TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI MELAKA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI MELAKA
22 APRIL 2024 (ISNIN)
DEWAN UTAMA PUSAT DAGANGAN ANTARABANGSA MELAKA (MITC), MELAKA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,
Wasallallah hu ala saidina Muhammad,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,
Ketua Menteri Melaka;
Mantan TYT sahabat saya Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob,
Yang juga Pahlawan Team Wawasan;
YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
YB Steven Sim Chee Keong,
Menteri Sumber manusia;
Yang bersama-sama membantu menyelaraskan program malam ini;
Speaker Kerajaan Negeri; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama menjayakan Majlis Aidilfitri MADANI Peringkat negeri Melaka dan bagi pihak rakan-rakan saya ucapkan sekali lagi penghargaan kepada Ketua Menteri dan juga kerajaan negeri Melaka serta Kementerian Sumber Manusia, kerana menganjurkan majlis yang permai dengan kehadiran rakyat yang cukup luar biasa. Saya acapkali melihat dalam beberapa acara di Melaka ini sambutan rakyat itu sangat membangga dan menggalakkan. Terima kasih.
Bunga cempaka, bunga seroja,
Disunting menyeri dara jelita,
ke mana libur bersama keluarga,
Mana lagi? Melaka lerr.
- Seperti mana dalam doa yang dibacakan oleh Sahibus Samahah Mufti sebentar tadi, kita tidak lupa bahawa majlis ini dikaitkan dengan Aidilfitri. Oleh yang demikian, harus kita insafi bahawa Aidilfitri itu kembali kepada fitrah insaniah. Kerana tarbiah bulan Ramadan yang disebut, sekolah Ramadan, atau madrasah Ramadan harus meningkatkan iman, amal, nilai, dan ihsan kita kepada masyarakat terutama yang kurang bernasib baik. Jadi fitrah ini kembali kepada status semula jadi yang bersih, indah, primordial, mudah-mudahan kita jangan lupa kerana ujian Ramadan itu harus mengingatkan kita tentang tanggungjawab. Dalam konsep negara MADANI, tidak boleh terlepas daripada soal nilai, kebaikan, semangat perpaduan, keadilan, ihsan dan rahmah di antara sesama kita.
- Pagi tadi kita meluncurkan KL20, dengan prakarsa baru, soal digital, IT, startup, mikrokomputer, dan saya terharu kerana sambutan dari luar negara sangat menakjubkan. Malaysia sekarang sudah mendapat perhatian dunia sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini. Dan saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri Melaka dalam beberapa kunjungan saya terakhir di Jerman selain bicara soal perkembangan dan pelaburan, Melaka turut dipilih sebagai pusat dan destinasi pelaburan dunia yang menggalakkan.
- Ini kerana politik yang stabil, dasar ekonominya jelas, dasar-dasar seperti transisi digital, peralihan tenaga (energy transition), dan pelan perindustrian baru yang membantu pelabur melihat kepada kekuatan kita.
Saudara saudari,
- Dalam acara ringkas ini saya ingin menyebut, rakyat harus memusatkan perhatian ke arah bidang-bidang ini. Malaysia sekarang dengan pelaburan Infineon, NVIDIA dan Aramco serta puluhan lagi, memerlukan 30,000 orang jurutera yang tidak dapat kita isi sepenuhnya.
- Maka tumpuan bagi ibu bapa termasuk anak-anak Melayu mestilah menjurus kepada lapangan sains matematik. Ini termasuklah TVET yang diusahakan secara gigih oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi semata-mata untuk meningkatkan keupayaan anak-anak. Harus kita pusatkan perhatian supaya kita tidak ketinggalan. Jangan kita terus dalam perbahasan hal-hal yang remeh yang tidak berkesudahan. Tumpu manfaatkan waktu mendidik anak-anak kita dengan memenuhi ruang lapang mereka dengan pendidikan dan ilmu. Kerana negara memerlukan tenaga baru, negara memerlukan anak anak yang mahir dan pakar dalam IT, digital, kejuruteraan, semikonduktor dan ini semua harus kita siapkan kerana peluang itu terlalu banyak. Jadi saya harap, kerajaan negeri Melaka bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia mendukung langkah yang telah diatur oleh TPM 1 itu dan memberi tumpuan serta perhatian dalam bidang ini.
