INDUSTRI PERBANKAN PERLU TERUS KEKAL BERDAYA SAING UNTUK TANGANI CABARAN GLOBAL – PM ANWAR


KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Industri perbankan negara digesa untuk terus kekal berdaya saing bagi menangani keserentakan fenomena tiga C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan) di era pasca normal pada masa sekarang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C itu.

Anwar turut menekankan bahawa institusi kewangan menjadi tonggak dalam sistem ekonomi negara dan sekiranya industri itu kekal teguh ia akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur.

“Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi MADANI.

“Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” kata beliau semasa berucap pada majlis peluncuran myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank), di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis peluncuran tersebut ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan dan Pengerusi Kumpulan Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Perdana Menteri berkata kerangka Ekonomi MADANI menumpu kepada tiga industri iaitu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan transformasi digital untuk mengukuhkan kedudukan negara.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi memastikan kesaksamaan kekayaan dapat ditegakkan, Ekonomi MADANI perlu menekankan untuk membawa sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai industri tersebut.

Sementara itu, Anwar turut berbangga dengan kejayaan dan prestasi Maybank di Malaysia dan juga di peringkat serantau sebagai sebuah institusi kewangan gergasi yang telah melakar sejarah dengan perkembangan ekonomi negara.

Antara kejayaan Maybank termasuklah menggunakan instrumen kewangan yang lebih canggih dan mematuhi peraturan ketat yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata beliau.

— BERNAMA

  

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

  

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM MEMPERKASA PKS

“MYIMPACT SME HUB”

  

19 FEBRUARI 2024

 

MENARA MAYBANK, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YB Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan,

Menteri Kewangan II;

 

YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Menteri-menteri;

 

YB Datuk Ramanan Ramakrishnan,

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa,

Presiden Maybank; dan

 

Pengurusan Maybank serta rakan-rakan saya muliakan.

 

  1. Saya ucap setinggi- tinggi tahniah dan kesyukuran kerana dapat bersama dengan keluarga Maybank, bukan sahaja mendengar, tetapi turut bangga dengan prestasi dan kejayaan Maybank di Malaysia dan di rantau ini.

 

  1. Maybank merupakan suatu instrumen ataupun institusi kewangan gergasi dan telah melakar sejarah bersama dengan perkembangan ekonomi negara kita. Seperti mana yang kita sedia maklum tunggak kekuatan ekonomi terletak juga pada keupayaan, kekuatan, kelestarian institusi kewangannya.

 

  1. Menelusuri perkembangan Maybank dan sudah tentu pengurusannya tahu saya selalu memberikan beberapa penegasan, tetapi saya terpaksa akui bila ada prestasi yang membanggakan ini termasuk kepantasan Maybank dalam mengikuti perkembangan semasa termasuk menggunakan instrumen-instrumen kewangan yang lebih canggih dan semasa. Mematuhi peraturan-peraturan yang ketat sama ada diawasi oleh Bank Negara atau mengikut Basel. Dengan rekod prestasi ini memberi keyakinan bukan sahaja kepada rakyat memanfaatkan tetapi juga kepada pelabur kerana inovasi yang disebut serta daya cipta pengenalan baru ini mencabar.

 

  1. Dan kita tidak boleh tunggu dalam kerangka pemikiran lama. Sering saya tegaskan tentang permasalahan negara kita dalam apa yang disebut pasca normal. Kita hidup dalam keadaan pasca normal (post normal times) dan saya sudah minta pendengar dan khalayak banyak hafal apa dia ciri post normal times itu.

 

  1. Ia chaos, complex dan full of contradictions. Ia tidak ada satu pendekatan biasa, tetapi dengan transformasi digital. Permasalahan politik dan peperangan, Ukraine – Rusia dan serangan ganas rejim Zionis Israel di Gaza dan ketegangan di beberapa daerah lain. Cabaran iklim yang dahsyat, permasalahan penghijrahan rakyat, jutaan orang, massive migration ini yang menyebabkan isu itu chaotic, complex, and full of contradictions. Dan masalahnya itu bukan satu, ia memerlu dan menuntut kita membuat perubahan secara yang paling pantas dan cepat, yang disebut pace, untuk melakukan dan effect change and reform tidak boleh dalam standard lama.

 

  1. Kerana masalah-masalah ini berlaku semuanya dalam konteks semasa, adakah kita hendak tunggu perang selesai?, kita hendak tunggu reda masalah cabaran iklim?, atau hendak tunggu transformasi digital yang pesat? Semuanya berlaku dalam masa yang sama yang disebut simultaneity. Semuanya berlaku dalam keadaan sama. Ia menuntut pengurusan yang peka.

 

  1. Maknanya kalau betul kita mahu menjadikan institusi gergasi ini hebat dikagumi, menjana pertumbuhan dan menarik minat pelaburan dengan kepantasan, kelajuan, peningkatan operasi dan juga keberhasilan bank, ini menunjukkan kita harus mengambil langkah-langkah itu segera.

 

  1. Saya tidak pernah menjadi banker, jadi saya tidak boleh mengajar saudara-saudara. Tetapi saya ikuti dari dekat puluhan tahun lamanya. Dan saya tidak boleh nafikan walaupun saya terdiri daripada orang yang selalu lebih kritis, lebih mendesak supaya sesuatu berlaku dengan lebih baik. Tidak sabar untuk melakukan perubahan dan keras terhadap penyelewengan dan rasuah.

 

  1. Saya salute kepada pengurusan Maybank kerana mencatat pencapaian yang baik. Tetapi demikianlah keadaannya dalam post normal times, cabarannya besar. Cabarannya mendesak dan cabarannya menuntut pengurusan yang sangat peka dan mahu melakukan perubahan dengan pantas.

 

  1. Kerana cabaran itu berlaku dalam masa yang sama yang saya sebut tadi simultaneity. Dan ini terserah kepada saudara-saudara sama ada perkara dalaman atau luaran untuk menjadikan Maybank ini sebagai gergasi dari institusi kewangan yang kita sama-sama banggakan dan boleh menjana pertumbuhan ekonomi.

 

  1. Saya tegaskan sekali lagi bahawa tunggak dalam sistem ekonomi negara itu juga adalah institusi kewangan. Dan kalau institusi kewangan itu gagah perkasa dan diyakini ia akan membantu perhatian dan keyakinan rakyat serta pelabur sama ada domestik atau luar negara.

 

  1. Seperkara lain yang terkait dengan isu kepantasan, kecekapan dan keupayaan pengurusannya, mengurus adalah keprihatinan terhadap nasib pekerjanya dan program-program yang selari dengan tuntutan negara.

 

  1. Dalam Ekonomi MADANI kita gariskan beberapa keutamaan. Ia termasuk keutamaan dalam bidang yang saya sebut dan relevan hari ini iaitu PMPKS. Dan sekali lagi terima kasih kerana pembiayaan keseluruhannya itu mencecah RM44 bilion, ini bukan jumlah kecil.

 

  1. Tetapi dalam program MADANI ini kita juga tekankan tentang masalah apa yang disebut sekuriti makanan. Adalah tidak munasabah bagi negara yang subur tanahnya, tetapi import makanan. Berkaitan dengan barang makanan itu sehingga mencecah RM60 bilion dan kalau ikut perkiraan keseluruhannya sehingga RM70 bilion.

 

  1. Dan ini suatu hal yang disebut dilakar dalam agenda Ekonomi MADANI yang menuntut bank untuk memberikan perhatian dalam jurusan ini. Bagaimana mungkin kita gerakkan melalui skim, bukan sekadar pinjaman, ini maknanya jurusan yang disebut sekuriti makanan.

 

  1. Yang kedua dalam Ekonomi MADANI kita sebut tentang Peralihan Tenaga (energy transition). Kerana kita ada cadangan tentang sama ada zero carbon atau tidak, tetapi soalnya mesti ada langkah-langkah segera dan langkah-langkah ini akan berhasil dengan daya upaya semua pihak sama ada kerajaan, kementerian dan institusi kewangan umpamanya Maybank yang harus i’m stressing Maybank in front of many other bankers because they are supposed to take the lead, anything goes wrong the fokus on the blame goes to Maybank.

  

  1. Jadi dalam peralihan tenaga atau energy transition juga memerlukan dana yang besar. Green energy hidrogen dan solar seperti mana rencana-rencana yang akan dikendali oleh domestic enterprise berikutnya ialah tentang apa yang disebut transformasi digital (digital transformation).

 

  1. Transformasi Digital itu menuntut kita cepat menghadapinya. Baru-baru ini bila saya gesa supaya dipastikan universiti-universiti mengadakan atau memperkenalkan AI (artificial intelligence) jadi saya luluskan peruntukan untuk Fakulti AI.

 

  1. Tetapi ia tidak akan bermakna kalau AI itu diajar di universiti, dalam skim dan pelaksanaan cara dulu. Kertas kerja dibawa kepada fakulti oleh dekan, kemudiannya dibawa kepada board of studies, seterusnya dibawa kepada majlis universiti kemudian patah balik kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dikaji semula dan akan mengambil masa satu tahun 2 tahun.

 

  1. Jadi kita harus faham tentang yang saya sebut tadi berkenaan post normal times. Bahawa pelaksanaan itu dalam proses yang mesti cepat dan mesti menyeluruh. Kerana pace of change itu sudah terlalu unprecedented, dan bersifat Saya percaya bank pun harus begitu. Apakah bank harus menunggu hasil latihan dari universiti? jawabnya ya.

 

  1. Tetapi keupayaan bank juga adalah untuk melatih seperti mana laporan oleh Tan Sri tadi, saya belum tengok secara terperinci tetapi saya percayalah in good faith.

 

  1. Maknanya ada jenis-jenis latihan untuk menentukan tahap kemahiran dan kepakaran AI itu yang mengatasi keupayaan universiti dalam keadaan biasa. Saya berjumpa umpamanya Infineon, Nvidia, Google, Amazon. Infineon di Kulim hi-tech malah juga Geely Proton di Tanjung Malim, masing-masing mengatakan bahawa program latihan kita itu baik. Jurutera yang dihasilkan universiti itu membanggakan.

 

  1. Tetapi tanpa kecuali semuanya menyatakan perlu ada tumpuan kerana kekurangan niche the highest of expertise and level of sophistication among our graduates and engineers. and IT expert. Apa dia? Mereka kata itu bidang terkini dan tercanggih. Jadi saya hendak gesa supaya Maybank terus memberi penekanan ini selain daripada sinergi yang boleh dilakukan bersama universiti.

 

  1. Jadi dalam 3 bidang ini saya harap kalau melihat dan menghadam Ekonomi MADANI tentang food security, tentang transisi tenaga dan transformasi digital yang juga mengambil kira peranan SME.

 

  1. Jadi saudara-saudari saya faham pada hari ini kita juga akan bersama dengan Maybank untuk memperkenalkan SME Hub ini. Kerana sepertimana kita tahu, peranan SME ini walaupun bunyi SME tetapi peranan domestik dan juga di peringkat global itu besar. Dan ada andaian yang mengatakan kalau kita lihat rupanya dalam Pelan Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan 2030), maknanya dari sekarang sehingga 2030 penekanan SME itu lebih besar.

 

  1. It is a form the first real emphasis and support and endorsement the role of SME’s that has happen even compared to the past industri master plans this is because we do recognize importance of the SME and the fact that we have largely ignored the importance and significance and the failure or probably limited support given to the SMEs.

 

  1. Jadi saya hargai apa yang dilakukan oleh ikhtiar atau inisiatif Maybank termasuk cadangan tentang Maybank Halal Solutions. Kerana potensinya tinggi, ada yang mengatakan 2000 PKS dari industri halal dan RM138,000 daripada RM200,000 itu adalah pelanggan Maybank.

 

  1. Jadi ini menunjukkan bahawa Pelan Induk Industri Halal itu kita hadam dan beri perhatian. Itu sebabnya saya fikir mengapa Dr. Mohamad Naim ada di sini, jadi sekali lagi lah saya hendak ucapkan terima kasih kerana gariskan beberapa penekanan, tiga (3) isu besar dalam kerangka Ekonomi MADANI dengan penekanan terhadap SME dan juga halal.

 

  1. Selain itu, keperluan kita adalah untuk terus memperkenalkan beberapa ikhtiar baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Tetapi saya tertarik dengan istilah insan ini. Kerana istilah insan dalam kerangka MADANI ini sangat penting. Saya kadang kala sebut insan, kadang kala sebut manusiawi, maknanya Ekonomi Manusiawi.

 

  1. Salah seorang pakar ekonomi terkemuka, pemikir Indonesia pernah menyebut dalam karyanya tentang dimensi manusiawi dalam pembangunan. Jadi saya selalu bergurau bankers ini dia kurang prihatin tentang kemanusiaan, tetapi itu dulu. Tetapi kelihatan dari ucapan tadi bahawa beberapa ikhtiar dan inisiatif serta instrumen- instrumen baru bank-bank kita telah nampak lebih prihatin tentang masalah pekerja, OKU dan B40. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih.

 

  1. Ini kerana apa? apakah kritikan kita tentang yang sangat berkesan dalam apa yang kita sebut unbridled capitalism, sikap penguasaan pemodal yang tidak ada had. Keuntungan-keuntungan tanpa manusiawi atau keinsanan. Itu di antara kritikan yang menyebabkan disconnect atau kesenjangan di antara elit kewangan dengan kegelisahan rakyat.

 

  1. Kalau di peringkat awal-awal Maybank dulu Malayan Banking masa itu permasalahan rakyat, petani, B40 itu bukan perkiraannya. Tetapi keadaan sudah berubah. Kesedaran dan keprihatinan yang menuntut kita memikirkan hal-hal yang sedemikian.

 

  1. Dan ini bagi saya sangat relevan, kalau tidak ada instrumen kewangan baru akan menyebabkan kesenjangan kian melebar. Kita perkenalkan transformasi digital, tetapi sekiranya kita tidak waspada, ia akan menyebabkan kesenjangan lebih melebar. Kerana teknologi digital itu akan dikuasai oleh elit, orang senang, orang berada tetapi yang miskin bandar, di desa dan pedalaman akan ketinggalan.

 

  1. Sebab itu di antara tumpuan kita ialah latihan, pendedahan anak muda kepada peluang-peluang yang baru seperti mana dilakukan oleh Maybank dan juga inisiatif Bank Negara serta bank-bank lain dan pendidikan.

 

  1. Mulanya tumpuan saya adalah kepada komputer dan digital serta kecanggihan di sekolah-sekolah, namun, apabila saya tanya kedudukan tandas di sekolah-sekolah, 8600 tandas sekolah dalam keadaan rosak dan tidak digunakan. Jadi tidak sempat saya fikir soal komputer saya kena selesaikan masalah tandas dahulu.

 

  1. Jadi ada orang sindir, apabila saya pergi mana-mana saya check Jadi ada orang kata ‘Perdana Menteri tandas’, tidak apalah. Tahun ini, sebelum kita fikir hal yang lebih canggih, saya tengok perumahan angkatan tentera, perumahan polis, perumahan kerajaan yang robek, bocor dan tandas rosak.

 

  1. Jadi terpaksa kita belanja berbilion-bilion lagi hanya untuk perbaiki ini. Saya sebut perkara ini kerana ini kenyataannya. Tetapi kalau kita tunggu hendak selesaikan semua ini dan tinggalkan transformasi digital dan juga instrumen-instrumen baharu, kita akan kalah dalam persaingan dunia.

 

  1. Oleh yang demikian, teruskan apa yang sudah dilakukan sekarang. Dan di samping itu kita harus ingat tidak ada makna kehidupan tanpa keinsanan, compassion dan manusiawi.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih dan dengan lafaz bismillahirrahmanirahim, saya meluncurkan Program Memperkasa PKS “Myimpact SME Hub”.

 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Terima kasih.

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL MAIWP 2024

“50 TAHUN MEMACU KEGEMILANGAN”

 

 

18 FEBRUARI 2024 (AHAD) | 10.30 PAGI

 

 

TAMAN TASIK TITIWANGSA,

KUALA LUMPUR

 

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar,

Menteri Agama;

 

YB Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad,

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;

 

Pengurusan dan Keluarga MAIWP;

 

Pengerusi dan rakan-rakan yang saya muliakan

 

 

  1. Alhamdullilah, kita dapat bersama-sama bukan sahaja bagi meraikan Karnival ini tetapi mendengar sebahagian daripada catatan kejayaan yang dicapai oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) termasuk pengurusan dan tentunya kita diperingatkan dengan tema ayat Al-Quran yang menjadi teras dalam kegiatan MAIWP, “Wa Al-Ladhina Jahadu Fina Lanahdiyannahum Subulana Wa `Inna Allaha Lama`a Al-Muhsinina” (Surat Al-‘Ankabut: 69). Jadi untuk kita terus melangkah dalam perjuangan ini bukan hanya duduk biasa tetapi melangkah secara aktif, dinamik dan menyempurnakan tanggungjawab mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

 

  1. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan yang muhsinin. Ini ada kaitannya kerana pada hari Jumaat yang lalu, ada Persidangan Zakat yang dianjur oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Universiti Sains Malaysia. Ramai juga rakan-rakan ke sana dan saya tegaskan bahawa kita mahu pengurusan zakat itu pada tahap yang baik dan cemerlang selaras dengan prinsip Itqan Fil Amal.

 

  1. Memang kita harus berasa puas hati dengan pencapaian sekarang tetapi sikap orang Islam itu sentiasa mahu mencari kaedah pelaksanaan yang lebih murni Itqan Fil Amal – Striving for Excellence. Sebab itu dalam seluruh kegiatan MAIWP termasuk pengurusan zakat, saya mohon saudara pengerusi dan pengurusannya, dalam tempoh sebulan ini, untuk memberi laporan terperinci apa yang dilakukan setahun sebelumnya dan langkah-langkah baharu yang boleh meningkatkan lagi prestasi MAIWP sebagai contoh dan teladan untuk negeri-negeri lain.

 

  1. Jadi saudara YBrs. Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer serta rakan-rakan mempunyai satu bulan dari tarikh ini untuk mengeluarkan laporan yang lengkap dengan hala tuju, kaedah-kaedah baharu, dan seterusnya memperbaiki apa juga kelemahan.

 

  1. Zakat ini seperti yang saya tegaskan sebelumnya di Pulau Pinang, institusi yang sangat unggul, teras dalam pembangunan umat. Kita tahu dalam pengalaman kita, dalam sejarah Khulafa al-Rasyidin Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A pernah mengisytiharkan perang terhadap kelompok yang enggan membayar zakat walaupun mereka mengaku mereka itu seorang Muslim.
  2. Almarhum Sheikh Yusuf Al Qaradawi menjelaskan bahawa harb (berperang) untuk membela orang miskin ini julung kali berlaku hanya dalam sejarah Islam. Sebelum itu, maharaja-maharaja yang isytihar perang hanya untuk menakluk kawasan, meminang puteri mayang mengurai,  bolot kekayaan emas, perak dan sebagainya ataupun untuk imej supaya jadi maharaja yang lebih besar tetapi buat pertama kali dalam sejarah manusia di bawah pimpinan Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A, perang diisytiharkan semata-mata untuk mempertahankan institusi zakat dan membela golongan miskin.

 

  1. Ini istimewanya dan kalau begitulah pengalaman kita dalam Islam ini, tanggungjawab kita, generasi penerus adalah memastikan urusan zakat ini dikendalikan dengan cermat. Saya telah katakan semasa saya di Pulau Pinang, bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita telah mengutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok-kelompok termiskin yang tidak cukup makan, yang tidak dapat sediakan urusan anak-anak di sekolah.

 

  1. Ini cabarannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada MAIWP dan Datuk Bandar kerana membantu dalam proses pelaksanaan yang sangat berkesan bersama agensi-agensi Kerajaan yang lain yang tentunya bukan sahaja MAIWP, bandar raya tetapi seluruh agensi-agensi pusat seperti pusat penyelarasan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Semua ini bertanggungjawab dan selaras.

 

  1. Oleh itu, di antara tugas MAIWP ialah memastikan ada penyelarasan bersama agensi-agensi lain. Kalau tidak, sebuah keluarga mendapat empat kali, satu lagi keluarga tidak mendapat langsung. Saya dimaklumkan tahun lalu, pejabat saya telah membantu untuk memastikan penyelarasan ini berlaku.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya tidak mahu pandang ringan soal ini kerana di antara pengumuman penting saya sebagai Perdana Menteri, pertama ialah menoktahkan kemiskinan tegar dan Alhamdulillah di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, empat negeri ini telah memberi laporan bahawa isu tersebut telah dapat diselesaikan. Tetapi itu untuk tahun 2023, 2024 masih ada. Jadi harus disusuli dan ditingkatkan kegiatan kita kerana kadang-kadang orang itu sudah meningkat tetapi dia belum mahu mengaku dia terlepas daripada kategori itu. Tanggungjawab kita memastikan dan begitu juga soal dana pendidikan, kesihatan yang dikendalikan oleh MAIWP dan Pusat Zakat. Saya sambut baik dan berharap perkara ini dapat diurus dengan baik.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Soal tata kelola yang kita ulas, soal penyelewengan dana, penggunaan dana zakat dan dana Kerajaan untuk kepentingan peribadi atau memperkayakan sanak saudara telah menjadi budaya dan amalan kita sekian lama. Menoktahkan kemiskinan, memperbaiki tatakelola juga penting dan kita mesti memastikan bahawa kita mampu sebagai umat Islam membawa contoh yang terbaik.

 

  1. Jangan kita kekalkan amalan begini. Bukan sahaja setakat jabatan-jabatan Kerajaan dan orang politik, kadang-kadang dana zakat pun ada kisah-kisah diselewengkan. Jadi sebab itu kita harus ambil sikap yang sangat tegas dan kalau dalam negara ini kita mula dengan peringkat orang-orang atas yang telah menggondol kekayaan yang berbilion ringgit, biar kita ingat di peringkat bawah. Kalau ia bermula di peringkat atas pun kita berani kerana melalui SPRM, melalui LHDN, melalui PDRM dan agensi-agensi lain melaksanakan dengan tegas, saya ingin ingatkan tidak ada yang boleh terlepas.

 

  1. Saya mahu MAIWP ini mengemukakan cadangan bagaimana boleh menjadi Majlis Agama Islam yang terbaik, pengurusan yang terbaik, tata kelola yang terbaik dan menghentikan apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu. Kerja Menteri, kerja Timbalan Menteri, dan kerja Pengerusi bukan sekadar meneruskan kegiatan-kegiatan tetapi memastikan setiap dana, setiap sen dan wang rakyat itu dikembalikan kepada rakyat dan tidak boleh diperalatkan untuk kesenangan, peribadi dan sebagainya.

 

  1. Saya berharap saudara ingat, saya menegaskan hal ini terutama di MAIWP kerana saya mahu MAIWP itu menjadi mercu tanda kebanggaan umat dengan tata kelola terbaik, dengan semangat roh perjuangan yang bermakna. Dakwah itu mesti dikembangkan. Dakwah dalam erti kata menyatu, mendorong, meningkatkan akhlak dan nilai serta menyempurnakan ibadah. Bukan dakwah yang memilih menggunakan majlis-majlis di surau untuk memecah belah, menghina orang, mencerca orang dan mengikut kehendak dan kepentingan masing-masing.

 

  1. Rakan-rakan dan keluarga MAIWP mesti ada keberanian untuk membetulkan kesilapan-kesilapan ini kerana sebelum ini ada juga rakan-rakan keluarga MAIWP yang juga terheret dengan aliran-aliran sedemikian. Kita tidak akan izinkan, saudara boleh tegur saya Perdana Menteri tidak ada masalah tetapi fitnah, mencerca, mengkafirkan dan mensyirikkan orang ini tidak boleh diizinkan dalam negara kita.

 

  1. Saya bagi contoh baru-baru ini keputusan Mahkamah Persekutuan, memang ia menuntut kita berbuat sesuatu. Mahkamah Persekutuan buat keputusan yang pertama pada tahun 2021, saudara perlu ingat bahawa tahun 2021 bukan Kerajaan MADANI, dalam urusan kes Selangor menolak keputusan Dewan Undangan Negeri Selangor. Ada bantahan? tidak ada. Ada tunjuk perasaan? tidak ada. Ada kecaman? tidak ada kerana mereka dalam Kerajaan. Kemudian timbul kes Kelantan, bila dikemukakan? tahun 2021 dan 2022. Masa itu saya belum menjadi Perdana Menteri. Ada bantahan? ada jawatankuasa kaji? tidak ada, tetapi sebaik kita perintah dan keputusan dibuat, kita diserang dan dicerca begitu rupa termasuk hakim-hakim.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Hakim itu mengikut undang-undang. Perlembagaan kata ini kuasa Persekutuan dan ini senarai Negeri. Ada kuasa Negeri dan kawasan Negeri tidak boleh mengatasi kuasa Persekutuan. Kalau masing-masing Negeri boleh buat undang-undang mengikut Negeri, kita ada ada 13 undang-undang dalam negara kita. Oleh yang demikian, ada penyelarasan dan perbincangan. Bila kita tubuhkan jawatankuasa? Jemaah Menteri berbincang pada bulan Ogos 2022 tetapi sebelum itu tidak ada jawatankuasa, malah tidak ada sebarang kajian. Saya beri ini fakta. Boleh kritik? nak cadang? Ya.

 

  1. YAA Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi sekarang adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu dengan jawatankuasanya. Beliau akan mengemukakan cadangan untuk memperkasa Mahkamah Syariah, itu kena ingat ya bukan cadangan untuk melemahkan Mahkamah Syariah. Jangan salahkan Hakim sekarang Hakim itu harus mengikut undang-undang, bukan ikut sentimen peribadi dia. Dia sudah maklumkan kepada kita ini bukan kuasa Mahkamah Syariah Negeri. Jadi kita kata boleh jika kita kaji bagaimana nak perkasa Mahkamah Syariah. Itu adalah tugas tanpa menyinggung kedudukan bukan Islam dalam negara kita. Jadi ini yang dipersetujui.

 

  1. Selepas jawatankuasa ini memberi pandangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perkara ini dipersembah kepada Raja-Raja tetapi sebelum itu, boleh berbincang. Saya sudah meminta dalam majlis itu yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, saya mahujawatankuasa ini berbincang dengan setiap Negeri. Saya mahu jawatankuasa ini berbincang dengan ulama-ulama dan para Mufti serta mendengar pandangan para akademik dan siapa yang akan kemukakan dan kita tidak menghalang. Kita akan mendengar semua dan putuskan serta kemukakan pandangan. Kita akan teliti dari segi perlembagaannya, Jabatan Peguam Negara dan kemudian Majlis Raja-Raja, bawa balik ke Jemaah Menteri kerana Jemaah Menteri yang mesti memutuskan dan membawa ke Parlimen dan ahli Parlimen harus bersetuju. Kalau pinda perlembagaan, perlu dua pertiga daripada ahli Parlimen.

 

  1. Itu prosesnya dan ada mereka buat dahulu? tidak buat. Saudara boleh semak sama ada dibuat dahulu untuk kaji perkara ini? tidak ada. Jadi sebab apa digunakan ini? untuk memecahbelahkan kita. Kita mahu cari penyelesaian. Semasa saya menjadi Menteri dahulu dan anggota badan perunding Islam pada masa itu, termasuk Tan Sri Dato’ Prof. Ahmad bin Mohamed Ibrahim yang merupakan pakar undang-undang dan juga undang-undang Islam. Jadi beliau beritahu saya, pada masa itu Mahkamah Sivil banyak membatalkan keputusan Mahkamah Syariah. Ini tahun 80-an dan awal 90-an. Jadi saya kata apa kita nak buat? Beliau kata kita kena pinda perlembagaan. Jadi dibincangkan dalam jawatankuasa bawa kepada saya dan kita bersetuju untuk bawa pindaan Perkara 121(1A) iaitu memperkasa Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Syariah undang-undang tidak boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Kita buat dahulu dan itulah caranya.

 

  1. Sekarang tidak cukup, kita nak tambah lagi bidang kuasa termasuk dalam urusan jenayah oleh Mahkamah Syariah. Baik, tubuh jawatankuasa dan kaji aspek perlembagaan. Negara ini negara hukum yang mengikut undang-undang bukan ikut ceramah politik. Jadi ini yang dilakukan dan mudah-mudahan saudara-saudara faham, saya di beberapa tempat saya terangkan kerana saya melihat perkara ini sudah jadi seperti “ini kena jihad”, “Ini salah satu pelanggaran menghakis Mahkamah Syariah di negara kita”. “Orang boleh minum arak dan zina sesuka hati”. Mana pula ini? Orang itu mendengar kerana dia kata tidak tahu hukum dan apa lagi kalau ustaz bercakap. Ustaz bercakap pun dia tidak pakai baju macam saya, dia pakai jubah jadi orang terus terkeliru.

 

  1. Jadi saya nak beritahu perkara ini tidak boleh diteruskan bacalah dahulu, kerana ada yang belum baca pun keputusan Hakim dan saya simpati kepada Ketua Hakim, kata tidak ada langsung menyinggung kedudukan Mahkamah Syariah. Kita tidak bahas soal syariah, kita bahas bidang kuasa Negeri dengan Persekutuan. Boleh atau tidak pinda dalam undang-undang yang sedia ada? tidak boleh katanya. Jadi kalau nak pinda, Parlimen pinda jadi Hakim akan ikut. Hakim tidak boleh meminda undang-undang. Undang-undang itu dibuat oleh Parlimen. Kadang-kadang saya tidak faham kerana yang bercakap itu kadang-kadang yang belajar undang-undang. Tapi jelas dia nak buat itu hanya untuk kemarahan bagi politik tetapi silap besar apatah lagi dengan Raja-raja Melayu seperti mana yang diucapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor baru-baru ini, baginda tidak bersetuju perkara ini dipolitikkan dan kita ada cara untuk melaksanakan. Ini berkaitan dengan pelaksanaan Syariah.

 

  1. Berbalik kepada soal zakat, ingat, soal zakat ini institusi yang mesti hidup. Saya beri contoh pengalaman Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz yang disebut orang yang zuhud tetapi hebatnya beliau dari segi pemerintahan ialah tata kelola yang baik. Sebab itu beliau memerintah dua tahun tiga bulan, dalam tempoh itu, zakat diurus baik, wang negara tidak diambil untuk beliau sendiri.

 

  1. Hari pertama sebagai Khalifah, beliau memandang Perdana Menterinya dan Datuk Bendaharanya yang menunjukkan gedung emas, perak, gandum dan berlian yang disimpan dan bertanya apa yang diperlukan oleh khalifah dan boleh digunakan. Khalifah menjawab “ini bukan harta saya tetapi ini harta negara. Saya hanya pikul amanah dan saya ambil hak saya sahaja, elaun saya dan yang lain saya tidak boleh sentuh”.

 

  1. Jadi itulah kali pertama dalam tradisi Islam dilakukan yang disebut inventori. Apa yang ada di tiap jabatan itu yang disimpan. Saya mahu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dalam tempoh sebulan, saya nak tahu inventori mereka, berapakah buku yang belum diedarkan, di pejabat apa yang ada, semua itu yang disebut inventori mengikut tradisi Islam yang betul.

 

  1. Berapa lamakah beliau menjadi khalifah? dua tahun tiga bulan. Dalam masa dua tahun selesai masalah kemiskinan tegar. Dari Jazirah Arab, Syria, Iraq, Mesir sampai Azerbaijan itu pemerintahan Islam dan selesai masalah kemiskinan tegar sebab urusannya itu baik tidak disalahgunakan oleh khalifah dan Menteri-menterinya serta pengurus-pengurusnya, dibantu rakyat keseluruhannya. Harta yang banyak berlian dan emas itu bukan diambil bawa balik rumah simpan tetapi sebahagiannya itu dijual dan wang itu digunakan untuk tadbir negara.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Saya mahu MAIWP memulakan tugas ini, lihat dari segi soal governance dan tradisi governance in Islam, lihat bagaimana tatakelola yang baik dan dalam tempoh sebulan kemukakan laporan kejayaan yang lalu dan hala tuju yang baharu. Terima kasih. Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

­­­

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS KARNIVAL PENGUKUHAN KESALINGHUBUNGAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN PULAU PINANG

 

 

16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)

 

 

POLITEKNIK SEBERANG PERAI

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusolli ala rasulihil kareem.

YB Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YB Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa,

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi;

 

YBhg. Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din,

Pengerusi Eksekutif

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); dan

 

YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli,

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

  1. Saya ucap terima kasih atas kesediaan Kementerian Komunikasi, SKMM dan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selain Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang untuk meneruskan dengan ikhtiar ini. Saudara saudari harus faham ikhtiar ini ikhtiar baharu. Maknanya dalam konteks negara, perjalanan, liku-liku, usaha membangunkan masyarakat negara ini, Transformasi Digital merupakan di antara agenda penting Ekonomi MADANI. Maknanya kalau negara ini nak kita pacu dengan lebih laju dan rakyat nak bersama dalam arus perubahan yang pantas dan kencang, maka tahap penguasaan ilmu dalam bidang-bidang baru harus cepat dikuasai.

 

  1. Generasi saya tidak terdedah dengan teknologi digital. Ini hanya kemudian berkembang lebih pesat di negara kita selepas reformasi industri itu timbul dengan pengenalan IT dan komputer. Tapi dalam beberapa puluhan tahun yang lalu mula secara kencang perubahan yang berlaku. Kalau kita lambat menyesuaikan diri, kita akan ketinggalan. Negara-negara kecil di Eropah yang dulunya agak ketinggalan, tetapi dengan keupayaan, merubah, memacu dengan laju, mereka telah ke hadapan. Kita pun dalam beberapa tahun lalu kerana keadaan politik yang belum stabil, fokus negara tidak mungkin ke arah pertumbuhan ekonomi apa lagi transformasi digital. Sekarang, alhamdulillah keadaan telah memungkinkan pemusatan perhatian kita sepenuhnya ke arah pembangunan ekonomi dan transformasi digital.

 

  1. Di antara langkah yang saya lihat hari ini termasuklah usaha memperluaskan soal digital. Hal ini kalau tidak kita tangani dengan baik akan terus menyebabkan berlakunya kesenjangan di antara golongan terdidik dan masyarakat bajak, di kalangan orang kaya dan elit dengan rakyat kebanyakan. Kerana ini teknologi baru dan kalau tidak ditangani, akan memerlukan kos tambahan dan kecanggihan. Kalau anak-anak nak belajar daripada ibu bapa soal transformasi digital sukar sekali, melainkan ibu bapa yang terdidik di kota dengan kemudahan-kemudahan yang ada. Maknanya jentera Kerajaan, termasuk SKMM, kalangan bumiputera dan kita tidak mahu juga ketinggalan.

 

  1. Maka, Majlis Pembangunan Bumiputera bersama SKMM dan saudara Ketua Menteri bekerjasama memberikan perhatian khas umpamanya TVET. Dulu TVET tidak dianggap penting kerana TVET ini dianggap aliran teknik tahap kedua. Sekarang tidak lagi, orang yang terdidik di TVET dan kalau diberikan kursus-kursus yang strategik akan mendapat upah dan gaji lebih tinggi. Kalau TVET umpamanya dengan PETRONAS dan termasuk dalam upaya welding maka pendapatan minimanya RM7,000, walaupun dia mungkin hanya ke politeknik tetapi tidak ke universiti. Sebab itu anak-anak harus faham pendedahan yang kita berikan ini, pertama, tentunya kerana keperluan semasa, kedua, mengelakkan kesenjangan melebar. Kemudahan yang digunakan oleh orang kaya, bila ada transformasi digital lagi melebar orang yang susah dengan orang yang senang. Langkah yang kita ambil ini untuk cuba menghalang berlakunya kesenjangan yang terus membengkak atau melebar.

 

  1. Ini bermakna anak-anak harus manfaatkan sepenuhnya. Manakala semua jentera Kerajaan, unit penyelarasan, unit ekonomi, bahagian pentadbiran, pejabat daerah, majlis perbandaran harus berikan kerjasama kerana kita ada misi yang lebih besar. Ia bukan sahaja satu program khas digital atau dikatakan kecelikan digital semata-mata. Dahulu kita katakan literasi, kecelikan dari segi ilmu. Sekarang ini ada kecelikan budaya (cultural literacy), dan kecelikan digital (digital literacy). Sebab itu ada rencana umpamanya TVET itu diperkenalkan juga di Maahad Tahfiz kerana terlalu ramai yang kata Maahad Tahfiz baik, tetapi kalau tidak diperluaskan ilmunya, tidak akan menampung keperluan mereka mendapat pekerjaan dan pendapatan yang lumayan bagi keluarga dan bagi masyarakat. Jadi sebab itu saya hargai ikhtiar yang diberikan ini dan tadi YB Fahmi ada sebut program ini juga dikendali bersama dengan PEDi yang mana rangkaiannya itu meluas.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Ianya tidak mudah. Saya lihat beberapa langkah diambil oleh negara Eropah, negara ASEAN dan negara China, ia memerlukan satu dasar yang jelas, the clarity in policy dan execution, pelaksanaan yang sangat jelas. Kalau kita ikut cara kaedah pentadbiran biasa, mana sempat kita fikir soal kecelikan digital. Istilah itu pun istilah baru. Transformasi digital tidak ada dibangkitkan dalam Rancangan Malaysia ke-10 atau ke-9. Oleh kerana perkara ini baru, penjawat awam sendiri itu harus memikirkan hala tuju dan pelaksanaan yang lebih baik dan cepat, kalau tidak kita akan ketinggalan. Lebih-lebih lagi kalangan yang miskin. Miskin bandar, miskin desa, miskin di pedalaman Sabah Sarawak itu akan ketinggalan pastinya melainkan ada disebut social engineering. Ada tindakan intervensi dari pemerintah melalui jentera-jentera yang tidak hanya terikat pada birokrasi asal tapi dikembangkan.

 

  1. Jadi sebab itu saya mahu bukan sahaja peluncuran program tapi mesti ada laporan bulanan untuk semua program kita dan pengumuman yang telah kita buat. Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Rosli, Pegawai Daerah, Majlis Perbandaran pun ada, Ketua-ketua Jabatan harus diingatkan apabila kita umumkan umpamanya dahulu, tahun lalu baiki tandas di setiap sekolah, kita mahu laporan bulanan berapa sekolah, berapa tahapnya. Kita tidak pilih sekolah, sebaliknya semua sekolah, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Agama, kita selesaikan.

 

  1. Kemudian tahun ini kita tengok dari segi baik pulih bangunan-bangunan Kerajaan, perumahan Kerajaan, perumahan penjawat awam, rumah polis, rumah tentera, rumah guru-guru dalam keadaan yang sangat daif. Puluhan tahun tidak di ambil kisah, pengurusan, maintenance, baik pulih itu sangat lemah. Sebab itu tahun lalu sahaja jumlah tandas yang diperbaiki di seluruh negara sebanyak 8,600. Bayangkan Malaysia negara hebat, pendapatannya tinggi, terkenal seantero dunia, 8,600 tandas sekolah anak-anak kita tidak dapat digunakan. Alhamdulillah kerana ketangkasan dan kecekapan pegawai-pegawai JKR, Kementerian Pendidikan, Pejabat Daerah selesai masalah ini.

 

  1. Begitu juga dengan usaha menoktahkan kemiskinan, laporan terakhir dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka kita dapat noktahkan kemiskinan tegar. Makna yang paling miskin itu kita selesaikan. Semua kaum dan tentunya kalau di Kuala Lumpur majoritinya Melayu tetapi nisbah penduduk India itu tinggi dan kita tidak ikut racial profiling. Kalau kamu miskin tegar, miskin tegar lah, saya tak kira kaum mana, tinggal di mana, kita selesaikan.

 

  1. Sekarang semua Ketua Jabatan kita kehendaki untuk memberikan laporan semasa dan setiap bulan kemaskini status. Tapi kalau kita tunggu enam (6) bulan sekali laporan, saya tidak boleh terima lagi. Kalau kita sudah umumkan, tak ada makna nak jalankan begitu lama.

 

  1. Tadi saya tanya Ketua Menteri tentang pengumuman kita berhubung LRT. Tentu dia lebih rumit dan mengambil sedikit masa, tetapi ada perkara yang mendesak. Pulau Pinang ini merupakan salah satu tarikan pelancongan yang sangat berjaya dan Lapangan Terbang Bayan Lepas sudah sesak. Jadi sebab itu Kerajaan setuju untuk memperbesarkan. Ini memerlukan kajian yang panjang. Saya tanya Ketua Menteri kalau ikut dari segi Kerajaan Persekutuan mungkin bermula akhir tahun. Saya tak puas hati. Jadi insyaa-Allah hari Rabu minggu hadapan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya nak tahu boleh tak kita percepatkan, dana diluluskan, kita percepatkan kerana akan mengambil masa 2-3 tahun untuk dia take-off. Jadi kita nak kena percepatkan projek. Kita ada keupayaan untuk melakukan itu.

 

  1. Sekarang kalau dalam soal pengenalan tentang soal digital, perniagaan online, aplikasi baru, platform baru, ini semua mesti dengan pendedahan. Semasa saya mewakili Port Dickson, saya tengok nelayan miskin. Katakanlah menjual di pantai Port Dickson, tangkap ikan harga RM4. Sampai Seremban RM7, sampai Kuala Lumpur RM11. Ada orang di sekitar Seremban yang sanggup ke Port Dickson kalau dia tahu harga itu betul-betul murah. Jadi maknanya aplikasi atau platform yang diperkenalkan itu perlu diperhebahkan. Orang akan tahu beli di mana, jam berapa dia perlu datang, akhirnya pendapatan nelayan pun lebih baik dan kos bagi pengguna dan pembeli pun jauh lebih baik.

 

  1. Pagi tadi kita buat Jualan MADANI ala Jualan Rahmah di Seberang Jaya. Tengok sayuran RM2 lebih murah. Umumnya RM1-RM2 lebih murah daripada harga pasar. Daging RM2-RM3 lebih murah daripada harga pasar. Ayam begitu juga dan ikan terutamanya, satu RM1-RM2, kerang RM3 lebih murah. Jadi saya tanya bagaimana boleh begitu? Kerana dia bawa langsung dari kawasan nelayan dan kita ada FAMA. Mungkin pengangkutan daripada FAMA lalu di tempat Jualan Rahmah dan orang boleh pergi. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kemudahan atas talian yang saya sebutkan dari segi perubahan perniagaan kecil kepada digital, seperti disebut oleh menteri tadi, kemungkinan menaikkan keupayaan dan hasil mereka. Sebab itu karnival ini disebut pengukuhan kesalinghubungan dan pembangunan usahawan.

 

  1. Saya harap anak-anak manfaatkan sebaiknya. Nanti kalau tidak, kita umum, kita ada majlis-majlis pelancaran besar, kita minum teh dan makan cekodok sedap-sedap, kemudian balik sama sahaja. Sebab itu saya nak laporan termasuk daripada SKMM. Apa perkembangan program di Pulau Pinang awal Februari, awal Mac kena ditanya. Terlalu awal? Baik, awal April kita minta. Saya sudah minta Ketua Setiausaha Negara memastikan hal ini berlaku. Ini sahaja yang boleh jamin apa yang dikatakan pelaksanaan yang lebih cekap dan pantas.

 

  1. Tentunya kita tak ada upaya untuk buat semua. Telco umpamanya, saya ucap terima kasih kerana mereka nampak secara langsung turun ke bawah dan syarikat-syarikat Telco ini mencatat keuntungan yang baik. Jadi bila mereka berikan kerjasama, memudahkan kerana kalau bidang ini mereka kuasai, mereka punyai kemahiran, kecanggihan sophistication teknologi ini mudah bagi mereka, tetapi sukar bagi rakyat kebanyakan. Jadi dengan kearifan mereka dalam bidang ini, disampaikan dan membantu mencelikkan rakyat tentang apa yang disebut digital.

 

  1. Saya berharap dalam program MADANI ini kita tunjukkan keprihatinannya, kerana kita bimbang. Kita kadang-kadang senang dengan pelaburan yang sekian banyak, yang perlu sebenarnya, atau pelancongan bertambah. Tapi apa dia manfaat secara langsung bagi penjaja dan peniaga kecil? Apa dia manfaat secara langsung dari lulusan TVET dan lulusan Maahad, apakah mereka mampu bekerja? Apakah harus ada laluan dan ikhtiar baru yang diperkenalkan. Ini bagi saya adalah satu cabaran bagi kita iaitu bagaimana manfaat itu diperolehi oleh rakyat terbanyak secara langsung.

 

  1. Saya percaya melalui PEDi, saya Nampak YB Fahmi memberikan tumpuan untuk perluaskan skop dan kegiatan PEDi ini umpamanya yang dikelola oleh SKMM. Di Pulau Pinang 3 PEDi; Sungai Pinang, Barat Daya, Tasik Gelugor. Dalam perancangan ada 186 PEDi dan kalau tanya pendapat saya, saya nak beritahu Tan Sri Salim yang saya nak tengok sejauh mana 100 itu dijalankan sebelum akhir tahun ini.

 

  1. Kita nak tambah 41 PEDi di Pulau Pinang dengan penambahan peruntukan sebanyak RM47 juta. Jadi bulan depan YB Fahmi will make sure he receives a report from here. Dah lama dah orang kata dalam kerja-kerja Kerajaan ini, setakat janji-janji itu saya tak mahu pakai. Bagi laporan sebelum 10 Mac bulan depan, saya nak tengok bila dia nak laksanakan di Balik Pulau, Nibong Tebal dan Permatang Pauh. Walaupun begitu, saya ucap terima kasih atas langkah yang diambil. Saya sudah berjumpa dengan PEDi ini sampai ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, Felda Soeharto pun sudah ada PEDi. Jadi saya ucap terima kasih atas usaha dan khidmat yang sedemikian.

 

  1. Dalam pertemuan saya dengan PEDi itu, ia menyeluruh termasuk kawasan yang kita tak jangka seperti di Ulu Tembeling, di Kapit, Sarawak yang belah pedalaman. Datang seorang anak muda yang canggih, dia belajar mungkin di UiTM, bila dia balik, dia mulakan PEDi. Oleh itu saya harap anak-anak Pulau Pinang diberikan pendedahan dan komuniti PEDi itu dapat memanfaatkan masyarakat di sekitarnya. Jadi sekali lagi terima kasih kepada semua rakan-rakan dan kita tunggu laporan awal bulan Mac.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERSIDANGAN ANTARABANGSA ZAKAT PULAU PINANG 2024

 

 

16 FEBRUARI 2024 | JUMAAT

 

DEWAN TUNKU SYED PUTRA,

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

 

Usolli Wasallim Ala Rasoolil Kareem

Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een


YB Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;


YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,

Menteri Pendidikan Tinggi;


Sahabat saya Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim;

 

KSU;

KPP; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dan ikhtiar mengadakan persidangan mengenai zakat ni bagi saya amat penting. Zakat adalah institusi unggul dalam membina kekuatan ekonomi yang juga memikirkan soal kesenjangan dan kemiskinan. Telah berlaku peperangan awal zaman Khulafa ar-Rasyidin mempertahankan institusi zakat, iaitu di bawah Abu Bakar As-Siddiq R.A.

 

  1. Dalam kupasan Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi pula menyebut bahawa Islam itu tegak atas prinsip keimanan yang dikaitkan dengan solat, diperkukuh dalam jemaahnya, masyarakatnya dengan institusi zakat. Maka sebab itu kalau ikut kupasan al-Qaradawi, kali pertama dalam sejarah umat manusia peperangan pernah diisytiharkan terhadap kalangan yang ingkar menegakkan satu institusi zakat kerana kaitannya dengan pembelaan nasib rakyat miskin. Kerana sebelumnya, peperangan itu diisytiharkan atas faktor kekuasaan wilayah, meminang puteri, harta benda, intan berlian ataupun pengaruh, sebaliknya peperangan ‘Haq al-Faqir’ itu berlaku, manakala institusi yang unggul membina kekuatan umat itu terungkai.

 

  1. Kita harus bertanya kalau sesiapa yang biasa dengan ‘Fiqh al-Zakat’ di antara kaya, penting dalam memahami zakat yang dikupas oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Zakat tidak harus dilihat sebagai institusi biasa. Sebab tu kejam sekali bagi orang yang mengurus zakat, cuai dan khianat kerana institusi ini terlalu penting dalam membina kekuatan umat. Bayangkan peperangan diisytiharkan bagi orang yang mungkin mengaku dia solat, dia beriman, tapi enggan membayar zakat bagi sistem kerana akan melemah, melonglaikan sistem zakat ini.

 

  1. Zakat ini bukan sahaja soal pendapatan negara tetapi institusi yang dikaitkan dengan kemiskinan. Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di negeri-negeri ini, walaupun bidang kuasa negeri, saya tidak boleh terima kenyataan negeri yang boleh kumpul dana zakat yang besar tetapi masih ada kelompok miskin tegar. Saya ambil alih lebih setahun yang lalu, di Wilayah Persekutuan saya arahkan bagilah teori penjelasan apa pun, selagi ada rakyat di Kuala Lumpur masuk kategori miskin tegar, selain daripada langkah-langkah lain daripada kerajaan, saya nak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya.

 

  1. Tunggak zakat dalam sistem Islam itu boleh terungkai kalau tidak dapat dipertahankan. Sebab itu kita kenal dengan Khalifah Umar Abdul Aziz yang juga disebut Umar ats-Tsani, kerana zuhudnya, waraknya, tetapi kerana tata kelolanya. Sebab itu bila orang meremehkan isu tata kelola dalam negara ini terutama kalau orang yang dikaitkan dengan Islam, berserban atau tidak, saya tidak peduli. Bagaimana boleh remehkan soal tata kelola? Zakat itu tegak kerana tata kelola yang baik. Umar Abdul Aziz itu mampu mengendali, mengurus ekonomi wilayah Islam yang besar. Bukan hanya di sekitar Jazirah Arab, Mesir, Syria sampai ke Azerbaijan. Itu kerana tata kelolanya yang par excellence.

 

  1. Jadi kita kenal tokoh-tokoh Islam itu dari sudut keperibadian, nilai, akhlak yang tidak tolak ansur tentang penyalahgunaan kuasa, guna kedudukan untuk memperkayakan diri dan keluarga. Aneh kalau saya fikirkan bahawa bagi kita ini tidak begitu penting. Negara kaya sebagaimanapun, kutipan zakat puluhan bilion ringgit sekali pun, tidak mungkin berhasil menyelenggara dan menyelesaikan sebahagian besar masalah kalau tidak diurus dengan baik. Pengurusan baik itu disebut tata kelola yang baik. Sebab itu ada kaitannya. Institusi zakat itu harus diurus dengan baik, maknanya prinsip tata kelola. Setiap sen yang digunakan, wang yang dikutip atas nama zakat itu mesti dipertanggungjawabkan.

 

  1. Seperti mana yang saya tegaskan tadi, apa pun alasan untuk latihan, untuk pelaburan, untuk daya cipta, peralihan teknologi dan transformasi digital yang semua perlu dikendalikan dalam negara MADANI ini, zakat ini mesti selesaikan masalah asas kemiskinan tegar di kalangan rakyat kita.

 

  1. Jadi saya harap persidangan ini selain daripada bicara soal-soal lain, mesti kembali kepada pokok pangkalnya. Zakat mesti diuruskan cara yang terbaik mungkin, iqtan fil amal, par excellence, dan keutamaannya mesti selesaikan masalah asas di kalangan orang yang tidak punyai keupayaan dan bersaing.

 

  1. Hal ini ada kaitan juga bila dalam perdebatan orang kata tentang meritokrasi. Kita pilih, kita bantu yang terbaik, anak-anak yang cemerlang dan ada perdebatan. Saya teringat Michael Sandelr, Profesor terkenal Harvard yang bicara tentang tyranny, kezaliman meritokrasi. Kerana meritokrasi itu, yang mana yang paling cemerlang itu dipilih dan umumnya 99.9% dari sekolah terbaik, dari keluarga yang pendidikan tinggi dan kedudukan yang terbaik, latihan terbaik, jadi kesenjangan itu berterusan.

 

  1. Begitu juga dengan transformasi digital, jika tidak dipastikan diperolehi oleh golongan peringkat yang miskin dan pendapatan rendah, ia akan menyebabkan kesenjangan lebih melebar. Kesenjangan yang terus melebar di bawah pengawasan kita tidak bererti kita mampu menegakkan keadilan. Menegakkan keadilan itu bererti mengurangkan kesenjangan, bukan melebarkan terus. Maknanya kalau pun institusi zakat memikirkan selain daripada membasmi atau menoktahkan kemiskinan tegar, memastikan golongan yang di peringkat rendah ini miskin, diberikan kemudahan termasuk bersaing dalam masa yang mencabar dan memerlukan kecanggihan melalui teknologi maklumat dan lain-lain.

 

  1. Sebab itu, Profesor Sandel’s argument in this tyranny of meritocracy itu mengungkit hal kesenjangan kerana tidak ada apa yang beliau sebut sebagai a conscious effort, satu tindakan yang jelas melalui tata kelola yang baik dan yang prihatin terhadap nasib orang yang tidak mampu bersaing. Dalam sistem pendidikan kita pun begitu juga.

 

  1. Saya bernasib baik kerana pergi ke Kolej Melayu Kuala Kangsar. Masa itu belum ada sekolah asrama penuh lain yang terkenal. Tetapi tidak boleh diukur dari segi itu kerana ada anak-anak dan rakan-rakan saya mungkin lebih pintar, tapi kekal di Cerok Tok Kun. Jadi mana mampu bersaing sekolah menengah di Manik Urai dan sekolah menengah di Kapit nak bersaing dengan Sekolah Kolej Melayu atau Chung Ling High School, tak mungkin. Sebab itu langkah-langkah dalam perancangan kerangka pemikiran pengurusan zakat itu harus memikirkan semua ini. Bagaimana dengan dana zakat selain daripada usaha-usaha daripada Kerajaan itu boleh mengurangkan kesenjangan yang berlaku. Sebab itu saya lihat zakat adalah institusi yang terlalu penting.

 

  1. Bayangkan pada zaman Umar Abdul Aziz seperti yang saya sebut tadi, dari Jazirah Arab sehingga ke Azerbaijan, beliau memerintah 2 tahun 3 bulan. Orang kata Anwar ni nampak kejar sangat bekerja ni dengan umur yang dah agak lewat, saya kata sebab saya rasa malu. Umar Abdul Aziz itu pemerintahannya 2 tahun 3 bulan, masalah kemiskinan tegar selesai, isu zakat itu diperkasa dengan begitu baik, inventori negara itu disusun. Hari pertama dia perintah, Mamak Bendahara bertanya kepadanya, “apa yang tuanku perlukan, silakan ya Amirul Mukminin”. Beliau kata, “ini bukan saya punya, ini negara punya”. Itu kali pertama disebut inventori. Berapa emas, berapa simpanan gandum, berapa berlian yang ada dalam simpanan inventori itu. Sebahagiannya bukan sahaja zakat, sebahagiannya itu dijual dan dibantu rakyat yang miskin dan untuk keperluan-keperluan yang lain.

 

  1. Kalau dia selesaikan 2 tahun 3 bulan, kita yang memerintah ada yang jadi Perdana Menteri 22 tahun, ada Kerajaan puluh tahun, ada yang 33 bulan, prestasinya bagaimana? Jadi ini maknanya muhasabah yang sebenar. Kita ingat yang harus muhasabah itu kamu, aku tak perlu kerana aku yang teratas. Ini masalah kita, muhasabah itu mesti daripada Ibda’ Binafsik, mesti mula daripada diri kita seperti mana yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang saya bacakan tadi.

 

Saudara saudari,

 

  1. Dalam soal zakat tadi, bayangkan 2 tahun selesai masalah kemiskinan tegar di satu wilayah besar yang menembusi beberapa benua di bawah Umar Abdul Aziz. Jadi kita yang katakan ini contoh dan teladan, tak malu ke kita? Tidak terasa bersalahkah kita kalau tidak memikirkan dan berbuat sesuatu? Kalau pun tidak sampai ke tahap itu, tidaklah terlalu jauh daripada idealisme dan pelaksanaan yang dilakukan di bawah Umar Abdul Aziz. Sehinggakan yang saya turut baca, (mufti boleh betulkan kalau silap), laporan yang mengatakan Gabenor Azerbaijan menulis kepada Umar Abdul Aziz. “Ya Amirul Mukminin, masalah kemiskinan tegar selesai di wilayah saya, bagaimana mampu kita manfaatkan dana ini?” Sama ada beliau ataupun daripada Umar yang kemudian mencadangkan, “oleh kerana selesai kamu bertanggungjawab (laksanakan) kepada Allah SWT betul atau tidak?”.

 

  1. Bila saya dapat laporan daripada Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, katanya masalah kemiskinan tegar itu hampir selesai 100%. Maka saya beritahu Menteri Besar apa yang Umar Abdul Aziz beritahu kepada Gabenor Azerbaijan “Are you sure you are finally, ultimately a responsible to Allah SWT? If it is true, Alhamdulillah”. Jadi gunalah wang itu mungkin di antara cadangannya, membiaya anak-anak muda yang tak cukup wang nak kahwin. Itu sebagai contoh, tetapi ini bagi saya spectacular (hebat).

 

  1. Orang kadang-kadang bicara soal jihad, menyerang orang, pelaksanaan syariah, dia guna slogan-slogan tapi dia lupa bahawa kejayaan Islam itu termasuk dalam pelaksanaan tata kelola yang baik yang praktik ini. Jadi pengalaman ini harus kita manfaatkan dengan melihat bagaimana mampu kita melakukan seperti mana yang disebut dalam Fiqh al -Zakat yang bukan tiga dimensi tapi pelbagai dimensi. Tetapi dengan target yang jelas untuk membantu rakyat yang ketinggalan, sama ada terpinggir dan tersisih dalam arus pembangunan.

 

  1. Tadi Saudara Zambry sebut dalam zaman kami dulu kita bicara tentang Mohammad Nejatullah Siddiqi, Professor Mannan pernah menekankan bahawa zakat ini betul, it is an economic and social agenda but more importantly, it is an Islamic, religious, spiritual agenda. Jadi tuntutan itu begitu diutamakan di dalam kupasan Mannan.

 

  1. Jadi pakar-pakar yang ada di sini saya hanya bagi matannya saja, syarahnya saudara sudah lebih arif tapi dekat dengan hati nurani dan jiwa saya, harus sesuatu penambahbaikan yang harus dilakukan segera. Kerana soal negara yang makmur dan maju tapi kemiskinan tegar tu masih ada dan ada beberapa target. Sebab tu saya kata bila saya ambil alih jawatan, pengumuman pertama saya noktahkan kemiskinan tegar. Setakat ini yang saya kata berhasil 100% adalah Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor. Saya belum dapat laporan terperinci dari Pulau Pinang. Sepatutnya selesai sebab jumlah kemiskinan tegar di Pulau Pinang itu jauh lebih kecil. Jadi Timbalan Ketua Menteri dalam tempoh seminggu harus beri laporan selesai atau tidak.
  2. Untuk tahun lalu, saya dapati sekolah-sekolah anak-anak kita, baik Sekolah Kebangsaan, Sekolah Tamil, Sekolah Cina, Sekolah Agama, tandasnya tidak terurus, jumlahnya hampir RM1 bilion tapi kita selesaikan pembinaan tandas 8,600 lebih. Bayangkan dengan khazanah yang besar, pertumbuhan ekonomi dan hasil mahsul yang banyak, tetapi anak-anak kita ke sekolah dengan tandas yang rosak dan ini dibiarkan tahun demi tahun. Sebab itu saya beritahu kepada Menteri Pendidikan YB Fadhlina, saya tak mahu apa pun alasan, saya siapkan dana, saya kata mesti selesai. Kalau masalah tandas pun tak selesai, nak uruskan mutu pendidikan ini bagaimana? Alhamdulillah

 

  1. Tahun ini umpamanya kalau di Kuala Lumpur semasa saya jaga, saya pastikan gerai-gerai dinaiktaraf. Tadi saya pergi Seberang Jaya, saya minta pegawai daerah uruskan pembinaan gerai bagi indah. Sebab yang pergi ke hotel 5 bintang itu 5% rakyat, yang pergi ke gerai itu 60% rakyat, lebih 60% rakyat ini nak belanja RM200,000 baiki gerai pun tak mampu. Sebab tu saya kata pemikiran, keutamaan kita harus bicara soal ‘Fiqh al-Aulawiyat’, dalam ekonomi harus ada keutamaannya.

 

  1. Sebab itu tahun 2024 ini, keutamaan saya ialah pengurusan baik pulih rumah-rumah penjawat awam, rumah polis, rumah tentera, rumah guru termasuk rumah pegawai penjara. Jadi kita belanjakan dana tahun ini untuk selesaikan itu. Nak selesaikan semua perkara dalam setahun mungkin tidak boleh, kerana hutangnya besar dan permasalahan ekonomi yang besar.

 

  1. Sebab tu saudara faham mengapa saya keras sekali dalam soal tata kelola. Saya tidak izinkan orang merompak kekayaan negara ini. Dulu, sekarang saya tidak peduli. Ada kes besar, tak kira kamu Datuk, Datuk Seri atau Tun, kamu ambil wang, kami siasat, kami dakwa, kamu bagi balik wang itu kepada rakyat.

 

  1. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kerana ikhtiar Timbalan Ketua Menteri mengadakan Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang. Kita manfaatkan natijah daripada keputusan dengan pelaksanaan program yang lebih maknawi, semoga Allah memberikan kekuatan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PELUNCURAN PROJEK BATU KAWAN INDUSTRIAL PARK 3 (BKIP3)

 

16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)

 

BUKIT TAMBUN

 

 

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera

YB Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YB Lim Guan Eng,

Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang;

 
YB Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YB Dato’ Haji Rosli bin Isa,

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang;


Rakan-rakan pimpinan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC);

 

Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Ahli Dewan Negeri dan semua yang hadir.

 

Terima kasih.

 

 

  1. Sejarah Pulau Pinang dari segi industri memang istimewa, dan tentunya melalui PDC yang telah meneroka industri agak awal dan membentuk serta melakar perubahan dari segi struktur pertumbuhan ekonomi negara.

 

  1. Jadi saya ingin mulakan dengan menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kepada saudara Lim Guan Eng, dan sekarang saudara Chow dan PDC kerana telah meletakkan asas yang baik yang memungkinkan negara menjadi negara industri sejak tahun 80an-90an dan sehingga sekarang.

 

  1. Dengan pelan perindustrian baru, saya lihat penekanan yang agak berbeda. Pelan perindustrian baru ini tidak lagi berdasarkan sektor tetapi menekankan tentang misi. Beberapa keutamaan yang disebut dalam perencanaan Ekonomi MADANI termasuk isu peralihan tenaga dan juga transformasi digital. Ini semua juga mempunyai kaitan dengan aspek industri baru. Kalau pun dalam umpamanya mikrocip tidak lagi back end tetapi menekankan tentang front end.

 

 

  1. Saya tidak mahu bicara banyak soal industri ini kerana Saudara Chow dan PDC lebih arif daripada saya, tetapi saya nak tekankan tentang prasarana dan persiapan tenaga kerja. Dalam perbincangan dengan beberapa syarikat-syarikat utama sama ada di Pulau Pinang, Kulim Hi-Tech atau di Selangor dan Johor, umumnya syarikat-syarikat besar baik Infineon atau Geely, Proton atau Nvidia Jensen di Johor sekarang semua menyebut bahawa mereka agak secara umum senang dengan prasarana yang disediakan jika dibandingka dengan beberapa negara lain dan bangga dengan keupayaan kemahiran tenaga profesional kita. Daripada pengalaman intel di Pulau Pinang sehingga sekarang, jurutera kita, kepakaran IT dan juga disiplin pekerja itu semua dianggap mencatat prestasi yang baik.

 

  1. Terkait dengan sinergi yang diperlukan ini menyediakan ekosistem dalam perindustrian yang nyata lemah dan perlu diberi perhatian ialah mutu latihan niche yang kurang. Sama ada dalam bidang kejuruteraan atau IT yang memerlukan suntikan latihan, baik oleh MITI dan Kementerian-kementerian yang berkaitan dan saya percaya PDC seperti juga langkah yang dibuat oleh PSDC itu akan membantu memberikan latihan kemahiran tambahan.
  2. Saya bicara dengan Nvidia baru-baru ini dan sebelum itu Infineon, Geely semua mengatakan dengan kepesatan perubahan yang berlaku dalam bidang industri-industri teknologi tinggi dan digital, ternyata kita harus berikan tumpuan yang cukup baik dan berkesan dalam bidang ini. Jadi saya ingin syorkan selain daripada yang dilakukan oleh kementerian melalui TVET, politeknik dan latihan-latihan termasuk AI yang diperkenalkan baru-baru ini, kita mohon supaya pengalaman Pulau Pinang dan sinergi yang ada dapat dimanfaatkan dengan industri.

 

  1. Pengalaman Pulau Pinang, PDC dan juga PSDC dalam latihan sinergi ini, itu saya telah minta supaya diteliti oleh TVET dan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri Selangor dan Johor dalam skala yang lebih besar. TVET umpamanya diuruskan oleh jentera Kerajaan, namun tidak ada sebab mengapa beberapa TVET di Pengerang di Batu Rakit atau di Kimanis dikendali secara langsung oleh PETRONAS. Kalau TVET di Tanjung Malim, Perak lebih baik dikendali oleh Geely. TVET di Pekan, Pahang dikehendali oleh Proton. Begitu juga syarikat-syarikat TVET di Pulau Pinang. Sampai ketikanya di mana kita minta syarikat yang memerlukan tenaga kerja, mereka sendiri ambil inisiatif dan melatih dengan jentera back up oleh Kerajaan. Dengan cara yang sedemikian, mereka melatih jurutera ataupun lulusan TVET yang diperlukan oleh syarikat, bukan diperlukan oleh Kerajaan. Kerana kita tahu, kebanyakan yang dilatih ini akan memenuhi keperluan Kerajaan.

 

  1. I think this issue need to be emphasized. There is no question that Penang has achieved tremendous commendable success in terms of industrialization. The fact that we are now with BKIP 3 is clearly a showcase that you have expanded and excel in this field. But we also have to recognize that with this pace of change during the postnormal times, I used to say in Kuala Lumpur quite number of times that there are 3 clear characteristics of post normal times. It is chaotic, it is full of contradictions and it is clearly complex. The pace of change and the problematic problem and the acuteness of the problem is a happening somewhat at the same time. The term used is simultaneity, all issues be it migration, or climate, or civil strife or quality education. All creating this demand and challenge at a particular time simultaneously. So this is precisely what is termed as postnormal times.

 

  1. If we do recognize this, we can’t imagine that we can resolve the complexity, contradiction and chaotic conditions through normal means. We all recognize that we need to embark on the paradigm shift and if you read Thomas Khun paradigm shift is not minor changes, is not main judgement. Paradigm shift is the preparedness to undertake bold measures to accept the complexity and then embark on this change. That’s why we need political leadership and the civil service and technocrats, that can recognize this problem and come up with some clarity in policy and the capacity to effectively execute these programs. That’s why we have, for example, try to introduce the MADANI Economy, the issue of energy transition, digital transformation, and dealing with the issue of food security in a major radical manner.

 

  1. Dalam mana keadaan pun bila langkah-langkah itu dianggap radikal, dia akan menimbulkan sedikit ketegangan. Umpamanya bila kita kata ketegasan untuk menentukan supaya negara ini diatur dan hentikan kecelaruan dan salah guna kuasa dan penyelewengan rasuah yang telah mencengkam negara kita, ini tidak semudah apa yang kita bicarakan. Ia akan mengundang reaksi dan tentangan dari kalangan yang berkuasa dan maha kaya. Bila PDRM mengambil langkah berani bertindak terhadap gerombolan pengedar dadah terbesar di Sabah yang diketahui oleh semua, dibiarkan sekian lama, diizinkan berlaku berleluasa. Tapi bila sekali diambil tindakan, ia memerlukan kecekapan, keberanian, ketangkasan seperti yang ditunjukkan oleh PDRM tahun lalu. Dalam hal yang sama, bila SPRM mampu bertindak bukan sekadar masalah politik, bukan masalah orang-orang kecil, tetapi apa yang dianggap sebagai orang-orang yang terkait dengan menggunakan kuasa, menggondol kekayaan berpuluh bilion ringgit yang dilepaskan sekian lama dan tidak ada penguasa yang mampu dan berani bertindak. Jadi saya ucap tahniah kepada SPRM yang berani bertindak sedemikian.

 

  1. Only through good governance, clarity and policy and effective execution of this policies, can we embark on this new plan. Saya tahu dalam keadaan ini dari segi kejayaan, saya tidak nafikan. Saudara tahu dalam angka-angka yang dikeluarkan oleh MIDA, pencapaian Januari sampai September 2023, sampaikan RM99.6 bilion ringgit. Itu suatu yang membanggakan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu baik serangan Israel di Gaza ataupun dengan laluan Suez Canal yang terbatas ataupun perang Rusia, Ukraine.

 

  1. Sebab itu kita akui bahawa dengan lonjakkan program industri dan kejayaan Pulau Pinang, ia juga memberi tekanan kepada infrastruktur yang ada. Sama ada lebuh raya atau pelabuhan ataupun lapangan terbang. Jadi sebab itu, kita telah umumkan menyegerakan untuk pelaksanaan LRT, kemudian membesarkan Lapangan Terbang Bayan Lepas.
  2. Saya telah beritahu kepada YB Chow dan dalam perbincangan saya dengan YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan untuk tidak menggunakan kerangka pelaksanaan yang lama. Jadikan pembesaran Lapangan Terbang Bayan Lepas ini sebagai program yang mendesak yang perlu disegerakan. Maka kalau perlu diadakan proses tender yang dapat mempercepatkan dan tidak melalui proses tender biasa, supaya pelaksanaannya tidak bermula akhir tahun, tapi kalau boleh lebih awal daripada itu. Yang lain saya tahu berkaitan isu kesesakan dari YB Chow kerana dalam perjalanan dia pastikan saya ikut jalan di mana banyak sekali kesesakan kereta untuk meyakinkan saya bahawa ada keperluan mendesak. Saya kata tak perlu begitu, saya tahu. Beliau sebut di Juru begini, di seberang begini, kemudian laluan jalur keluar dari pulau, kesesakan di seberang. Sepanjang perjalanan beliau cerita masalah saja di Pulau Pinang. Ini maknanya Ketua Menteri yang baiklah, maknanya dia terangkan masalah kerana tak mudah dapat (peluang). Saya kata dia captive audience, I don’t have a choice, I’m seated beside him, I have to listen.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya ingin sekali lagi menyebut bahawa ada isu lain yang disebut oleh pelabur-pelabur. Tahun lalu saya banyak juga keluar ke negara China, Amerika Syarikat, ASEAN, UAE, dan Arab Saudi. Seperti mana saya sebut umumnya positif, pertama, mutu dan keupayaan tenaga terlatih. Baik, berdisiplin tetapi ada niche yang patut diberikan penekanan tambahan yang menjadi cabaran kepada politeknik, kursus TVET dan universiti untuk melakukan sesuatu yang lebih cepat. Saya juga telah mengarahkan universiti supaya tidak gunakan kaedah board of studies dengan kelulusan cara lama tetapi mengadakan satu program yang boleh percepatkan kelulusan beberapa program baru. Kalau kita gunakan kaedah lama, to introduce an AI unit, it goes through dean, faculty, the board of studies and back to the council, back to the Ministry of Higher Education and they’ll take 1.5 to 2 years to start. Pada ketika itu dunia ilmu AI itu sudah berubah. Oleh itu tidak boleh lagi guna pendekatan yang sama.

 

  1. Tetapi ada satu lagi perkara yang disebut oleh pelabur iaitu apa yang disebut sebagai ease of doing business. Walaupun kita cepatkan, tapi masih ada pandangan umpamanya ada syarikat Infineon contohnya nak pilih di antara Texas, Jerman, Amerika atau Europe, sebaliknya dari empat negara tersebut mereka telah memilih Malaysia. Markah keseluruhannya baik, tetapi Malaysia lemah dalam dua (2) perkara yang saya sebutkan tadi. Top niche tenaga kerja yang mahir dan kelulusan yang lebih lambat ketimbang atau berbanding dengan Vietnam umpamanya. Tapi alhamdulillah skor yang lain menyebabkan kita menang. Jadi saya dengar umpamanya Geely, Proton sebut perkara yang sama. Di Amerika Syarikat, saya sebut juga beberapa syarikat besar yang jumpa saya. I’m talking about CEO of the big companies. Dia sebut tentang “Yes you are more efficient. Yes, it is relatively faster, but not as fast as one or two other countries in ASEAN” and to me it’s unacceptable.

 

  1. Sebab itu di peringkat Jemaah Menteri kita tugaskan di peringkat Menteri, Menteri MITI, Tengku Zafrul untuk selaraskan. Saya tidak kira pelaburan itu sektor mana, kementerian mana, jabatan mana. Yang bertugas menyelaras untuk 18 agensi itu, satu Menteri, dan di peringkat jawatankuasa kerja MIDA akan diberikan tanggungjawab yang lebih besar dan saya percaya ini juga dilakukan di PDC Pulau Pinang. Tetapi jangan pandang ringan, kalau saya jumpa beberapa syarikat besar gergasi dunia dan dia tegur perkara ini, kita mesti terima kenyataan dan hal ini boleh diperbaiki. It does not require additional cost, it doesn’t require additional officers, it just requires an effective execution and not to allow for any undue and delay. Jadi sebab itu saya tekankan perkara ini supaya kita dapat meningkatkan prestasi dan menarik pelabur dan alhamdulillah seperti saudara-saudara tahu, kerana politik stabil ada kejelasan (clarity) dari segi dasar ekonomi. Kita hanya perbaiki beberapa kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti dan saya yakin hal ini boleh dilakukan.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PDC khususnya kerana kejayaannya sekarang untuk BKIP 3, menunjukkan bahawa Pulau Pinang di landasan yang baik, maju dan membanggakan. Satu perkara yang sangat dirunsingkan termasuk di kawasan Batu Kawan dan selatan di Nibong Tebal, dan Balik Pulau adalah masalah air. Kita tertangguh dengan keperluan air di Kedah dan sebagainya. Tapi berita baiknya ialah kita setuju sekarang untuk membangunkan Kerian Hi-Tech yang baru. Ini yang betul-betul di sempadan yang juga akan ada limpahan ke selatan Seberang Perai, di kawasan Sungai Aceh umpamanya, limpahan ke situ dari Parit Buntar. Bekalan air dan tenaga akan ditumpukan dari Sungai Perak dan ini tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, dipersetujui oleh Perak iaitu bekalan air yang banyak ke Kerian dan dari Kerian terus ke Seberang Perai. Jadi maknanya berita baik bagi Pulau Pinang dan kita akan segerakan projek tersebut.

 

  1. Memang ada kelewatan sedikit nak dapatkan keyakinan Perak. Bukan Perak menentang tapi Perak merasakan dia kena yakin air cukup bagi keperluan Perak dahulu. Jadi bila kita buktikan bekalan air di Perak itu jenuh melimpah dan kita Kerajaan Persekutuan akan bantu supaya menyalurkan keperluan air di Kerian Hi-Tech dan daripada jumlah yang besar itu memenuhi kawasan Kerian dan terus melimpah ke Seberang Perai.

 

Sekali lagi saya ucap terima kasih.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

SIDANG KEMUNCAK ANTI-RASUAH KEBANGSAAN

(NAC SUMMIT) 2024

 

16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)

 

BERJAYA HOTEL TIMES SQUARE

KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

YB Steven Sim Chee Keong,

Menteri Sumber Manusia;

 

YB Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

 

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad,

Menteri Kesihatan;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki,

Ketua Pesuruhjaya SPRM;

 

Datuk Abu Huraira Abu Yazid,

Pengerusi HRD Corp;

Keluarga SPRM dan HRD Corp yang hadir;

Tetamu-tetamu yang saya muliakan; dan

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

  1. Hadir saya pada hari ini untuk memberikan penegasan dan dukungan terhadap usaha yang telah dilakukan. SPRM mengemudi gerakan pembanterasan rasuah dan semua jentera harus menyambut ini. Oleh itu, langkah dan sambutan oleh HRD Corp saya ucapkan penghargaan terima kasih dan saya telah beritahu kepada saudara Tan Sri Azam Baki, sepatutnya gerakan ini menjalar ke seluruh negara. Biar negara ini digegarkan dengan kebencian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

 

  1. Saudara lihat gerakan ini nampak memuncak atas ketegasan, ketangkasan dan keberanian keluarga SPRM. Hal seumpama ini bukan sesuatu yang popular, lihat sahaja mana-mana negara yang menggagaskan perubahan, juga dalam konteks MADANI itu sendiri turut menghadapi risiko apatah lagi negara yang biasa dengan budaya rasuah ini. Dari atas sampai ke bawah menganggap ini satu budaya. Rasuah sudah jadi sistemik dalam negara, jadi jangan anggap ini mudah. Jangan anggap kerja Tan Sri Azam atau keluarga di SPRM itu suatu perkara yang mudah kerana musuhnya besar dan musuhnya bukan kerdil.

 

  1. Musuhnya itu gergasi, orang-orang yang maha kaya, malah di antara yang paling kaya dalam negara. Mereka tidak akan berdiam, mereka menguasai media, mereka menguasai ahli-ahli parlimen malah pengaruh parti. Ada di antara mereka mengasaskan parti semata-mata untuk mengekang semangat perubahan ini dan kerana mereka terdidik dan mempunyai dana yang besar. Mereka punyai kecanggihan, kepintaran, kuasa dan pengaruh. Sebab itu waspada, kita ada pilihan dalam negara MADANI untuk berundur atau melangkah terus membujur lalu melintang patah. Saya pilih membujur lalu melintang patah kerana ini sahaja jaminan masa depan.

 

  1. Saudara lihat masalah tata kelola, integriti, anti rasuah. Ini bukan slogan, ini bukan soal agenda politik, ini agenda menyelamatkan bangsa. Negara ini sudah selesa, sudah mangli dengan budaya begini selama puluhan tahun. Ada tokoh-tokoh besar penyakau yang dibiarkan mengambil harta puluhan tahun, tak pernah dan tak berani disinggung, disentuh kerana pihak penguasa di atas itu mendukung, melindungi mereka. Saudara, apa akibatnya? Negara akan miskin, rakyat di bawah tidak terbela, gaji penjawat awam, upah menanam padi, pekebun kecil getah, pekerja-pekerja, tidak mungkin dapat dibela kerana ketirisan terlalu besar.

 

  1. Kalau satu kontrak itu RM1.6 bilion terpaksa diangkat jadi RM1.8 – RM1.9 bilion, RM300 juta tambahan itu untuk beberapa tokoh atau kroni mereka dan dari mana wang itu? Dari dana dan tabung pemerintah. Kalau satu kontrak RM300 juta, kita ada 1,000 kontrak, jadi puluhan bilion hilang di tangan puak tertentu. Di parlimen dalam beberapa hari ini ada yang seolah-olah menggelupur, marah terus. Saya pun tidak faham. Marah, benci dan tidak ada satu suara dalam kalangan pembangkang yang hendak menyokong langkah pembanterasan rasuah. Bagi saya aneh. Saya semasa pembangkang, bila ada cadangan pemerintah pada ketika itu mengusulkan penubuhan SPRM, saya dukung. Antara langkah yang berani saya dukung malah saya kata mengapa belum cukup berani? Kalau saudara lihat dalam media sosial, istilah penyakau itu paling ditakuti, dimarah dan digeruni oleh sesetengah puak. Saya hairan padahal amalan penyakau itu menyeluruh.

