PM ANWAR UCAP SELAMAT MENYAMBUT THAIPUSAM KEPADA MASYARAKAT HINDU


KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada masyarakat Hindu di seluruh negara yang akan meraikannya esok.

Menerusi catatan dan perkongsian video di laman Facebook, Anwar berharap perayaan itu pada tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya serta disambut di sisi keluarga tersayang.

“Negara Malaysia meraikan kepelbagaian dan menghormati hak masing-masing…

“Oleh yang demikian, saya harap rakan-rakan daripada masyarakat Hindu merayakan (Thaipusam) dengan tenang, dengan keluarga supaya dapat ditingkat usaha mereka, akhlak dan nilai mereka dan semangat kemanusiaan mereka, dan jadikan mereka sebagai satu kekuatan induk dalam negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan terus bekerja bagi memastikan negara terus aman dan damai serta nilai kemajmukan diperkukuh.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata telah disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatannya di Facebook hari ini berkata gesaan itu disampaikan Mohamad seiring dengan kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.  Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota.

Mohamad dalam ucapannya di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa (Rabu waktu Malaysia) berkata, Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel terhadap undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.

Mohamad berkata ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang ini.

Istana Negara menerusi catatan di Instagram dan Facebook rasmi memaklumkan sesi itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin khususnya Al-Sultan Abdullah kerana ia adalah mesyuarat terakhir sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan ini.

Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri.

Turut hadir pada sesi hari ini Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama ialah pada 13 Feb 2019.

Mesyuarat itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat bersama Perdana Menteri mengenai urusan serta isu berkaitan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 bagi tempoh lima tahun.

— BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pasukan keselamatan negara berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian puluhan bilion ringgit.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta lain-lain agensi keselamatan, perlu bekerjasama membanteras penyeludupan yang disifatkannya kini semakin rumit.

“Kerjasama dengan badan penguat kuasa lain sangat penting seperti Kastam, PDRM, APMM dan agensi (tunggal) sempadan.

“Semua kerjasama itu penting kerana kita berhadapan kelompok yang rakus, penyeludup yang canggih dan kehilangan dana akibat penyeludupan.. minyak, dadah, rokok dan arak, itu cecah puluhan bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Anwar berkata JKDM dan PDRM juga telah membuktikan kecekapan masing-masing dalam membanteras penyeludupan dadah dengan kejayaan rampasan dan tangkapan melibatkan sindiket.

“Kita menyaksikan catatan membanggakan termasuk pihak JKDM, dalam usaha untuk membanteras penyeludupan dadah yang cecah nilai besar.…

“PDRM juga bertindak tangkap dan dakwa kelompok bermaharajalela sekian lama iaitu penyeludup dadah terkenal di Sabah,” katanya.

JKDM sebelum ini dilaporkan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 6.13 kilogram dadah bernilai RM1.22 juta yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 9 Jan lepas.

Atas sumbangan bakti pasukan keselamatan kepada negara, Anwar berkata kerajaan akan memberi keutamaan melaksanakan projek perumahan kepada semua agensi keselamatan berkenaan tahun ini, melalui tender khas.

“PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, APMM dan JKDM kita beri keutamaan perumahan pada 2024, saya minta disegerakan dan tidak ikut proses tender biasa.

“Ia (proses) terpaksa ikut tender (khas) kerana bila tidak ikut tender, bila ada rundingan, ini biasanya 10 atau 20 peratus itu bocor ke (tempat) lain,” katanya dan menambah kebajikan pasukan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Sementara itu, Anwar mengingatkan pasukan keselamatan negara supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas serta sentiasa menekankan tatakelola yang baik.

“Tonggak asas mendasari semua ini adalah khidmat kita, keiklhasan kita dan cara kita urus (tugas) dengan tatakelola baik,” katanya.

— BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) RM56 bilion tahun ini mampu dicapai.

“Saya percaya, Insya-Allah sasaran kita, unjuran bagi tahun 2024 bukan saja dicapai, tapi kalau dapat diurus dengan seluruh semangat (seperti) yang ditunjukkan hari ini, luar biasa semangatnya, saya yakin kita akan melepasi sasaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42, di sini hari ini.

Tahun lepas, JKDM berjaya mengutip hasil RM55.1 bilion, melepasi sasaran RM53.5 bilion.

Menyifatkan kejayaan itu sebagai mencipta rekod untuk negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mezahirkan penghargaannya kepada seluruh pasukan JKDM.

“Kalaulah tidak ada peningkatan kecekapan, kalau dibiarkan ketirisan, boros dan membiarkan satu dua kelompok kecil memindahkan kekayaan untuk diri dan keluarga mereka, tak mungkin JKDM boleh catat satu perolehan kutipan yang membanggakan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bonus tahun ini untuk warga JKDM akan lebih baik berbanding sebelumnya.

Anwar berkata hasil kutipan JKDM bukan sahaja menambah hasil negara malah lebih daripada itu, ia memberi manfaat yang besar kepada rakyat dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Apa maknanya bila saudara (JKDM) dapat kumpul RM55.1 bilion (kutipan hasil tahun lepas), maknanya hasil negara bertambah dan kalau negara itu punyai pimpinan yang tegas, elak ketirisan, wang yang saudara kutip itu akan kembali kepada anak-anak di sekolah, ibu bapa yang dirawat di hospital dan prasarana lebih baik.

“Jadi tanggungjawab saudara mengutip dana (hasil), tanggungjawab semua jabatan lain memastikan dana (hasil) diurus dengan baik,” katanya.

Sebagai menghargai usaha warga JKDM yang menjadi antara tonggak ekonomi negara, Anwar mengumumkan peruntukan perumahan JKDM dinaikkan daripada RM20 juta kepada RM50 juta, dan kerajaan bersedia menambah peruntukan itu sekiranya ada keperluan.

Anwar berkata beliau juga telah mengarahkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican untuk mempercepatkan agihan peruntukan projek perumahan kuarters JKDM dan juga kemudahan-kemudahan asas yang lain.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Sektor pelancongan berupaya menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan kesan limpahan kepada sektor ekonomi lain yang berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata ia termasuklah dalam meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan perlu cepat membangunkan produk dan infrastruktur pelancongan bersama pemain sektor swasta,” katanya.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang turut dihadiri menteri-menteri dan pegawai kanan jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

“Saya turut singgung pentingnya mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan berkaitan, serta menambah baik operasi khususnya di lapangan terbang.

“Di samping itu, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin dalam mencapai sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.

Mesyuarat jawatankuasa itu khusus bertujuan menyelaras pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan dalam memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan utama dunia menjelang VM2026.

— BERNAMA