GALERI GAMBAR : MESYUARAT KHAS SIDANG MAJLIS KESELAMATAN NEGARA


KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh atas kematian beberapa ahli keluarganya dalam serangan udara oleh rejim ganas Zionis semalam.
Perkara itu disampaikan Anwar ketika menghubungi pemimpin utama gerakan itu petang tadi, selepas mendapat berita mendukacitakan melibatkan kehilangan tiga anak Ismail iaitu Hazem, Amir dan Mohammad termasuk empat orang cucu.
“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang.
“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata Malaysia turut mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.
Anwar berkata serangan jijik rejim Zionis membuktikan mereka tidak mempunyai keinginan melakukan gencatan senjata seperti yang dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini dan tidak tunduk serta patuh kepada prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa.
“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut Zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah.
“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya.
Terdahulu Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, terutamanya semasa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosid yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, menerusi video yang dikongsi oleh Anwar di Facebooknya, Ismail dalam perbualan dengan Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Beliau menyifatkan serangan udara oleh rejim Israel semalam yang mengorbankan beberapa ahli keluarganya semasa sambutan Aidilfitri Mubarak, jelas menunjukkan niat buruk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk meneruskan genosid dan demosid di Gaza.
“Ini jelas membuktikan tingkah laku dan niat buruk Netanyahu, rejim jenayah Israel terhadap rakyat kami dan seperti yang dinyatakan, ini benar-benar pembunuhan beramai-ramai dan suatu tindakan kegilaan terhadap rakyat kami sejak enam bulan lalu.
“Sekali lagi, kami berharap dapat menghentikan pencerobohan ini dan kami menghargai dan berterima kasih atas panggilan telefon saudara yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong dan terkesan dengan penindasan terhadap saudara Islam di Palestin dan Gaza,” katanya melalui penterjemah.
— BERNAMA


PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) — Harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah dan stabil jika dibandingkan ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata masih ada sesetengah pihak yang menyelar Kerajaan MADANI seolah-olah tidak melakukan apa-apa bagi menangani soal kos sara hidup rakyat.
“Jangan lupa sekitar 2021, 2022 harga ayam adalah RM13 (sekilogram) (kg), sekarang jauh lebih rendah ada yang RM9/kg, RM9.50/kg.
“Dia (pembangkang) ingat kita lupa, masa dia jaga (mentadbir kerajaan) (harga) minyak masak lima kg cecah RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam – sampai tiada telur (dalam pasaran). Sekarang Alhamdullillah stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini yang dihadiri lebih 500 penjawat awam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar dalam pada itu berkata kegiatan sindiket penyeludupan yang membabitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia amat menyedihkan, lebih-lebih lagi jabatan itu terletak di bawah Kementerian Kewangan.
“Orang yang meremehkan isu rasuah, lupa bahawa dalam satu jabatan kecil dari pasukan keluarga kastam itu, masih boleh sebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara.
“Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak masak yang diambil oleh kalangan tertentu …kalau kita boleh kumpulkan semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 Mac lepas mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan itu mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata setakat ini 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Ops Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.
Anwar seterusnya menekankan aspek penguatkuasaan bagi membendung ketirisan kerajaan, dan menurutnya sebagai kerajaan bertanggungjawab, semua pihak perlu memikirkan kaedah terbaik dalam memastikan bantuan dan subsidi disalurkan kepada golongan sasar seperti yang dilakukan menerusi penyasaran semula subsidi elektrik.
Mengenai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula, beliau berkata peruntukannya meningkat lima kali ganda iaitu daripada RM130 juta pada 2023 kepada RM700 juta pada tahun ini dengan kadar SARA dinaikkan RM1,200 tahun ini berbanding RM600 tahun sebelumhya.
Malah kumpulan penerima sumbangan berkenaan juga ditambah dan diperluas kepada 700,000 penerima dalam kategori miskin tegar dan miskin pada tahun ini, berbanding hanya 210,000 merangkumi golongan miskin tegar pada 2023.
— BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) — Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar Jumaat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata turut mendapat bantuan khas itu adalah pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
“Insya-Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya dalam majlis perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan, walaupun bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 telah disalurkan pada 23 Feb lepas.
Beliau berkata BKK itu juga mengambil kira keluhan penjawat awam yang ditemui di Bazar Ramadan ketika lawatan kerja beliau ke Pahang dan Sarawak baru-baru ini.
Anwar berkata sekiranya politik stabil, dasar ekonomi jelas dan pelaburan domestik dan asing bertambah, kerajaan boleh mempertimbangkan penyaluran bantuan lain kepada rakyat.
Turut bersama dalam perhimpunan bulanan itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
— BERNAMA






KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Rakyat Malaysia perlu meneladani kehidupan di Sarawak yang tenang dengan rakyatnya hidup dalam perpaduan meskipun rencam kaum, agama dan budaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini, beliau berkata sebarang isu dan perbezaan di negeri itu diurus dengan hikmah, ihsan dan kasih sayang berbanding pergaduhan, amarah dan kebencian.
Menurut Anwar beliau menyentuh perkara itu memandangkan sikap segelintir masyarakat sejak kebelakangan ini, yang begitu mudah membelit diri dengan isu-isu lama dan gemar memperbesarkan masalah kecil hingga melarat menjadi mudarat.
Selain itu, katanya keamanan dan kestabilan politik di Sarawak dengan barisan pimpinan yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk rakyat, membolehkan hubungan erat terjalin antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Hubungan ini membolehkan kita mewujudkan kerjasama luar biasa, dengan buat julung kalinya kerajaan Persekutuan dapat menyerahkan tanggungjawab dan kepercayaan penuh buat kerajaan negeri untuk memulakan projek pembangunan tertentu.
“Kerjasama ini membolehkan pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan klinik, khususnya di luar bandar dan pedalaman dibangunkan dengan lebih pantas dan kos lebih rendah berbanding kaedah biasa,” kata Perdana Menteri.
Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI di pekarangan Masjid Al-Muttaqin di Kota Samarahan, Sarawak bersama kira-kira 2,000 masyarakat setempat.
Pada majlis itu, beliau turut mengingatkan semua umat Islam untuk menyelami ibrah Ramadan tahun ini dan meningkatkan iman dan amal yang menjadi teras kepada disiplin serta integriti diri.
— BERNAMA










