VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS PERJUMPAAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN & AGENSI BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
15 October 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERJUMPAAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN & AGENSI BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
15 OKTOBER 2025 (RABU) | 8.00 PAGI
DEWAN UTAMA
KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saudari YB Puan Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Kewangan;
Saudara YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
Alhamdullilah,
Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
- Kita baru meluncurkan Belanjawan 2026 dan untuk itu, walaupun kadang-kadang tahniah diberi kepada Kementerian Kewangan, saya sebenarnya secara jujur dan ikhlas tahniah juga kepada keluarga Perbendaharaan semuanya, dari Menteri Kewangan II, Timbalan Menteri, KSP, Pengarah-pengarah semua, Bank Negara, LHDN, Kastam semua yang berperanan. Kalau tidak, tak mungkin kita capai dan dapat agihkan khazanah negara mengikut urutan keutamaan yang telah kita umumkan.
- Tentunya dalam perbahasan ini sudah dua hari, kita dengar perbahasan, biasa ada cadangan-cadangan, ada teguran, ada yang membangkang sembrono itu biasa. Tapi kita harus teliti semua dengan sikap terbuka, dan yang mana perlu, kita beri jawapan. Ini mungkin hampir sudah 10 kali saya bentangkan belanjawan daripada 1991, 1998, 2022 dan kini dan banyak juga yang saya belajar. Tapi satu perkara yang saya anggap sangat mengesankan, yang kadang-kadang tidak diketahui oleh khalayak umum, bahawa dalam persiapan itu ratusan tenaga itu berpangkalan di kementerian bekerja dengan sungguh-sungguh, dengan penuh minat, dengan ikhlas, dan sampai lewat malam, dan jadikan ini sebagai suatu tugas yang tentunya lebih daripada tugas seorang penjawat awam biasa yang penuh komitmen, iltizam dan keikhlasan.
- Jadi yang ini saya dapat Kesan, dan saya juga pernah ke kementerian yang lainnya. Bermula sebagai Timbalan Menteri di JPM, kemudian Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, tetapi saya iyalah ramai juga yang berkhidmat dengan cara masing-masing. Tapi sepanjang sebulan, dua minggu, dan seminggu sebelum belanjawan itu, keluarga Perbendaharaan itu komitmen yang luar biasa. Jadi sekali lagi saya ucapkan jazakumullahu khairan, terima kasih dan penghargaan setingginya.
- Tapi apakah yang kita lakukan? Setiap kali kita belajar dari pengalaman, tapi kita juga lihat daripada kenyataan. Kerangka belanjawan itu tidak boleh lari daripada kenyataan ekonomi yang kita hadapi. Jadi teori ekonomi itu harus diselarikan dengan kenyataan ekonomi. Masalah kita kadang-kadang kalau kita hanya ambil academicians dan theoreticians, dia bagi kerangka umum. Tapi kita kena tahu hutang bagaimana, defisit bagaimana, hasil bagaimana baru boleh kita ada perimbangan.
- Dia berbeda umpamanya pada tahun 1990-an, tahun 90-an saya Menteri Kewangan. Pertumbuhan ekonomi itu rancak 10%, 11% dan daripada defisit kecil, kemudian dalam dua tahun strategi pada ketika itu berimbang balanced budget dan tahun ketiga sudah minor surplus dan berikutnya big surplus, jadi tentunya pendekatan yang berbeda. Tapi kita warisi sekarang hutang membengkak, kemudian defisit juga tinggi. Semua ini mesti ditelaah, kemudian baru kita lakarkan satu kerangka belanjawan yang sesuai dengan tuntutan semasa.
- Tapi sebelum itu semua, apa yang saya tekankan sejak saya ambil alih jawatan ini ialah soal tatakelola. Ia menjadi komitmen ramai, ia juga menjadi momokan dari kalangan tertentu. Sebab apa saya kata tatakelola? Sebab saya yakin dengan pengalaman saya dulu dan penglihatan sekarang, terutama semasa saya pantau sebagai Ketua Pembangkang dan tentunya semasa meringkuk di Sungai Buloh. Merenung, memikir bahawa ketirisan dan rasuah itu sudah menjadi sistemik.