- Saya benar-benar mengharapkan ada perubahan sikap dan minda. Kalau tidak kita akan ketinggalan kerana kita harus bertempur dengan hal hal yang kecik bengik berlarutan bergaduh dalam hal hal kecil meninggalkan perkara pokok dan kita akan ketinggalan bukan sahaja di kalangan kaum-kaum yang bersaing tetapi di kalangan negara-negara maju.
- Hari ini dan malam tadi tatkala berbincang dengan pelabur-pelabur terkemuka dalam bidang startup, serta pertemuan saya dengan beberapa menteri dan pelabur-pelabur yang jumlahnya trilion ringgit, kesemuanya menganggap Malaysia itu hub terpenting. Dalam rencana semikonduktor Malaysia, termasuk Melaka, Infineon menganggap Malaysia kawasan pelabur yang paling menarik, dilapor di Financial Times, New York Times, dilapor di Bloomberg tentang keupayaan Malaysia.
- Saya tidak mahu sebahagian rakyat kita tertinggal kerana bergelut dalam hal-hal remeh. Dan kita akan tewas dan kalah dalam persaingan ini. Mudah-mudahan sementara kita kukuhkan iman, kita tingkatkan tahap ilmu kita dan amal kita, jaga akhlak dan nilai kita. Harus kita tingkatkan usaha dan keupayaan. Sebab itu bila baru-baru ini saya berjumpa Ketua Menteri dan rakan-rakan EXCO Kerajaan Negeri Melaka, saya setuju dengan gesaan TPM 1 untuk menambah peruntukan bagi pendidikan TVET di Melaka termasuk dalam bidang-bidang di universiti, kolej universiti dan kolej vokasional. Dan insyaa-Allah kita akan terus memberikan dorongan supaya kita dapat penuhi keperluan yang masih kurang dalam negara kita.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri kerana ikhtiar beliau untuk mendapatkan pelaburan dan mengatur semua. Melaka bukan sahaja terkenal sebagai negeri bersejarah dan tarikan pelancongan, tetapi akan menjadi negeri teknologi tinggi.
Terima kasih.
Minal ‘aidin wal faizin wal maqbulin wal maghfurin wa kullu ‘am wa antum bikhair.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
KEYNOTE ADDRESS
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PRIME MINISTER
IN CONJUCTION
KL20 SUMMIT 2024
22 APRIL 2024
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Para Menteri;
Ketua-ketua Setiausaha;
Tuan-tuan Yang Terutama;
Duta-duta dan Pesuruhjaya Tinggi; dan
Tetamu-tetamu yang saya muliakan.
- Ini satu penghormatan besar bagi negara, satu prakarsa baharu atas ikhtiar untuk memperkasa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
- Saya ucapkan terima kasih atas ikhtiar yang dijalankan oleh Menteri Ekonomi Saudara Rafizi dengan kerjasama Saudara Gobind Singh Menteri Digital dan Menteri Sains, Saudara Li Kang.
- Pemerkasaan ekonomi memerlukan kerjasama yang intim di kalangan rakan-rakan di Kementerian, penjawat awam dan syarikat swasta.
Your Excellencies, Ladies and Gentlemen.
- I’d like to start by welcoming prominent startup ecosystems players, some of whom have flown half the globe to witness the launch of today’s momentous event, the inaugural KL 20 summit.
- I’d like also to mention that last night, I met with a group of prominent players, and to my mind it was highly engaging, robust, and enlightening session. Just when you thought that you knew that much, it then draws on you that when it comes to startup ecosystems, we are indeed on a steep learning curve. But I am greatly optimistic that Malaysia is strategically and timelessly poised to reap the productive fruits of this startup trajectory. Throughout history, there has been a select few cities that can truly claim to have flourished.
- These were the unique hubs where every creed was present and where civilization was at the precipice of knowledge and commerce. In the 15th century, Melaka’s geographic importance, rich cultural and ethnic diversity, coupled with competent administration and pro-trade attitude has made it a linchpin between East and West.
- Today, Malaysia continues to be the center of trade, taking advantage of its strategic location and natural resources and inspiring confidence with its multiculturalism and resilient entrepreneurial spirit, as well as far reaching developmental policies.
- Malaysia’s economy has a history of excellence in the electronics and electrical (E&E) industry. As of 2023, Malaysia’s E&E products make up the biggest percentage of the manufacturing sector, solidifying our prominent position in the global supply chain. Yet we must not rest on our laurels. The fact is that we have experienced missed opportunities in technology investments. Make it imperative for us to restrategize and provide the best ecosystem to gain competitive advantage in attracting high value investments.
- Therefore, KL 20 does not simply represent a single event summit, but marks a clear break from the past. A comprehensive effort to catalyze the technology ecosystem. KL 20 fits strategically into the central governing economic philosophy of this government under the MADANI Economic Framework, underscored by the principle that economic growth and distribution are compatible, and that government correction must be in harmony with market forces.
- The past few years have witnessed technology playing the role of societal equalizer and productivity booster by providing jobs and livelihoods that did not exist before.
- While we acknowledge the unintended consequences of technology and unbridled growth of ventures, we once again see a synthesized position in the middle: embrace technology while upholding the duty to our country, environment and the global community.
- I’m glad that international investors recognize that timing for investing in Malaysia is right. A stable government and good governance, pro-trade legacy and neutral stance – these fulfill the demands of trading partners at a polarizing time. The announcements today come on the back of last year’s record breaking approved foreign investments amounting to RM188 billion originating from every part of the world.
- The investment types have also reflected movement into the higher value chain activities as the world shows confidence in what our workforce are capable of. KL 20 is framed with this mindset. We are ushering major firms to welcome high quality and high value investments from around the world while focusing on uplifting local entrepreneurs to go global and seize the moment. We recognize the growing importance of startups in driving technological advancements and KL20 is the ideal launchpad for your innovative ideas.
Excellencies, Ladies and Gentlemen.
- KL is an exciting and vibrant hub for innovative startups and sophisticated investors, both Malaysian players as well as global players.
- Last October, in the Malaysia MADANI Budget 2024 announcement, I outlined the government’s commitment for Malaysian companies from Bumiputra entrepreneurs to startups, SMEs and rising champions.
- The government is also aiming to centralize investment agencies such as MAVCAP under Penjana Capital, under Khazanah. In this regard, I am pleased to share that Khazanah Nasional will launch a national fund of funds; a Malaysian focused fund with an initial RM1 billion allocation to invest in innovative high growth companies.
- Shortly, we shall witness this continuing trend of confidence from investors in all parts of the startup ecosystems – 25 entities in total, that will give a real chance for Malaysia to create cutting edge technology ventures.
- The investments today will include sovereign wealth funds as Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan and Bluechip Venture Capital that will invest up to RM3 billion in Southeast Asia and Malaysia ecosystem under the Asean Investment Initiative.
- Venture capital firms setting up offices and new funds in Kuala Lumpur : The twelve firms announced today are sophisticated international firms with assets under management sizes above billions and illustrious investment track records so that good Malaysian startups will be discovered and nurtured to be globally successful. High-tech companies that will set up their operations, R&D facilities and regional headquarters to serve the Asian and Southeast Asian market. Four cities in Asia that will collaborate as innovation twin cities in the areas such as accelerated business setup, regulatory harmonization, as well as increased connectivity and mobility.
- Now in semiconductors, Malaysia’s substantial hold on the backend has made it conducive to pursue high-value front-end work, chiefly in the integrated circuit (IC) design category.
- That is why today, I am pleased to announce the largest IC design park in Southeast Asia that will house world class anchor tenants and collaborate with global companies such as Arm. This is done with a backing with the Selangor Information Technology and Digital Economic Corporation (SIDEC) with the Selangor State Government and is a proof that momentum is already being built on the ground. This is a departure from the normal political pronouncements. We announce after work have started, we are not announced for a program to be launched in 2026. Additionally, to make Malaysia a true gateway to major economies, we will also witness the city-to-city connection between Kuala Lumpur and Hangzhou so that capital, talent and market access will no longer be a barrier to success. We are positioning Malaysia as an axis for leaders in semiconductors, clean energy, agritech and Islamic fintech.
- Doubling down on our edge will tap into the higher value effort necessary to create new growth verticals and transform our futures.
Saudara-saudara dan saudari-saudari yang dimuliakan,
- Ini suatu ikhtiar yang bermakna bagi negara ini dan kita doakan semoga Allah merestui usaha kita dan dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya dengan ini meluncurkan KL20 Summit.
Terima kasih.
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI SABAH
20 APRIL 2024
SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC), KOTA KINABALU, SABAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin,
Yang di-Pertua Negeri Sabah serta isteri;
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Datuk R.M. Jasni;
YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Haji Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Speaker-Speaker, Menteri-Menteri serta rakan-rakan yang saya muliakan.
- Izinkan saya menyatakan penghargaan khusus kepada Tuan Yang Terutama kerana sudi menyerikan majlis yang permai ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara Hajiji kerana sudi mengadakan majlis yang dapat menghimpunkan rakyat daripada pelbagai suku kaum untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri serta saudara Menteri Perpaduan yang membantu menyelenggarakan majlis ini bersama dengan kerajaan negeri Sabah. Selamat Hari Raya ‘Aidilfitri minal ‘aidin wal faizin wal maqbulin wal maghfurin wa kullu ‘am wa antum bikhair, maaf zahir batin.
- Saudara-saudara, kita bersyukur, alhamdulillah kerana negara kita dapat menyambut hari kebesaran ini. Dalam tradisi Islam, Hari Raya Fitrah ini disebut Hari Raya Aidilfitri. Maknanya ujian madrasah Ramadan harus dijadikan kesempatan membersihkan jiwa, meningkatkan amal, menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat, terutama yang susah. Itulah sebabnya hari ini disebut fitrah kerana kita dapat bersihkan, iaitu rakyat umumnya terutama yang menjalani bulan Ramadan, menjadikan Ramadan itu kesempatan untuk kita memulihkan kekuatan, meningkatkan keupayaan, integriti dan amal.
- Dalam konteks negara, bila kita bicarakan soal tatakelola. Ia juga ada relevannya. Kerana sebaik kita amalkan Ramadan, bermakna tingkat kerohanian, amal, integriti, penyucian akhlak dan nilai, menolak kemungkaran dan rasuah serta penyelewengan Itu harus lebih kukuh daripada sebelumnya. Itu sebab mengapa kita kembali kepada sekolah Ramadan ataupun dikatakan tarbiah ruhiyah atau madrasah Ramadan. Dan mudah-mudahan kita yang menyempurnakan dengan maksud yang sedemikian.
- Pagi tadi kita adakan majlis mesyuarat kerja di antara Menteri Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi dan Kementerian-Kementerian lain. Turut bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri, serta Pegawai Kerajaan Negeri Sabah. Ini saya jadikan amalan dalam setiap kali berkunjung ke negeri. Kerana untuk menjamin projek rakyat itu dijalankan, ia tidak boleh hanya dikendali, dipantau dari Putrajaya. Harus mendapat maklumat dan taklimat seperti disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi.
- Kita kenal pasti masalah banjir, masalah air, masalah jalan berlubang, masalah Pan Borneo, masalah bekalan elektrik, masalah kekurangan sekolah di Kota Kinabalu. Semua ini dapat diluahkan dan kita ambil perhatian. Inilah semangat Kerajaan MADANI, mendengar dan insya-Allah melaksanakan dengan sebaiknya.
- Saya ucapkan khusus kepada Ketua Menteri kerana menunjukkan kesungguhan, tidak menggunakan majlis sekadar menceritakan yang baik, kebajikan, kemajuan, tetapi menceritakan secara terang apa masalah pelaksanaan, mengapa lewat, mengapa pelaksanaan projek yang diluluskan tidak dilaksana ikut jadual dan apa keperluan-keperluan baru yang perlu peringkat persekutuan harus dengar dan cari jalan penyelesaian. Apakah langkah berikutnya.
- Umpamanya kemiskinan tegar yang menjadikan fokus utama dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, alhamdulillah dalam tempoh 1 tahun jumlah kemiskinan tegar daripada 25 ribu orang tinggal sekitar 11 ribu orang. Dalam tempoh sebulan ini, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan ICU, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri dan semua agensi berkenaan agar bermesyuarat, supaya jumlah kemiskinan tegar 11,000 ini dapat dikurangkan dengan sebanyak mungkin dalam masa sesingkat mungkin.
- Kita pacu pertumbuhan, kita mahu pelaburan datang, hotel-hotel kita penuh dengan pelancong. Tetapi, kita punya tanggungjawab moral yang besar, miskin tegar harus dinoktahkan di seluruh negara termasuk negeri Sabah. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri kerana jumlah itu dicapai dengan meyakinkan dalam masa singkat. Saya juga percaya insya-Allah dalam masa singkat ini kita dapat mengurangkan dan kalau mampu pada tahun ini juga menoktahkannya.
- Di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, alhamdulillah kemiskinan tegar telah dapat dinoktahkan. Jadi dengan beberapa langkah lain, saya percaya di Sabah, walaupun masalah di Sabah lebih rumit kerana kedatangan pencerobohan dan penerobosan di kawasan sempadan, tetapi saya percaya dan saya berikan dukungan penuh kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan sahabat saya, Datuk Seri Hajiji untuk menerajui dan menyelesaikan masalah-masalah bersama dengan kerajaan persekutuan.
- Hubungan baik ini memberi manfaat kepada negeri dan utamanya kepada rakyat. Umpamanya kita tambah beberapa peruntukan termasuk pembangunan sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam program ICU JPM sebanyak RM36.91 juta program khas anak negeri Sabah dan RM34.63 juta program khas Bumiputera Sarawak untuk tahun 2024.
- Saya hendak ambil kesempatan ini juga untuk mengumumkan, selain daripada hal yang telah diluluskan sebelum ini, beberapa projek untuk keselesaan rakyat terbanyak sedang kita upayakan. Contohnya, kita duduk di dalam dewan serba indah ini, kita siapkan hotel-hotel lima bintang untuk pelancong, tetapi majoriti rakyat kita masih menggunakan warung, gerai dan restoran kecil. Maka keutamaan Kerajaan Madani ialah meningkatkan mutu gerai dan warung di semua bandar-bandar negara kita. Bermula dengan Kuala Lumpur, kita sudah lihat sekarang lebih daripada 80 gerai dan warung ditingkatkan dari segi kebersihan, keindahan kerana itu digunakan oleh lebih 80% rakyat kita. Jumlah kecil sahaja akan guna restoran-restoran besar dan mereka mampu dengan kos yang lebih tinggi.
- Selain itu, untuk maksud perjumpaan hari ini tentunya Ketua Menteri mengharapkan saya umumkan projek-projek baru. Tadi saya telahpun luluskan beberapa projek termasuk perumahan rakyat dan percepatkan pembaikan gerai-gerai. Selain itu, saya juga ambil peduli dengan masalah kesihatan rakyat. Ramai di Sabah apabila ada masalah jantung tentunya terpaksa terpaksa terbang ke Kuala Lumpur kerana kapasiti perubatan jantung di negeri ini adalah terhad. Jadi, kita hendak cari penyelesaian segera.
- Di Sarawak, atas cadangan kerajaan negeri Sarawak dan Ketua Menteri Premier Abang Johari, kita setuju dengan dana awal oleh kerajaan negeri Sarawak menubuhkan Pusat Kanser Negara di Kuching, Sarawak. Bagaimana pula untuk negeri Sabah?, hari ini saya hendak umumkan. Perkhidmatan kardiologi jantung di Hospital Besar Kota Kinabalu setakat ini, ada klinik pakar tentunya, ada makmal non invasive, categorization laboratory, ada dewan bedah kardiotoraksik, ada 3 pakar, ada 120 jururawat terlatih. Tetapi saya tidak fikir ini mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah. Maka dengan ini saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar, Kota Kinabalu, saya umumkan blok khas untuk jantung yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara, Sabah.
- Dengan ini kita akan tambah segera 3 orang pakar, sokongan terlatih dan peruntukan segera sebanyak RM80 juta untuk memulakan projek tersebut. Jadi kesempatan hadir di sini bagi pihak Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang hadir saya ucap terima kasih kerana kita dapat tubuhkan selain daripada IJN ada pusat jantung yang penting yang kedua terbesar di negara kita yang berpusat di Hospital Besar Kota Kinabalu. Terima kasih dan tahniah kepada rakyat Sabah.
- Kalau boleh elak pergi ke pusat jantung, makan makanan yang sederhana, senaman yang lebih, kurang gula, kurang lemak tapi hari ini terkecuali (berseloroh).
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI JOHOR
18 APRIL 2024
PADANG BEGONIA
PLAZA ANGSANA, JOHOR BAHRU
JOHOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi,
Menteri Besar Johor;
YB Dato’Khaled Nordin,
Menteri Pertahanan;
Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor;
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; dan
Semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor ini.
Jadi saya ucap terima kasih atas kehadiran Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Panglima Angkatan Tentera dan semua pegawai kanan yang hadir dan yang penting wakil-wakil dan rakyat dari seluruh pelusuk negeri Johor.
- Memang saya maklum bahawa tahun-tahun kebelakangan ini memang merupakan tahun yang hebat bagi bangsa Johor. Bukan sahaja kerana Yang Dipertuan Agong dari Johor, tetapi kerana Johor di bawah pemimpin muda, telah terus memacu pertumbuhan dan mencatat kemajuan dan pembangunan di antara yang terbaik di Malaysia. Saya ucap tahniah kepada bangsa Johor.
- Saya datang awal tadi kerana ada mesyuarat dengan Menteri-menteri, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti beberapa projek. Masih terdapat jumlah sekitar tidak sampai 2000 orang dalam kategori kemiskinan tegar. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dengan kerjasama ICU, insyaa-Allah kita boleh dan mampu selesaikan dalam masa singkat untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri Johor Darul Takzim.
- Selain itu, terdapat pelbagai upaya lain dalam memajukan negeri Johor ini selain daripada memacu pertumbuhan yang membanggakan, catat pelaburan yang kian meningkat, kita sekarang telah wujudkan zon ekonomi khas yang boleh menjalin hubungan dengan lebih akrab bersama Singapura. Kita adakan zon kewangan khas di sekitar Forest City. Ini semua petanda-petanda di mana negeri Johor akan mencatat pertumbuhan yang sangat pesat.
- Di samping itu, kita perlu beri keutamaan kepada program tebatan banjir kerana kita tidak boleh catat pembangunan pesat, sekiranya banjir pun pesat. Saya telah minta rakan-rakan terutama pegawai pastikan kita pantau projek itu berjalan dengan cepat supaya dapat meredakan masalah dihadapi oleh rakyat.
- Begitu juga projek prasarana lain yang telah disebut tadi oleh saudara Menteri Besar. Untuk apa kita bangunkan negeri ini? Sekarang kita sambut Aidilfitri, maknanya kemenangan, setelah berpuasa di bulan Ramadhan selama satu bulan. Sebab itu semua fitrah, bila menang kembali sifat semula jadi insan, fitrah insaniah. Fitrah ini bermakna hasrat kita untuk sentiasa bawa perubahan.
- Apa erti pembangunan pesat, kalau kita tidak pedulikan nasib rakyat yang paling miskin dan yang tidak punyai kemampuan sama ada orang Melayu, Cina, India atau orang Asli, semua itu rakyat Johor dan rakyat Malaysia yang mesti diberi tempat dan mesti dibela dengan sebaiknya. Justeru, semangat Aidilfitri ini adalah fitrah insaniah, sifat mulia manusia, kasih sesama manusia, ini disebut dalam MADANI, ihsan, rahmah di antara sesama manusia. Apa dia manusia? bila Allah angkat darjat manusia ini karamah insaniah, Allah angkat darjat manusia itu sebaiknya. Bagaimana?, yang punya integriti, yang punyai prinsip, yang punyai nilai yang baik, yang kasih sesama manusia, yang benci dengan kezaliman, yang benci dengan rasuah dan benci dengan penyalahgunaan kuasa. Ini yang kita hendak angkat.
- Rentetan itu, pada hari ini saya ada majlis kecil-kecilan untuk meraikan salah seorang tokoh besar Johor yang pernah berjasa dalam negara kita serangkai dengan Datuk Onn Jaafar, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn. Beliau ada bersama kita, YBhg Tun Musa Hitam bersama isteri yang tercinta, Zulaikha. Kita ucap terima kasih buat Tun Musa dan Zulaikha kerana hadir menyerikan majlis ini, bagi semangat dan dorongan kepada anak muda, supaya kenal sejarah, kenal tokoh-tokoh yang berjasa kepada kita.
- Pada tahun lalu saya adakan majlis khas di Dataran Merdeka untuk meraikan dan mengenang jasa salah seorang lagi pejuang kebangsaan ulung negarawan yang telah berjasa kepada negara kita. Saya anjurkan satu majlis yang besar dan meraikan Almarhum Tun Dr. Ismail sebagai salah seorang negarawan yang harus dikenali oleh rakyat Malaysia.
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
- Sayugia saya sebut sebentar tadi tentang erti pembangunan. Kita jangan bina gedung, industri dan lebuh raya, tetapi manusia diremehkan. Jadi kita hendak bangunkan bersama dengan pembangunan manusia. Allah angkat darjat kita yang mulia kerana keinsafan kita, kerana keimanan kita, kerana akhlak dan nilai kita dan sama ada saudara itu penjawat awam, guru di sekolah, tentera ataupun polis, petani atau nelayan kita hendak angkat darjat kemanusiaan kita.
- Sebab itu bila kita bicara soal pembangunan jangan kita lupa bahawa pembangunan itu bererti kita beri peluang kepada semua. Dari kawasan bandar ke kota sehingga kawasan pelusuk pedalaman barulah kita katakan kita punyai cita-cita untuk bangkitkan negara hebat Malaysia.
Saudara-Saudara,
- Akhirul kalam, Negeri Johor hari ini memang tercatat di antara negeri yang berjaya mencatat pertumbuhan yang membanggakan sebab itu amanah kepada pimpinannya. Pastikan ia berjalan dengan pantas, pastikan pentadbiran itu bersih, pastikan jangan ada saki baki orang menyakau dan rasuah. Pastikan kepentingan rakyat jelata di bawah itu diberikan pembelaan sama ada dia pemandu teksi atau pekerja buruh semua itu adalah rakyat yang kita harus berikan perhatian.
- Jadi semangat Aidilfitri ini semangat silaturrahim, nilai kasih sayang, bila kita salam kita renung muka dengan penuh ikhlas maaf zahir batin.
- Justeru, mari kita angkat martabat negeri ini, mari kita angkat martabat negara Malaysia supaya Malaysia bangkit sebagai negara hebat di rantau kita insya-Allah.
- Saya yakin bermula di Johor Darul Takzim dan di negeri lain di seluruh Malaysia kita mampu mencatat perubahan baharu, melakar peta dan sejarah baharu sambil meninggalkan budaya lama.
- Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada saudara Onn Hafiz, Menteri Besar dan pimpinan negeri Johor, Dato Khalid Nordin, Menteri Pertahanan dan seluruh rakan-rakan dari kementerian yang membantu. Kepada rakyat Johor mari kita bangkit dan majukan negara kita bersama.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta keluarga atas kematian bapanya, Tan Sri Joseph Kurup hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata jasa dan pengorbanan mendiang sewaktu menjadi menteri di peringkat Persekutuan serta negeri pastinya akan dikenang oleh rakyat dan negara.
