GALERI GAMBAR : PM ANWAR MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK SULTAN ABDUL SAMAD, KUALA LUMPUR











KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) — Malaysia akan terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat dan akan meningkatkan sokongan jika perlu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengesahkan solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin, beliau mengecam keputusan beberapa negara untuk menghentikan pembiayaan berikutan Israel mendakwa pekerja agensi itu terlibat dalam serangan ke atas rejim berkenaan pada 7 Okt lepas.
“Setiap keputusan jelas dan ternyata berat sebelah. Apa yang dikatakan oleh Israel adalah penting. Ramai yang terkorban, kematian bayi sudah tidak lagi relevan (buat mereka).
“Ramai terkorban, kanak-kanak kehilangan nyawa, wanita dibunuh dan anda hanya menjadikan satu atau dua sebab teknikal, walaupun ada asasnya, anda tidak boleh berhenti memberi bayi makanan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Al Jazeera Mubasher di sini pada Jumaat
Anwar turut menekankan mengenai sikap hipokrit dan dwistandard mereka yang menyokong kebebasan dan keadilan tetapi jelas bercanggah dengan pendirian mereka apabila bercakap tentang kebebasan rakyat Palestin.
Beliau berkata apa yang berlaku satu pengalaman ngeri pada zaman moden yang menyaksikan masyarakat antarabangsa dan mereka yang berkuasa, khususnya di Barat boleh terus membenarkan pembunuhan bayi dan wanita di Gaza.
“Saya rasa sungguh sukar untuk menerima kepura-puraan itu. Cukup menjijikkan jika anda boleh terus melihat orang dibunuh dan langsung tidak memberi kesan kepada perasaan anda. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemanusiaan,” katanya.
Walaupun sekadar sebuah negara kecil, Anwar berkata Malaysia telah mengambil pendirian yang kukuh dan tidak berbelah bahagi, termasuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan melarang kapal Israel berlabuh di pelabuhannya.
“Ini satu-satunya cara kami untuk menyatakan sokongan kami. Selain itu, sudah tentu bantuan kemanusiaan dan cuba membawa bayi dan wanita yang cedera untuk dirawat di hospital kami di sini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia telah melakukan apa yang termampu dan pasti tanpa ragu-ragu menyokong sebarang inisiatif yang diambil oleh dunia Islam, khususnya Arab dan negara jiran lain untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza.
Anwar berkata beliau telah membincangkan secara langsung situasi di Gaza dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, walaupun menyedari keterbatasan Malaysia sebagai sebuah negara kecil.
“Tetapi sudah tentu beliau fikir ia seorang pemimpin dari negara kecil yang tidak penting, namun tidak mengapa. Saya tetap memainkan peranan saya. Saya perlu menyampaikan hasrat majoriti rakyat Malaysia. Islam atau Hindu atau Buddha atau Kristian di negara ini, kami percaya kepada kebebasan, belas kasihan dan hak asasi manusia,” katanya.
Israel telah membunuh lebih daripada 27,000 orang di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt. Serangan tentera peceroboh turut menyebabkan ramai penduduk diusir, kemusnahan besar-besaran dan ancaman kebuluran.
— BERNAMA










REMBAU, 1 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja-Raja sealiran menyokong langkah kerajaan mempertingkat tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.
Anwar berkata beliau menyeru semua pemimpin serta penjawat awam agar bersama-sama memerangi rasuah dan menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk meningkatkan martabatnya sebagai negara yang hebat.
“Pagi tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Baginda sealiran dan mahu menyokong langkah-langkah peningkatan tatakelola untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.
“Saya fikir ini kesempatan yang baik, saya ingin menyeru semua penjawat awam memberikan khidmat sebaik mungkin… saya yakin Malaysia diangkat kalau kita gunakan dasar yang betul dan bersihkan daripada amalan bobrok,” katanya ketika berucap pada Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan yang disertai 120 Ketua-Ketua Jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri di sini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Perdana Menteri juga berkata negara ini tidak mengizinkan kuasa serta sistem pemerintahan dijadikan kesempatan untuk memunggah kekayaan dan perkara itu perlu dinoktahkan sebagai pengajaran.
“Pemimpin seharusnya memikul tanggungjawab sebagai satu amanah, pengukuran kejayaan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bukan berbilion ringgit digondolnya,” kata beliau.
Anwar berkata sepanjang setahun pemerintahan, beliau tidak pernah mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan keputusan Badan Kehakiman.
“Sebab itu saya memberi laluan penuh kepada SPRM, saya tidak memberi arahan untuk menangkap individu A, menggeledah rumah individu B, saya beri arahan umum, hendak selamatkan negara mesti cari jerung besar, beri satu pengajaran supaya hal ini tidak berlaku lagi,” katanya.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Kerajaan MADANI mendukung sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini yang ingin melihat negara meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi yang mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu juga merupakan hasrat jutaan rakyat Malaysia yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa hadapan yang lebih baik untuk semua.
“Lantaran itu, mari bersama kita raikan permulaan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan senada dengan rakyat turut memanjat syukur serta menjunjung kasih atas pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sesungguhnya, pandangan jauh lagi berwawasan yang dizahirkan oleh Duli Tuanku menerusi peranan penting Baginda sebagai Raja Berperlembagaan telah memungkinkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi seperti yang kita nikmati dan saksikan pada hari ini,” kata Anwar.
— BERNAMA











KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim hari ini melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Anwar dalam catatan menerusi laman X turut menitipkan doa kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan Seri Paduka berdua dan paduka-paduka anakanda serta seluruh kerabat diraja diberikan keafiatan.
“Merafak Sembah Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.
“Moga Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat diraja diberi keafiatan dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Daulat Tuanku!,” menurut catatan itu.
Setelah lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah menamatkan penggal pemerintahan hari ini dan pulang ke Kuantan, Pahang, dalam Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.
— BERNAMA











KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap peningkatan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ketara pada tahun ini dapat meringankan beban rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran di Facebook beliau berkata bayaran maksimum STR bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih 66 peratus kepada RM500, berbanding RM300 tahun lepas, dengan bayaran bagi Fasa 1 STR 2024 kepada 8.2 juta penerima akan disalurkan bermula hari ini.
Katanya beliau akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.
“Kerajaan MADANI beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah. Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.
“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” katanya.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.
— BERNAMA