- Jadi kalau kita fikir bagaimana nak bangunkan negara, harus belanja. Bagaimana dapat dana, harus cukai. Itu andaiannya bahawa semuanya sudah baik. Tapi bagaimana jika kita katakan bahawa banyak ketirisan, banyak yang menyakau dan rasuah. Apakah tidak boleh dibetulkan itu dulu?
- Sebab itu dalam perbahasan, saya masih ingat sebagai Ketua Pembangkang, ketika dibangkitkan soal GST. Saya masih beranggapan GST itu satu sistem percukaian yang telus dan efisien, transparent. Tapi saya kata, apakah permasalahan kita. Pendapatan rakyat masih rendah, RM1,500, RM1,700, RM2,000, RM2,500, RM3,000 dan kita dalam GST itu transparent, cukai semua. Jadi saya kata dari segi moral, apakah boleh kita cukai orang yang paling miskin? Bagi saya, jawapan saya, tidak sesuai. Apakah sistem itu baik? Baik. Tapi belum ketikanya, itu hujah kita.
- Tapi saya juga hujah, saya masih ingat sebagai Ketua Pembangkang, masa itu Johan pantau saya dari belakang apa Ketua Pembangkang ini cakap. Saya kata, mengapa tidak boleh kerajaan betulkan ketirisan dulu? Kalau tendernya sepatutnya RM1.8 bilion, apakah RM1.8 bilion atau RM1.5 bilion? Apakah ada orang-orang yang mengumpul wang dan dana? Ada tak sindiket-sindiket haram yang banyak kutip wang? Ada tak penyeludupan yang besar yang menyebabkan kita rugi?
- Jadi saya ambil pendekatan itu, kerana ini bagi saya yang saya belajar dari sejarah, dari Khulafa ar-Rasyidin, dari Umar Abdul Aziz, semuanya dari pengurusan yang cekap dan bersih, baru boleh kita kerangka. Sebab itu, saya sudah sebut dulu bagaimana Umar Abdul Aziz sebagai khalifah dalam tempoh 2 tahun 3 bulan boleh menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dari Jazirah Arab, Syria sehingga ke Azerbaijan. Ini kalau ikut dalam kerangka ekonomi sekarang, tidak memungkinkan. Tapi kalau ada seorang yang betul-betul bersihkan sistem, hasilnya boleh diagihkan. Itu dia.
- Jadi bagi keluarga Perbendaharaan harus faham ini, mengapa saya keras dan tegas dalam soal tatakelola. Dipermainkan itu biasa. Kalau kamu ini memang kerja menyakau dan simpan sana sini, cash dan bitcoin itu berbilion-bilion, tentunya kamu tak akan senang dengan kenyataan menyakau dan tatakelola, dipermainkan-mainkan. Tetapi ternyata, saya tidak berhasil di tahun pertama kerana pegawai-pegawai saya tak salahkan, dia pun tak yakin. Ini semua orang-orang politik, “kita akan menentang rasuah” tapi dia sakau juga. Jadi sebab itu ambil tempoh untuk saya terus berdamping, menyantuni badan-badan penguatkuasaan sehingga mereka yakin kita tegas dan kita akan melindungi mereka.
- Kerana LHDN ke, Kastam ke, SPRM lebih-lebih lagi atau polis, mereka juga hadapi risiko, kerana mereka bertegas. Kerana sistem itu sudah berjalan puluhan tahun. Sindiket penyeludupan besar di Port Klang yang baru-baru ini digeledah, itu sudah berjalan puluh tahun, dan hasilnya entah sudah berpuluh bilion. Dibiarkan. Saudara berani ganggu mereka? Mereka ada kekuatan, ada dana, ada penyokong, ada rangkaian, media, politik, segala macam. Jangan kita bodoh. Itu kenyataan. Those who are familiar with the system: political, economic, social system, in the issue of governance would realise that to combat corruption effectively would also mean to challenge the dominant forces that had been able to influence government and government machineries. Sebab itu salute kepada mereka. LHDN ada di sini, Kastam ada di sini, SPRM, polis yang menjalankan tugas.
