SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR)


IPOH, 28 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Perak menjadi contoh kepada negeri lain untuk projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN).

Beliau berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan exco berkaitan memaklumkan mereka telah mengenal pasti beberapa lokasi di negeri itu untuk diusahakan serta sudah diberikan kelulusan.

“… tetapi ada prosesnya, mungkin kena maklum kepada mesyuarat kerajaan negeri dan sebagainya atau lembaga badan-badan yang lain.

“… Perak negeri pertama dan mempunyai tanah yang paling besar untuk projek pertanian moden seperti ini,” katanya ketika berucap selepas melawat IPR-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Ulu Kinta di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Anwar berkata sekiranya terdapat keperluan lain, Kementerian Ekonomi boleh menyediakan apa yang diperlukan bagi projek itu di Perak.

Beliau juga berharap perkara membabitkan tanah bagi projek itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan datang yang membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kementerian berkaitan.

“Saya sebutkan tadi tanah penjara, tanah Kementerian Dalam Negeri, tanah Kementerian Pendidikan, tanah Kementerian Kesihatan dan lain-lain yang dipinjam untuk sementara waktu (bagi projek IPR).

“Saya tidak tahu sama ada minimum lima tahun, saya tidak pasti tetapi harus disediakan, ini kita nak dalam masa yang singkat,” katanya.

Rafizi pula berkata selepas tujuh bulan IPR dilancarkan, Kementerian Ekonomi hanya berjaya mendapat 1,000 ekar tanah di seluruh negara.

“Ini adalah tanah Kerajaan Persekutuan yang dipegang oleh agensi masing-masing tetapi kita sedia maklum ada banyak lagi di agensi dan kementerian pusat, kita juga sedia maklum ada banyak lagi tanah di kerajaan negeri,” katanya dalam ucapan alu-aluan.

Beliau berkata sasaran Kementerian Ekonomi sebagai sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan ialah mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan untuk golongan miskin tegar seperti projek IPR yang memberi gaji setiap bulan menjelang akhir 2025.

“Saya melihat IPR ini hanya sebagai mewujudkan peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar yang kita memang tidak boleh bawa kilang.

“Cara terbaik untuk mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan pedalaman ialah kita bawa tapak IPR, setengah ekar seorang,” katanya.

IPR, yang merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), INTAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dilancarkan pada 26 Feb 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

— BERNAMA

IPOH, 28 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau beriltizam untuk mereformasi ekonomi negara bagi menjulang darjat rakyat dan langkah itu wajib bermula dengan golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumum minggu lepas merupakan antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu.

“Saya turun padang ke Mydin di Meru, Ipoh hari ini bagi melihat sendiri kesedaran dan impak SARA yang disasarkan untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara.

“Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini dengan tanda pagar #MalaysiaMADANI.

Terdahulu, Anwar meninjau Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di sini hari ini sebelum ke pasar raya Mydin dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan SARA akan kembali dan bermula secara berperingkat pada 22 Jan lepas selain memaklumkan ia telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta pada 2023.

— BERNAMA

IPOH, 28 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat akan diteruskan dan diperluaskan seluruh negara bagi membantu mengurangkan kos hidup rakyat.

Berucap secara ringkas ketika mengadakan lawatan ke Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di sini hari ini, Anwar berkata beliau mengambil berat keluhan rakyat yang harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat.

“Kita telah mengambil pelbagai langkah berikutan kos sara hidup yang meningkat, walaupun jumlah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kita naikkan, tetapi tidak cukup, kalau harga barang naik.

“Kita akan perbanyakkan, kerapkan, perluaskan jualan murah terutama barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan terus mencari ikhtiar bagi mencari penyelesaian peningkatan sara hidup sehingga ke akar umbi.

“Kos meningkat di pasaran mana-mana negara di dunia, percayalah ia tidak mudah, tetapi kita ambil setiap keluhan dan akan terus cari jalan,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Perdana Menteri selepas itu mengadakan tinjauan di pasar raya Mydin di Meru Raya dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya yang berjaya memberikan tentangan sengit kepada Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar, hari ini.

Menerusi ciapan ringkas di laman X hari ini, Anwar turut berharap pasukan bola sepak negara akan meneruskan perjuangan mereka dan tidak menyerah kalah.

“Tahniah Harimau Malaya beri tentangan sengit kepada Korea Selatan. Terima kasih daripada seluruh rakyat Malaysia. Teruskan perjuangan anda selepas ini, usah menyerah kalah,” katanya.

Skuad Harimau Malaya hampir menumbangkan juara dua kali Korea Selatan sebelum mencatat keputusan seri 3-3 pada perlawanan berkenaan, sekali gus menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata sementara Malaysia membawa satu mata. 

Sementara itu,  Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keputusan berkenaan merupakan hadiah terbaik kepada ‘pemain ke-12’ yang menyaksikan kehebatan anak buah Kim Pan Gon beraksi di bumi Qatar mahupun di Malaysia. 

“Harimau Malaysia stamped our mark on the Asian stage. We will be back in the next Asian Cup! This draw against Korea is the biggest gift to Harimau Malaya fans in Qatar and all across Malaysia. 

“When we put our heart and soul into everything we do, the world will notice. #RoadToGold… Mr Kim Pan Gon- you rock! Datuk Hamidin of Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Tahniah FAM,” katanya menerusi hantaran Facebook rasminya malam ini. 

(Harimau Malaysia mengukir nama di pentas Asia. Kami akan kembali dalam Piala Asia akan datang! Keputusan seri menentang Korea ini merupakan hadiah terbesar kepada peminat Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.

“Apabila kita berusaha sepenuh hati dan jiwa dalam semua yang kita lakukan, dunia akan menyedarinya. #RoadToGold… Encik Kim Pan Gon- anda hebat! Datuk Hamidin dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Tahniah FAM)

— BERNAMA