Joseph, yang juga Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di sini malam ini pada usia 79 tahun.
Perkara itu disahkan oleh Arthur, yang juga Presiden PBRS, melalui hantaran di laman Facebook.
Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas setelah memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994.
Arthur menggantikan ayahnya sebagai Presiden PBRS pada Januari 2023.
— BERNAMA




KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 3 tahun 2024 yang dipengerusikan beliau, awal hari ini.
Beliau berkata pelan strategik tersebut akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkat kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti utama dalam industri semikonduktor di Malaysia.
“Sayugia, hal ini penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia,” kata beliau menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata mesyuarat MPN hari ini, antara lainnya, turut meneliti kedudukan semasa dan prospek masa hadapan negara bagi industri semikonduktor termasuk sokongan kepada pelbagai cadangan pengembangan yang telah diajukan kepada Perdana Menteri.
“Mesyuarat juga telah meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju ia dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Perak.
“Ini merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan MADANI untuk mempercepat pembangunan KIGIP, yang dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara.
“Sementelahan pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050,” kata beliau.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi hantaran berasingan di laman Facebooknya berkata pelan strategik yang bakal dilancarkan itu adalah selari dengan inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)
“NIMP 2030 menetapkan pelaburan dalam aktiviti fabrikasi wafer sebagai salah satu projek bagi memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama sektor semikonduktor di rantau ini,” katanya.
Tengku Zafrul berkata pelan strategik yang bakal dirangka adalah penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk memindah atau menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi masing-masing ke Malaysia
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukurannya kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dapat bersatu semula dengan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza.
Anwar dalam hantarannya di Facebook berkata beliau turut menyatakan penghargaannnya kepada Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Mesir atas kerjasama yang diberikan, dalam membawa keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.
Terdahulu Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatannya berkata Anwar merupakan individu penting, yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.
Perkara itu dikongsikan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau, malam ini.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi, yang memintanya datang ke satu lokasi khas selain membenarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, untuk turut sama ke lokasi itu.
“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri.
Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’, kerana bukan mudah untuk membawa keluar keluarganya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain ketegangan di sempadan yang berlanjutan.
“Namun secara senyap pemimpin negara (Anwar) menghubungi pihak sana. Ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.
Muhammad Nadir Al-Nuri juga berkata proses misi berkenaan berjalan cepat, teratur dan lancar, walaupun dipenuhi dengan 1,001 cabaran tersirat.
“Kisahnya akan keluar satu demi satu, tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘misi gila’ ini ialah Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri!,” katanya yang turut berharap agar rakyat Malaysia terus bersolidariti membela nasib rakyat Palestin.
“Untuk PMX (Anwar), PMO (Pejabat Perdana Menteri), (Dr) Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.
“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, amin,” luahnya mengakhiri catatannya.
Semalam, beliau dilapor berkata bahawa situasi getir dihadapi anaknya yang mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam, mendorong beliau untuk mengambil keputusan membawa keluarganya keluar dari Gaza.
— BERNAMA



KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Kerajaan akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Timur Tengah dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, sentiasa terjamin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini berkata kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama, malah beliau sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara pagi tadi, bagi berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah itu.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.
Beliau berkata mengambil kira perbincangan yang telah diadakan semalam, mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut termasuk hari ini, menunjukkan perhatian serius kerajaan MADANI terhadap isu Timur Tengah, selain usaha yang diambil untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh situasi terbabit.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata Malaysia bersama negara-negara bertamadun lain, menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.
“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi. Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah, berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.
“Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel,” katanya.
Anwar berkata kunci penyelesaian kepada isu berkenaan ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain. Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
“Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaru sebanyak 100 kontena dijangka akan berlepas pada 27 April ini,” katanya.
— BERNAMA