- (Tahun) 2022, 2023, kemudian akhir 2023, 2024 nampak ada kesediaan yang lebih. Jadi dalam tempoh dua (2) tahun lebih sedikit, kita berhasil kumpulkan RM15.5 bilion. Ada disinggung oleh pembangkang? Tak ada. Aneh kan? Maknanya ini, takkan RM15 bilion itu datang dari langit baru tahun 2024, tak ada berlaku 2020 dan sebelumnya? Ada, tetapi dibiarkan. Jadi kalau saya boleh dapat RM15 bilion daripada hasil rampasan ataupun daripada yang tak bayar cukai dan tipu dan penyeludupan dan penyeludupan rokok, arak, sindiket dan online scam macam-macam ini, mengapa saya harus cukai rakyat? Saya nak saudara-saudara faham tentang hal ini. Berbeza daripada celoteh beberapa orang pembangkang di parlimen. “Di mana kata tatakelola?” Tatakelola ini dua (2) tahun RM15 bilion. Alhamdulillah.
- Baik, daripada RM15 bilion ini, barulah kita boleh agihkan. Baik penjawat awam, baik STR, baik SARA, kemudian semua tambah. Ekonomi tidak rancak. Dulu 11% masa saya dulu. Confident, Menteri Kewangan confident, sekarang ini letih ini. Saya confident lah tapi KSP letihlah. Nama pun KSP. Saya kadang-kadang KSP ni pegawai kata, “saya ke KSP”. Rupanya Kompleks Seri Perdana. Kita mana ada jumpa dengan KSP, baru jumpa tadi pukul 4, pukul 5.30 ke KSP. Bila kita sebut KSP Johan jangan perasan semua, ada juga Kompleks Seri Perdana (nada seloroh).
- Baik, jadi itu soal tatakelola. RM15.5 bilion saudara, bukan cukai. Wang yang dicuri. Soalnya 2022, 2021, 2020, 2019 mana wang itu? Okay mungkin tak RM5 bilion, mungkin RM3 bilion. Apakah RM5 bilion ini kesemuanya? Saya tidak fikir begitu, saya fikir ada lagi. Jadi saya beri galakkan, kamu tarik yang mana yang mungkin lagi (nada seloroh). Jadi kita cuba sedaya upaya tingkatkan, itu satu hal.
- Kemudian penyasaran subsidi. Wah jadi riuh rendah, pasal elektrik ingat, masa penyasaran elektrik? Tapi saudara juga harus tahu bahawa ini bukan idea baru. Dibicarakan daripada Perdana Menteri yang dulu-dulu, yang daripada dulu ada yang nak jadi Perdana Menteri lagi. Sekarang pun tak apalah ya. Semua kata penyasaran subsidi, “tak boleh kita ini cukai pada orang kaya dan orang asing”. Tapi bila kita buat, disergahnya kita. Peringkat awal memang kerana kejutan ini bila sebut saja naik harga, tak kira kepada siapa, ia menimbulkan satu panik dan kemarahan. Jadi kita ada kesan dari segi politik. Even di Pulau Pinang, keputusan itu, dalam pilihan-pilihanraya kecil itu mengejutkan. Kerana ayat kata macam mana Anwar sebut “menang hari ini minyak turun, dah tu? elektrik naik. Jadi macam mana?”.
- Ini nak jelaskan, saya tak boleh turun segera. Saya confident turun bila saya tahu okay daripada RM15 bilion dah dapat dan badan penguatkuasaan nampak dah kemas sekejap, confident, berani, okay. Dan baru kita laksanakan. Kalau kita laksanakan semberono dan tidak dapat dokongan dan komitmen penuh daripada penjawat awam, parah. Jadi sebab itu kita ambil masa.
- Elektrik, berapa? RM4, RM5 bilion hasil. Tanpa membebankan orang bawah. Ayam. Saudara tahu, ayam. Keputusan pengapungan itu, sampai saya katakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, doesn’t matter, jalan. Sebab kartel itu kuat. Saya kata runding lah, Menteri Pertanian ada, Perbendaharaan ada, runding betul-betul, bagi tahu. Pasti kah saudara akan rugi kerana kita tarik balik price support? Kita runding.
- Kemudian ini orang berniaga, bila sudah dapat biasa, tak mudah. Jadi kita kata okay. Saya sebut kepada YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, saya kata okay. Import, letak di peti sejuk banyak-banyak in case ada sabotaj. Alhamdulillah. Fikir, kita dok subsidi, bagi subsidi kepada ayam ini, sudah puluh tahun. Berapa satu tahun? RM1 bilion. 10 tahun, RM10 bilion. Jangan kerana terus pengampungan dengan kawal harga. Katalah dengan tidak semena-mena naik harga, kita boleh tampung dengan keadaan begitu kerana saya tak membebankan rakyat. Kalau katalah naik melambung, kita boleh tampung sekadarnya, tapi Alhamdulillah sejak dua (2) tahun yang lalu atau tahun lalu kita sudah jimat RM1 bilion satu tahun dari dasar pengampungan ayam. Harga masih terkawal.
- Baik, yang akhirnya penyasaran subsidi. Ya memang betul ada cadangan awal, pakar-pakar ekonomi di luar, naik sahaja harga, kemudian kita bagilah PADU ke bantuan kepada keluarga. Harga naik ikut pasaran, RM2.60 bagi semua. Tapi yang mana miskin-miskin kita bantu. Saya fikir saya tak boleh bertahan. Kerana dia kata janji turun harga tapi naik. Saya bayar RM2.60 walaupun saya dapat suntikan. Jadi, cadangan itu kita tidak boleh terima.
- Terima kasih sekali lagi kita boleh bincang. Dan pertama puji YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, berlebih-lebihan, tapi keluarga Perbendaharaan lah. Saya puji sebab Perbendaharaan ini dia kalau dulunya pro cukai, tak setuju bagi peruntukan, guna peruntukan sedia ada, tapi sekarang saya tengok bila sudah ada cadangan-cadangan ini, mereka yang paling awal nasihat saya. Saya kata apakah perlu lebih teliti dan berhati-hati, maknanya betul-betul ada keprihatinan tentang permasalahan rakyat, yang maknanya teori ekonomi tapi teori ekonomi yang berpijak kepada keadaan yang nyata terutama kegelisahan rakyat.
- Jadi sebab itu kita pinda. Ada yang kata okay lah, bagi keluarga RM13,000 yang atas kena bayar, yang RM13,000 ke bawah tak payah, tak payah naik harga. Ada yang kata bincang bincang bincang lagi, naik RM15,000, naik RM30,000 satu keluarga. Saya fikir-fikir, hmm tak payahlah. Bagi rakyat Malaysia RM1.99, rakyat asing RM2.60. Senang, tak payah fikir pening kepala. Alhamdulillah, orang sambut baik, orang faham. Orang ada kata, oh tapi orang maha kaya juga dapat subsidi. Orang yang hentam kita soal elektrik dulu itu, dia bangkitkan soal ini. Tapi saya kata supaya prosesnya senang, telus peringkat ini.
- Jadi Alhamdulillah, daripada itu mungkin kalau cadangan awal semua, yang mana naik harga semua dan bantu sebahagiannya, kita mungkin boleh dapat RM8 bilion, sekarang mungkin RM2.5 bilion, tak apalah. Kita nak dapat hasil banyak, rakyat terbeban buat apa? Ini bukan economic theory atas langit, ini economic theory yang masih menyentuh kedudukan rakyat. Jadi bagi saya, pendekatan ini lebih realistik.
- Baik, yang kedua yang dibangkitkan ialah soal tatakelola ini, soal hutang bertambah. Kata kita turun hutang. Hutang baru, hutang tambah. Saudara tahu, kalau umpamanya kita hidup ini dengan hutang, baik. RM100 bilion satu tahun, hampir RM100 bilion sejak 2001, 2002. Kemudian kita turun 90, 80, sekarang 77. Dia kena .. Saya boleh berhenti, jangan hutang sama sekali. Mulai tahun depan, jangan hutang. Apakah mungkin kita tambah peruntukan untuk pendidikan, untuk kesihatan, untuk STR, untuk SARA? Jadi, hutang jangan bertambah, hutang kurang, defisit kurang 3.8 daripada 5.6. Itu drastik. Tapi kalau drastik sangat, ia indah dari segi teori ekonomi, parah bagi rakyat. Jadi, perimbangan ini penting.
- Saya percaya ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang dia faham, tapi dia ni wayang politik mereka lah ya. Kerana ini mereka tidak lakukan, kerana mereka hutang hutang hutang, sekarang hutang membengkak, pasal kamu menanah.
- Kemudian beberapa undang-undang, saudara tahu macam Fiscal Responsibility Act, kemudian Rang Undang-undang erolehan Kerajaan. Ini semua penyerahan sebahagian daripada kuasa yang dipegang oleh Menteri Kewangan sejak tahun 1957. Kuasa itu dipulangkan dalam FRA kepada Parlimen. Perolehan maknanya Menteri Kewangan juga turut bertanggungjawab kalau ada tindakan yang dianggap tidak telus, ada tribunal dan boleh dipersoal dan boleh didakwa. Cukuplah setakat itu. ‘Oh, tapi kuasa masih Menteri Kewangan’, jadi macam mana kuasa nak pergi kepada siapa? Kepada pengerusi syarikat? Jadi kuasa itu masih dipegang oleh seorang Perdana Menteri, dia ada kuasa, seorang menteri ada, KSP ada bidang kuasa, begitu juga dalam soal standard dan sebagainya. Tapi bagi saya akhirnya bukan undang-undang, bukan peraturan, dia soal integriti seseorang, itu kalau keyakinan saya. Buatlah undang-undang paling canggih sekalipun, ingenuety manusia ini, kepintaran ini boleh berbelit lagi. Jadi soal integriti yang kita nak tekankan.
- Di antara yang lain yang dibangkitkan ialah perbelanjaan oleh GLC GLIC. Khazanah ini syarikat Kerajaan. Khazanah itu ditubuhkan untuk menjaga kepentingan awam, dia bergerak dalam beberapa bidang ikut komersial, beberapa bidang ikut aspirasi negara, dia bukan syarikat swasta. Jadi kalau begitu, kalau Khazanah jangan peduli dasar negara, dia nak labur, labur di mana, dia nak pergi Amerika, nak pergi China, India, labur-labur, tapi tak betul. Jadi kita kata kamu boleh melabur ke Malaysia, tetapi kita sudah ajak orang asing negara-negara luar pergi merata dunia minta melabur di sini. Syarikat kita melabur semua di luar, itu tidak masuk akal, jadi kita kata sebahagian kecil melabur di sini. dan melabur yang strategiknya apa? solar dan hibrid yang terbesar di negara kita, Kenyir. Itu Tenaga dengan Petronas, komersial yes, tetapi dia mengikut keutamaan negara, jadi sebab itu kita masukkan.
- Ini soal berapa program Carcosa yang dibangkitkan. Ini masalah kadang-kadang pembangkang, dia tak baca. Pembangunan ini yang RM600 juta bukan Carcosa. Satu bangunan Carcosa Seri Negara. Keduanya, ini warisan kita, saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Sultan Abdul Samad sebagai warisan Raja-raja Melayu yang ada juga peranan, termasuk bukaan Kuala Lumpur, di samping itu, kita jaga supaya bangunan-bangunan belakang, termasuk kalau ada gereja, Kuil Hindu yang belakang kita tidak abaikan, bangunkan sekali. Tapi warisan sejarah kekuatan Melayu-nya dan sejarah kita dari bangunan Sultan Abu Samad, Padang Merdeka, Kereta api Tanah Melayu, Daya Bumi, sehingga ke kawasan Seri Negara. Itu kita seolah-olah satu taman warisan. Jadi Kuala Lumpur itu dikenali sebagai suatu yang moden teknologinya tetapi yang segar budayanya.
- Dan bila kita mula labur di situ, dia akan menarik minat pelaburan lain berkembang di sekitarnya. Jadi RM600 juta itu bukan wang Kebajikan, itu pelaburan termasuk untuk menjaga kepentingan sejarah. Itu amat disenangi kalau Tuanku Sultan Selangor tentunya bangunan Sultan Abdul Samad, tapi maknanya amat disenangi dari segi itu, dia tidak faham. Siapa yang boleh bangunkan begitu besar projek-projek yang menunjukkan kehebatan warisan sejarah dan budaya kita? Badan-badan seperti Khazanah atau Petronas, kerajaan keutamaan dia yang lain-lain lagi, tetapi kita pantau. Tapi masih ada elemen komersialnya, elemen investmentnya dan elemen keindahan bagi kota.
- Saya sebut di sini warisan ini kerana soal sejarah dan budaya kita, Melayu, kemudian kita rangkul kekuatan kaum-kaum lain, terutama Cina, India di sekitar Kuala Lumpur. Sebab itu Carcosa itu kalau tengok pelan dia, setiap bilik dia bawa gambaran dan mempamerkan kekuatan budaya kita, segala suku kaum hasil-hasil dalam negeri ini juga satu tarikan kepada pelancong. Dan kalau tahu sejarah Carcosa ini, Carcosa itu dianggap bangunan paling hebat atas bukit di Kuala Lumpur, simbol kemegahan penjajah Inggeris. Jadi bila mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman itu dia nak berunding secara damai dan dapat penyelesaian cepat, saya Maka diserahkan Carcosa tu kepada Inggeris.
- Saya kan anak muda masa itu, bukanlah masa itu, terkemudian sedikit. Bila saya di universiti, kemudian sebagai ketua pemuda UMNO saya bantah, saya ugut akan adakan bantahan keras dan sampaikan kepada Perdana Menteri pada ketika itu. Carcosa ini simbol dan bangunan kebanggaan Kuala Lumpur, mercu di atas, tak mungkin diberikan kepada Inggeris. Masa itu dia jadi Pesuruhjaya Inggeris di Kuala Lumpur. Herritage yang paling hebat patut milik negara, maka kita bantah, runding dengan Inggeris, Inggeris setuju serahkan dengan syarat bagi tanah gantian. Itu sejarah dia, sebab apa? sebab itu simbol kebanggaan negara, takkan bangunan yang paling hebat di atas bukit itu masih simbol penjajah, saya tidak boleh terima. Kalau ketua pembangkang nak terima itu soal dia lah. Tapi kalau ada, mesti diindahkan dan jadikan simbol budaya Malaysia. Itu diadakan, itu sejarah Carcosa Seri Negara.
- Jadi saya harap saudara-saudara bantu, sekarang sudah belanjawan, bantu bagaimana kita boleh nanti insya-Allah jawab dan keduanya memahami permasalahan ini, membantu menjelaskan juga. Ini bukan soal jawapan media, jawapan saudara-saudara bantu menjelaskan peranan GLIC, peranan GLC. Sebahagian daripada saudara dalam Lembaga (Board), sebahagian daripada saudara memberikan pandangan tentang perjalanan badan-badan ini.
- Dan saya percaya kalau kita lihat umpamanya peranan GLIC dan GLC itu masuk. Ada orang kata hasil kita daripada penyasaran subsidi dan hal-hal rampasan RM15 bilion itu bukan daripada hasil negara, bukan cukai. Tidak payah, tidak fikirlah. Saya sekali lagi nak tegaskan sebagai akhir ini, mengatakan bagi negara hasil itu penting. Kalau hasil selama ini bocor kita ambil balik itu sahaja, bukan kita rampas cara haram, kita rampas benda yang haram, rampas hak dan milik negara kita. Saudara tahu kalau cukai, orang lari tak bayar cukai, bayar balik, itu hak kita. Hak negara. Atau penyeludupan, memang masih walaupun Kastam buat sebaik mungkin, tetapi kerana sistem itu begitu, dia punya jalurnya dan sebagainya itu terlalu, keterlaluan. Tapi hasilnya baik, saya setuju dan bila kita check macam ini, sindiket, kongsi gelap, terlibat dalam pembunuhan. Ini semua dikaji kerana badan-badan penguatkuasaan bekerja sebagai satu pasukan.
- Jadi yang pertama, hasil bertambah. Yang kedua, kegiatan jenayah dapat lebih dikawal.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