 

  1. Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap dalam kalangan paling maha kaya. Belum ada suara dari pembangkang yang menyokong malah ada yang membela. Dia kata Anwar ini belum habis dengan dendam kesumatnya. Ini cerita lama. Saya nak tanya saudara, kalau hari ini saya kumpul RM10 bilion masuk poket saya dan saya gunakan untuk memperkayakan diri, keluarga dan harta seluruh dunia, 7 tahun kemudian setelah saya bersara atau lebih awal saya tidak boleh disentuh kerana kalau disentuh, ini dendam, “sudahlah dia pun dah tua”. Inilah penyakit yang akan menjalar dan akan melemah longlaikan semangat bangsa. Kita harus beri mesej yang jelas. Kamu rompak harta negara, kamu curi wang rakyat, tak dapat tangkap hari ini, esok kami tangkap. Tak dapat esok, bulan depan. Tak dapat bulan depan, tahun depan. Tak dapat tahun depan, 10 tahun depan. Tangkap pasti tangkap, barulah boleh negara diselamatkan.

 

  1. Saudara, kita hari ini menanggung hutang RM1.5 trilion. Kalau kita lihat kontrak tersebut sahaja, Jana Wibawa tiris, Spanco tiris, projek tebatan banjir tiris, minyak mentah, minyak masak ini pun disakau juga, diesel bocor, jadi negara apa ini? Oleh itu pimpinan tidak ada keberanian, semua kontrak teruskan sahaja. Saya beritahu rakan-rakan saya Menteri ramai di sini, saya kata kerja Menteri ini bukan meneruskan, tetapi perlu menilai, mengkaji, menelurusi secara terperinci apakah proses itu telus, apakah bersih, apakah tidak boleh dijimatkan. Dari semua, beli mesin, beli kereta, beli ubat, apa sahaja teliti, supaya wang rakyat selamat dan pulang kepada rakyat. Bukan untuk pulang memperkayakan kita, tidak, pulang kepada rakyat. Sebab itu saya kata pelarasan gaji tidak dikaji 10 tahun, 12 tahun tetapi pemimpin-pemimpin terdiri daripada maha kaya belaka. Penjawat awam itu setia dan sokong serta kerja bertungkus-lumus. Ada sebahagian kecil yang kurang, ya betul itu kita akan teliti, tetapi majoritinya kerja dengan baik namun tiada pelarasan gaji. Tidak ada jawatankuasa mengkaji seperti mana lazim berlaku setiap 10 tahun.

 

  1. Saya warisi sistem hutang berlonggok, defisit masa itu 5.6%. Alhamdulillah dalam satu tahun kita turunkan defisit kepada 5%. Tetapi dalam kita mengurangkan defisit, tangguhkan beberapa projek raksasa, saya masih bersama KSN, KPPA dan Jemaah Menteri memutuskan akan terus melaksanakan pelarasan gaji tahun ini juga kepada penjawat awam. Tetapi saudara harus bekerjasama, tolong selamatkan negara ini, halang agensi-agensi, jabatan-jabatan dari meneruskan kebocoran, lapor sesiapa yang melanggar. Baru boleh kita serahkan kepada SPRM untuk bertindak. Ini bukan kerja SPRM sahaja, ini kerja kita bersama. Dengar, lapor, jangan fitnah, jangan khianat.

 

  1. Sebentar tadi saudara Steven Sim beri pengajaran dari leluhur bangsa era Kesultanan Melayu Melaka yang agung dan hebat kemudian hancur lebur menjadi A Famosa, kota yang usang. Ya banyak faktor, tetapi saya setuju dengan beliau, kalau kita kaji fiil Raja Mendeliar dengan Si Kitol itu, adalah kerana tamak haloba, cemburu dan akhirnya khianat. Pintu pagar tembok istana dan kawasan benteng pertahanan Melaka itu perlahan-lahan pengkhianat ini buka, kerja Si Kitol arahan Raja Mendeliar kerana cemburu buta, khianat, nafsu serakah dan tamak haloba. Pengajaran kepada kita.

 

  1. Sebelum itu, Ibnu Khaldun beri pengajaran dalam mukadimah generasi awal dengan semangat esprit de corps, kekitaan, idealisme, assabiyah yang positif mengangkat darjat kemanusiaan, bina negara MADANI dengan idealisme. Dua generasi berlalu, idealisme mula terhakis, generasi penerus matlamatnya kuasa dan kekayaan. Nawaitun bukan ikhlas kerana Allah SWT tetapi untuk memperkayakan diri, makan rasuah, penyalahgunaan kuasa, bermegah-megah dengan kehebatan dunia Hubbud Duny’a maka terhakis, akhirnya luntur semangat idealisme dan runtuh tamadun.

 

  1. Di barat juga ada kisah-kisah begitu, ‘The Decline and Fall of the Roman Empire’ bagi gambaran yang sama. Idea Ibnu Khaldun itu mempengaruhi sejarawan Amerika, Arnold Tonybee yang menulis tentang ‘Cyclical Ferry of Civilizations’. Civilizations grow achieve its height with splendour and glamour success, most fields but would degenerate and fall due to arrogance of power, endemic corruption and moral decadence. Kita kena belajar itu saudara dan saya sengaja singgung hal-hal ini sebagai satu pengajaran kepada kita dengan menyatakan bahawa ini bukan suatu perkara yang mudah.

 

  1. Seorang ahli ekonomi politikal terkemuka dari Sweden, Gunnar Myrdal mula menulis Asian Drama, karya yang menggemparkan pimpinan Asia dan sarjana Asia pada ketika itu. Gunnar Myrdal, Asian Drama dan menyinggung pada peringkat itu tahun 60-an, bibit-bibit rasuah mula menular di kalangan pemimpin-pemimpin negara yang baru mencapai kemerdekaan. Pimpinan generasi awal yang hidup sederhana mula terpukau dengan harta dan rasuah mulai menular. Semasa itu ahli-ahli ekonomi tempatan di Asia banyak yang marah, apa sebab orang Eropah mahu mengajar kita seolah-olah Eropah dan Amerika itu tidak rasuah, hanya Asia yang rasuah. Saya merenung, betul juga telaah tersebut. Saya baru belajar di universiti ketika itu, baru belajar membaca Gunnar Myrdal tetapi alhamdulillah di kalangan kita yang mengupas buku itu kita panggil masa itu study circle atau usrah. Bila kita bicara buku itu kita kata betul juga. Satu, mengapa orang Eropah mengajar kita. Kedua, benar juga walaupun beliau orang Eropah ada kenyataan beliau yang betul. Ini membantu kita untuk sekurang-kurang menilai secara lebih objektif berdasarkan fakta.

 

  1. Tetapi sekitar 10 tahun selepas itu, muncul sarjana tempatan, sarjana sosiologi yang terkemuka, terangkat namanya di dunia, iaitu Profesor Syed Hussein Alatas yang menulis tentang ‘The Problem of Corruption, ‘The Sociology of Corruption’, ‘The Myth of The Lazy Native’ kemudian ‘Intellectuals In Developing Countries’ dan menyinggung soal rasuah itu secara hebat. Walaupun ketika itu beliau tidak menyebut rasuah itu masalah yang sistemik, tetapi mula menyelar, menyerang pimpinan kerana mula toleransi terhadap rasuah.

 

  1. Jadi saudara-saudara saya harap semua ini menjadi pengajaran kepada kita. Beliau menulis lebih 40 tahun yang lalu tapi kalau saudara baca semula, peringatan yang diberikan sangat relevan kepada kita. Pertama, ramai di kalangan elit sama ada politik, korporat atau pengurusan kerajaan itu agak tidak senang dengan wacana mengenai rasuah. Sebab mereka hidup dan bergelumang dengan perkara tersebut. Kedua, yang terpalit dengan rasuah akan melawan dengan kencang, dengan hebat dan dengan seluruh kekuatan. Yang penting apa? Kita harus sedar dan harus berikan dukungan yang penuh kepada SPRM dan Kerajaan dalam usaha ini. Jangan sekali-kali merasa lemah. Kalau kita mulai lemah, negara ini akan hancur. Bila saya sebut puluhan bilion ringgit disakau, it is not an exaggeration, it’s based from my personal understanding as Finance Minister before and now, this rot must stop and must end that now.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Sebab itu saya cadangkan kepada SPRM, saya tidak pasti sama ada HRD Corp boleh bersama-sama untuk mengadakan juga acara yang sedemikian di seluruh negara dan membicarakan apa dia rasuah. Kadang-kadang dia kata ‘tak apalah rasuah’, katalah 1MDB ke, Spanco ke, ‘iyalah biasalah’. ‘Dah jadi Menteri Kewangan tak rasuah, bodoh lah’. ‘Jadi Perdana Menteri tak kaya, tak cerdik’. Tapi apa kesan dia? Tak ada apa-apa. Maknanya kefahaman dan rasuah itu sangat mendatar dan dangkal. Mereka lupa berpuluh bilion yang disampaikan kepada 4-5 orang itu sepatutnya hak mereka. Disconnect ini yang kena diberi faham. Kalau kita beritahu konsep-konsep kita tak dapat tangkap, tapi kena beritahu berapa hilang, RM2 bilion hilang, sepatutnya sampai ke elaun penjawat awam, baru dia faham. Kalau kita selamat RM10 bilion, peratus pelarasan gaji akan meningkat, tetapi kalau rugi terus RM10 bilion daripada patut naik katalah 10% turun jadi 5% baru dia faham. Termasuklah projek-projek orang miskin, biasiswa universiti dan sebagainya.

 

  1. Jadi saya harap menerusi program National Anti-Corruption Summit, it must render a strong message and meaning that this country and this MADANI government will pursue this agenda without fear or favour.

 

  1. Sudah setahun lebih kita perintah, banyak diserang tapi saya tanya di parlimen dan di luar parlimen. Beri satu bukti Menteri, Perdana Menteri sekarang dalam tindakan mereka. Kalau ada yang rasuah, tanya Tan Sri Azam. Saya kata kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman, hukum. Tapi tidak ada. Saya salute kepada rakan-rakan, kita dapat berikan imej pimpinan yang bersih dari rasuah. Tetapi peringatan itu jelas. SPRM tidak mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan yang ada sekarang atau memantau setiap tender atau keputusan yang dibuat. Kalau ada saya katakan jangan tanya saya, dipersilakan ambil tindakan dan orang-orang yang berkenaan wajib digugurkan, baru boleh negara ini selamat.

 

  1. Jadi sekali lagi ucap terima kasih kepada SPRM dan HRD Corp, Menteri dan rakan-rakan. Oleh kerana Menteri-menteri lain perlu ada, saya percaya hal ini dapat digerakkan di kalangan Kementerian lain dan di kalangan masyarakat.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus.

Beliau berkata usaha mengeluarkan golongan miskin tegar daripada garisan kemiskinan tidak hanya membabitkan kaum majoriti Melayu sebaliknya merangkumi etnik lain seperti India dan Cina.

“Di Kuala Lumpur, walaupun majoritinya Melayu tetapi nisbah (populasi kaum) India sangat tinggi dan setiap keluarga India di Kuala Lumpur kita bantu untuk lepaskan daripada garis kemiskinan tegar. Ini pendekatan kita tetapi kadang-kadang kita hadapi pemimpin masyarakat (yang) tanya lagi peruntukan orang India.

“Bagi saya, setiap orang (yang) miskin tegar tidak kira (kaum) Cina, Melayu (atau) India, kita selesaikan dan di Kuala Lumpur, Melaka serta Negeri Sembilan daripada angka yang kita peroleh, sudah 100 peratus tercapai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia di sini hari ini.

Usaha pembasmian kemiskinan tegar adalah antara agenda utama Kerajaan Perpaduan yang membabitkan usaha pelbagai kementerian dan agensi sekali gus memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua pihak tanpa ada yang tercicir.

— BERNAMA