantaian ekonomi seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Johor, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu yang turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra bersama kakitangan PTP serta MMC Group di samping mendengar pembentangan secara ringkas mengenai cadangan pembangunan jangka masa panjang terminal itu.
“Saya bersedia beri pertimbangan sewajarnya.
“Saya nyatakan komitmen untuk menyokong dan mempermudah sebarang usaha sama, sama ada daripada syarikat berkaitan kerajaan atau swasta, khususnya bagi industri atau kegiatan strategik yang penting bagi negara supaya kegiatan ini berkembang maju, sekali gus dapat mengangkat kedudukan dan martabat negara,” katanya.
— BERNAMA

















JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Cadangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berada di landasan untuk direalisasikan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani MoU itu oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.
Anwar turut menjadi hos majlis makan tengah hari untuk Lee dan delegasinya, yang sebelum itu menghadiri penyempurnaan span antara Malaysia dan Singapura untuk Rapid Transit System Link (RTS Link).
JS-SEZ dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, dan boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China, yang menjadi bukti kejayaan sebagai sebuah zon ekonomi khas.
Kedua-dua negara bekerjasama antara satu sama lain untuk mewujudkan zon ekonomi khas, bersebelahan dengan sempadan Singapura untuk memupuk hubungan perniagaan yang lebih kukuh dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara, dalam rantau Asia Tenggara berusaha untuk menangani kelembapan ekonomi global.
JS-SEZ telah dicadangkan oleh Rafizi selepas pertemuan dengan kerajaan negeri Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lepas dan kedua-dua negara bersetuju untuk mengorak langkah lebih jauh dengan mewujudkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan zon ekonomi khas itu pada dua bulan kemudiannya (Julai).
Zon ekonomi khas itu juga dijangka menambah baik ekosistem perniagaan wilayah Iskandar Malaysia dan Singapura.
Antara sektor yang disasarkan zon itu ialah elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan.
Pada tahun lepas, Johor meraih pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor.
Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu, menyumbang kepada kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan.
— BERNAMA











JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simboliknya “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura.
Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.
Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut bertemu di tapak projek berkenaan, sekali gus menguatkan komitmen kedua-dua negara terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.
Semasa majlis berkenaan, Anwar dan Lee turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Dis lepas, seperti yang dijadualkan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.
Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.
Projek tersebut dijangka membuka lembaran baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibincangkan.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seri Paduka juga menitahkan Anwar dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara.
Perkara itu antara inti pati sesi menerima menghadap Anwar untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.
“Hari ini, seperti kelazimannya saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet esok dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.
“Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, terdapat pemimpin pembangkang yang mendakwa mempunyai jumlah Akuan Bersumpah (SD) mencukupi untuk menukar Kerajaan Persekutuan selain tular kenyataan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen blok itu untuk menghadap baginda bersama SD masing-masing.
Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pembangkang pada Sabtu lepas menafikan kenyataan itu dan mengesahkan bahawa ia adalah palsu.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Pelbagai peluang pelaburan hijau dan teknologi baharu dijangka dapat diwujudkan di Malaysia susulan komitmen tinggi diberikan kerajaan dalam usaha peralihan tenaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia antaranya telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan peluang pelaburan tersebut wajar diteroka oleh syarikat seperti ConocoPhilips Company.
ConocoPhilips merupakan sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran tenaga terkemuka dunia beribu pejabat di Houston, Texas, Amerika Syarikat yang kini beroperasi di 13 buah negara dengan kira-kira 9,800 orang pekerja.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook beliau selepas menerima kunjungan hormat daripada pengerusi dan ketua pegawai eksekutif ConocoPhilips Company Ryan Lance dan presiden ConocoPhilips Malaysia Lisa Bruner, di sini, hari ini.
Beliau berkata semasa pertemuan itu Lance turut berkongsi perancangan syarikat tersebut terutamanya mengenai peluang pelaburan di Malaysia yang telah dikenal pasti.
“Beliau menyatakan bahawa antara tarikan ConocoPhilips ke atas Malaysia adalah amalan tatakelola yang tinggi kerajaan berkaitan syarikat petroliam negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Kami turut berbincang mengenai inisiatif peralihan tenaga yang merupakan usaha di peringkat global,” katanya.
–BERNAMA





KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah tersebut juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Terdahulu hari ini, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 bagi tahun ini yang membincangkan mengenai strategi dan hala tuju untuk meningkatkan pelaburan dalam negara.
Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa pelaburan hijau adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan.
“Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.
“Ia diharap akan menjadi pencetus peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Anwar berkata mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Sehubungan itu, katanya, Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF) akan ditubuhkan sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor tersebut.
“Kesemua usaha ini adalah langkah-langkah dalam memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Menerusi Ekonomi Madani yang di lancarkan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas, Malaysia menyasar untuk meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai.
Tumpuan utama kerajaan adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.
–BERNAMA
