TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI SIDANG MEDIA 11 MAC 2026

11 March 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

SIDANG MEDIA

11 Mac 2026 (Rabu)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.

  1. Mesyuarat Kabinet pagi tadi yang tentunya memberikan tumpuan terhadap perkembangan di Asia Barat susulan daripada konflik di Iran khususnya akibat serangan Zionist Israel dengan Amerika dan kemudian tempiasannya itu sekarang merebak ke puluhan negara negara Teluk: Turkiye, Azerbaijan, dan Arab Saudi. Oleh itu, ia telah menjadi satu peperangan yang besar dan tidak lagi tertumpu dengan negara terpilih.
  2. Malaysia telah menyatakan secara tegas dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan Ahli-ahli Parlimen merentas parti yang memberikan dukungan dan kenyataan bulat bersama dalam isu serangan ke atas negara Iran.
  3. Susulan daripada itu, saya telah menghubungi hampir semua pimpinan negara Teluk, termasuk perbincangan yang panjang dengan Turkiye. Dan di rantau di sini dengan Presiden Prabowo dan juga dengan Menteri Luar Iran. Sementara kita bersama dengan rakyat Iran juga menyatakan takziah dan simpati atas kematian Imam Ayatollah Ali Hosseini Khamenei , kita juga melahirkan beberapa keprihatinan dan kebimbangan kita, kerana berlakunya ketegangan dalam hubungan Iran dan beberapa negara jiran.
  4. Jadi saya mengusulkan kepada Iran supaya mengambil perhatian supaya tempiasan itu tidak terkena kepada negara-negara jiran dan tumpu pada fokus terhadap Israel. Saya ucap terima kasih kepada Presiden Iran dan juga Menteri Luar yang memberi jaminan tegas cuba mengelak daripada tempiasan kepada negara-negara jiran. Dan di samping itu, penghargaan kepada pimpinan negara Teluk yang memberikan kesempatan kepada Malaysia berunding dengan mereka.
  5. Tetapi satu hal yang amat memprihatinkan dan membimbangkan ialah kerana konflik ini punyai kesan terhadap ekonomi dunia, Asia termasuk Malaysia. Kerana berpunca daripada ketegangan itu, terbatas kebebasan kawasan ruang udara penerbangan pesawat. Dan yang lebih parah adalah gangguan bekalan minyak dan gas yang selalunya melalui Selat Hormuz.
  6. Sekarang dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak telah terkandas, dan sekitar 3,000 kapal pengangkutan lainnya. Pada 9 Mac 2026, harga minyak Brent mencecah USD119. Walaupun keadaan telah sedikit menurun pada hari ini, semalam iaitu sekitar mencecah paras USD90 setong. Ini satu peningkatan mendadak yang akan memberi kesan ekonomi bagi negara-negara pengimport dan pengguna minyak.
  7. Tapi, Alhamdulillah, berkat pengurusan Petronas dan negara, kita dapat menjamin bekalan minyak yang cukup dan mengekalkan harga RM1.99 bagi BUDI MADANI RON95.
  8. Sementelahan, saya juga ingin menyatakan syukur Alhamdulillah, kerana kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Asia Barat, iaitu negara-negara Teluk, yang tiba hari ini sekitar 12.30 tengah hari, dan sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara yang menyelaraskan bersama dengan Kementerian Luar Negeri dan Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau tersebut.
  9. Operasi membawa pulang akan diteruskan, tapi kita tentunya akan pantau kerana sebahagian besar daripada mereka telahpun mampu menggunakan jalur biasa penerbangan dan pulang dengan selamat. Dan begitu juga rencana yang lain yang akan terus mengambil pesawat yang sedia ada.
  10. Dan tentunya kita harus mendepani konflik ini dari sudut persiapan negara kita. Jadi ada beberapa langkah yang kita sedia ambil: memantau secara dekat rakan-rakan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha dan Pegawai-pegawai Kerajaan, dengan penglibatan syarikat swasta. Akan bekerjasama untuk pastikan kita dapat menangani permasalahan yang akan terus dihadapi.
  11. Pertama, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal. Itu kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah, kerana bila kita semak dengan Petronas terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan yang cekap dan beramanah dan profesional.
  12. Kedua, kita akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. Bagaimana Kerajaan mampu melindungi rakyat dari impak penuh kenaikan harga minyak dan tentunya berikutan harga barang-barang keperluan lainnya.
  13. Sebab itu, saya telah maklumkan kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan harga Budi95 untuk rakyat. Ini satu keputusan yang sukar, tapi akan dikekalkan pada paras RM1.99 sen seliter, walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi. Bukan harga pasaran bulan lalu, jauh lebih tinggi dan harga sebenar jauh lebih tinggi, apalagi kalau dibanding dengan harga di negara-negara jiran. Tiga (3) kali ganda.
  14. Saya telah minta Timbalan Perdana Menteri II mempengerusikan jawatankuasa berhubung dengan penguatkuasaan. Umpamanya diesel lebih terkawal di Semenanjung, tidak naik di Sabah dan Sarawak. Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran. Jadi, saya tugaskan TPM memastikan bersama KPDN untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan yang lebih tegas terhadap kalangan yang cuba mengambil kesempatan dan menyeludup.
  15. Menteri Kewangan II akan mempengerusikan mesyuaratnya jawatankuasa khas, mengkaji bersama dengan Menteri Ekonomi dan Menteri-Menteri yang berkaitan, impak ekonomi setiap hari supaya dapat diberikan maklum kepada pimpinan Kerajaan.
  16. Jadi tentunya kita akan pantau perkembangan di Asia Barat dan apa kesudahannya. Kita mendoakan hadrat Allah SWT untuk melindungi mereka dan agar keamanan dapat dicapai. Tapi bagi kita, harus terus waspada.
  17. Sebagai petanda supaya pimpinan memulakan langkah yang lebih positif, saya telah memutuskan bersama di Jemaah Menteri tadi supaya semua Agensi Kerajaan dan GLC serta GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri. Ini memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana.
  18. Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal dan barang-barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita waspada dan berjimat? Saya kata, ini langkah waras bagi kita supaya jangan kita nanti terjebak dengan keadaan yang lebih parah. Jadi sebaiknya kita ambil sikap yang lebih sederhana, lebih bertanggungjawab.
  19. Dan untuk itu juga, menteri dan seluruh anggota pentadbiran dan jabatan-jabatan dihadkan ke lawatan ataupun kunjungan ke luar negara. Melainkan yang memang dalam jadual yang wajib dihadiri.
  20. Oleh kerana perkembangan itu berlaku dalam masa yang pantas dan menuntut kita mengkaji dari dekat, maka kita telah putuskan, Mesyuarat Jemaah Menteri Khas akan diadakan pada pagi Jumaat, 13 Mac 2026, insya-Allah. Ini akan memberi ruang Jemaah Menteri meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasa secara lebih nyata dan dekat, dan menentukan hala tuju dan langkah seterusnya yang harus kita tangani.

Saudara saudari yang dimuliakan,

  • Sepertimana kita tahu, kita telah lalui ujian kemelut sebelum ini, dan saya yakin insya-Allah, dengan sikap lebih bertanggungjawab, dengan kerjasama semua pihak, pimpinan Kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat jelata, kita dapat menangani permasalahan ini dengan baik.
  • Semoga Allah SWT merestui usaha kita, memelihara negara kita.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: